Kota Bharu bukan lagi tempat yang baru dalam senarai destinasi pelancongan yang wajib pergi bagi rakyat tempatan. Walaupun ramai orang ingin bercuti di Kota Bharu, tapi tak banyak yang tahu tentang tempat-tempat menarik di Kota Bharu.
Juga dikenali sebagai Kota Baharu bagi sesetengah orang, Kota Bharu adalah rumah kepada banyak masjid, muzium, istana lama, dan banyak lagi bangunan dengan seni bina yang unik dan menarik.
Jom tengok beberapa tempat menarik di Kota Bharu yang anda boleh lawati.
15 Tempat Menarik di Kota Bharu, Kelantan
1. Muzium Negeri Kelantan
Kalau ingin tahu sejarah sesebuah negeri, kenalah pergi ke muzium di negeri tersebut, betul tak?
Muzium Negeri Kelantan yang terletak di Kota Bharu menawarkan pelbagai pameran bersejarah yang memaparkan pembangunan negeri ini dari zaman dahulu lagi.
Selain itu terdapat juga pameran budaya dan koleksi kraf yang digunakan dalam persembahan wayang kulit, tarian mak yong, peralatan muzik tradisional, dan banyak lagi.
Paling menarik di sini terdapat juga pameran istimewa seperti replika gua-gua yang bersejarah di negeri Kelantan. Unik sungguh!
Alamat: Darul Naim, Jalan Hospital, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1
Waktu Operasi: 8.30 pagi – 4.45 petang
– Jumaat: Tutup
2. Muzium Perang (Bank Kerapu)
Juga dikenali sebagai Memorial Perang Dunia II, bangunan ini pada asalnya merupakan sebuah bank perdagangan pertama di Kelantan dan beroperasi pada tahun 1912.
Bangunan ini digunakan sebagai Pejabat Polis Rahsia Jepun dan lokap tempat siasatan individu anti-Jepun semasa pendudukan Jepun pada tahun 1941 hingga 1945.
Kini ia digunakan sepenuhnya sebagai tempat pameran kesan-kesan sejarah Peperangan Dunia Kedua dan mempamerkan pelbagai artifak bersejarah sebelum merdeka.
Alamat: Jalan Pejabat Pos Lama, 15300, Kota Bharu, Kelantan
Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1
Waktu Operasi: 8.30 pagi – 4.45 petang
– Jumaat: Tutup
3. Muzium Adat-Istiadat (Istana Jahar)
Muzium yang pada asalnya merupakan Istana Raja Bendahara Long Kundur Bin Sultan Ahmad ini dibina pada tahun 1887, kini berusia lebih daripada 130 tahun.
Ia juga dikenali dengan nama Istana Jahar kerana rekabentuknya yang dipengaruhi oleh seni bina tradisional Melayu Kelantan.
Terdapat pelbagai jenis pameran adat istiadat diraja Kelantan sejak dari zaman dahulu seperti tekstil, alat perhiasan diri, barangan tembaga, dan banyak lagi. Di bahagian belakang istana ini pula terdapat pameran senjata lama seperti keris, kelewang, badik, dan lain-lain.
Alamat: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1
Waktu Operasi: 8.30 pagi – 4.45 petang
– Jumaat: Tutup
4. Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu
Kalau anda suka membeli-belah, anda boleh mendapatkan pengalaman yang menyeronokkan dan pasti tidak boleh dilupakan di pasar terapung ini.
Dengan keunikan penjual menjual barangan dari sampan dan suasana kampung yang amat indah sekali, pasar terapung ini terletak di atas Sungai Pengkalan Datu yang tidak jauh dari bandar Kota Bharu.
Alamat: Pasar Terapung, Kota Pengkalan Datu, Cerana Villa Resort, Jalan Raja Sakti
Waktu Operasi:
– Sabtu: 8.00 pagi – 2.00 petang
5. Menara Rehal
Kalau dah ke Kota Bharu tentu anda tercari-cari mercu tanda yang popular untuk mendapatkan selfie, betul tak? Menara Rehal boleh dijadikan tempat sedemikian kerana pintu gerbang ini nampak amat megah dan menawan.
Menara ini terletak berdekatan dengan tempat menarik di Kota Bharu yang lain seperti Istana Jahar yang disebutkan tadi, jadi kalau dah alang-alang di kawasan itu, jangan lupa bergambar di sini!
Alamat: D1, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
6. Pantai Cahaya Bulan
Ramai orang memang suka percutian di pantai, kan? Seperti di kebanyakan destinasi pelancongan di Malaysia yang lain, Kota Bharu pun mempunyai lokasi pantai yang popular dan indah sekali.
Pantai Cahaya Bulan, atau juga dikenali dengan nama PCB menawarkan pemandangan Laut China Selatan dengan angin laut yang menyegarkan.
Di sini juga terdapat pelbagai gerai yang menyediakan juadah yang enak, jadi cepat-cepatlah ke pantai ini kalau ingin beristirehat.
Alamat: Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan
7. Masjid Kampung Laut
Dibina pada abad ke-18, Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri Kota Bharu ini adalah masjid yang tertua sekali di Asia Tenggara.
Selain itu, masjid ini mempunyai beberapa lagi fakta menarik seperti dibina tanpa menggunakan sebarang paku pun oleh sekumpulan mubaligh yang berlayar ke rantau ini.
Masjid ini juga pada asalnya berada di lokasi lain dan telah dipindahkan ke Nilam Puri kerana lokasi asalnya sering dilanda banjir.
Alamat: Nilam Puri, Jalan Kuala Krai, 16010 Kota Bharu, Kelantan
8. Istana Balai Besar
Sebelum berpindah ke Kota Bharu, pusat pentadbiran Kelantan pada asalnya berada di Kota Saba sehingga tahun 1844.
Semasa pemindahan ini Sultan Kelantan pada ketika itu mengarahkan pembinaan Istana Balai Besar untuk dijadikan tempat baginda bersemayam.
Walaupun orang awam tidak dibenarkan masuk ke istana, anda masih boleh menghayati dan menghargai seni bina istana ini dari kawasan pintu gerbang istana.
Namun apa yang menarik ialah istana ini pernah dibuka kepada orang awam sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 yang baru-baru ini melanda dunia. Untung betul siapa yang dapat masuk untuk mengambil vaksin disitu!
Alamat: Jalan Tengku Seri Akar, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
9. Padang Merdeka
Padang Merdeka terletak tidak jauh dari Menara Rehal yang disebutkan tadi. Padang yang luas ini sering dijadikan sebagai tapak untuk pelbagai acara rasmi, jadi kalau anda bertuah dan sedang bercuti di sini, mungkin anda boleh hadir untuk apa-apa upacara yang menarik.
Di sini juga terdapat tugu memorial perang iaitu Kota Bharu Cenotaph yang dibina oleh penjajah British ketika perang duni pertama, selain daripada tiang bendera Kelantan.
Alamat: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
10. Muzium Islam
Kelantan sering digelar sebagai Serambi Mekah, jadi tidak hairanlah jika terdapat banyak kemudahan bertujuan untuk menyebarkan kisah berkaitan Islam.
Muzium Islam yang terletak dalam bangunan yang pernah menjadi kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan dipertubuhkan untuk tujuan yang sedemikian rupa.
Bangunan yang dibina pada tahun 1902 ini dijadikan muzium yang mempamerkan pelbagai maklumat tentang tokoh agama Islam yang telah banyak menyumbang kepada agama Islam di Kelantan.
Salah satu tarikan yang paling terkenal di sini ialah tarikan replika mumia firaun yang lengkap dengan keranda! Bahan pameran lain yang boleh dijumpai termasuklah artifak dan manuskip bercirikan Islam.
Alamat: Jalan Masjid, Kota Bharu, Kelantan
Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1
Waktu Operasi: 8.30 pagi – 4.45 petang
– Jumaat: Tutup
11. Gelanggang Seni
Gelanggan Seni yang terletak di Jalan Sultan Mahmud ini diwujudkan untuk mengekalkan seni warisan budaya rakyat negeri Kelantan.
Bagi yang gemar menghayati seni warisan budaya seperti dikir barat, rebana ubi, pertunjukan wayang kulit, dan banyak lagi, jangan lepaskan peluang untuk melawat tempat menarik di Kota Bharu ini.
Alamat: Jalan Mahmood, Bandar Kota Bharu, 15200 Kota Bharu, Kelantan
Harga Tiket: Percuma
Waktu Operasi:
– Isnin, Rabu, Sabtu: 3.30 petang – 5.30 petang
Rabu: 9.00 malam – 11.00 malam
12. Muzium Kraftangan
Kalau anda seseorang yang amat meminati seni, bercuti di Kota Bharu boleh menjadi pengalaman yang amat istimewa kerana negeri Kelantan memang kaya dengan seni budayanya.
Untuk mendalami budaya di sini, anda boleh melawati Muzium Kraftangan yang terletak di Jalan Merbau.
Di sini selain daripada pameran-pameran menarik seperti ukiran tradisional, terdapat juga demonstrasi seperti bagaimana kain songket dihasilkan. Tentu berbaloi melawat muzium ini, banyak yang boleh dipelajari!
Alamat: Jalan Merbau, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1
Waktu Operasi: 8.30 pagi – 4.45 petang
– Jumaat: Tutup
13. Masjid Muhammadi
Satu lagi masjid yang unik di Kota Bharu ialah Masjid Muhammadi yang dibina pada tahun 1867 ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad II.
Pada asalnya struktur masjid ini dibina menggunakan kayu, tetapi telah diubahsuai kepada batu pada tahun 1922 untuk mempekukuhkan binaannya.
Rekabentuk masjid ini dipengaruhi oleh kolonial Inggeris dengan penggunaan batu marmar pada ruangan solat. Dinding masjid ini pula dihiasi dengan ukiran kalimah al-Quran yang amat indah sekali.
Alamat: Jalan Sultanah Zainab, 15000, Kota Bharu, Kelantan
14. Menara Jam Tambatan Diraja
Jika anda ingin melawat sesuatu yang baru dan moden di Kota Bharu, Menara Jam Tambatan Diraja ini adalah satu mercu tanda yang baru di bandar ini yang dibuka kepada orang ramai pada tahun 2011.
Ia dinamakan sedemikian kerata terletak bersebelahan dengan tambatan diraja. Berketinggian 150 kaki, anda boleh menaiki menara ini untuk menghayati pemandangan sekeliling Kota Bharu termasuklah Sungai Kelantan.
Alamat: Jalan Sultan, 15400, Kota Bharu, Kelantan
15. Kelantan River Cruise
Kalau anda inginkan percutian di Kota Bharu yang lebih adventurous, Kelantan River Cruise menawarkan perkhidmatan menyusuri Sungai Kelantan sehinggalah ke Pulau Suri.
Pulau Suri pula menawarkan pelbagai perkara termasuklah juadah dan kuih muih yang menyelerakan dan juga aktiviti seperti memancing.
Alamat: Jalan Kuala Besar, 15350 Kota Bharu
Harga Tiket:
– Dewasa: RM20
– Kanak-kanak: RM10
Waktu Operasi: 8.30 pagi – 6.00 petang
Jelas sekali Kota Bharu menawarkan banyak tempat-tempat yang bersejarah, Islamik, dan istimewa untuk pengunjung sama ada bercuti dengan keluarga atau rakan-rakan. Tak rugi melawat lokasi-lokasi seperti yang disebutkan tadi untuk pengalaman percutian yang amat istimewa. Selamat bercuti!