Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Pelbagai Tempat Menarik Di Kuala Selangor Yang Bukan Sahaja Unik, Tapi Juga Bersejarah!

tempat menarik di kuala selangor

Sumber: selangor.travel

Mommy pernah terfikir tak nak melawat Kuala Selangor? Atau mungkin Mommy ada urusan di sana dan tertanya-tanya jika ada tempat menarik di Kuala Selangor?

Jangan terperanjat, kerana sebenarnya ada banyak tempat yang boleh dilawati dan aktiviti yang boleh dilakukan di Kuala Selangor!

Walaupun mungkin bukan destinasi pertama yang dipilih untuk percutian keluarga, tetapi Kuala Selangor menawarkan pelbagai tarikan yang boleh dikunjungi seisi keluarga.

Jom tengok tempat-tempat menarik di Kuala Selangor yang Mommy boleh pergi.

10 Tempat Menarik di Kuala Selangor Yang Mengagumkan

1. Taman Alam Kuala Selangor

Highlighted

Sumber: Majlis Daerah Kuala Selangor

Selalunya kalau bercakap tentang taman untuk diterokai, mesti orang ingat Taman Negara di Pahang, kan? Sebenarnya di Kuala Selangor pun terdapat sebuah taman yang amat menarik.

Taman Alam Kuala Selangor ini ialah sebuah tarikan alam semula jadi hutan hujan tropika dan juga hutan paya bakau yang boleh diterokai melalui laluan dengan kepanjangan 3.6km!

Bolehlah Mommy sekeluarga beriadah dengan berjalan sambil menerokai keindahan alam semula jadi di sini.

Alamat: Jalan Klinik, Taman Alam, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM4
– Kanak-kanak: RM1
– Warga Emas: RM2

2. Kelip-kelip Kg. Kuantan (Kampung Kuantan Fireflies Park)

Sumber: Majlis Perbandaran Kuala Selangor

Kelip-kelip Kg. Kuantan adalah satu tarikan yang amat memuaskan. Bukan sahaja Mommy sekeluarga dapat menaiki bot, tetapi juga sambil itu dapat menghayati keindahan serangga kelip-kelip yang boleh menghasilkan ‘cahaya sejuk’ atau bioluminesensi yang nampak seakan-akan cahaya bintang yang dekat!

Cahaya yang dihasilkan oleh serangga kelip-kelip ini sebenarnya bertujuan untuk menarik pasangan atau mangsa. Anak-anak tentu seronok melihat fenomena semula jadi ini.

Alamat: Kampung Kuantan, 45000 Bestari Jaya, Selangor

Waktu Operasi: 7.45 malam – 10.30 malam

Harga Tiket:
– Bayaran sampan: Satu sampan RM 50 (penumbang maksimum 4 orang)

3. Pantai Remis Sungai Sembilang

Sumber: Majlis Perbandaran Kuala Selangor

Kalau Mommy sekeluarga suka ke pantai, terdapat satu pantai rekreasi di Kuala Selangor yang dipanggil Pantai Remis Sungai Sembilang.

Pantai ini popular untuk aktiviti memancing dan bermain layang-layang selain daripada untuk bersantai. Mommy juga boleh dapati beberapa kedai makanan atau gerai yang menjual makanan laut seperti kerang bakar.

Alamat: Jalan Pantai Remis, Kampung Dungun, 45800 Jeram, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

4. Bukit Melawati

Sumber: Majlis Perbandaran Kuala Selangor

Bagi yang meminati sejarah Malaysia, Bukit Melawati kaya dengan sejarah dan juga pemandangan yang indah. Pada suatu ketika dahulu, Bukit Melawati ini pernah ditawan oleh penjajah Belanda pada abad ke-18.

Ia juga pernah dijadikan sebagai pusat pentadbiran kerajaan dan benteng terawal Sultan Selangor daripada serangan musuh. Bukit ini dikelilingi oleh pokok-pokok yang dipercayai berusia lebih daripada seribu tahun!

Memang bersejarah tempat menarik di Kuala Selangor ini.

Alamat: Bukit Melawati, 45000 Kuala Selangor

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak (3 – 12 Tahun): RM2

5. Rumah Api Kuala Selangor

Sumber: Majlis Perbandaran Kuala Selangor

Rumah Api Kuala Selangor yang dulunya dikenali sebagai Rumah Api Altingsburg ini terduduk di atas Bukit Melawati yang disebutkan tadi.

Rumah Api Kuala Selangor ini dibina pada tahun 1907 oleh pihak penjajah British. Ia mula berfungsi pula pada tahun 1910.

Rumah api ini berketinggian 83 meter di atas puncak bukit 27 meter dari paras laut. Pemandangan Kuala Selangor dari sini memang indah sekali.

Alamat: Bukit Melawati, 45000 Kuala Selangor

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak (3 – 12 Tahun): RM2

6. Blue Tears

Sumber: The Vocket

Satu lagi lokasi ajaib yang boleh dijumpai di Kuala Selangor ialah tarikan ‘Blue Tears’, dimana Mommy boleh mendapati fenomena waktu malam semula jadi yang memacarkan cahaya biru-hijau pada waktu malam.

Fenomena ini hampir serupa dengan serangga kelip-kelip yang boleh dijumpai di Kampuang Kuantan seperti yang disebutkan tadi, cuma fenomena Blue Tears ini disebabkan oleh Dinoflagellates, alga atau plankton laut!

Pemandangan fenomena ini cukup indah dan magical!

Alamat: KS Botanic, 21, Jalan 4, Taman Sri Penambang, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu Operasi: 8.00 malam – 10.00 malam

Harga Tiket:
– Dewasa: RM20
– Kanak-kanak: RM17

7. Muzium Daerah Kuala Selangor

Sumber: 500N @ Google

Untuk mendalami sejarah Kuala Selangor, Mommy sekeluarga boleh melawati Muzium Daerah Kuala Selangor yang pada asalnya merupakan kediaman rasmi Pegawai Daerah Kuala Selangor!

Ruang pameran dalam muzium ini terbahagi kepada tujuh seksyen berbeza yang menyampaikan info mengikut kronologi sejarah Kuala Selangor.

Antaranya termasuklah tentang daerah dan etnik di Selangor, sejarah pengasasan Kesultanan Selangor, pameran koleksi peralatan pembesar istana, dan banyak lagi.

Alamat: No 1, Puncak Bukit Melawati, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu Operasi: 9.30 pagi – 5.30 pagi

8. Perigi Beracun

Sumber: Wikimapia

Namanya saja sudah tentu akan membuat sesiapa sahaja tertanya-tanya apa kisah disebalik perigi ini, betul tak?

Menurut sejarah tempatan, air dalam perigi ini dikatakan beracun oleh penduduk tempatan pada zaman dahulu. Ia menjadi tempat hukuman bagi sesiapa yang menderhakai sultan ketika itu.

Air beracun dalam perigi itu dikatakan merangkumi getah dan miang rebung, sebab itu dikatakan beracun!

Hukuman yang dikenakan pada sesiapa pada waktu dahulu adalah dengan mengisikan ramuan beracun itu kedalam perigi sehingga ke paras dagu pesalah.

Alamat: 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

9. Bukit Belanda (Kota Tanjong Keramat)

Satu lagi lokasi bersejarah yang terletak berdekatan dengan Bukit Malawati ialah Bukit Belanda yang pernah dijadikan sebagai kubu pertahanan sewaktu penjajahan Belanda. Kedudukannya yang strategik berhampiran dengan sungai dapat mengawasi angkatan tentera perang musuh dan juga sebagai lalulintas kapal.

Pada tahun 1784 apabila Belanda menawan Kuala Selangor, kota di atas bukit ini dinamakan Kota Utrecht sempena nama kapal perang yang digunakan oleh ketua Syarikat India Timur Belanda. Mommy sekeluarga boleh bersiar-siar di persekitaran bukit sambil menghayati sejarah bukit ini.

Alamat: Bukit Belanda, Kuala Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

10. Balai Seni Sasaran

Sumber: kuala-selangor.com

Di Kuala Selangor juga terdapat satu lokasi kesenian yang mempamerkan pelbagai jenis arca, lukisan, dan seni bina rawak.

Kebanyakan pameran seni disini adalah berasaskan budaya dan minat tempatan. Bukan seni dari artis tempatan sahaja dipamerkan disini, tetapi seni dari artis dan pelukis dari luar negara juga boleh dijumpai disini seperti dari Australia, Vietnam, Indonesia, dan Taiwan.

Alamat: Jalan Sasaran, Sungai Buloh, 45800 Jeram, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam


Jelas terdapat banyak tempat menarik di Kuala Selangor yang bukan sahaja unik, malah kaya dengan sejarah tempatan.

Kalau Mommy sekeluarga inginkan percutian di hari minggu yang tidak jauh dan mudah untuk diakses, Kuala Selangor boleh menjadi pilihan terbaik. Selamat bercuti!