Bahagian utara Malaysia adalah salah satu lokasi percutian yang amat popular di kalangan warga tempatan. Bukan sahaja terdapat banyak tempat menarik di Kelantan, tetapi ia juga kerap menjadi tempat persinggahan bagi yang ingin bercuti ke Thailand.
Sama ada anda memang berancang untuk bercuti di sini atau hanya sebagai tempat persinggahan, terdapat banyak tarikan-tarikan dan tempat menarik di Kelantan yang anda boleh ziarahi.
Kelantan Darul Naim adalah negeri yang kaya dengan sumber asli tempatan. Ia terletak berhadapan dengan Laut China Selatan dan bersempatan dengan Thailand.
Seperti yang boleh dijangkakan, di sini terdapat banyak kawasan tanaman padi dan perkampungan nelayan. Jom tengok beberapa tempat di Kelantan yang boleh dilawati anda sekeluarga.
15 Tempat Menarik di Kelantan Yang Seronok Untuk Dilawati
1. Air Terjun Jelawang
Negara Malaysia memang kaya dengan keindahan semula jadi seperti air terjun. Di Kelantan terdapat kawasan air terjun yang istimewa kerana ia merupakan salah satu air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara!
Kalau ingin mendaki, anda perlu mendapatkan pemandu arah daripada Pejabat Taman, dan lebih elok jika anda mempunyai sedikit pengalaman mendaki kerana laluannya agak licin dan penuh dengan semak samun.
Untuk pengalaman yang lebih mengagumkan, anda juga boleh memilih untuk bermalam di pertengahan pendakian sebelum meneruskan pendakian ke air terjun.
Alamat: Dabong Forest Reserve, 18200 Dabong, Kelantan
Harga Tiket:
– Kemasukan: RM2
– Pendakian: RM5
2. Rumah Api Pantai Senok
Untuk percutian yang menenangkan, atau jika anda mencari-cari lokasi untuk bersiar-siar, bolehlah ke Rumah Api Pantai Senok.
Dari sini anda boleh menghayati ketenangan lautan biru dicorakkan dengan nelayan yang pulang dari menangkap ikan.
Memandangkan Kelantan berhadapan dengan Lautan China Selatan, anda juga dapat menikmati keindahan matahari terbenam di sini.
Alamat: 16020 Kota Bharu, Kelantan
3. Pantai Nami Bachok (Pantai Senok)
Kalau anda peminat tegar drama Korea atau teringin bercuti di Korea, Pantai Nami Bachok boleh memenuhi keinginan anda buat sementara waktu.
Dikatakan lanskap di sini menyerupai lanskap di Kepulauan Nami di Korea seperti yang dipaparkan dalam filem terkenal Winter Sonata di mana pokok-pokok tumbuh dengan tinggi dan tersusun.
Sebab itu jugalah Pantai Senok ini diberi gelaran Pantai Nami Bachok! Anda boleh menghayati keindahan pokok-pokok ru yang tersusun dengan cantik sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa di kawasan pantai ini.
Alamat: 16020 Kota Bharu, Kelantan
4. Pasar Terapung Pulau Suri
Salah satu keunikan di Kelantan ialah kewujudan pasar yang digelar pasar terapung kerana ia bertempat di atas air dengan menggunakan sampan!
Konsep yang popular di Thailand ini boleh dijumpai di beberapa lokasi di Kelantan dan Pasar Terapung Pulau Suri adalah salah satu jenis pasar tersebut yang anda boleh kunjungi.
Untuk menuju ke kawasan pasar terapung ini, anda perlu membayar untuk perkhidmatan bot yang disediakan antara RM3 hingga RM10, bergantung kepada jenis bot yang ditawarkan di Jeti Kuala Besar.
Alamat: Pulau Suri, Tumpat, Kelantan
Harga Tiket:
– Bot: RM2 sehala
– Pulau: RM 5 (Dewasa) / RM2 (Kanak-kanak)
Waktu Operasi:
– Sabtu: 10.30 pagi – 12.30 tengah hari
5. Galeri Wau Pak Sapie and Sons
Seperti yang diketahui ramai, negeri Kelantan kaya dengan pelbagai budaya, dan salah satu daripadanya ialah permainan wau.
Galeri Wau Pak Sapie and Sons menawarkan pameran wau bulan bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang permainan tradisional ini.
Pemilik galeri ini telah diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Wau kerana kepakaran beliau dalam menghasilkan wau tradisional. Anda juga boleh membeli wau di sini dan ia tentu akan menjadi cenderahati yang amat istimewa dari percutian di Kelantan.
Alamat: Galeri Wau Pak Sapie, Jalan Pantai Cahaya Bulan, 15350 Kota Bharu, Kelantan
6. Muzium Negeri Kelantan
Kalau ingin tahu sejarah sesebuah negeri, kenalah pergi ke muzium di negeri tersebut, betul tak?
Muzium Negeri Kelantan yang terletak di Kota Bharu menawarkan pelbagai pameran bersejarah yang memaparkan pembangunan negeri ini dari zaman dahulu lagi.
Selain itu terdapat juga pameran budaya dan koleksi kraf yang digunakan dalam persembahan wayang kulit, tarian mak yong, peralatan muzik tradisional, dan banyak lagi.
Paling menarik di sini terdapat juga pameran istimewa seperti replika gua-gua yang bersejarah di negeri Kelantan. Unik sungguh!
Alamat: Darul Naim, Jalan Hospital, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1
Waktu Operasi: 8.30 pagi – 4.45 petang
– Jumaat: Tutup
7. Pantai Cahaya Bulan
Ramai orang memang suka percutian di pantai, kan? Seperti di kebanyakan destinasi pelancongan di Malaysia yang lain, Kota Bharu pun mempunyai lokasi pantai yang popular dan indah sekali.
Pantai Cahaya Bulan, atau juga dikenali dengan nama PCB menawarkan pemandangan Laut China Selatan dengan angin laut yang menyegarkan.
Di sini juga terdapat pelbagai gerai yang menyediakan juadah yang enak, jadi cepat-cepatlah ke pantai ini kalau ingin beristirehat.
Alamat: Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan
8. Masjid Kampung Laut
Dibina pada abad ke-18, Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri Kota Bharu ini adalah masjid yang tertua sekali di Asia Tenggara.
Selain itu, masjid ini mempunyai beberapa lagi fakta menarik seperti dibina tanpa menggunakan sebarang paku pun oleh sekumpulan mubaligh yang berlayar ke rantau ini.
Masjid ini juga pada asalnya berada di lokasi lain dan telah dipindahkan ke Nilam Puri kerana lokasi asalnya sering dilanda banjir.
Alamat: Nilam Puri, Jalan Kuala Krai, 16010 Kota Bharu, Kelantan
9. Kelantan River Cruise
Kalau anda inginkan percutian di Kelantan yang lebih adventurous, Kelantan River Cruise menawarkan perkhidmatan menyusuri Sungai Kelantan sehinggalah ke Pulau Suri.
Pulau Suri pula menawarkan pelbagai perkara termasuklah juadah dan kuih muih yang menyelerakan dan juga aktiviti seperti memancing.
Alamat: Jalan Kuala Besar, 15350 Kota Bharu, Kelantan
Harga Tiket:
– Dewasa: RM20
– Kanak-kanak: RM10
Waktu Operasi: 8.30 pagi – 6.00 petang
10. Masjid Ar-Rahman
Bagi penggemar seni bina bangunan-bangunan lama, bolehlah melawat Masjid Ar-Rahman. Masjid yang terletak di Pulau Gajah ini mempunyai keindahan seni bina yang dihasilkan dengan penuh teliti.
Masjid ini mempunyai reka bentuk gabungan inspirasi daripada Indonesia, Turki, Yemen, Dan Melayu Kelantan sendiri. Ia dibina menggunakan kayu kukuh yang berkualiti tinggi seperti kayu jati dan cengal.
Jika dilihat dengan teliti, anda boleh nampak ukiran ayat al-Quran pada kayu yang terletak di bahagian atas masjid. Perhiasannya pula amat unik dan diimport dari luar negara seperti batang pokok tamar dari Timur Tengah yang terletak megah di ruang mimbar.
Alamat: Kampung Pulau Gajah, Pulau Gajah, 16100 Kota Bharu, Kelantan
11. Gunung Stong
Bagi yang gemar mendaki atau pencinta alam semula jadi, Gunung Stong menjadi tarikan alam pilihan ramai kerana kaya dengan flora dan fauna.
Di sini jugalah terletaknya Air Terjun Jelawang seperti yang disebutkan tadi. Anda boleh mendaki gunung ini untuk sampai ke puncak air terjun ataupun puncan gunung ini.
Pendakian yang memenatkan itu tentu akan rasa berbaloi apabila anda tiba di puncak dan dapat menghayati pemandangan Laut China Selatan dan dikelilingi kepulan awan yang mendinginkan.
Alamat: Gunung Stong, Dabong, Kelantan
12. Air Terjun Jeram Linang
Satu lagi kawasan air terjun yang popular dan cukup indah sekali ialah Air Terjun Jeram Lanang yang terletak di Pasir Puteh.
Ia merupakan kawasan air terjun yang paling awal dibangunkan oleh kerajaan Negeri Kelantan. Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, surau, dan ruang rehat, anda tentu akan mendapat pengalaman yang menyeronokkan di sini sama ada dengan keluarga atau rakan-rakan.
Dikatakan waktu terbaik untuk mengunjungi air terjun ini adalah dari bulan April hingga September ketika cuaca adalah lebih baik tanpa hujan lebat.
Alamat: Lata Jeram Linang, 16800 Pasir Puteh, Kelantan
13. Gua Ikan
Di Kelantan terdapat satu kompleks gua Bukit Batu Kapur dan salah satu daripada gua yang popular di sini ialah Gua Ikan.
Gua ini dinamakan sedemikian kerana dikatakan terdapat ikan di dalam air yang mengalir di dalam gua tersebut. Ada juga teori yang mengatakan ia dinamakan Gua Ikan kerana bentuk bukit ini sendiri yang kelihatan seperti seekor ikan!
Kalau anda teringin untuk menerokai gua ini, anda perlu mendapatkan khidmat pemandu arah yang ditawarkan di sini.
Alamat: Kuala Gris, 18200 Dabong, Kelantan
14. Masjid Brunei (Masjid Terapung Pasir Mas)
Satu lagi masjid yang boleh dilawati sambil menunaikan fardhu solat ialah Masjid Brunei yang juga dikenali sebagai Masjid Terapung Pasir Mas.
Masjid ini dibina pada tahun 1970-an sebagai tanda persahabatan antara bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Muhamed bin Nasir dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada waktu itu.
Bukan masjid ini sahaja yang cantik, tetapi lanskap dikeliling masjid ini juga indah kerana terletak di tepian Tasik Danau Tok Uban. Rugi tak singgah tempat menarik di Kelantan ini!
Alamat: Jalan Kampung Rong Chenok, Danau Tok Uban, 17040 Pasir Mas, Kelantan
15. Jambatan Keretapi Guillemard
Jambatan Keretapi Guillemard di Tanah Merah ini amat istimewa dan wajib dilawati kerana ia merupakan jambatan keretapi terpanjang di Malaysia!
Dibina pada tahun 1920 dan diperbuat daripada besi, jambatan ini merentasi Sungai Kelantan dari Paloh Rawa hingga ke Kursial di Tanah Merah.
Jambatan yang berkepanjangan kira-kira 600 meter ini pernah hancur diletupkan oleh tentera British untuk menghalang kemaraan tentera Jepun.
Ia telah dibaik pulih dan dibuka semula pada tahun 1948 selepas tamatnya Perang Dunia kedua. Kini ia menjadi tarikan yang amat unik dan popular untuk bergambar atau mengambil selfie.
Alamat: Jalan Kampung Kursial, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Jelas sekali Kelantan menawarkan banyak tempat-tempat yang bersejarah, Islamik, dan istimewa untuk pengunjung sama ada memang ingin bercuti di sini atau untuk persinggahan sementara. Tak rugi melawat lokasi-lokasi seperti yang disebutkan tadi untuk pengalaman percutian yang amat istimewa. Selamat bercuti!