Ibu, Bayi & Kanak Kanak

20+ Tempat Menarik di Kuantan Yang Mommy Wajib Singgah!

Sumber: Shutterstock

Lama tak berjalan bersama keluarga Mommy? Jom buat perancangan sekarang juga!

Kali ini kita akan merantau ke kawasan yang terdapat pantai yang luas, pemandangan yang menakjubkan serta mengunjungi ke tempat viral di Kuantan!

Setelah diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan untuk aktiviti rentas negeri, seluruh Malaysia dibenarkan untuk rentas negeri bagi yang sudah lengkap dua dose vaksin. Syarat lain adalah menjalankan ujian kendiri COVID-19.

Antara tempat yang berubah adalah Kuantan, Pahang. Ia menjadi destinasi yang lebih menarik untuk jadikan tarikan pelancong luar negeri.

Dibawah disenaraikan 20+ tempat menarik di Kuantan untuk Mommy sekeluarga, yang boleh dijadikan rujukan untuk perancangan aktiviti yang boleh dilakukan bersama yang tersayang.

20+ Tempat Di Kuantan Yang Harus Singgah

1. Menara Kuantan 188

Highlighted

Sumber: Shutterstock

Lama tak sampai Kuantan, sekarang dah ada Menara Kuantan 188! Untuk pengunjung baru, menara 188 terletak sebaris dengan Taman Espalande ataupun berhadapan dengan sungai Kuantan.

Menara ini dilengkapi dengan taman permainan yang bernama laman Teruntum yang buka pada 8 pagi hingga 12 malam setiap hari dan lanskap yang cantik untuk pengunjung menikmati suasana indah.

Menara ini menawarkan anjung tinjau tertutup dengan pamandangan 360 untuk melihat seluruh Kuantan. Selain itu, terdapat juga sebuah kedai cendrahati buat mereka yang mahu membawa pulang buah tangan.

Dalam masa yang terdekat, mereka juga akan membuka sebuah restoran bagi pengunjung yang mahu menjamu sambil melihat pemandangan seluruh Kuantan. Tambahan pula dengan Skyview deck serta rope course akan buka juga tidak lama lagi.

Perkara Tempatan Antarabangsa
Isnin-Jumaat / Promosi Sabtu-Ahad / Cuti Umum / Cuti Sekolah
Dewasa RM8 RM15 RM30
Kanak-kanak / Warga emas / OKU RM5 RM10 RM15

Waktu Operasi: 10AM-7PM Isnin-Jumaat, 10AM-10PM Sabtu-Ahad

Alamat: Jalan Besar, 25000 Kuantan, Pahang

2. Espalande Walk

Sumber: Sinar Harian

Dibawah Menara Kuantan, terdapat laman Teruntum dan ia juga berhubung dengan Esplande Walk iaitu sepanjang 2 kilometer sepanjang sungai Kuantan. Ia menawarkan pengunjung untuk berjalan sepanjang sungai Kuantan dan menjamu selera kerana terdapat kedai makan di sepanjang Esplande Walk ini.

Pada waktu malam ia akan menyinari Esplande Walk dengan lampu-lampu yang cantik dan kawasan ini akan terang benderang. Pengunjung dapat menikmati angin malam di Kuantan.

Pada waktu malam juga, kawasan ini menyediakan servis menyewa basikal, skuter dan macam-macam lagi. Mommy juga boleh bergambar dengan signboard gergasi Kuantan di sini. 

Tempat letak kereta juga disediakan. Aktiviti lain juga termasuk memancing. Mereka juga boleh memancing disini pada bila bila masa. Kemasukan adalah percuma. 

Waktu Operasi: Dibuka 24 jam

Alamat: Jalan Tanah Putih, 25100 Kuantan, Pahang

3. Kuantan Art Street

Sumber: Libur

Berdekatan dengan Menara 188 dan Esplande walk, terdapat Kuantan Art Street yang menjadi tarikan pengunjung yang baru.

Penuh dengan lukisan yang menarik hati, anak-anak Mommy mesti suka. Lukisan yang interaktif bagi pengunjung. Bukan itu sahaja, terdapat juga kedai makan seperti kafe sebaris dengan Kuantan Art Street ini.

Terdapat kemudahan seperti tempat letak kereta. Selepas itu, Mommy boleh jalan jalan dengan keluarga! Malam juga dibuka dan sangat terang untuk mengambil gambar. Ia juga lebih romantik untuk jalan berdua bersama Daddy!

Waktu Operasi: Dibuka 24 jam

Alamat: Lorong Seni, Jalan Taman, 25000 Kuantan, Pahang

4. Kula Cakes

Sumber: Lilawadi

Dalam kawasan terdekat juga terdapat kedai kek yang viral di Kuantan. Ramai pengunjung akan singgah disini untuk mendapat manisan yang dijual sebelum balik. Rugi kalau tak dapat rasa pelbagai kek yang dijual.

Ia menawarkan kek yang viral iaitu, Mango cheesecake yang menjadi kegemaran pengunjung. Selain Mango cheesecake, terdapat juga pavlova, burnt cheesecake dan banyak lagi!

Waktu Operasi: 11AM-6PM, tutup pada hari Isnin

Alamat: 96, Jalan Besar, 25000 Kuantan, Pahang

5. Pantai Teluk Cempedak

Sumber: Shutterstock

Haaa, rugi kalau tak pergi sini. Teluk Cempedak adalah destinasi yang harus dikunjung apabila berada di Kuantan. Teluk Cempedak dikenali sebagai TC, adalah tempat kegemaran pengunjung. Kenapa pantai ini menjadi kegilaan ramai? Kerana pemandangan, angin laut yang sejuk dan pelbagai tempat makan yang disediakan.

Antaranya ialah, McDonald, Starbucks, Kafe Loteng, KFC dan juga Subway. Bagi yang mahu makanan masakan panas juga ditawarkan yang menjual keropok dan makanan western.

Mommy juga boleh dapatkan cenderahati untuk dibawa pulang. Selain itu, Mommy juga boleh sewa beg angin untuk bersantai di pantai kalau tak mahu duduk atas pasir. Diikuti dengan fireshow yang menjadi tarikan pelancong.

Peringatan untuk Mommy, kawasan ini selalu sesak namun tempat letak kereta juga ada disediakan. Disini juga terdapat beruk, berhati-hati dengan makanan Mommy!

Tempat penginapan juga banyak, seperi Hyatt Regency dan chalet-chalet disediakan. Boleh bermalam di Teluk Cempedak jangan risau!

Alamat: Jalan Telok Cempedak, 25050 Kuantan, Pahang

6. Muzium Seni Pahang

Sumber: Tourism Pahang

Mommy mahu melihat seni di Kuantan? Mommy dan keluarga boleh singgah di Muzium Seni Pahang yang berdekatan dengan Masjid Sultan Ahmad Shah. Kawasannya tidak terlalu besar dan tempoh untuk melihat tarikan ini sekitar 15-30 minit sahaja.

Terdapat pelbagai keunikkan pada muzium ini, terdapat informasi tentang Kaabah dan replika Kaabah yang menarik pengunjung.

Sehubungan dengan itu, Mommy juga boleh melihat pameran seramik, kebudayaan pantai timur, orang asli, alat muzik serta hasil tenunan DiRaja Pahang.

Boleh anak-anak Mommy melihat keindahan seni disini!

Harga ticket: Percuma

Waktu Operasi: 930AM-5PM, tutup pada hujung minggu 

Alamat: Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang, 25000 Kuantan, Pahang

7. Air Terjun Sungai Pandan

Sumber: Shutterstock

Air terjun Sungai Pandan terletak di Felda Pancing Selatan Pahang. Ramai pengunjung memilih tempat ini untuk berkelah, mandi sungai dan berkhemah. Pemandangan yang cantik dan indah ini sesuai untuk keluarga Mommy bersantai dan juga meluangkan masa bersama.

Air terjun yang sejuk dan sentiasa mengalir ini dapat menyejukkan badan pada hari yang panas. Ini adalah destinasi yang selalu dikunjung oleh penduduk Kuantan dan juga pengunjung.

Lokasi ini tidak terlalu jauh dari bandar Kuantan. Hanya melalui kawasan Felda Panching dan hanya 25 kilometer sahaja untuk sampai ke destinasi ini.

Waktu Operasi: 9AM-5PM Isnin-Ahad 

Alamat: Air Terjun Sungai Pandan, 26250 Kuantan, Pahang

8. Kimstone Food Court

Sumber: Visit Pahang

Tempat persinggahan ramai pengunjung Kuantan adalah Kimstone Food Court yang menawarkan pelbagai jenis makanan. Dibuka pada sebelah petang dan malam, Kimstone adalah medan selara yang meraikan peniaga tempatan dan kafe untuk dibuka di kawasan ini.

Daripada sate hingga kelapa joget dijual disini. Kalau nak makan kek juga boleh cuba Lakukek yang menyediakan pelbagai jenis kek yang sedap-sedap belaka!

Pada sebelah malam, tempat ini dihiasi dengan lampu-lampu yang cantik dan romantik untuk bersantai! Mommy juga akan terhibur dengan local band yang mendendangkan lagu-lagu menarik sepanjang malam.

Waktu Operasi: 4PM-12AM Setiap Hari

Alamat: Lot 2595 Jalan Kemaman Pusat Kesihatan Beserah, 26100, Pahang

9. Masjid Sultan Ahmad Shah

Sumber: Shutterstock

Masjid ini merupakan tarikan pelancong kerana seni binanya seperti masjid-masjid di Turki. Masjid ini terletak di pusat bandar Kuantan, dikelilingi dengan padang dan kawasan jualan. Pengunjung sering datang ke sini untuk berkelah di padang yang berdekatan.

Selain itu, pada bulan Ramadhan juga terdapat ramai penduduk berbuka puasa disini. Sekali pandang, seni binanya seperti Istanbul Blue Mosque kerana hiasan dan bentuknya yang mempunyai elemen dari Turki.

Waktu Operasi: 5:30AM-11PM Setiap hari 

Alamat: Jalan Mahkota, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang, 25000 Kuantan, Pahang

10. Ana Ikan Bakar Petai

Sumber: TripAdvisor

Apabila Mommy berada di Tanjung Lumpur, tidak sah kalau tidak singgah ke Ana Ikan Bakar. Ana Ikan Bakar adalah tempat kegemaran penduduk Kuantan dan juga pengunjung luar negeri.

Kawasan kedai ini adalah luas dan menu nya menjadi tarikan pelancong untuk mengunjung ke sini. Kawasannya amatlah strategik kerana berada di jalan besar dan senang untuk pengunjung singgah disini.

Menu restoran ini  menyajikan pelbagai makanan laut dan masakan ala Thai yang digemari oleh orang ramai. Yang penting harganya adalah berpatutan sebab itulah Ana Ikan Bakar kekal menjadi kegemaran orang ramai.

Waktu Operasi: 11AM-6PM, tutup pada hari Isnin

Alamat: Jalan Tanjung Lumpur, Perkampungan Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan, Pahang

11. Keropok lekor Tanjung Lumpur

Sumber: Shutterstock

Kalau Mommy nak tahu sepanjang jalan Tanjung Lumpur ini, penuh dengan jualan keropok lekor. Daripada yang rebus hingga di goreng hingga rangup. Kedai keropok lekor seperti Mokna, Kak yah dan Moksu menjadi kegemaran semua penduduk dan pengunjung.

Kedai-kedai ini berada di sepanjang jalan besar Tanjung Lumpur, Mommy boleh pilih sahaja yang mana yang Mommy suka. Selain keropok lekor, mereka juga ada menjual otak-otak, sata dan banyak lagi!

Alamat: Jalan Tanjung Lumpur, Perkampungan Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan, Pahang

12. SuperTop

Sumber: Cloudy Monday

Super Top terkenal juga seperti Ana ikan bakar petai kerana tempatnya yang strategik dan kawasan yang luas. Ia adalah sebuah restoran makanan laut yang terletak di jalan besar Tanjung Lumpur. Terdapat pelbagai jenis hidangan yang didapati di restoran ini. Masakan seperti ikan bakar, sotong celup tepung dan banyak lagi.

Mommy boleh datang ke sini ramai-ramai bersama keluarga, tiada masalah! Kerana tempat letak keretanya juga luas.

Waktu Operasi: 11AM-6PM, tutup pada hari Isnin

Alamat: Jalan Tanjung Lumpur, Perkampungan Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan, Pahang

13. Bukit Panorama Sungai Lembing

Sumber: Shutterstock

Jarak perjalanan adalah sejauh 29 kilometer dari Bandar Kuantan, Mommy boleh sampai ke Sungai Lembing dalam masa 40 minit sahaja. Dengan ketinggian 271 meter, Bukit Panorama ini terkenal kerana pemandangan yang indah sewaktu matahari terbit. Ia adalah hiking trail untuk mereka yang suka mendaki.

Pendakian ini mempunyai tangga dan denai disediakan untuk ke kemuncak bukit. Jangan lupa untuk membawa lampu suluh semasa kawasan masih gelap.

Kawasannya sangat indah dan menakjubkan untuk para pendaki untuk melihat gumpalan awan dan udara yang segar. Lokasinya juga berdekatan dengan bandar Sungai Lembing.

Waktu Operasi: Dibuka 24 jam

Alamat: Kampung Kuala Kenau, 26200 Sungai Lembing, Pahang

14. Gua Charas Sungai Lembing

Sumber: Shutterstock

Selain itu, di Sungai Lembing juga terdapat Gua Charas terletak di Bukit Charas. Kawasannya penuh dengan ladang kelapa sawit dan Mommy perlu mendaki untuk naik ke laluan masuk ke gua ini.

Gua Charas ini adalah merupakan sebuah bukit batu kapur dan granit yang berusia hampir mencecah 400 juta tahun. Puncak yang tertinggi bukit tua ini adalah sehingga 355 meter.

Pada hujung gua ini terdapat terdapat patung Buddha yang berbaring. Peringatan untuk memakai kasut yang sesuai semasa hendak ke gua ini. Mommy juga boleh melihat pembetukan batu kapur dan lantainya basah kerana titisan air.

Harga tiket: Seorang RM2 & Tempat letak kereta RM3

Waktu Operasi: 9AM-5PM Setiap hari

Alamat: Jln Gua Charas, 26090 Kuantan, Pahang

15. Muzium Sungai Lembing

Sumber: Shutterstock

Terkenal dengan perlombongan bijih timah, Sungai Lembing menyediakan muzium untuk pengunjung melihat sejarah bijih timah. Muzium ini dibina untuk menyimpan khazanah bernilai negara berkaitan dengan industri perlombongan bijih timah. Ia juga terletak di bekas tapak perlombongan bijih timah yang terbesar pada zaman dahulu.

Tempat ini sangat bersejarah kerana ia mendidik pengunjung tentang alatan melombongan dan pakaian yang digunakan sewaktu melombong.

Sehubungan dengan itu, dekor dan seni bina muzium ini berhiaskan zaman kolonial dahulu. Terdapat juga terowong bawah tanah disini tetapi tidak dibuka untuk orang awam kerana faktor keselamatan. Untuk menyinggah ke tempat yang bersejarah boleh la Mommy membawa keluarga kesini.

Kepada pengunjung yang berminat untuk melihat dan mengetahui lebih mendalam tentang sejarah perlombongan bijih timah negara kita bolehlah berkunjung ke Muzium Sungai Lembing ini.

Harga tiket:  Dewasa: RM15(13 tahun ke atas)

Kanak-kanak (6 hingga 12 tahun/warga emas (60 tahun ke atas)/OKU: RM7.50

Waktu Operasi: 9AM-5PM, Jumaat ditutup pada waktu 12:15PM-2:45PM

Alamat: Jalan Muzium, Sungai Lembing, 26200 Sungai Lembing, Pahang

16. Pantai Balok

Sumber: Shutterstock

Untuk sampai ke pantai balok, ia mengambil masa selama 20 minit dari pusat bandaraya. Pengunjung dapat melihat pemadangan Laut China Selatan dibawah pokok ru yang menyelumbungi pantai Balok. Kawasannya yang tenang dan indah untuk berkelah bersama keluarga Mommy.

Mommy juga boleh bawa anak-anak mandi pantai dan juga bermain layang layang. Aktiviti lasak juga dapat dilakukan di sini seperti luncur angin, luncur layar dan perahu layar. Tambahan pula, Mommy juga boleh menyewa ATV dan menaikinya sepanjang pantai dengan begaya!

Disekitar kawasan pantai Balok memiliki pelbagai gerai yang menjual produk ikan dan jeruk. Mommy boleh singgah dan membawa pulang sebagai buah tangan buat keluarga Mommy.

17. Pantai Batu Hitam

Sumber: Shutterstock

Selain Pantai Balok, Mommy juga boleh mengunjung Pantai Batu Hitam. Ianya sejauh 8-9 kilometer daripada bandar Kuantan. Pantai Batu Hitam terletak di Jalan Berserah. Waktu yang paling sesuai untuk mengunjung adalah pada sebelah petang. Ramai penduduk akan beriadah dan bermain layang-layang di sini.

Kadang-kadang pantai ini juga meletakkan hiasan malam untuk tarikan pelacong. Sesuai untuk mengambil gambar bersama keluarga dan anak-anak Mommy mesti seronok melihat tarikannya. Ia juga berhampiran dengan medan selera Kimstone, sambil-sambil tu boleh la singgah juga.

Di pantai juga ada gerai-gerai yang menjual makanan petang seperti keropok lekor, goreng pisang, mi chalong dan sebangainya!

Pantai Batu Hitam juga menyediakan tempat penginapan untuk pengunjung.  Batu Hitam Beach Resort, Blackstone Resort & juga Mawar Villa Batu Hitam adalah tempat penginapan yang sering menjadi pilihan pengunjung.

18. Taman Gelora

Sumber: Shutterstock

Selalu tengah hari panas untuk berjalan, jalan diwaktu petang adalah sangat sesuai di Taman Gelora ini. Selalunya penduduk akan beriadah di sini kerana kawasannya yang luas serta nyaman. Dilindungi dengan pokok ru yang tinggi, ianya sangat teduh untuk beriadah disini. Terdapat juga padang bola dan gelanggang tenis.

Di sekitar kawasan ini juga mempunyai pelbagai gerai makanan yang menjadi kegemaran orang ramai. Menu popular di Taman Gelora ialah rojak dan nasi ayam. Selain itu, cendol, ABC, keropok lekor dan cucuk-cucuk juga mendapat dinikmati disini. Mommy boleh pilih apa sahaja yang Mommy nak!

Tidak lupa juga pada tasik yang penuh dengan bunga teratai. Jangan lupa ambil gambar disini bersama keluarga tersayang!

Waktu Operasi: Dibuka 24 jam

Alamat: Jalan Dato Abdullah, Kampung Tanjung Api, 25050 Kuantan, Pahang

19. Bukit Gambang Resort City

Sumber: Ticket2u

Haaa nak pergi taman tema air dan zoo? Boleh kunjung ke Bukit Gambang Resort City! Hanya 35-40 kilometer sahaja daripada bandar. Semetinya anak-anak Mommy akan suka tempat ini kerana ia sangat sesuai untuk keluarga bersuka ria. Selain itu, banyak syarikat mengujung disini untuk aktiviti team building atau family day. Tempat ini penuh dengan pengunjung kerana tarikan pelancongnya yang sangat menarik.

Terdapat 3 tarikan pelancong utama iaitu Water Theme Park, Coco Beach & Wave Pool dan Lagoon. Di samping itu, terdapat juga Safari Park merupakan taman safari untuk melihat binatang menarik seperti di zoo seperti white lion, unta, harimau & sebagainya.

Yang terakhir adalah Active Academy Outdoor Park yang menyediakan pelbagai pilihan aktiviti outdoor yang boleh dilakukan secara berkumpulan seperti flying fox, archery, ATV fun ride, horse riding & paintball. Peringatan untuk berpakaian sesuai kalau mahu mencuba aktiviti outdoor disini!

Alamat: Bukit Gambang Resort City, 26300 Gambang, Pahang

20. Natural batik village

Sumber: Visit Malaysia

Berdekatan dengan Pantai Balok, Natural Batik Village menawarkan pengalaman untuk mencanting batik buat yang belum pernah mencubanya. Ia juga terdapat pelbagai kedai seperti lukisan corak batik. Produk yang jual adalah berkualiti, Mommy boleh bawa buah tangan kepada kawan-kawan dan juga keluarga terdekat Mommy.

Natural Batik Village ini boleh mencanting batik mengikut kreativiti Mommy dan anak-anak. Ia adalah tempat yang bagus untuk dedahkan anak-anak dengan seni batik. Bayarannya adalah pelbagai kerana produknya berbagai-bagai.

Selepas menghasil batik disini, Mommy boleh bawa pulang sebagai buah tangan. Tempat ini juga menunjuk proses membuat batik yang membuatkan perjalanan ke Kuantan lebih bermakna. Rugi tau kalau tak singgah!

Harganya berbagai kerana mengikut corak dan barang yang dipilih

Waktu Operasi: 10AM-7PM Setiap hari

Alamat: Lot 4898, Batu 9 1/2, Jalan Kemaman, Kampung Chengkol Lempong, Balok, 26100 Kuantan, Pahang

21. Pantai Cherating

Sumber: Shutterstock

Cherating boleh dikatakan pantai yang harus dikunjung. Terletak hanya 30-40 minit daripada Kuantan, Mommy boleh melihat keindahan Cherating. Pantai yang luas ini menawarkan pemandangan yang sangat indah yang dapat di nikmati seisi keluarga. Rugilah kalau Mommy tak singgah. Boleh juga singgah di kedai-kedai menjual baju tie dye yang sangat popular di sini.

Memandu lagi 30-40 minit juga Mommy boleh sampai ke Kemaman, Terengganu. Maka Cherating adalah tempat strategik untuk mengunjung ke antara Kuantan dan Terengganu. Cherating adalah juga tempat untuk berbulan madu bersama orang yang tersayang.

Terdapat pelbagai tempat penginapan di sini, seperti Royale Chulan Cherating, Holiday Villa Beach dan banyak lagi. Aktiviti outdoor juga termasuk megunjung santuari penyu, berkayak, tengok kelip-kelip dan mandi di pantai.

22. Cafe Marion

Sumber: Thevocket

Tempat viral terkini adalah Cafe Marion yang berhadapan dengan pantai Cherating. Ia mendapat sambutan kerana pencuci mulut dan pastri asli Perancis yang dijual dan dibuat oleh pemiliknya sepasang suami isteri dan isterinya adalah seorang wanita perancis. Selepas viral di media sosial, pengunjug sanggup beratur panjang untuk membelinya.

Buat masa ini, satu pelanggan terhad untuk membeli hanya 5 jenis pastri sahaja. Mereka juga akan tutup awal apabila pastri mereka sudah habis dijual.

Maklumat lanjut boleh ke Facebook Cafe Marion.

Waktu Operasi: 1PM-7PM. Tutup pada Selasa & Rabu

Alamat1011, Jalan Kampung Cherating Lama, Kampung Cherating, 26080 Balok, Pahang

23. Pantai Sepat

Sumber: Shutterstock

Pantai terkenal ini dikenali sebagai Tanjung Sepat. Ia adalah tempat terkenal untuk berkelah kerana terletak di perkampungan Melayu nelayan di Kuantan. Pantai ini terletak lebih kurang 10 kilometer dari bandar Kuantan. Ramai juga datang berkunjung untuk mandi pantai dan melakukan aktiviti family day.

Pengunjung juga boleh bermain layang-layang dan menawrkan perkhidmatan menunggang kuda kepada pengunjung yang ingin bergaya semasa berada di tepi pantai. Boleh la Mommy sewa kuda bersama anak-anak. Peringatan untuk menjaga kebersihan pantai semasa berada disini!

Tak Sabar Nak Jalan

Apalagi Mommy, cepat-cepat buat perancangan, banyak tempat nak jalan ni! Peringatan untuk Mommy supaya selalu berhati-hati dengan persekitaran dan sentiasa peka dengan anak-anak semasa di pantai.

Tidak gemar tempat panas atau pantai? Boleh beralih ke tempat sejuk yang lebih sejuk, lihat disini untuk memulakan perjalanan Mommy!