Datang sahaja musim cuti sekarang ini ramai orang sering berpusu-pusu ke destinasi pelancongan tempatan yang popular. Anda pernah terfikir untuk bercuti di Alor Setar?
Mungkin anda sangka tarikan di Kedah hanyalah sawah padi yang boleh dijumpai di mana-mana kawasan, tapi sebenarnya terdapat banyak tempat menarik di Alor Setar yang boleh diziarahi.
Sawah padi tentulah boleh menjadi tarikan yang amat menyeronokkan bagi ramai orang, tetapi di Alor Setar juga terdapat tarikan lain yang menyeronokkan seperti muzium, taman-taman yang indah, gua-gua yang memukau, dan juga tempat lahir tokoh yang hebat iaitu Tun Dr. Mahathir!
Jom tengok secara terperinci beberapa tempat menarik di Alor Setar yang anda sekeluarga boleh nikmati.
10 Tempat Menarik di Alor Setar, Kedah
1. Muzium Padi Kedah
Kedah memang popular sebagai salah satu negeri di bahagian utara Malaysia untuk pengeluaran hasil padi, jadi tidak hairanlah terdapat sebuah muzium yang didedikasikan untuk informasi tentang padi bagi pengunjung.
Selain mempelajari tentang proses disebalik pengeluaran padi, anda juga dapat menghayati pemandangan indah di kawasan muzium ini yang berlatarkan Gunung Keriang dan juga sawah padi yang luas.
Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM2
Alamat: Gunung Keriang, 05150 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Selasa – Ahad: 9.00 pagi – 5.00 petang
2. Tempat Kelahiran Tun Dr. Mahathir
Kalau anda memang sudah bercadang untuk bercuti di Kedah, tempat kelahiran Tun Dr. Mahathir adalah lokasi yang wajib diziarahi. Siapa yang tak kenal Tun Dr. Mahathir, kan?
Rumah perdana menteri yang telah berkhidmat paling lama ini telah dijadikan destinasi pelancongan untuk pengunjung menerokai pelbagai memorabilia dan replika barangan yang pernah digunakan tokoh terkenal ini untuk menghayati kehidupannya pada zaman dahulu.
Harga Tiket: Percuma
Alamat: No. 18, Lorong Kilang Ais Sekolah Kebangsaan Jalan Pegawai, Jalan Seberang Perak, Taman Pesisiran Tanjung Chali, 05000 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Selasa – Khamis / Sabtu – Ahad: 10.00 pagi – 4.00 petang
– Isnin & Jumaat: Tutup
3. Rumah Merdeka
Sudah melawat rumah kelahiran Tun Dr. Mahathir, apa kata anda peruntukkan masa untuk melawat Rumah Merdeka pula?
Keistimewaan Rumah Merdeka ini ialah ia merupakan tempat urusan untuk mendapatkan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama Malaysia yang juga dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan.
Di sini anda boleh menghayati pameran yang mencerminkan keadaan kehidupan zaman dahulu yang memberikan banyak kenangan dan sejarah penting kemerdekaan. Terdapat juga barangan asal rumah dan juga barangan peribadi Tunku Abdul Rahman yang turut dipamerkan.
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Jalan Putra, Bandar Alor Setar, 05150 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Selasa – Khamis / Sabtu – Ahad: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Isnin & Jumaat: Tutup
4. Menara Alor Setar
Jika anda suka bersiar-siar di kawasan bandar, anda boleh mengunjungi Menara Alor Setar yang merupakan salah satu mercu tanda negeri Kedah dan menjadi tempat menarik di Alor Setar untuk dilawati.
Menara yang merupakan bangunan tertinggi di Kedah ini membolehkan pengunjung untuk melihat seluruh pemandangan Alor Setar dari menara ini.
Di sini juga terdapat balai cerap di mana anda boleh melihat anak bulan, dan juga sebuah restoran di mana anda boleh menjamu selera sambil menghayati pemandangan seluruh Alor Setar.
Harga Tiket:
– Dewasa: RM12
– Kanak-kanak / Warga Emas / OKU / Pelajar Berkumpulan: RM8
Alamat: Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Isnin – Ahad: 8.30 pagi – 10.30 malam
5. Gua Gunung Keriang
Bagi pencinta alam pula, Gua Gunung Keriang tentu akan menjadi tempat menarik di Alor Setar yang wajib dikunjungi. Gua yang terletak kira-kira 8km dari bandar Alor Setar ini merupakan formasi batu kapur yang merangkumi beberapa gua termasuk Gua Terus, Gua Pelamin, dan Gua Seribu Bayur.
Di gua ini juga terdapat pelbagai jenis dan bentuk kristal, dan ada juga yang dijual untuk pengunjung sebagai tanda kenangan. Kalau anda suka mendaki, Gunung Keriang ini juga boleh didaki kerana laluannya tidak begitu sukar dan gunung ini sendiri tidak begitu tinggi.
Di kawasan kaki bukit pula tersedia gerai makanan dan minuman jika anda hanya ingin bersiar-siar dan mencuci mata dengan pemandangan yang indah.
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Kampung Gunung Hulu, Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi: 24 jam
6. Masjid Al-Bukhary
Bagi sesetengah orang, rumah ibadah memang menjadi tempat yang menarik untuk dikunjungi, tak kisahlah sama ada masjid, kuil, atau gereja.
Di Alor Setar, Masjid Al-Bukhary yang terletak kira-kira 3km dari pusat bandar menjadi tarikan yang popular kerana masjid ini dibina berserta dengan sebuah kompleks yang dilengkapi dengan kemudahan yang jarang-jarang didapati di rumah ibadah seperti hospital, tempat penginapan pelancong, dan ruang perniagaan.
Masjid ini juga merupakan rumah kepada anak-anak yatim dan rumah warga tua.
Reka bentuk masjid ini yang mengikut inspirasi masjid-masjid seperti di Turki dan Iran menjadikannya lokasi yang amat cantik sekali. Bukan itu sahaja, pintu gerbang masjid ini pula dibentuk dengan lima lapisan yang melambangkan lima Rukun Islam. Menarik sungguh!
Harga Masuk: Percuma
Alamat: Jalan Langgar, 05450 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi: 5.30 pagi – 10.00 malam
7. Muzium Negeri Kedah
Muzium Negeri Kedah merupakan muzium terbesar di negeri ini, jadi ia tentu dapat memuaskan peminat sejarah tempatan! Dalam muzium ini terdapat banyak khazanah tentang sejarah negeri Kedah. Bukan itu sahaja, ia juga merupakan bekas Istana Kota Setar yang merupakan pusat pemerintahan baginda Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Shah II.
Dalam muzium yang dibina dengan reka bentuk campuran kesenian Melayu dan Siam ini, terdapat sebanyak 10 galeri pameran seperti Dewan Sejarah, Dewan Seni Kraf, Dewan Tekstil, Dewan Manuskrip, dan macam-macam lagi yang dapat memuaskan sesiapa sahaja yang mempunyai minat dalam bidang-bidang tersebut.
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Darul Aman Hwy, Bakar Bata, 05100 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Sabtu – Khamis: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Jumaat: 9.00 pagi – 12.30 tengah hari / 2.30 petang – 5.00 petang
8. Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara
Pusat Sains Negara adalah destinasi pelancongan yang sesuai jika anda membawa anak-anak bersama untuk bercuti.Di pusat sains ini terdapat 150 jenis pameran yang mendedahkan pengunjung kepada ilmu sains, teknologi, dan inovasi.
Beberapa dewan bertema boleh dikunjungi mengikut minat masing-masing seperti Fascinating Tunnel, Science Mall, Kids Pavilion, dan macam-macam lagi. Terdapat juga Science Show yang ditayangkan pada waktu-waktu tertentu. Anda sekeluarga boleh menghabiskan masa berjam-jam menerokai Pusat Sains Negara ini.
Harga Tiket:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak: RM2
Alamat: Jalan Gunung Keriang, 06570 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Sabtu – Khamis: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Jumaat: Tutup
9. Pasar Karat Kampung Berjaya
Bagi yang gemar mengumpul barang antik atau ‘vintage‘, Pasar Karat Kampung Berjaya menjadi lokasi popular untuk tujuan ini. Ia adalah antara pasar karat yang popular di Kedah.
Anda boleh menjumpai pelbagai barangan antik yang terpakai seperti duit lama, barangan tembaga, keris, botol-botol vintaj, dan banyak lagi.
Jangan risau kalau anda rasa anda akan menghabiskan banyak masa di sini menerokai pelbagai barangan unik, kerana di sini juga terdapat jualan makanan basah dan kering.
Harga Tiket: Percuma
Alamat: 1022, Kampung Berjaya, 05150 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi: 8.00 pagi – 1.00 petang setiap hari
10. Balai Seni Negeri
Anda peminat seni? Di Kedah juga terdapat lokasi yang dapat memikat jiwa seni anda! Balai Seni Negeri ini menghimpunkan koleksi seni dari anak tempatan Kedah yang telah mencipta nama hingga ke peringkat antarabangsa!
Terdapat juga pelbagai pameran ukiran seni kayu dan seni khat lain selain daripada seni lukis. Tempat menarik di Alor Setar ini tentu boleh memukau sesiapa sahaja yang mengunjunginya.
Bangunan yang menempatkan Balai Seni Negeri ini pula pada asalnya dibina khas untuk Mahkamah Besar dan merupakan antara bangunan kerajaan moden terawal yang dibina di bandar Alor Setar.
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Sabtu – Khamis: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Jumaat: 9.00 pagi – 12.30 tengah hari / 2.30 petang – 5.00 petang
Di Alor Setar juga terdapat macam-macam juadah yang boleh dijumpai di kebanyakan gerai dan restoran. Jika anda berpeluang untuk bercuti di Kedah atau Langkawi, jangan lupa untuk ambil kesempatan menziarahi tempat-tempat menarik di Alor Setar seperti yang disenaraikan di atas tadi. Selamat bercuti!