Ibu, Bayi & Kanak Kanak

15 Tempat Menarik Di Batu Pahat Untuk Percutian Yang Lain Daripada Yang Lain

Kredit gambar: AhBoon.Net / Shutterstock.com

Ramai orang tempatan suka bercuti di Johor, kerana terdapat banyak tarikan menarik dan makanan yang boleh didapati pun best. Salah satu bandar yang boleh dijadikan percutian ialah Batu Pahat kerana terdapat banyak tempat menarik di Batu Pahat yang boleh dilawati anda sekeluarga.

Kalau nak bercuti dengan rakan-rakan di Batu Pahat pun tiada masalah kerana di sini anda boleh mendapati tarikan seperti pantai, hutan lipur, restoran-restoran popular, dan macam-macam lagi.

Jom tengok beberapa tempat menarik di Batu Pahat yang anda boleh lawati.

15 Tempat Menarik di Batu Pahat

1. Hutan Lipur Bukit Soga Perdana

Highlighted

Sumber: Qulukis Photography

Juga dikenali sebagai Hutan Lipur Soga Perdana, hutan simpan yang terletak hanya 3km dari bandar Batu Pahat ini adalah hutan simpan yang mempunyai taman rekreasi lengkap dengan kemudahan asas seperti pondok rehat, trek jogging, dan tandas awam.

Hutan simpan yang berketinggian 600 kaki ini juga mempunyai sebuah menara tinjau yang terletak kira-kira 780 meter dari titik awal perjalanan.

Jadi jika anda penggemar alam semula jadi dan suka juga menjelajah hutan, bolehlah ke hutan lipur ini untuk menikmati keindahan alam semula jadinya.

Alamat: Jalan Perdana 17, Taman Bukit Perdana, 83000 Batu Pahat, Johor

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang

2. Ladang Nanas (Kg. Parit Tengah)

Sumber: Percutian Bajet

Buah nanas adalah salah satu jenis buah-buahan yang popular di kalangan ramai, tapi pernah tak anda terfikir untuk melawati ladang nanas?

Di Kampung Parit Tengah di Batu Pahat ini terdapat satu ladang nanas yang merupakan ladang nanas terbesar di Asia Tenggara. Di peringkat antarabangsa pula, ladang ini adalah yang ketujuh terbesar di dunia! Menarik, kan?

Antara jenis nanas yang boleh didapati di sini termasuklah nanas Josephine dan juga nanas Morris yang popular dan isinya memang manis dan sedap untuk dimakan. Jangan lepaskan peluang untuk singgah di tempat menarik di Batu Pahat ini.

Alamat: Ladang Nanas, Kampung Parit Tengah, Batu Pahat, Johor

Harga Tiket: RM10

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

3. Tropical Village Ayer Hitam

Sumber: dinohauz.com

Kalau anda nak tahu, di Batu Pahat pun ada sebuah taman tema! Ia bukanlah jenis taman tema yang penuh dengan roller coaster, tetapi di Tropical Village Ayer Hitam anda boleh dapati sebuah taman tema yang merangkumi pelbagai tarikan menarik.

Antaranya termasuklah taman mercu tanda replika mini seperti KLCC dan A Famosa, rumah berhantu, kereta api dinosaur, dan macam-macam lagi. Kalau anda mempunyai anak-anak kecil, mereka tentu akan berasa seronok melawati taman ini!

Alamat: 56, Jalan Felda Ayer Hitam, 86100 Ayer Hitam, Johor

Harga Tiket:
– Dewasa: RM12
– Kanak-kanak: RM8

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 7.00 petang

4. Pasar Karat Batu Pahat

Sumber: Blog Warisan Nenek

Bagi anda yang gemar shopping, terutamanya barang-barang antik, anda bolehlah melawat Pasar Karat Batu Pahat yang menawarkan pelbagai barangan antik dari zaman dahulu.

Di sini anda boleh menjumpai pakaian vintage, barangan elektronik antik, duit syiling lama, dan banyak lagi. Rugilah kalau tak singgah di sini, mana tau terdapat sesuatu barang yang memikat hati dan boleh jadi souvenir percutian di Batu Pahat!

Alamat: Kampung Sateh, 83000 Batu Pahat, Johor

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 6.00 petang

5. Taman Permainan DIY

Sumber: TripAdvisor

Kalau anda nak tahu, DIY di sini bermaksud do-it-yourself, jadi taman permainan di sini adalah hasil buatan pelbagai barangan kitar semula.

Terdapat pelbagai permainan yang boleh dinikmati kanak-kanak di sini seperti buaian, gelongsor, kapal lanun, dan banyak lagi yang diperbuat daripada barangan kitar semula.

Anak-anak anda bukan sahaja seronok bermain di sini, tetapi juga dapat mempelajari tentang kepentingan dan kebaikan amalan kitar semula!

Alamat: Jalan Syed Abdullah, Kampung Pegawai, 83000 Batu Pahat

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi: 7.00 pagi – 10.00 malam

6. Galeri Dato’ Onn Batu Pahat

Sumber: Google

Untuk mengikuti kisah hidup Dato’ Onn, seorang pemimpin yang banyak menyumbang kepada kemerdekaan negara ini, anda boleh menziarahi Galeri Dato’ Onn di dalam bangunan yang telah dibina pada tahun 1938.

Sebelum dijadikan galeri, ia pernah menjadi rumah kerajaan yang didiami oleh Dato’ Onn sendiri dari tahun 1945 hingga 1947 ketika beliau memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat.

Di sini terdapat banyak pameran yang menceritakan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada zaman pentadbiran Dato’ Onn. Selain itu, banyak juga pameran barangannya seperti basikal, senjata, tembikar, barangan perhiasan, dan banyak lagi.

Alamat: JKR 525, Jalan Dato Mohd Shah, Gunong Soga, 83000 Batu Pahat, Johor

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 4.30 petang

7. Pantai Punggur

Sumber: Foursquare

Batu Pahat terletak berdekatan dengan persisiran pantai, jadi anda tentu akan mendapati beberapa buah pantai yang boleh dilawati.

Pantai Punggur adalah salah satu pantai tersebut yang terletak dalam 30km dari bandar Batu Pahat. Walaupun tidak sesuai untuk bermandi-manda di sini seperti pantai biasa, namun pemandangan yang ditawarkan di sini masih indah, seronok untuk bersantai-santai.

Alamat: Jalan Kampung Punggur Laut Timur, 83100 Senggarang

Waktu Operasi: 6.00 pagi – 7.00 malam

8. Tugu Batu Pahat

Sumber: Flickr

Terletak dengan megah di Dataran Penggaram, Tugu Batu Pahat merupakan lambang Batu Pahat yang memiliki seni reka yang amat unik. Ia menggambarkan nama ‘Batu Pahat’ itu sendiri dengan reka bentuk tangan yang tergantung dan memegang pahat.

Kalau anda nak tahu, nama Batu Pahat dipilih untuk dijadikan nama daerah ini disebabkan peristiwa bersejarah yang dikatakan berlaku sekitar tahun 1456, sewaktu tentera Siam datang dan menyerang kampung Minyak Beku yang merupakan lokasi batu yang dipahat untuk mendapatkan bekalan air bersih. Menarik, kan?

Alamat: Jalan Rahmat, Kampung Bahagia, 83000 Batu Pahat

9. Taman Rekreasi Tasik Y

Sumber: Petit Go

Taman yang pada asalnya adalah sebuah tapak perlombongan, Taman Rekreasi Tasik Y ini dinamakan sempena bentuknya yang kelihatan seperti huruf Y jika dilihat dari pandangan udara.

Taman rekreasi ini amat popular dikalangan penduduk tempatan dan juga pengunjung kerana ia dilengkapi dengan laluan refleksologi, pondok rehat, dan peralatan senaman selain daripada taman permainan.

Alamat: Jalan Sejati, Kampung Bahagia, 83000 Batu Pahat, Johor

10. Pantai Minyak Beku

Sumber: TripAdvisor

Satu lagi pantai yang anda boleh lawati di Batu Pahat ialah Pantai Minyak Beku yang amat popular di kalangan pengunjung dan penduduk tempatan.

Walaupun pantai ini tidak sesuai untuk bermandi-manda, terdapat tarikan lain yang boleh dinikmati seperti laluan batu-bata yang cantik serta restoran-restoran berdekatan.

Lokasi ini juga adalah lokasi popular untuk memancing, dan dikatakan pemandangan matahari terbenam di sini amatlah indah.

Alamat: 83000, Jalan Minyak Beku, 83000 Batu Pahat, Johor

11. Taman Botani

Sumber: Ohsemput

Kalau anda ingin melawati tempat yang amat istimewa di Batu Pahat, singgahlah ke Taman Botani di sini. Kenapa? Sebab di sini adalah salah satu lokasi penggambaran filem lagenda Puteri Gunung Ledang!

Terletak di Sri Medan, Taman Botani Batu Pahat ini menawarkan pemandangan yang amat indah, pasti dapat memberikan pengalaman yang tenang dan istimewa buat percutian anda.

Alamat: Seri Medan, 83000 Batu Pahat, Johor

12. Wet World Batu Pahat

Sumber: Daulah Travel & Tours

Jika anda bercadang untuk bercuti dengan anak-anak kecil, singgahlah ke Wet World Batu Pahat. Anda dan anak-anak tentu akan mendapatkan pengalaman yang menyeronokkan di sini.

Di Wet World Batu Pahat ini anda sekeluarga dapat menikmati tarikan-tarikan seperti gelongsor air yang amatlah panjang, kolam mandi berombak, dan macam-macam lagi.

Alamat: Lot 138, Jalan Bukit Pasir, Tasik Bukit Pasir, Batu 1/2, Johor, Kampung Batu Pasir, 83000 Batu Pahat

Harga Tiket:
– Dewasa: RM20
– Kanak-kanak: RM17

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 6.00 petang
– Rabu: Tutup kecuali cuti umum

13. Dataran Penggaram (Dataran Batu Pahat)

Sumber: mytrip123.com

Jika anda mempunyai banyak masa terluang semasa percutian anda di Batu Pahat, anda boleh singgah di Dataran Penggaram yang pada kebanyakan masanya agak meriah, terutamanya sewaktu cuti sekolah.

Bergantung kepada ‘luck‘ anda, mungkin pada hari tersebut akan ada acara seperti pameran, ceramah, persembahan kebudayaan, dan macam-macam lagi.

Alamat: Jalan Rahmat, Kampung Bahagia, 83000 Batu Pahat

14. BP Walk (Batu Pahat Walk)

Sumber: Wikipedia

Satu lagi aktiviti yang boleh anda lakukan jika mempunyai banyak masa terluang ialah berjalan-jalan di BP Walk, terutamanya pada waktu malam kerana terdapat banyak gerai yang buka sehingga lewat pagi.

Antara jenis juadah yang boleh ditemui di sini termasuklah sup beraneka rasa, mee bandung, satay, mee rebus, dan macam-macam lagi. Memang menyelerakan kalau dapat makan waktu cuaca sejuk malam-malam!

Alamat: Jalan Rahmat, 83000 Batu Pahat, Johor

15. Old Street Batu Pahat

Sumber: CountryLand

Kalau anda suka bergambar, anda tentu akan suka Old Street di Batu Pahat kerana boleh berlatarbelakangkan hiasan-hiasan yang sangat menarik

Di atas bumbung bangunan Old Street ini terdapat sebuah taman yang telah didekorasikan dengan sangat cantik yang diberikan nama Sky Garden Old Street.

Di sini juga terdapat beberapa restoran yang dihiasi dengan indah sekali jadi anda bukan sahaja dapat menikmati juadah yang enak, tetapi juga pemandangan yang unik!

Alamat: Jalan Parit Besar, 83000 Batu Pahat, Johor

Waktu Operasi:
– Isnin, Selasa, Khamis – Sabtu: 10.00 pagi – 7.00 malam
– Rabu & Ahad: Tutup


Tidak boleh disangkalkan lagi terdapat banyak tempat menarik di Batu Pahat yang boleh dilawati oleh orang ramai. Kalau sebelum ini anda tertanya-tanya sama ada berbaloi tak untuk bercuti di Batu Pahat, sekarang anda sudah mempunyai senarai untuk beberapa tempat yang boleh dilawati. Semoga bermanfaat dan selamat bercuti!