Ibu, Bayi & Kanak Kanak

15 Tempat Menarik di Cameron Highland Yang Unik Dan Menyeronokkan

Sumber: Adobe Stock

Sampai saja hujung tahun, mesti semua tak sabar nak pergi bercuti, kan? Ada yang suka berjalan ke luar negara, dan ada juga yang tak puas menjelajahi semua destinasi percutian di Malaysia.

Salah satu lokasi yang digemari ramai ialah Cameron Highland kerana cuacanya yang dingin dan nyaman. Memang ada banyak tempat menarik di Cameron Highland pun! Bukan setakat cuaca best sahaja.

Jom tengok tempat-tempat menarik di Cameron Highland yang boleh dikunjungi kalau Mommy sekeluarga bercadang ingin bercuti di sana.

15 Tempat Menarik di Cameron Highland

1. Ladang Teh BOH

Highlighted

Sumber: JomJalan

Ditubuhkan oleh seorang ahli perniagaan British pada tahun 1929, ladang teh BOH ini terbahagi kepada tiga kebun teh iaitu di Kebun Habu, Kebun Teh Fairly dan Kebun Teh Sungai Palas.

Ladang teh ini merangkumi 8,000 ekar dan di sini Mommy sekeluarga boleh belajar tentang bagaimana teh dituai, diproses, dan dibungkus. Sudah tentu sekali Mommy juga boleh minum teh yang segar di sini.

Seronok betul dapat minum teh yang panas di kawasan bercuaca sejuk!

Alamat: 39000, Pahang

Waktu Operasi:
– Selasa – Ahad: 8.30 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa / Kanak-kanak: RM45

2.  Hutan Berlumut

Sumber: @aika.daniel

Kebanyakan puncak bukit di Cameron Highland masih dilitupi hutan dan tidak diubah oleh pembangunan. Kawasan ini sering dirujuk sebagai hutan berlumut atau hutan awan.

Di sini Mommy boleh menemui pelbagai jenis lumut, lumut hati pakis, dan sekutu pakis, dan juga tumbuhan periuk kera, rhododendron dan orkid liar di kawasan hutan ini.

Hutan ini adalah peluang terbaik bagi sesiapa yang suka mendaki untuk menerokai dan menikmati alam semula jadi secara dekat. Pastikan Mommy pakai kasut yang bersesuaian!

Alamat: 39000 Brinchang, Pahang

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM10
– Warga Emas / Kanak-kanak: RM5

3. Butterfly Farm

Sumber: Agoda

Salah satu tarikan yang memang sudah lama wujud di Cameron Highland ialah Butterfly Farm. Ladang rama-rama ini mempunyai pelbagai spesis rama-rama walaupun tempatnya tidak besar.

Selain rama-rama, terdapat juga spesis serangga dan binatang lain yang boleh dijumpai seperti pelbagai spesis kumbang. Anak-anak tentu seronok melihat rama-rama yang berwarna-warni dan boleh juga dipegang.

Alamat: MDCH 3, Batu 43, Green Cow, 39100, Pahang

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM2

4. Big Red Strawberry Farm

Sumber: trip.com

Lagi satu tarikan yang popular dan telah wujud sejak Cameron Highlands baru-baru dibuka ialah ladang buah strawberry. Buah ini memang senang untuk tumbuh di Cameron Highlands kerana bercuaca dingin.

Di sini Mommy sekeluarga boleh memetik buah-buah strawberry yang segar, dan selain daripada menikmatinya begitu sahaja, ia juga boleh didapati dalam bentuk lain seperti susu dan aiskrim strawberry.

Alamat: Brinchang, 39000 Brinchang, Pahang

Waktu Operasi: 8.30 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket: Percuma

5. Thompson Falls

Sumber: TripAdvisor

Dengan pemandangan yang ajaib, Thompson Falls menawarkan ketenangan dan keindahan suasana bagi pencinta alam. Terletak berhampiran Tanah Rata, air terjun di sini dikelilingi kehijauan pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan yang membuatkan sejuk mata memandang.

Terdapat juga kedai makanan dan juga kedai kraftangan kalau Mommy mahu beli cenderamata buat sesiapa. Seronoknya dapat mandi air terjun sejuk yang menyegarkan!

Alamat: 39000 Tanah Rata, Pahang

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Ticket: Percuma

6. Taman Lavender

Sumber: Aroma Asian

Kalau Mommy suka dengan keindahan bunga, Taman Lavender tentu dapat memuaskan minat itu. Taman Lavender ini mempunyai landskap yang amat indah dan dilitupi dengan bunga lavender yang bukan sahaja cantik untuk dikagumi, tetapi juga wangi!

Walaupun taman ini tidak terlalu besar, terdapat laluan berturap yang boleh digunakan untuk mendapatkan pemandangan indah diseluruh taman ini.

Alamat: 59, Taman Tringkap, 39100 Brinchang, Pahang

Waktu Operasi:
– Isnin – Khamis: 9.00 pagi – 6.00 petang
– Jumaat – Ahad: 9.00 pagi – 7.00 malam

Harga Tiket:
– Dewasa: RM15
– Kanak-kanak: RM10

7. Ladang Lebah Madu

Sumber: Instagram @o.8po

Ladang Lebah Madu ini dianggap suatu tarikan yang baru di Cameron Highland, berbanding dengan tarikan-tarikan lain. Walaubagaimanapun, ladang ini merangkumi tiga jenama madu yang dipasarkan secara tempatan dan antarabangsa!

Di sini terdapat beberapa galeri sarang lebah dan juga taman dengan bunga-bunga yang unik dan cantik. Mommy bolehlah beli madu segar di sini, sebab ia memang popular dengan khasiatnya.

Alamat: Jalan Besar Bee Farm, Tringkap, 39010, Cameron Highland, Pahang

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.30 petang

Harga Tiket: Percuma

8. Pasar Malam Cameron Highlands

Sumber: cameron.com.my

Rakyat Malaysia sejati tentu suka pergi ke pasar malam, kan? Dengan suasana yang meriah dan pelbagai jenis juadah yang dijual di pasar, memang seronok kalau pergi dengan keluarga.

Juga dikenali sebagai Golden Hills Weekend Night Market, pelbagai aneka juadah, cenderamata, bunga, buah-buahan, dan macam-macam lagi yang boleh didapati di pasar ini.

Jangan lupa untuk memastikan penjarakan sosial sewaktu pandemik ini!

Alamat: Jalan Golden Hills, Brinchang, 39000 Brinchang, Pahang

Waktu Operasi:
– Jumaat – Ahad: 3.00 petang – 11.00 malam

9. Muzium Time Tunnel (Terowong Masa)

Sumber: Xplorasi Destinasi

Dianggap sebagai ‘muzium tempatan’ di Camera HIghlands, Muzium Terowong Masa ini ditubuhkan oleh seorang pengumpul barang antik pada tahun 2007.

Muzium ini adalah muzium memorabilia pertama di negara di mana koleksinya memberikan butiran unik tentang sejarah dan budaya Cameron Highlands.

Terdapat juga beberapa bahagian dalam muzium ini yang memaparkan gaya hidup di Cameron Highlands pada zaman dahulu dan menunjukkan bagaimana ia telah berubah mengikut peredaran masa.

Alamat: Cameron Highland, 39000 Brinchang, Pahang

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM6
– Kanak-kanak: RM4

10. Kuil Sam Poh

Sumber: @otwdo / LokaLocal

Dibina pada tahun 1972, Kuil Sam Poh adalah rumah keagamaan terbesar di Cameron Highlands. Tarikan terbesar kuil ini ialah seni bina Oriental dalam keseluruhan struktur dan rekabentuk kuil ini.

Dari kuil ini, Mommy sekeluarga boleh mendapatkan pemandangan panoramik Cameron Highland yang indah sekali.

Alamat: Jalan Pecah Batu, Brinchang, 39000 Brinchang, Pahang

Waktu Operasi:
– Ahad – Selasa, Khamis – Jumaat: 7.00 pagi – 7.00 malam
– Rabu & Sabtu: 7.00 pagi – 5.00 petang

11. Ye Olde Smokehouse

Sumber: Agoda

Salah satu binaan tertua di Cameron Highlands, Ye Olde Smokehouse ialah sebuah hotel dan kafe berunsurkan rekabentuk English cottage.

Ia dikelilingi oleh taman yang dipenuhi dengan bunga dan dapat dinikmati oleh sesiapa yang mengunjungi lokasi ini. Ye Olde Smokehouse amat popular dengan juadah minum petangnya termasuk teh-o, scones, dan jem strawberry.

Alamat: Jalan Jeriau, Bukit Fraser, 49000 Bukit Fraser, Pahang

Waktu Operasi: Dibuka 24 jam untuk hotel

12. The Sheep Sanctuary (Tempat Perlindungan Biri-Biri)

Sumber: Have Halal Will Travel

Siapa yang tak suka dengan kambing biri-biri yang comel, kan? Lagi-lagi anak-anak kecil, tentu akan berasa teruja melihat binatang peliharaan yang bukan senang nak jumpa!

Di The Sheep Sanctuary yang terletak di Kea Farm, Mommy sekelaurga berpeluang untuk mendekati 20 atau lebih kambing biri-biri yang gebu yang diterbangkan dari Australia!

Nak bagi kambing biri-biri makan pun boleh! Selain itu, tempat perlindungan ini juga ada beberapa ekor arnab. Memang menyeronokkan!

Alamat: Kea Farm, Brinchang, 39100 Brinchang, Pahang

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.30 petang

Harga Tiket:
– Kemasukan: RM8 (dewasa dan kanak-kanak)
– Makanan untuk kambing biri-biri: RM3

13. Galeri Seni Mah Meri

Sumber: Holidify

Bagi penggemar seni, Galery Seni Mah Meri adalah tarikan yang unik dan mempesonakan. Galeri seni ini diperbuat daripada ukiran kayu yang mempamerkan koleksi persendirian hasil kraftangan indah orang asli Mah Meri di Pulau Carey di Malaysia.

Selain itu, galeri ini juga mempamerkan ratusan arca, topeng dan arca daripada kayu keras bakau. Galeri ini telah menerima penghormatan terbesar Seal of Excellence oleh UNESCO.

Alamat: Tanah Rata, 39000 Cameron Highlands, Pahang

Waktu Operasi: 10.30 pagi – 7.30 malam

Harga Tiket:
– Dewasa: RM37
– Kanak-kanak: RM21

14. Laluan Trek Hutan

Sumber: TripAdvisor

Cameron Highlands sudah tentu menawarkan beberapa laluan trek hutan atau jungle trail yang boleh dilalui oleh pendaki.

Terdapat beberapa trek yang boleh dipilih mengikut tahap kesukaran, tetapi dengan pemandangan indah yang mempesonakan, laluan yang paling sukar pun mesti senang untuk dilalui!

Lihat di sini untuk laluan-laluan hutan yang popular.

15. Taman Teknologi Agro MARDI

Sumber: Facebook Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands

Untuk percutian sambil belajar, Mommy sekeluarga boleh melawati Taman Teknologi Agro MARDI di mana Mommy boleh mendapati beberapa jenis taman seperti Taman Bunga Ros, Taman Bunga Orkid, Taman Herba, dan macam-macam lagi.

Selain itu, di sini juga terdapat pusat penyelidikan dan informasi tentang jenis-jenis dan spesis-spesis tumbuhan. Taman Teknologi ini berkeluasan 42 ekar dan dikatakan mencecah 100,000 orang pelawat setiap tahun!

Alamat: JKR266, Jalan Persiaran Endah, Tanah Rata, 39000 Pahang

Waktu Operasi:
– Rabu – Khamis, Sabtu – Isnin: 8.00 pagi – 5.00 petang
– Jumaat: 8.00 pagi – 12.30 tengah hari / 2.30 petang – 5.00 petang
– Selasa: Tutup

Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM3


Terdapat banyak tempat menarik di Cameron Highland dan kebanyakannya dibuka pada setiap hari kerana memang menjadi tarikan pelancong.

Jika Mommy bercadang untuk bercuti di sana, pastikan perancangan masa dibuat dengan baik kerana selalunya hari minggu boleh menjadi agak sesak di Cameron Highland, tetapi tarikan-tarikan yang ada disitu membuatkannya sangat berbaloi. Selamat bercuti!