Kedah Darul Aman sering menjadi destinasi pelancongan bagi ramai orang kerana lokasinya yang indah, tapi ada yang mungkin tak tahu bahawa negeri Kedah kuno merupakan tamadun tertua di Asia Tenggara!
Menurut pakar arkeologi, sekitar 788 BCE, sebuah kerajaan sistematik yang merangkumi penempatan besar orang Melayu Kedah telah pun ditubuhkan di sekitar bahagian utara tebing Sungai Merbok.
Sebelum dinamakan Kedah, negeri ini pada zaman dahulu dikenali sebagai ‘Kadaram’ oleh orang Tamil purba, ‘Kataha’ atau ‘Kalahbar’ di zaman pertengahan oleh orang Arab, dan ‘Syburi’ oleh orang Siam ketika negeri ini berada di bawah pengaruh mereka.
Jom tengok tempat-tempat menarik di Kedah yang anda boleh lawati.
30 Tempat Menarik di Kedah Yang Indah dan Penuh Sejarah
1. Pantai Tanjung Rhu
Terletak di Langkawi, Kedah, Pantai Tanjung Rhu memang sudah menjadi destinasi pelancongan yang amat popular kerana mirip pantai-pantai di Thailand.
Pemandangan laut yang indah serta bayu laut yang menyegarkan boleh menarik sesiapa sahaja untuk ke pantai ini.
Di sini anda juga boleh menghayati pemandangan bot-bot nelayan yang penuh dengan warna-warni dan menikmati hidangan laut segar di restoran terapung. Pada waktu malam, pantai ini hanya boleh dilawati oleh penginap di sekitar.
Alamat: Jalan Tanjung Rhu, Tanjung Rhu, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang
2. Muzium Padi Kedah
Kedah memang popular sebagai salah satu negeri di bahagian utara Malaysia untuk pengeluaran hasil padi, jadi tidak hairanlah terdapat sebuah muzium yang didedikasikan untuk informasi tentang padi bagi pengunjung.
Selain mempelajari tentang proses disebalik pengeluaran padi, anda juga dapat menghayati pemandangan indah di kawasan muzium ini yang berlatarkan Gunung Keriang dan juga sawah padi yang luas.
Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM2
Alamat: Gunung Keriang, 05150 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Selasa – Ahad: 9.00 pagi – 5.00 petang
3. Pulau Songsong
Pulau yang terletak di daerah Yan ini merupakan suatu pulau yang tidak berpenghuni dan tiada sebarang penginapan. Pengunjung boleh ke pulau ini dengan menaiki bot dari Jeti Sungai Udang.
Pulau Songsong ini bukan sahaja cantik dan kaya dengan kawasan hutan yang mekar, tetapi ia juga penuh dengan sejarah kerana pernah menjadi tempat di mana pahlawan nusantara berkumpul untuk menyusun strategi dan merampas semula Kedah daripada penaklukan Siam pada tahun 1838.
Alamat: Pulau Songsong, Yan, Kedah
4. Rumah Merdeka
Keistimewaan Rumah Merdeka ini ialah ia merupakan tempat urusan untuk mendapatkan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama Malaysia yang juga dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan.
Di sini anda boleh menghayati pameran yang mencerminkan keadaan kehidupan zaman dahulu yang memberikan banyak kenangan dan sejarah penting kemerdekaan. Terdapat juga barangan asal rumah dan juga barangan peribadi Tunku Abdul Rahman yang turut dipamerkan.
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Jalan Putra, Bandar Alor Setar, 05150 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Selasa – Khamis / Sabtu – Ahad: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Isnin & Jumaat: Tutup
5. Balai Besar
Dibina pada tahun 1896 oleh Sultan Hamid Halim Shah, Balai Besar ini pada asalnya telah dimusnahkan dalam peperangan dengan angkatan Bugis pada tahun 1770, kemudian dengan angkatan Thai pada 1821.
Walaupun pada asalnya ia telah banyak mengharungi pertempuran yang akhirnya dimusnahkan, kini Balai Besar masih kukuh mengekalkan fungsi utamanya iaitu sebagai tempat untuk menjalankan majlis rasmi Sultan Kedah.
Memiliki reka bentuk rumah tradisional Melayu dengan bumbung yang panjang, pengunjung boleh menghayati kehalusan seni pertukangan kayu unik terukir pada balai ini yang dibina menggunakan kayu chengal emas.
Alamat: Balai Besar, Bandar Alor Setar, 05000
6. Gua Gunung Keriang
Bagi pencinta alam pula, Gua Gunung Keriang tentu akan menjadi tempat menarik di Alor Setar yang wajib dikunjungi. Gua yang terletak kira-kira 8km dari bandar Alor Setar ini merupakan formasi batu kapur yang merangkumi beberapa gua termasuk Gua Terus, Gua Pelamin, dan Gua Seribu Bayur.
Di gua ini juga terdapat pelbagai jenis dan bentuk kristal, dan ada juga yang dijual untuk pengunjung sebagai tanda kenangan. Kalau anda suka mendaki, Gunung Keriang ini juga boleh didaki kerana laluannya tidak begitu sukar dan gunung ini sendiri tidak begitu tinggi.
Di kawasan kaki bukit pula tersedia gerai makanan dan minuman jika anda hanya ingin bersiar-siar dan mencuci mata dengan pemandangan yang indah.
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Kampung Gunung Hulu, Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi: 24 jam
7. Balai Nobat
Balai Nobat merupakan bangunan yang amat istimewa dan unik sekali kerana ia berfungsi sebagai tempat penyimpanan alat-alat muzim Nobat Diraja.
Kalau anda nak tahu, alatan muzik tersebut terdiri daripada tiga rebana besar, dua rebana kecil, satu serunai, dan satu gong. Muzik Nobat ini hanya dimainkan pada majlis-mahlis tertentu seperti hari perkahwinan dan pertabalan Diraja.
Balai Nobat ini merupakan salah satu bangunan pertama yang siap dibina pada tahun 1735, iaitu tahun pembukaan bandar Alor Setar.
Alamat: Balai Nobat, Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah
8. Masjid Al-Bukhary
Bagi sesetengah orang, rumah ibadah memang menjadi tempat yang menarik untuk dikunjungi, tak kisahlah sama ada masjid, kuil, atau gereja.
Di Alor Setar, Masjid Al-Bukhary yang terletak kira-kira 3km dari pusat bandar menjadi tarikan yang popular kerana masjid ini dibina berserta dengan sebuah kompleks yang dilengkapi dengan kemudahan yang jarang-jarang didapati di rumah ibadah seperti hospital, tempat penginapan pelancong, dan ruang perniagaan.
Masjid ini juga merupakan rumah kepada anak-anak yatim dan rumah warga tua.
Reka bentuk masjid ini yang mengikut inspirasi masjid-masjid seperti di Turki dan Iran menjadikannya lokasi yang amat cantik sekali. Bukan itu sahaja, pintu gerbang masjid ini pula dibentuk dengan lima lapisan yang melambangkan lima Rukun Islam. Menarik sungguh!
Harga Masuk: Percuma
Alamat: Jalan Langgar, 05450 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi: 5.30 pagi – 10.00 malam
9. Kota Kuala Kedah
Dibina pada tahun 1771 menggunakan kayu bakau, buluh, dan tanah liat, Kota Kuala Kedah ini berfungsi sebagai benteng pertahanan Kedah daripada ancaman pihak musuh, terutamanya pihak Siam yang datang dari arah laut.
Di sini juga terdapat Muzium Kota Kuala Kedah yang merangkumi ruang pameran seperti Sejarah, Fungsi Kota Kuala Kedah, dan banyak lagi.
Pengunjung juga dapat melihat 60 koleksi artifak arkeologi seperti batu bata asal di kota ini, meriam yang dihasilkan oleh pihak British berusia lebih daripada 100 tahun, dan banyak lagi.
Alamat: Muzium Kota Kuala Kedah, Kampung Seberang Kota 06600 Kuala Kedah, Kedah
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket: Percuma
10. Muzium Negeri Kedah
Muzium Negeri Kedah merupakan muzium terbesar di negeri ini, jadi ia tentu dapat memuaskan peminat sejarah tempatan! Dalam muzium ini terdapat banyak khazanah tentang sejarah negeri Kedah. Bukan itu sahaja, ia juga merupakan bekas Istana Kota Setar yang merupakan pusat pemerintahan baginda Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Shah II.
Dalam muzium yang dibina dengan reka bentuk campuran kesenian Melayu dan Siam ini, terdapat sebanyak 10 galeri pameran seperti Dewan Sejarah, Dewan Seni Kraf, Dewan Tekstil, Dewan Manuskrip, dan macam-macam lagi yang dapat memuaskan sesiapa sahaja yang mempunyai minat dalam bidang-bidang tersebut.
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Darul Aman Hwy, Bakar Bata, 05100 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Sabtu – Khamis: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Jumaat: 9.00 pagi – 12.30 tengah hari / 2.30 petang – 5.00 petang
11. Tree Top Walk Sungai Sedim
Di Taman Rekreasi Sungai Sedim terdapat satu tarikan yang sangat menarik dan istimewa iaitu Tree Top Walk. Ia merupakan laluan jambatan tergantung yang terpanjang di dunia!
Dengan kepanjangan 1.5km, Tree Top Walk Sungai Sedim menawarkan pemandangan flora dan fauna yang amat indah dan menawan sekali dari sudut yang tinggi.
Kalau berani atau ingin cuba mengatasi kegayatan, jangan lepaskan peluang untuk melawat tempat menarik di Kedah ini!
Alamat: Kampung Sedim Karangan, Kedah, 09000, Kulim, Kedah
Waktu Operasi:
– Ahad – Khamis: 9.00 pagi – 5.30 petang
– Jumaat – Sabtu: Tutup
Harga Tiket:
– Dewasa: RM10
– Kanak-kanak: RM7
12. Tempat Kelahiran Tun Dr. Mahathir
Kalau anda memang sudah bercadang untuk bercuti di Kedah, tempat kelahiran Tun Dr. Mahathir adalah lokasi yang wajib diziarahi. Siapa yang tak kenal Tun Dr. Mahathir, kan?
Rumah perdana menteri yang telah berkhidmat paling lama ini telah dijadikan destinasi pelancongan untuk pengunjung menerokai pelbagai memorabilia dan replika barangan yang pernah digunakan tokoh terkenal ini untuk menghayati kehidupannya pada zaman dahulu.
Alamat: No. 18, Lorong Kilang Ais Sekolah Kebangsaan Jalan Pegawai, Jalan Seberang Perak, Taman Pesisiran Tanjung Chali, 05000 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Selasa – Khamis / Sabtu – Ahad: 10.00 pagi – 4.00 petang
– Isnin & Jumaat: Tutup
Harga Tiket: Percuma
13. Air Terjun Junjong
Terletak hanya 15km dari Kulim, Air Tejun Junjong memang popular dikalangan penduduk tempatan, terutamanya pada hari minggu.
Di sini terdapat kawasan kolam air terjun yang sesuai untuk kanak-kanak, menjadikannya ‘spot‘ yang hangat untuk berkelah. Kalau inginkan lebih cabaran tanpa kanak-kanak, anda boleh berjalan jauh sedikit untuk menikmati air terjun yang lebih besar.
Alamat: Air Terjun Junjong, Kulim, Kedah
Bayaran Kemasukan Kereta: RM2
14. Menara Alor Setar
Jika anda suka bersiar-siar di kawasan bandar, anda boleh mengunjungi Menara Alor Setar yang merupakan salah satu mercu tanda negeri Kedah.
Menara yang merupakan bangunan tertinggi di Kedah ini membolehkan pengunjung untuk melihat seluruh pemandangan Alor Setar dari menara ini.
Di sini juga terdapat balai cerap di mana anda boleh melihat anak bulan, dan juga sebuah restoran di mana anda boleh menjamu selera sambil menghayati pemandangan seluruh Alor Setar.
Harga Tiket:
– Dewasa: RM12
– Kanak-kanak / Warga Emas / OKU / Pelajar Berkumpulan: RM8
Alamat: Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Isnin – Ahad: 8.30 pagi – 10.30 malam
15. Tasik Pendang
Tasik Pendang menawarkan percutian yang relaxing dengan pemandangan yang indah dan persekitaran yang mampu menyegarkan minda.
Pengungjung boleh menginap di Pendang Lake dan merasai pengalaman tinggal di kawasan kampung dengan melakukan aktiviti santai seperti memancing di Tasik Pendang ini.
Alamat: Tasik Pendang, Pendang, Kedah
16. Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara
Pusat Sains Negara adalah destinasi pelancongan yang sesuai jika anda membawa anak-anak bersama untuk bercuti.Di pusat sains ini terdapat 150 jenis pameran yang mendedahkan pengunjung kepada ilmu sains, teknologi, dan inovasi.
Beberapa dewan bertema boleh dikunjungi mengikut minat masing-masing seperti Fascinating Tunnel, Science Mall, Kids Pavilion, dan macam-macam lagi. Terdapat juga Science Show yang ditayangkan pada waktu-waktu tertentu. Anda sekeluarga boleh menghabiskan masa berjam-jam menerokai Pusat Sains Negara ini.
Harga Tiket:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak: RM2
Alamat: Jalan Gunung Keriang, 06570 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Sabtu – Khamis: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Jumaat: Tutup
17. Rimba Rekreasi Bukit Perak
Kalau anda tak puas dengan tarikan-tarikan alam semula jadi seperti yang disebutkan tadi, anda boleh kunjungi pula Rimba Rekreasi Bukit Perak yang amar indah dan terjaga dengan baik.
Di sini anda boleh melakukan aktiviti seperti berkelah, berbasikal, merentas hutan, dan banyak lagi. Rimba rekreasi ini lengkap dengan kemudahan asas seperti tempat meletak kereta, jalan bertar, tempat istirehat, dan tandas awam.
Alamat: Gunung Perak, 06700 Pendang, Kedah
18. Balai Seni Negeri
Anda peminat seni? Di Kedah juga terdapat lokasi yang dapat memikat jiwa seni anda! Balai Seni Negeri ini menghimpunkan koleksi seni dari anak tempatan Kedah yang telah mencipta nama hingga ke peringkat antarabangsa!
Terdapat juga pelbagai pameran ukiran seni kayu dan seni khat lain selain daripada seni lukis. Tempat menarik di Alor Setar ini tentu boleh memukau sesiapa sahaja yang mengunjunginya.
Bangunan yang menempatkan Balai Seni Negeri ini pula pada asalnya dibina khas untuk Mahkamah Besar dan merupakan antara bangunan kerajaan moden terawal yang dibina di bandar Alor Setar.
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Sabtu – Khamis: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Jumaat: 9.00 pagi – 12.30 tengah hari / 2.30 petang – 5.00 petang
19. Menara Jam Besar (Merdeka Clock Tower)
Dibina pada tahun 1912, Menara Jam Besar, atau juga dikenali dengan nama Merdeka Clock Tower merupakan sebuah binaan klasik yang terletak di hadapan Masjid Zahir.
Pengunjung boleh menghayati seni binanya yang berunsurkan kesenian Islam dengan kewujudan kubah dan bulan sabit, manakala bahagian bawah menara ini pula terdapat pengaruh Hindu seperti ukiran pada bahagian pintu masuk menara.
Pada zaman dahulu, menara jam ini akan berbunyi untuk menandakan masuknya waktu solat, dan kemudian diikuti dengan paluan gong atau nobat di Balai Nobat sebelum azan di Masjid Zahir dilaungkan.
Alamat: Bandar Alor Setar, 05150 Alor Setar, Kedah
20. Pasar Karat Kampung Berjaya
Bagi yang gemar mengumpul barang antik atau ‘vintage‘, Pasar Karat Kampung Berjaya menjadi lokasi popular untuk tujuan ini. Ia adalah antara pasar karat yang popular di Kedah.
Anda boleh menjumpai pelbagai barangan antik yang terpakai seperti duit lama, barangan tembaga, keris, botol-botol vintaj, dan banyak lagi.
Jangan risau kalau anda rasa anda akan menghabiskan banyak masa di sini menerokai pelbagai barangan unik, kerana di sini juga terdapat jualan makanan basah dan kering.
Harga Tiket: Percuma
Alamat: 1022, Kampung Berjaya, 05150 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi: 8.00 pagi – 1.00 petang setiap hari
21. Taman Burung Kulim
Bagi yang meminati haiwan, atau yang mempunyai kanak-kanak kecil, Taman Burung Kulim bukan sahaja menawarkan tarikan burung-burung yang cantik, tetapi juga banyak haiwan domestik lain.
Di tarikan yang seolah-olah zoo mini ini, anda sekeluarga dapat melihat dan berinteraksi dengan haiwan seperti arnab, ayam, itik, dan kura-kura. Tentu seronok!
Alamat: 60, Jalan Tunku Bendahara, 09000 Kulim, Kedah
Waktu Operasi:
– Selasa – Ahad: 10.00 pagi – 6.00 petang
– Isnin: Tutup
Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM3
22. Berangan Aqua Park
Siapa yang tak suka taman tema air, terutamanya kanak-kanak, betul tak? Di Kedah terdapat taman tema air yang sangat istimewa kerana terletak berdekatan dengan kawasan kampung! Jadi kalau nak ke sini, anda boleh menghayati suasana tenang di Kampung Permatang Berangan.
Berlatarbelakangkan sawah padi, taman tema ini dihiasi dengan patung serangga yang memancur air dengan tarikan seperti gelongsor besar, pancuran air hujan, dan banyak lagi.
Pengunjung juga boleh bermalam di sini dengan pakej-pakej yang menarik, jadi anda bolehlah mandi sepuas-puasnya di Berangan Aqua Park.
Alamat: Kampung Permatang Berangan, 08000 Sungai Petani, Kedah
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 1.00 petang / 2.00 petang – 6.00 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM8
– Kanak-kanak: RM5
23. Rumah Tok Su
Kalau bercuti di Kedah, tak sah kalau tak singgah di Rumah Tok Su. Jangan risau kerana pengunjung tak perlu dijemput! Rumah Tok Su merupakan sebuah rumah peninggalan era lama yang berusia lebih 100 tahun dan diberikan nama sedemikian sempena nama pemiliknya yang terakhir.
Rumah ini pernah menjadi lokasi mesyuarat politik sebelum kemerdekaan negara. Apa yang istimewa tentang Rumah Tok Su ini ialah ia menjadi lambang keindahan struktur binaan tradisional Melayu dan terletak dalam lanskap taman yang amat indah dan penuh kehijauan.
Rumah ini sebenarnya telah dialihkan dari kedudukan asalnya iaitu Kampung Permatang Kerat Telunjuk dan kini ia sering dijadikan lokasi penggambaran filem dan dokumentasi.
Alamat: Bandar Alor Setar, 05250 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang
Bayaran Masuk: Percuma
24. Pekan Rabu
Ramai yang gemar ke Pekan Rabu apabila bercuti di Kedah kerana terdapat pelbagai makanan tradisional Melayu yang dijual seperti ikan pekasam, dodol durian, kuah rojak, dan juga kuih bahulu yang panas-panas.
Selain juadah makanan yang menyelerakan, pengunjung juga boleh membeli barangan lain seperti pakaian dan ubat-ubatan tradisional.
Alamat: Jalan Sultan Badlishah, Alor Malai, 05000 Alor Setar, Kedah
25. Air Terjun Batu Hampar
Satu lagi tarikan semula jadi di Kedah yang berbaloi untuk dilawati ialah Air Terjun Batu Hampar kerana keindahannya. Walaubagaimanapun, ia terletak sedikit jauh di dalam hutan di bahagian kaki gunung, tapi inilah yang membuatkannya amat cantik dan istimewa!
Disebabkan ia tidak kerap dikunjungi ramai, destinasi ini boleh menjadi seolah-olah kawasan ‘private’ anda kerana suasana yang sunyi dan tenang tanpa gangguan.
Alamat: Taman Rekreasi Batu Hampar, Air Puteh, Serdang, Kedah
26. Galeri Sultan Abdul Halim
Galeri Sultan Abdul Halim yang terletak di Alor Setar ini pada asalnya berfungsi sebagai Mahkamah Tinggi Alor Setar. Pada tahun 2007, fungsinya diubah kepada sebuah galeri yang menempatkan hampir 2,000 koleksi peribagi Sultan Kedah.
Pameran koleksi tersebut termasuklah pakaian istana, hiasan istana, dokumen rasi, dan carta keturunan keluarga Diraja Kedah dari tahun 1136! Jangan lepaskan peluang untuk mempelajari sejarah tempatan di tempat menarik di Kedah ini.
Alamat: Jalan Sultan Muhammad Jiwa, Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi:
– Ahad – Khamis: 10.00 pagi – 5.00 petang
– Jumaat – Sabtu: Tutup
Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM2
27. Taman Rekreasi Sungai Sedim
Taman Rekreasi Sungai Sedim adalah tarikan alam semula jadi yang popular di kalangan penduduk tempatan dan juga pengunjung kerana terdapat pelbagai aktiviti menyeronokkan yang boleh dilakukan.
Selain tempat bermandi-manda, aktiviti berunsurkan alam semula jadi lain yang menarik termasuklah meredah hutan, flying doc, rock climbing, water rafting, dan banyak lagi.
Pengunjung boleh menginap di Sedim Rainforest Resort untuk percutian yang istimewa dan tidak boleh dilupakan.
Alamat: Sungai Sedim Recreational Forest, Kulim, Kedah
28. Gunung Bintang
Gunung Bintang yang menganjur dari Selatan Thailand ini merupakan sebahagian daripada Banjaran Bintang dan menjadi titik sempadan antara negeri Kedah dan Perak.
Di gunung yang tertinggi di Banjaran Bintan ini, pengunjung yang berjiwa lasak boleh menerokai dan mendaki gunung untuk menghayati kecantikan alam semula jadi di sini.
Sebelum memulakan pendakian, pengunjung perlu mendapatkan permit dahulu serta bantuan penunjuk arah dari pihak berkuasa untuk keselamatan setiap individu.
Alamat: Gunung Bintang, Kedah
29. Taman Kulim Hi-Tech
Taman Kulim Hi-Tech merupakan suatu tarikan yang amat unik dan merupakan satu-satunya di Malaysia. Ia didirikan sebagai salah satu strategi kebangsaan untuk mencapai Visi 2020 iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
Walaupun teknologi menjadi faktor utama penubuhan taman berkeluasan 4510 ekar ini, terdapat banyak kehijauan flora yang turut diberikan perhatian dikalangan syarikat-syarikat berteknologi tinggi seperti Intel dan Infineon.
Alamat: Taman Kulim Hi-tech, Kulim, Kedah
30. Telaga Gajah
Tarikan Telaga Gajah yang terletak di Laman Warisan Majlis Daerah Pendang ini amat menarik sekali kerana ia penuh dengan sejarah.
Pada suatu ketika dahulu, di telaga inilah gajah-gajah yang menghantar ufti dalam bentuk bunga emas ke negeri Siam dimandikan apabila digunakan sebagai pengangkutan utama.
Masyarakat di sini pada zaman dahulu kala juga menggunakan telaga ini sebagai punca air utama, terutamanya ketika musim kemarau.
Apa yang amat istimewa tentang telaga ini iadalah dikatakan airnya tidak pernah kering. Difahamkan bahawa air telaga ini sebenarnya bersambung dengan air sungai. Menarik sungguh!
Alamat: Laman Warisan Majlis Daerah Pendang, 06700 Pendang, Kedah
Kalau anda sekeluarga bercadang untuk bercuti di Kedah, jangan lupa ‘bookmark‘ artikel ini untuk rujukan ketika di sana. Selamat bercuti!