Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Tempat Menarik Yang Tak Disangka Boleh Dijadikan Destinasi Pelancongan Di Kluang!

Sumber: Agoda

Negeri Johor yang terletak di selatan Malaysia mempunyai banyak tempat yang seronok untuk dijadikan destinasi percutian tempatan. Mungkin tak ramai yang sangka, tetapi sebenarnya ada banyak tempat menarik di Kluang yang boleh dilawati.

Dulunya dikenali sebagai Keluang, bandar ini diisytiharkan oleh penjajah British pada tahun 1915 sebagai ibu kota pentadbiran Johor tengah. Nama Kluang berasal daripada perkataan Melayu ‘keluang’ yang merujuk kepada sejenis flying fox iaitu kelawar buah yang kerap dijumpai di daerah ini beberapa dekad lalu.

Terletak di kawasan yang penuh dengan bukit-bukau yang beralun, Kluang menjadi laluan kereta api utama yang menghubungkan bahagian utara ke selatan Tanah Melayu. Inilah yang membantu bandar ini dalam perkembangannya dari segi ekonomi.

Sekarang Mommy dah tahu serba sedikit tentang sejarah bandar Kluang, jom tengok apa pula tempat-tempat menarik di Kluang yang boleh dijumpai.

10 Tempat Menarik Di Kluang, Johor

1. Kluang Rail Coffee

Highlighted

Sumber: Tripify

Kalau sebut sahaja Kluang, mesti ramai orang akan kaitkan dengan kedai kopi Kluang Rail Coffee. Kopinya memang sedap, tapi mungkin yang menjadi tarikan bagi ramai orang juga, terutamanya pelancong, ialah lokasi kedai kopi ini yang bersebelahan dengan landasan kereta api. Ditubuhkan pada tahun 1938, pengunjung kedai kopi ini juga masih boleh mendengar kereta api keluar dan masuk dari stesen kereta api Kluang!

Di sini, selain daripada kopi, terdapat bermacam-macam lagi juadah tempatan dalam menu mereka yang digemari ramai seperti nasi lemak, telur separuh masak, dan roti kaya. Senang cerita, makanan yang digemari untuk sarapan pagi lah! Sesuai untuk dimakan pada bila-bila masa saja.

Alamat: Stesen Keratapi, 86000 Kluang, Johor

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang

2. Gunung Lambak

Sumber: Sinar Harian

Rakyat Malaysia memang aktif beriadah kan? Kalau Mommy sebahagian daripada komuniti hikers, tentu Mommy pernah dengar tentang Gunung Lambak kerana ia popular dikalangan pendaki tempatan.

Kalau Mommy tak pernah dengar, gunung ini juga sesuai untuk rekreasi ringan kerana terdapat laluan pejalan kaki yang disediakan di kawasan rekreasi.

Selain itu, gunung ini juga amat unik kerana mempunyai sebuah taman tema air mini. Anak-anak kecil tentu seronok bermain dalam air di sini, terutamanya kerana kolamnya cetek sahaja! Sesuai dinikmati untuk seisi keluarga.

Alamat: 86000 Kluang, Johor

Waktu Operasi:
– Rabu – Ahad: 9.00 pagi – 6.30 petang
– Isnin & Selasa: Tutup

Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak (bawah 12 tahun): RM3
– Kanak-kanak bawah 3 tahun / Warga Emas / OKU: Percuma

3. UK Farm Agro Resort

Sumber: Travelog

UK Farm Agro Resort bukan sebarangan tempat penginapan. Sebenarnya selain daripada menyediakan chalet dan asrama, tarikan utama UK Farm Agro Resort ini ialah ladang kambing dan biri-birinya. Ladang ini adalah ladang kambing dan biri-biri terbesar di Malaysia, dengan 100 ekar tanah ragut.

Ia adalah sebuah ladang yang menggunakan teknik paling moden dalam penternakan kambing dan biri-biri. Resort ini juga mempunyai kebun seluas 20 ekar dengan pelbagai jenis buah-buahan seperti markisa, sirsak, rambutan, durian dan banyak lagi. Anak-anak kecil tentu akan berasa seronok menerokai dan mempelajari tentang haiwan ternakan di ladang ini.

Lihat di sini untuk pakej-pakej yang ditawarkan.

Alamat: Projek Pertanian Moden Kluang, KM13 Jalan Batu Pahat, 8, 86000 Kluang, Johor

Laman Web: ukfarm.com.my

Waktu Operasi: 9.00 pagi -7.00 malam

4. Gunung Belumut

Sumber: AllTrails

Gunung ketiga tertinggi di Johor ini menawarkan pelbagai flora dan fauna yang indah untuk dinikmati pendaki. Gunung ini tidak sukar untuk didaki, walaupun ketinggiannya mencecah 1,000 meter, hampir sama tinggi dengan Gunung Ledang!

Gunung ini dinamakan ‘Belumut’ merujuk kepada batang-batang pokok yang dilitupi oleh tumbuhan-tumbuhan hijau.

Memandangkan ia adalah sebuah hutan yang besar di Malaysia, terdapat binatang liar seperti harimau di gunung ini! Tapi jangan risau, kerana selalunya harimau lebih takut dengan manusia, terutamanya jika mendaki dalam kumpulan besar. Mommy juga boleh dapati air terjun yang sangat indah di Gunung Belumut ini.

Alamat: Kluang, Johor

5. Zenxin Organic Farm (Park)

Sumber: Zenxin Organic Park

Bermula sebagai sebuah perniagaan agro-pelancongan pada tahun 2009, Zenxin menukar ladang organiknya yang terbesar di Malaysia kepada Zenxin Park di mana pelancong boleh datang ke ladang rekreasinya. Hayati pengalaman menerokai ladang organik ini dan lihat sendiri bagaimana prinsip penuaian organik dilakukan.

Mommy juga boleh lakukan aktiviti berpendidikan untuk anak-anak di sini dimana mereka boleh bercucuk tanam, memetik buah-buahan dan sayur-sayuran, memberi makanan kepada haiwan ternakan, dan banyak lagi.

Alamat: No.8, (PLO67) Jalan Teknologi 1, Kawasan Perindustrian Mengkibol, 86000 Kluang, Johor

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 5.00 petang (tutup setiap Ahad)

Harga Tiket:
– Dewasa: RM15
– Kanak-kanak: RM12

6. Taman Rekreasi Sungai Teminggol

Sumber: mazaaida.blogspot.com

Mommy sekeluarga pencinta alam? Taman yang terletak di Kampung Sri Lukut ini dinamakan sempena nama sungai, kampung dan Jalan Teminggol yang membentuk menjadi salah satu gugusan kampung-kampung di Kampung Sri Lukut.

Ada juga penduduk tempatan yang memanggilnya Jambatan Biru, merujuk kepada jambatan lama di situ yang merupakan jambatan kayu dan telah digantikan dengan jambatan besi.

Kawasan rekreasi Teminggol ini dilengkapi dengan tapak perkhemahan, tandas, dan beberapa buah pondok, jadi kalau Mommy nak berkelah dengan keluarga di tepi sungai, taman rekreasi ini boleh menjadi salah satu pilihan utama.

Alamat: Kahan, 86700 Kluang, Johor

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

7. Taman Tasik MPK Kluang

Sumber: Majlis Perbandaran Kluang

Kalau tiada masa untuk beriadah dan berkelah di taman rekreasi seperti yang disebutkan tadi, Mommy boleh juga bawa anak-anak ke Taman Tasik MPK Kluang.

Tasik yang indah dan taman permainan yang seronok tentu dapat menghiburkan anak-anak jika tiada aktiviti lain dapat dilakukan. Mommy dan seisi keluarga juga boleh buat aktiviti seperti jogging atau berbasikal.

Alamat: Kompleks Pejabat-pejabat Kerajaan, 86000 Kluang, Johor

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

8. Laman Kreatif Kluang

Sumber: elizhitomi2.home.blog

Di Malaysia terdapat beberapa lokasi yang popular dengan lukisan mural dan graffiti yang menjadi tarikan untuk mengambil gambar secara kreatif. Mungkin Laman Kreatif Kluang tak sepopular lokasi-lokasi lain, tetapi hasil seni di sini juga amat hebat dan kreatif!

Banyak lakaran menarik berbentuk dua dan tiga dimensi yang boleh Mommy gunakan sebagai latar belakang selfie, membuat posing kreatif, atau diambil hanya sebagai kenangan.

Kebanyakan mural di tempat menarik di Kluang ini menceritakan tentang sejarah dan keunikan negeri Johor.

Alamat: 1956, Jln. Dato Kaptain Ahmad, Kampung Masjid Lama, 86000 Kluang, Johor

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

9. Rassuria Dairy Goat Farm

Sumber: Rassuria Agro

Kalau anak-anak Mommy suka dengan haiwan peliharaan dan ternakan, tentu mereka akan berasa seronok bila melawati Rassuria Dairy Goat Farm. Anak-anak juga tentu akan mempelajari sesuatu yang unik melihat cara-cara kambing ini diternak dan dipelihara.

Di ladang ini, Mommy boleh membeli susu kambing yang 100% segar dan tidak berbau pelik seperti yang dah diproses dan dijual di pasaran secara komersial. Tambahan pula, susunya affordable!

Alamat: Jalan Lapis Salman, Kg. Dato Ibrahim Majid,Jalan Benut Simpang Renggam

10. Kahang Organic Rice Eco Farm Resort

Sumber: Agoda

Kalau Mommy sekeluarga memang tinggal di bandar sejak kecil lagi, mungkin jarang dapat merasakan suasana kampung yang sebenar, apatah lagi kehidupan di ladang!

Terletak di atas kawasan seluas 260 ekar, Kahang Organic Rice Eco Farm Resort adalah satu-satunya ladang beras organik yang menyediakan penginapan ladang percuma dan mudah!

Resort ini merupakan ladang gaya hidup eko dengan pelbagai aktiviti dan program seperti mendaki gunung, cabaran sukan air, berjalan kaki di pinggir hutan, melihat bintang, berakit menggunakan papan buluh, dan macam-macam lagi aktiviti berinspirasikan alam semula jadi.

Mungkin pengalaman di sini akan membuatkan Mommy sekeluarga ingin pindah ke sini terus! Program-programnya yang mempromosikan biodiversiti dalam pertanian dan pertanian organik ekologi memang bermanfaat untuk seisi keluarga.

Alamat: Km 42, Jalan KluangKg. Sri Lukut, Kluang, 86700 Kahang, Johor


Bandar Kluang yang terletak di tengah-tengah Johor ini ternyata menawarkan pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati seisi keluarga.

Walaupun bukan destinasi pelancongan konvensional, terdapat pelbagai jenis hiburan yang tentu menyeronokkan untuk Mommy, suami, dan anak-anak. Selamat bercuti!