Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Tempat Menarik di Ipoh Yang Menjadi Kegemaran Ramai Untuk Lawati

Kredit gambar: NavinTar / Shutterstock.com

Ipoh bukan nama yang baru lagi sebagai destinasi pelancongan yang popular bagi warga tempatan kerana terdapat banyak tempat menarik di Ipoh untuk dilawati. Ipoh merupakan ibu negeri Perak dan pada mulanya hanyalah sebuah kampung yang kecil.

Bandar ini mula berkembang pesat pada tahun 1880-an selepas mendapan bijih timah yang besar ditemui di lokasi persekitarannya.

Walau bagaimanapun, sumber alam semula jadi tersebut mula menyusut pada tahun 1970-an, dan dengan kemerosotan dan kejatuhan harga bijih timah, bandar Ipoh juga mengalami kemerosotan ekonomi dan pengabaian selama beberapa dekad.

Kini, pelbagai tempat menarik di Ipoh boleh didapati meskipun bukan lagi bandar yang meriah dengan perlombongan bijih timah.

Jom tengok beberapa tempat menarik di Ipoh yang anda sekeluarga boleh lawati.

10 Tempat Menarik di Ipoh Sesuai Untuk Percutian Sekeluarga

1. Taman Rekreasi Gunung Lang

Highlighted

Sumber: OrangPerak

Seperti yang diketahui ramai, Ipoh merupakan lokasi yang indah sekali dengan pelbagai tarikan alam semula jadi. Taman Rekreasi Gunung Lang yang terletak dalam 6km dari Bandaraya Ipoh menyediakan tarikan alam semula jadi yang menarik sekali.

Di sini anda boleh bersiar-siar di tasik yang dikelilingi oleh pemandangan bukit batu kapur yang memukau. Anda juga boleh menaiki bot dan menghayati landskap yang cantik dan menenangkan.

Alamat: Off Jalan Kuala Kangsar, Jalan Damai, 30100 Ipoh, Perak

Harga Tiket:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak / Warga Emas: RM1.50

Waktu Operasi:
– Isnin – Khamis: 8.00 pagi – 12.00 tengah hari / 1.30 petang – 7.00 malam
– Jumaat: 8.00 pagi – 12.00 tengah hari / 2.45 petang – 4.00 petang
– Sabtu, Ahad, & Cuti Umum: 8.00 pagi – 6.30 petang

2. Gua Tempurung

Sumber: Adventoro

Gua Tempurung merupakan lokasi yang amat popular bagi mereka yang suka beriadah dan melakukan aktiviti lasak dan adventurous. Terletak kira-kira 18km dari bandar Ipoh, anda boleh melawati gua yang besar dan luas ini yang dilengkapi dengan platform jalan kaki dan lampu, memudahkan ekplorasi anda!

Untuk menerokai gua ini hingga ke bahagian paling dalam, anda bolehlah mendapatkan perkhidmatan tour guide di sini untuk ekspidisi gua yang amat berbaloi. Pengalaman menerokai gua ini tentu menyeronokkan dan tidak akan dilupakan.

Alamat: Pusat Pelancongan Gua Tempurung, 31600 Gopeng, Perak

Harga Tiket: Bergantung kepada pakej

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang (kemasukan terakhir 4.00 petang)

3. Lost World of Tambun

Sumber: Lost World of Tambun

Salah satu tempat menarik di Ipoh yang dikenali ramai ialah Taman Tema Lost World of Tambun. Jika anda pernah dengar tetapi tak pernah melawatinya, taman tema ini amat menyeronokkan untuk seisi keluarga, terutamanya bagi yang mempunyai anak-anak kecil.

Taman tema yang dikelilingi oleh batu kapur ini mempunyai pelbagai pilihan permainan dengan beberapa bahagian utama seperti Theme Park, Hot Spring & Park, dan juga Night Park. Selain itu, terdapat juga taman tema air dan juga tarikan haiwan-haiwan menarik.

Alamat: No 2, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh, Perak

Harga Tiket:
– Dewasa: RM85
– Kanak-kanak / Warga Emas: RM77

Waktu Operasi:
– Isnin – Jumaat: 11.00 pagi – 6.00 petang
– Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah & Cuti Am: 10.00 pagi – 6.00 petang

4. Lata Ulu Chepor

Sumber: Emily2U

Kalau anda suka beriadah berdekatan dengan air terjun, Lata Ulu Chepor merupakan salah satu tempat mandi-manda dengan air terjun yang amat popular.

Popular juga sebagai kawasan perkelahan, Kampung Ulu Chepor ini mudah untuk diakses dengan kenderaan, sesuai untuk aktiviti berkelah, bbq, dan berkhemah. Anda juga boleh mendaki kawasan hutan di sini jika inginkan aktiviti yang lebih lasak.

Alamat: Kampung Ulu Chepor, 31200 Chemor, Perak

Harga Tiket: RM3 (bayaran parkir tiket)

Waktu Operasi: 8.30 pagi – 6.00 petang

5. Stesen Keretapi KTM Ipoh

Sumber: Orang Perak

Jika anda peminat seni pembinaan, Stesen Keretapi KTM di Ipoh ini merupakan satu tarikan pelancongan dan juga mercu tanda utama Bandaraya Ipoh.

Popular dengan nama Taj Mahal oleh penduduk tempatan bandar Ipoh, stesen keratapi ini mempunyai struktur seni bina berasaskan seni bina orang Inggeris lama yang berpuluh tahun usianya.

Ramai pengunjung sering bergambar berlatarbelakangkan bangunan ini ataupun di kawasan perkarangan stesen keretapi ini dengan landskap yang sangat indah.

Alamat: Stesen KTM Ipoh, 30000 Ipoh, Perak, 30100 Ipoh, Perak

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi: 24 jam (kawasan perkarangan)

6. Han Chin Pet Soo (Ipoh World)

Sumber: Wonderful Malaysia

Seperti yang disebutkan tadi, Ipoh merupakan kawasan pelombongan bijih timah pada zaman dahulu kala. Walaupun keadaan pada zaman dahulu tidak dihidupkan kembali, anda masih boleh menghayati pengalamannya serba sedikit di Han Chin Pet Soo.

Ia merupakan muzium yang mempamerkan informasi dan bahan abstrak khususnya sejarah yang berkenaan dengan kehidupan para pelombong bijih timah dahulu kala.

Dahulunya tempat menarik di Ipoh ini merupakan rumah agama eksklusif untuk pelombong berbangsa Hakka. Kini, pengunjung boleh menghayati bukan sahaja pengalaman pelombong bijih timah pada zaman dahulu, tetapi juga budaya dan kehidupan kaum masyarakat Hakka.

Alamat: 3, Jalan Bijeh Timah, 30100 Ipoh, Perak

Harga Tiket:
– Dewasa: RM10
– Kanak-kanak: RM5

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

7. Kuil Gua Kek Look Tong

Sumber: Blog A Leaf On The Wind

Jika anda sekeluarga penggemar alam semula jadi yang unik, tempat menarik di Ipoh ini menawarkan tarikan tokong Buddha di dalam gua dan juga sebuah taman yang luas dan menenangkan.

Di dalam tokong tersebut, anda boleh mendapati pemandangan struktur stalaktit dan stalagmit yang mengagumkan dan dianggarkan berusia ribuan tahun!

Tarikan ini terbuka kepada setiap pelancong tidak kira agama dan bangsa untuk menghayati keindahan alam semula jadi di sini.

Alamat: Gunung Rapat, 31350 Ipoh, Perak

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi: Tidak dikhususkan

8. Jejak Warisan Ipoh

Sumber: Flickr

Bangunan yang pada asalnya adalah bangunan lama yang kelihatan usang kini telah menjadi destinasi pelancongan yang popular, terutamanya dengan warga muda yang suka bergambar.

Di sekitar Jalan Panglima di Ipoh ini terdapat mural-mural 3D menarik yang dihasilkan oleh seorang pelukis popular yang karyanya juga boleh dijumpai di lokasi-lokasi popular di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Mural seni yang banyak berkisarkan tentang kopi dan bandar lama Ipoh ini merupakan sebahagian daripada Ipoh Heritage Trail (Jejak Warisan Ipoh) yang sangat besar.

Alamat: Jalan Bandar Timah, 30000 Ipoh, Perak

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi: 24 jam (kawasan terbuka)

9. Kinta River Front

Sumber: HolidayGoGoGo

Kalau anda gemar bersiar-siar pada waktu malam menghayati keindahan lampu berwarna-warni pada waktu malam, Kinta River Front adalah destinasi percutian yang sesuai untuk anda sekeluarga.

Kinta River Front ini juga mempunyai dataran memanjang di sepanjang Sungai Kinta, sesuai untuk pejalan kaki bersiar-siar ataupun berbasikal.

Alamat: Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh, Perak

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi: Setiap malam

10. Pasar Gerbang Malam

Sumber: Sinar Harian

Satu lagi tarikan yang meriah pada waktu malam ialah Pasar Gerbang Malam di Taman Jubilee Ipoh. Jika anda suka membeli-belah atau ingin mendapatkan sesuatu sebagai kenangan bercuti di Ipoh, bolehlah ke pasar ini yang terletak di lokasi yang strategik dan mudah untuk diakses.

Di sini terdapat pelbagai barangan yang dijual seperti barangan harian, cenderahati, barangan antik atau vintage, dan macam-macam lagi dalam suasana yang meriah dan menyeronokkan.

Alamat: Taman Jubilee, 30300 Ipoh, Perak

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi: 6.00 petang – 1.00 pagi


Di Ipoh terdapat banyak lagi lokasi yang anda boleh terokai yang menarik dan unik. Senarai di atas menunjukkan destinasi-destinasi pelancongan yang popular di Ipoh.

Di bandaraya bersejarah ini juga terdapat pelbagai jenis juadah yang anda boleh cuba, jadi jangan lepaskan peluang untuk bercuti di bandar yang kaya dengan pelbagai tarikan buatan manusia dan alam semula jadi ini. Selamat bercuti!