Ada sesetengah orang gemar bercuti apabila cuti sekolah tiba kerana senang untuk melancong bersama seluruh keluarga. Ada juga yang tak plan apa-apa pun, dan terus saja mengambil percutian impromptu!
Jenis percutian ini memang menerujakan dan di Malaysia terdapat banyak pilihan destinasi percutian yang tentu dekat dengan anda.
Kalau terasa macam nak jalan-jalan ke bahagian selatan Malaysia, terdapat banyak tempat menarik di Johor yang menawarkan pelbagai jenis tarikan.
Jom tengok beberapa tempat menarik di Johor yang anda boleh singgah.
20 Tempat Menarik di Johor Yang Popular Dan Sering Dikunjungi Ramai
1. Desaru Coast Adventure Park
Taman tema air yang baru sahaja dibuka pada tahun 2018 ini menawarkan pelbagai tarikan dan aktiviti yang sesuai untuk setiap kategori individu, sama ada kanak-kanak atau orang dewasa.
Jangan terkejut kerana terdapat banyak tarikan gelongsor air bertaraf dunia di sini seperti Giant Water Slides, Super Twister, Wild Whirl, dan Riptide & The Tempest.
Selain itu, terdapat juga tarikan popular roller coaster yang menurun secara menjunam dari ketinggian 30 meter sebelum menuju laju masuk ke dalam kolam air! Kalau berani, datanglah ke sini dan cuba!
Alamat: Persiaran Pantai, Desaru Coast, 81930 Bandar Penawar, Johor
Waktu Operasi: 10.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM129
– Kanak-kanak / Warga Emas: RM96
– Bayi bawah 3 tahun: Percuma
2. Pantai Desaru
Kalau inginkan percutian lebih santai dan tidak terlalu kecoh seperti di taman tema air yang disebutkan tadi, Pantai Desaru boleh memenuhi hajat anda, terutamanya jika anda tidak bercadang untuk bercuti di kebanyakan pulau di Johor.
Disekitar Pantai Desaru ini pula terdapat banyak pilihan resort menarik yang menawarkan perkhidmatan spa, membuatkan percutian anda lebih istimewa.
Untuk aktiviti yang bertemakan air, terdapat beberapa aktiviti menarik di tepi pantai atau di laut seperti banana boat, boat ride, parasailing, dan juga menaiki kereta kuda. Menarik, kan?
Alamat: Pantai Desaru, 82200, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor
3. Taman Negara Endau-Rompin
Taman Negara Endau-Rompin adalah sebuah taman hutan lipur atau hutan simpan yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Taman Negara di Pahang.
Kalau anda pernah mengunjungi Taman Negara, anda tentu tidak mahu lepaskan peluang untuk melawat Taman Negara Endau-Rompin kerana kaya dengan flora dan fauna yang masih terpelihara.
Selain itu, terdapat pelbagai spesis hidupan liar yang hampir pupus masih wujud di sini seperti Badak Sumbu Sumatera. Rugi kalau tak melawat tempat menarik di Johor ini!
Untuk melawat taman negara ini, anda boleh mendapatkan permit di:
-
- Pejabat Taman Negara Endau Rompin (PETA) yang terletak di Kahang.
- Pejabat Taman Negara Endau Rompin (Selai) yang terletak di Pekan Bekok.
Alamat: Taman Negara Johor Endau-Rompin, Johor
Waktu Urusan Pejabat di Perbadanan Taman Negara Johor untuk mendapatkan permit:
– 8.00 am – 5.00 pm ( Jumaat- Rabu)
– 8.00 am – 3.30 pm ( Khamis)
Harga Tiket:
– Bergantung kepada pakej aktiviti yang dipilih
4. Kulim Eco Trail Retreat
Kalau anda sukakan aktiviti outdoor yang lebih adventurous, Kulim Eco Trail Retreat dapat menjadi suatu tarikan yang amat memuaskan.
Terdapat lebih 20 pilihan aktiviti yang boleh dibuat secara berkumpulan, sesuai untuk teambuilding seperti flying fox, membina rakit buluh, berkayak, dan macam-macam lagi aktiviti yang memacu adrenalin.
Terletak berdekatan dengan Sungai Johor, penginapan di sini juga akan membuatkan percutian anda sangat senang dan menyeronokkan.
Alamat: Kulim Eco Trail Retreat, Ladang Basir Ismail, 81900 Kota Tinggi, Johor
Waktu Operasi:
– Isnin – Sabtu: 8.30 pagi – 5.30 petang
– Ahad: 8.30 pagi – 12.30 tengah hari
Harga Tiket: Bergantung kepada pakej pilihan
5. Zoo Johor (Johor Safari Park)
Terletak berdekatan dengan Masjid Abu Bakar, Zoo Johor merupakan salah satu zoo yang tertua di Malaysia! Dibina pada tahun 1928, kini terdapat lebih 100 spesis haiwan dari dalam dan luar negara di zoo ini.
Anda tentu akan berasa kagum kerana terdapat banyak juga spesis haiwan yang terancam dan hampir pupus seperti harimau, singa, unta, dan banyak lagi.
Anak-anak kecil pula tentu akan berasa teruja kerana terdapat beberapa jenis haiwan jinak yang pengunjung boleh berinteraksi secara langsung seperti rusa dan burung kasawari.
Alamat: Jalan Gertak Merah, Taman Istana, 80000 Johor Bahru
Waktu Operasi: 8.30 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1
6. Taman Negara Tanjung Piai
Johor memang kaya dengan tarikan alam semula jadi, dan satu lagi taman negara yang anda boleh kunjungi ialah Taman Negara Tanjung Piai.
Bukan seperti Taman Negara Endau-Rompin yang disebutkan tadi, Taman Negara Tanjung Piai merupakan taman paya bakau yang kaya dengan hidupan dan tanaman yang sinonim dengan kawasan paya bakau.
Untuk memudahkan pengunjung menerokai taman ini, terdapat platform kayu yang disediakan, menjadikannya sesuai untuk kanak-kanak juga.
Kalau anda nak tahu, taman negara ini merupakan titik penghujung atau kawasan yang paling selatan di Semenanjung Malaysia dan juga Benua Asia!
Alamat: Tanjung Piai Johor National Park, 82030 Pontian, Johor
Waktu Operasi:
– Isnin – Jumaat: 8.00 pagi – 5.00 petang
– Sabtu & Ahad: 8.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket: RM5
7. Legoland Malaysia
Siapa yang tak kenal dengan Legoland, betul tak? Terutamanya jika anda mempunyai anak-anak kecil, tentu mereka asyik request untuk pergi Legoland sebaik sahaja cuti sekolah bermula!
Legoland Malaysia bukan sahaja menyeronokkan untuk anak-anak kecil, tetapi golongan remaja dan dewasa juga tentu boleh ambil kesempatan menaiki beberapa tarikan yang lebih dasyat!
Terdapat dua taman di Legoland Malaysia, iaitu taman tema dan taman air. Kalau teringin, anda juga boleh mendapatkan penginapan di Legoland Malaysia Resort yang mempunyai bilik-bilik bertema yang amat menarik.
Alamat: 7, Jalan Legoland, Medini, 79250 Nusajaya, Johor
Waktu Operasi Legoland Malaysia Theme Park:
– Ahad – Jumaat: 10.00 pagi – 6.00 petang
– Sabtu: 10.00 pagi – 7.00 malam
Waktu Operasi Legoland Malaysia Water Park:
– Isnin – Ahad: 10.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket:
– 1-Hari Combo Ticket (Legoland Park + Waterpark): Bermula RM 150
– 1-Hari Theme Park Ticket ( Theme Park): Bermula RM 120
– 1-Hari Water Park Ticket ( Water Park): Bermula RM 82
8. Johor Premium Outlet (JPO)
Bagi yang gemar membeli-belah, tentu tak sah kalau tak singgah di Johor Premium Outlet, atau lebih dikenali sebagai JPO.
Di sini terdapat pelbagai barangan berjenama popular dan premium seperti Louis Vuitton, Coach, Adidas, Prada, dalam kategori pakaian, aksesori, pakaian sukan, dan macam-macam lagi.
Sambil membeli-belah, anda juga boleh beristirehat dan bersantai di restoran atau kafe berdekatan di JPO, terutama sekali jika anda bercadang untuk meluangkan masa berjam-jam di sini!
Alamat: Jalan Premium Outlets Indahpura, 81000 Kulai, Johor
Waktu Operasi: 10.00 pagi – 10.00 malam
Harga Masuk: Percuma
9. Air Terjun Kota Tinggi
Di Malaysia memang senang nak cari tarikan air terjun, betul tak? Di Kota Tinggi Johor terdapat kawasan air terjun yang amat popular dikalangan warga Johor dan juga Singapura kerana terletak berdekatan dengan negara tersebut.
Kawasan air terjun ini sangat unik kerana terdapat gelongsor buatan manusia yang memang popular di kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa!
Kalau ingin bermalam di sini, terdapat sebuah penginapan iaitu Kota Tinggi Waterfall Resort, memudahkan percutian anda.
Alamat: Sungai Pelepah, Gunung Panti Recreational Forest, 81900 Kota Tinggi, Johor
Waktu Operasi: 8.00 pagi – 7.00 malam
Harga Tiket:
– Dewasa: RM7
– Kanak-kanak: RM3
10. Kilang Serbuk Kopi Kluang (Kluang Coffee Powder Factory)
Sesiapa yang meminati kopi tentu pernah rasa Kluang coffee, terutamanya apabila singgah di Kluang. Untuk percutian seterusnya, apa kata anda melawat kilang kopi yang popular ini pula?
Di kilang ini anda boleh mempelajari cara-cara pembuatan kopi yang berkualiti dan kenalpasti jenis-jenis kopi dengan aroma harum yang berbeza-beza.
Pengunjung juga boleh melakukan coffee tasting atau merasa pelbagai jenis kopi untuk pengalaman di Johor yang amat unik dan istimewa.
Alamat: 76, Jalan Besar, 86000 Kluang, Johor
Waktu Operasi:
– Isnin – Jumaat: 8.00 pagi – 5.00 petang
– Sabtu & Ahad: 9.00 pagi – 4.00 petang
Harga Tiket: Lawatan percuma
11. Ladang Burung Unta Desaru
Walaupun terdapat beberapa ladang burung unta di Malaysia, Desaru Ostrich Farm merupakan ladang burung unta terbesar di Malaysia.
Terdapat lebih kurang 300 burung unta ditempatkan di sini, jadi anda dan anak-anak tentu akan berasa kagum dengan burung eksotik ini.
Di sini terdapat juga demonstrasi memecahkan telur burung unta yang merupakan telur binatang paling besar di sunia. Selain itu, anda pula dapat merasai daging dan telur burung untuk yang dijual di sini.
Alamat: Jalan Telok Ramunia, Kampung Changi, 81600 Pengerang, Johor
Waktu Operasi: 10.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM20
– Kanak-kanak: RM15
12. Puteri Harbour Indoor Theme Park
Salah satu tarikan unik di Johor ialah taman tema yang terletak dalam bangunan di Puteri Harbour. Ia direka khas untuk kanak-kanak kecil kerana bertemakan siri popular Hello Kitty dan Thomas the Train.
Terletak hanya beberapa minit dari taman tema Legoland Malaysia, Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town tentu dapat menggembirakan anak-anak kecil!
Alamat: Puteri Harbour, Persiaran Puteri Selatan, Puteri Harbour 79000 Nusajaya, Johor
Waktu Operasi: 10.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket:
– Sanrio Hello Kitty Town: RM81
– Thomas Town: RM81
– Two-Park Pass: RM118
13. Taman Negara Pulau Kukup
Terletak di Pontian, Johor, Taman Negara Pulau Kukup merupakan hutan bakau yang kedua terbesar di dunia! Taman ini menawarkan pelbagai jenis flora dan fauna untuk anda terokai.
Anda boleh dapati pelbagai spesis ikan seperti ikan tembakul, dan pelbagai spesis burung serta pokok-pokok bakau yang boleh diterokai melalui platform jalan kaki yang disediakan.
Untuk ke Pulau Kukup yang terletak 1km dari tanah besar, anda perlu menaiki bot menyusuri Sungai Ular dengan kadar bayaran RM5 sahaja. Jangan lepaskan peluang untuk melawat tempat menarik di Johor ini.
Alamat: Lot 139, Mukim, Air Masin, 82300 Kukup, Pontian, Johor
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket: RM5
14. Masjid Sultan Abu Bakar
Wujud sejak tahun 1982 lagi, Masjid Sultan Abu Bakar merupakan salah satu tempat bersejarah di Johor yang mempunyai warisan nilai sejarahnya yang tersendiri.
Landskap disekeliling masjid ini amat indah dan memukau kerana terletak di atas puncak bukit dan anda boleh nampak Selat Tebrau dari sini.
Seni bina Masjid Sultan Abu Bakar ini dipengaruhi oleh seni bina Barat ketika era penjajahan Inggeris dahulu, bercampuran dengan seni bina tempatan.
Alamat: Jalan Gertak Merah, Masjid Sultan Abu Bakar, 80000 Johor Bahru, Johor
15. Taman Hutan Gunung Ledang
Setiap rakyat Malaysia tentu pernah dengar tentang lagenda Puteri Gunung Ledang yang telah menjadi salah satu kisah dongeng popular sejak kecil lagi, kan?
Asal kisah dongeng itu sudah tentulah datang dari Gunung Ledang yang terletak di Tangkak, Johor. Jika anda penggemar alam semula jadi, anda tentu tidak mahu lepaskan peluang untuk menerokai taman hutan simpan ini.
Dikelilingi flora dan fauna menarik, di sini anda boleh mendaki gunung, berbasikal, bermandi-manda di air terjun, dan macam-macam lagi aktiviti menyeronokkan.
Alamat: Gunung Ledang Recreational Forest, Tangkak, Johor
16. Muzium Nelayan Tanjung Balau
Muzium Nelayan Tanjung Balau bukanlah calang-calang muzium. Di sini terdapat informasi yang lengkap tentang sejarah dan kehidupan nelayan.
Anda boleh menghayati infografik dan diorama yang mengisahkan tentang dunia seharian seorang nelayan dan menerokai replika-replika bot nelayan di bahagian luar muzium.
Muzium ini terletak di tepi pantai, jadi sama ada sebelum atau selepas melawati muzium ini anda bolehlah ke pantai untuk bersantai.
Alamat: Tanjung Balau, 81930 Kota Tinggi, Johor
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1
17. Hutan Lipur Bukit Soga Perdana
Juga dikenali sebagai Hutan Lipur Soga Perdana, hutan simpan yang terletak hanya 3km dari bandar Batu Pahat ini adalah hutan simpan yang mempunyai taman rekreasi lengkap dengan kemudahan asas seperti pondok rehat, trek jogging, dan tandas awam.
Hutan simpan yang berketinggian 600 kaki ini juga mempunyai sebuah menara tinjau yang terletak kira-kira 780 meter dari titik awal perjalanan.
Jadi jika anda penggemar alam semula jadi dan suka juga menjelajah hutan, bolehlah ke tempat menarik di Johor ini untuk menikmati keindahan alam semula jadinya.
Alamat: Jalan Perdana 17, Taman Bukit Perdana, 83000 Batu Pahat, Johor
Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang
18. Perusahaan Keropok Hj Puteh
Kalau anda pemggemar kudapan rangup, terutamanya seperti keropok lelok, anda boleh mendapatkannya di Perusahaan Keropok Hj Puteh.
Ya, bukan di Terengganu sahaja yang popular dengan keropok lekor, tetapi Mersing juga adalah antara pengeluar keropok lekor yang popular kerana lokasinya yang terletak di tepian pantai.
Kilang pemprosesan keropok lekor yang dijual hanya terletak bersebelahan dengan kedai, jadi tentu menyelerakan dapat memakan keropok lekor yang ‘fresh‘! Terliur rasa!
Selain itu terdapat juga pelbagai jenis keropok dan hasil laut lain yang boleh didapati di sini seperti ikan masin dan keropok sotong.
Alamat: Jalan Abdullah, Kampung Mersing Kanan, 86800 Mersing, Johor
Waktu Operasi: 8.00 pagi – 9.00 malam
19. Ladang Nanas (Kg. Parit Tengah)
Buah nanas adalah salah satu jenis buah-buahan yang popular di kalangan ramai, tapi pernah tak anda terfikir untuk melawati ladang nanas?
Di Kampung Parit Tengah di Batu Pahat ini terdapat satu ladang nanas yang merupakan ladang nanas terbesar di Asia Tenggara. Di peringkat antarabangsa pula, ladang ini adalah yang ketujuh terbesar di dunia! Menarik, kan?
Antara jenis nanas yang boleh didapati di sini termasuklah nanas Josephine dan juga nanas Morris yang popular dan isinya memang manis dan sedap untuk dimakan. Jangan lepaskan peluang untuk singgah di tempat menarik di Batu Pahat ini.
Alamat: Ladang Nanas, Kampung Parit Tengah, Batu Pahat, Johor
Harga Tiket: RM10
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang
20. Pulau Rawa
Pulau Rawa adalah salah satu daripada kelompok kepulauan di Johor yang amat popular dikalangan pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Tidak hairanlah kerana Pulau Rawa mempunyai salah satu pemandangan, landskap, dan lautan yang paling menawan di kelompok ini.
Di sini juga terdapat hutan yang amat tebal, jadi anda boleh menerokai dan mendaki laluan yang telah disediakan dengan anak tangga untuk sampai ke puncak dan menghayati pemandangan dari sini.
Alamat: Pulau Rawa, Mersing
Harga: Bergantung kepada pakej
Waktu Operasi: 24 jam
Kalau anda bercadang untuk bercuti di Johor dalam masa terdekat, jangan lupa untuk simpan artikel ini untuk rujukan di masa hadapan. Selamat bercuti!