Ibu, Bayi & Kanak Kanak

15 Tempat Menarik di Kuala Kangsar Yang Unik Dan Bersejarah

Kredit gambar: Fazrulejoy / Shutterstock.com

Kuala Kangsar adalah bandar diraja negeri Perak, dan bandar ini memang menjadi destinasi pelancongan yang popular di kalangan warga Malaysia. Kalau anda nak tahu, bandar ini sering dipanggil dengan loghat tempatan, iaitu ‘Kole Kangso’, ‘Kole’, atau ‘Kuala’ sahaja.

Bandar diraja yang penuh sejarah ini juga merupakan tempat pertama di Malaysia di mana pokok getah ditanam. Ia diperkenalkan oleh seorang ahli botani Inggeris yang membantu Tanah Melayu dan akhirnya menjadikan Malaysia pengeluar getah terbesar di dunia.

Anda masih boleh melawati pokok getah tersebut yang masih hidup dan berdiri hingga hari ini!

Jom tengok tempat-tempat menarik lain di Kuala Kangsar yang anda boleh lawati.

15 Tempat Menarik di Kuala Kangsar Yang Berbaloi Untuk Dilawati

1. Istana Kenangan Bukit Chandan / Muzium Diraja Kuala Kangsar

Highlighted

Sumber: Perak State Museum Board

Istana Kenangan Bukit Chandan pada asalnya merupakan kediaman sementara buat Sultan Iskandar Shah. Apa yang menarik tentang istana ini ialah ia dibina tanpa sebarang paku pun!

Sebaliknya ia hanya menggunakan kayu dan pisang sesikat untuk mendirikan istana yang berwarna kuning dan hitam ini. Kerana itu juga ia dikenali dengan nama Istana Kuning oleh sesetengah orang.

Kini, Istana Kenangan lebih dikenali sebagai Muzium Diraja Kuala Kangsar dan ia telah dijadikan sebagai Tapak Warisan Sejarah.

Alamat: Istana Lama Bukit Chandan, 33000 Kuala Kangsar, Perak

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: 9.30 pagi – 4.30 petang

2. Masjid Ubudiah Bukit Chandan

Sumber: Pejabat DYMM Sultan Perak

Melawati rumah agama bukan lagi sesuatu yang baru buat ramai orang, terutamanya yang gemar menghargai seni bina bangunan yang megah.

Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar merupakan antara masjid yang paling cantik di Malaysia. Senibinyanya dipengaruhi oleh rekabentuk ‘saracenic‘ atau Islam-India.

Yang menariknya, masjid ini dibina oleh seorang arkitek Inggeris pada tahun 1910 semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I. Jangan lepaskan peluang untuk melawati tempat menarik di Kuala Kangsar ini.

Alamat: Jalan Istana, 33000 Kuala Kangsar, Perak

3. Malay College Kuala Kangsar

Sumber: Berita MCOBA

Mungkin anda tertanya-tanya, bagaimana sebuah kolej boleh menjadi tempat tarikan pelancongan? Malay College Kuala Kangsar, ataupun Kolej Melayu Kuala Kangsar ini amat istimewa kerana mempunyai alumni ternama, popular, dan mempunyai status elit seperti Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Dato’ Onn Jaafar dan Tun Abdul Razak Dato’ Hussein.

Sekolah berasrama khusus untuk pelajar lelaki Melayu ini amat cemerlang bukan sahaja dalam bidang pendidikan, tetapi juga dalam bidang sukan. Bergantung kepada kesesuaian masa, anda mungkin boleh mendapatkan ‘tour‘ sekolah yang menarik ini.

Alamat: Jalan Tun Razak, 33000 Kuala Kangsar, Perak

4. Pavilion Tower Kuala Kangsar

Sumber: Mapio.net

Dibina pada tahun 1930, Pavilion Tower Kuala Kangsar merupakan Anglung tiga tingkat yang terletak berdekatan dengan Malay College Kuala Kangsar.

Anglung ini dahulunya sering digunakan oleh keluarga Sultan Perak untuk menonton permainan polo. Kini ia dijadikan sebagai tempat bersejarah dan tarikan pelancongan di Kuala Kangsar yang amat cantik untuk bergambar.

Alamat: Pavilion Square, 33000 Kuala Kangsar

5. Masjid Ihsaniah Iskandariah

Sumber: 123RF

Terletak kira-kira 5km dari bandar Kuala Kangsar, Masjid Ihsaniah memang unik dan berbeza sekali dari masjid-masjid yang lain. Rekabentuknya yang berbentuk segi empat tepat dan memanjang tentu akan menarik perhatian sesiapa sahaja.

Selain itu, masjid ini juga dibina berasaskan anyaman buluh minyak dan tidak menggunakan sebarang paku semasa pembinaannya.

Masjid Ihsaniah Iskandariah ini mempunyai seni ukiran yang menarik dan indah seperti ukiran sekuntum bunga tikam seladang sebagai hiasan dindingnya.

Alamat: Kampung Kuala Dal, 33700 Padang Rengas, Perak

6. Galeri Sultan Azlan Shah

Bagi yang meminati sejarah, tak sah kalau tak singgah di Galeri Sultan Azlan Shah. Ia terletak tidak jauh dari Masjid Ubudiah Bukit Chandan, jadi kalau memang sudah melawati masjid tersebut, apa kata ke sini pula?

Galeri ini dibuka kepada orang awam untuk meluaskan pengetahuan tentang kehidupan seorang sultan. Sebelum dijadikan galeri, ia menjadi kediaman Sultan Idrus Murshidul Adzam Shah I yang memerintah sekitar tahun 1887-1916.

Di galeri ini terdapat pameran barang-barang yang pernah dimiliki oleh Sultan Azlan Shah, manakala seni bina bangunan ini dipengaruhi oleh rekabentuk kebanyakan bangunan Acheh.

Alamat: Galeri Sultan Azlan Shah, Bukit Chandan, 33000 Kuala Kangsar

Bayaran Masuk:
– Dewasa: RM4
– Warga Emas / IPT / Sek. Menengah: RM2
– Kanak-kanak / Sek. Rendah: RM1

Waktu Operasi:
– Isnin – Jumaat: 8.00 pagi – 5.00 petang
– Sabtu & Ahad: Tutup

7. Istana Iskandariah Bukit Chandan

Sumber: mStar

Terletak di tebing Sungai Perak dan dikelilingi oleh bangunan dan panorama yang indah, Istana Iskandariah merupakan tempat bersemayam Sultan Perak yang rasmi.

Seperti beberapa senibina bangunan lain di Kuala Kangsar, istana ini mempunyai rekabentuk yang dipengaruhi oleh citarasa Islam-India ‘saracenic‘ dan Asia Barat.

Istina Iskandariah ini dibina menghadap matahari menaik dan pemandangan dari istana ini menjangkaui Sungai Perak dan memang indah sekali.

Alamat: Taman Lerista, 33000 Kuala Kangsar, Perak

8. Victoria Bridge / Jambatan Enggor

Sumber: Ini Cerita Kita

Victoria Bridge, atau juga dikenali dengan nama Jambatan Enggor sebenarnya merupakan sebuah landasan kereta api yang tertua di Malaysia. Dibina pada tahun 1897, Victoria Bridge ini kini dibuka kepada orang awam sebagai tarikan pelancongan.

Jambatan landasan kereta api ini sangat menarik untuk dijadikan lokasi penggambaran seperti gambar pra-perkahwinan atau hanya untuk mendapatkan selfie yang unik.

Alamat: Kampung Kapor, 31050 Enggor, Perak

9. Perniagaan Labu Sayong Win Kraf

Sumber: padinrose.com

Kalau melawati Kuala Kangsar, tak sah kalau tak singgah dan beli labu sayong kerana di sini anda boleh mendapati kualiti labu sayong yang tinggi. Salah satu perusahaan labu sayong yang popular ialah Win Kraf yang merupakan perusahaan turun-temurun sejak dulu lagi.

Terdapat pelbagai jenis labu sayong di sini termasuklah labu gelugor dan labu licin untuk penyimpanan air. Kalau anda tak berminat untuk membeli labu sayong, boleh juga dapatkan pelbagai cenderamata lain seperti pasu bunga dan macam-macam lagi.

Alamat: 11, Jalan Kampung, Kampung Sayong Lembah, 33040 Kuala Kangsar, Perak

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 7.00 malam

10. Xtreme Craft Deco & Pottery

Sumber: TripAdvisor

Satu lagi perusahaan yang serupa dan menjual labu sayong ialah Xtreme Craft yang terletak di Kampung Batang Kulim. Walaupun kecil, ia sentiasa penuh dengan pelanggan dan pemiliknya tak lokek untuk berkongsi ilmu tentang cara pembuatan labu sayong.

Barangan yang berasaskan tanah liat ini memang sesuai untuk digunakan harian atau sebagai hiasan unik dalam rumah anda. Jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi tempat menarik di Kuala Kangsar ini.

Alamat: 12, Jalan Kampung, Kampung Batang Kulim, 33040 Kuala Kangsar, Perak

Waktu Operasi:
– Isnin – Sabtu: 9.00 pagi – 6.00 petang
– Ahad: Tutup

11. Pokok Getah Tertua Di Malaysia

Sumber: Majlis Perbandaran Kuala Kangsar

Seperti yang disebutkan awal-awal tadi, pokok getah pertama yang ditanam di Malaysia terletak di Kuala Kangsar. Pada asalnya terdapat sembilan batang pokok yang ditanam tetapi hanya tinggal satu pokok yang masih tumbuh sehingga hari ini.

Walaupun lokasi ini bukanlah sesuatu tempat yang anda boleh masuk, tempat menarik di Kuala Kangsar ini masih berbaloi untuk dikunjungi dan anda boleh mendapatkat swafoto atau selfie di sini sebagai kenangan.

Alamat: Jalan Raja Chulan, Kampung Penaga, 33000 Kuala Kangsar, Perak

12. Hutan Lipur Ulu Kenas

Sumber: Kojek Aoki / Indahnya Perak

Terletak kira-kira 15km dari pekan Kuala Kangsar, Hutan Lipur Ulu Kenas adalah lokasi yang sesuai dan indah sekali jika anda peminat alam semula jadi.

Jika anda ingin beriadah di sini, terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan untuk memudahkan percutian anda seperti tempat letak kereta, pondok rehat, pusat maklumat, chalet tempat penginapan, gerai, surau, dan banyak lagi.

Salah satu tarikan utama di sini ialah jambatan tergantung, jadi anda tentu akan dapat pengalaman percutian yang seronok di sini.

Alamat: Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak

Bayaran Masuk: RM2

Waktu Operasi: 6.00 pagi – 7.00 malam

13. Sungai Perak

Sumber: Perbadanan Bekalan Air

Sungai Perak adalah sungai kedua terpanjang di Malaysia yang mengalir sepanjang 400km dari Hulur Perak ke Bagan Datoh di Selat Melaka.

Terdapat banyak aktiviti popular di sini seperti memancing dan berenang. Anda juga boleh mendapatkan perkhidmatan bot untuk menyusuri Sungai Perak dan menghayati pemandangan yang indah di sini.

14. Pekan Kuala Kangsar

Sumber: Homestayqasehummi

Jika anda gemar menerokai bandar dengan keindahan lampu-lampu pada waktu malam, pekan Kuala Kangsar menawarkan suasana yang indah sekali.

Di waktu siang pula, lokasi ini menjadi tempat popular untuk membeli-belah barangan hasil tangan orang kampung tempatan seperti labu sayong, songkok, barangan tembaga, dan banyak lagi.

Alamat: Kuala Kangsar, 33000 Perak

15. Kolam Air Panas Ara Panjang

Sumber: Blog Pieces of My Life

Untuk menikmati keunikan alam semula jadi, anda boleh ke Kolam Air Panas Ara Panjang yang dikatakan baik untuk kesihatan kulit dan dalaman.

Tak ramai lagi pelancong yang tahu tentang kewujudan tarikan ini, jadi jangan lepaskan peluang untuk melawat tempat menarik di Kuala Kangsar ini!

Alamat: Lempor, Manong, 33800 Kuala Kangsar, Perak


Menarik sungguh lokasi-lokasi pelancongan di Kuala Kangsar yang popular dan ada juga yang jarang didengar. Kalau anda bercadang untuk bercuti di Perak, bolehlah singgah ke mana-mana lokasi di Kuala Kangsar seperti yang disebutkan tadi. Selamat bercuti!