Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Pelbagai Tempat Menarik di Kundasang Yang Bercuaca Dingin Dan Nyaman Untuk Dikunjungi

Mommy teringin melancong ke tempat-tempat bercuaca dingin? Tak perlu berjalan jauh! Negara kita sendiri ada destinasi pelancongan ala-ala New Zealand dengan pemandangan yang indah dan udara yang dingin dan nyaman.

Tempat itu tak lain tak bukan ialah Kundasang di Sabah. Sebenarnya memang banyak sangat tempat menarik di Kundasang yang boleh dilawati.

Mommy tahu tak, pada ketinggian hampir dua ribu meter (6,200 kaki), ia menjadikan Kundasang penempatan tertinggi di Malaysia.

Kundasang adalah bandar paling dekat dengan Gunung Kinabalu, jadi dari sini Mommy boleh mendapat pandangan panoramik gunung tersebut yang paling cantik.

Jom tengok beberapa tempat menarik di Kundasang yang Mommy sekeluarga boleh ziarah.

10 Tempat Menarik Di Kundasang, Sabah

1. Desa Cattle Dairy Farm

Highlighted

Sumber: DESA Dairy Farm, Sabah

Bagi sesiapa yang suka melancong, kalau sebut sahaja Kundasang, tentu kerap dikaitkan dengan tarikan ini.

Inilah kawasan yang selalu dibandingkan dengan New Zealand kerana pemandangannya yang merangkumi padang rumput hijau yang luas yang diragut lembu-lembu Holstein Friesian serta bukit-bukau yang beralun membuatkan sesiapa sahaja rasa macam sedang berada di New Zealand!

Di sini Mommy sekeluarga boleh mempelajari tentang penternakan lembu dan juga merasa pelbagai produk tenusu yang segar seperti susu dan ais krim. Nikmat sungguh!

Alamat: Jalan Cinta Mata Mesilou, 89308 Kundasang, Sabah

Laman Web: desaplus.com

Facebook: DESA Dairy Farm, Sabah

Instagram: @desadairyfarm

No. Telefon: 088-889 562

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak bawah 12 tahun: RM4
– Kanak-kanak bawah 6 tahun: Percuma

2. Taman Kinabalu

Sumber: Tempat Menarik Di Malaysia

Macam yang disebutkan tadi, Gunung Kinabalu memang dekat sahaja dengan bandar Kundasang. Kalau Mommy sekeluarga suka mendaki atau beriadah, Taman Kinabalu memang menjadi tempat sesuai untuk Mommy.

Terdapat lapan laluan mendaki yang boleh dilalui untuk Ibu menghayati keindahan flora dan fauna yang eksotik di Taman Kinabalu.

Kalau tiba-tiba berasa lapar, Mommy boleh singgah ke tempat menjamu selera yang ada disediakan di taman ini. Di dalam Taman Kinabalu ini juga terdapat Timpohon Gate, iaitu tempat bermulanya pendakian Gunung Kinabalu.

Alamat: 89300 Ranau, Sabah

Laman Web: sabahparks.org.my/kinabalu-park

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 4.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1

3. D’mesilau Rabbit Garden

Sumber: D’mesilau Rabbit Garden

Kalau anak-anak Mommy suka binatang peliharaan seperti kucing, mereka tentu akan suka D’mesilau Rabbit Garden, iaitu taman arnab tertinggi di Malaysia.

Anak-anak Mommy boleh bermain dengan arnab yang jinak dengan cuaca yang nyaman, seronok betul! Tambahan pula, taman arnab ini berlatarkan Gunung Kinabalu dengan pemandangan yang memukau.

Tentu anak-anak tak mahu balik rumah nanti dan mahu tinggal di tempat menarik di Kundasang ini!

Alamat: Kampung, Jalan Cinta Mata Mesilou, 89307 Kundasang

Laman Web: Facebook D’mesilau Rabbit Garden

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 4.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM3

4. Kundasang War Memorial

Sumber: TripAdvisor

Kundasang War Memorial, atau juga dikenali sebagai Tugu Peringatan Perang Kundasang dibina untuk memperingati tentera British dan Australia yang terkorban di kem tawanan perang Sandakan semasa perarakan maut mereka ke Ranau.

Selain itu, ia juga mengiktiraf penderitaan dan pengorbanan penduduk asal Sabah. Memorial ini terbahagi kepada empat kawasan yang saling bersambung, iaitu The Australian Garden, The English Rose Garden, The Borneo Garden (dengan bunga liar dari Gunung Kinabalu), dan The Contemplation Garden.

Kalau Mama sekeluarga suka sejarah atau bersiar-siar secara santai, bolehlah lawat tugu peringatan ini.

Alamat: Jalan Kundasang Kauluan, Kundasang, 89300 Ranau, Sabah

Waktu Operasi: 8.30 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak: RM2

5. Dataran Sayur, Buah, Dan Bunga

Sumber goranau.com

Dataran yang terletak berdekatan dengan pekan Kundasang ini menawarkan pelbagai jenis sayur-sayuran, buah-buahan, dan bunga-bunga yang cantik yang boleh didapati di kawasan dingin seperti Kundasang.

Kalau Mommy bercuti di sini dan duduk di rumah homestay, tentu boleh masak sayur-sayuran segar dengan segera. Anak-anak pun boleh menikmati buah-buahan segar.

Paling kurang pun, berjalan-jalan di dataran ini menikmati bunga-bunga yang berada di situ tentu menyeronokkan.

Alamat: Pekan Kundasang, 89308 Ranau, Sabah

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 8.00 malam

Harga Masuk: Percuma

6. Kolam Air Panas Poring

Sumber: resepimacam2.blogspot.com

Di mana-mana sahaja di seluruh dunia, kalau ada kolam air panas sebagai tarikan sesuatu kawasan, tentu tiada siapa yang tak mahu lawati! Kolam Air Panas Poring ini juga menjadi tarikan yang amat popular di Sabah.

Nama ‘Poring’ berasal daripada perkataan Kadazandusun untuk spesies buluh yang terdapat di kawasan itu. Kolam Air Panas Poring ini merupakan kawasan tadahan air panas semulajadi yang datangnya dari aliran air gunung.

Disebabkan kandungan mineral sulfurik di dalam kolam air ini, ia dikatakan mempunyai sifat terapeutik seperti meredakan sakit otot.

Alamat: 89300 Ranau, Sabah

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 3.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: : RM3
– Kanak-kanak: RM1

7. Culvert View

Sumber: goranau.com

Kalau salah satu tujuan Mommy bercuti adalah untuk mengambil banyak gambar sebagai kenangan, Culvert View menawarkan lokasi dengan pemandangan panoramik Kundasang yang amat indah.

Di sini, para pengunjung boleh bergambar di pentas ‘sky reflection’ yang menunjukkan refleksi atau bayangan langit.

Terdapat juga ‘Stairway In The Sky’ dan buaian yang terletak disini berlatarkan Gunung Kinabalu. Gambar yang diambil nanti tentu cantik walaupun bukan jurugambar profesional!

Alamat: 89308 Kundasang, Sabah

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 3.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM10
– Kanak-kanak: RM6

8. Sosodikon Hill Kundasang

Sosodikon Hill ialah adalah titik vista dari mana Mommy sekeluarga boleh melihat Gunung Kinabalu yang megah. Walaupun perlu mendaki sedikit dalam 10 ke 15 minit, pemandangan yang dapat dilihat dari sini memang berbaloi!

Tambahan pula, udara yang segar sementara mendaki tentu bagus untuk kesihatan Mommy. Waktu terbaik untuk mendaki dan menghayati pemandangan disini adalah apabila Matahari naik atau terbenam, terpulang kepada Mommy.

Alamat: Kg Kauluan Peti Surat 873, 89308 Kundasang, Sabah

Waktu Operasi: 6.00 pagi – 6.00 petang

Harga Masuk:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak: RM1

9. Ladang Teh Sabah (Sabah Tea Resort)

Sumber: mapio.net

Tak kira sama ada Mommy penggemar teh atau kopi, melawati Ladang Teh Sabah adalah satu kemestian!

Ladang teh bukan sahaja terdapat di Cameron Highlands, tetapi juga di Kundasang kerana cuacanya yang dingin yang membuatkan kawasan ini kondusif untuk pertumbuhan daun teh yang berkualiti tinggi.

Ladang teh ini berada di ketinggian 2,272 kaki daripada aras laut dengan keluasan ladang sebesar 6,200 ekar dan dikelilingi hutan rimba yang telah wujud sejak 130 juta tahun dahulu!

Pelbagai perkara berkaitan teh yang Mommy sekeluarga boleh pelajari di ladang teh organik ini.

Alamat: KM 17, Jalan Ranau/Sandakan Kampung Nalapak

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa / Kanak-kanak: RM10

10. Tagal Luanti Sungai Moroli (Spa ikan di Sungai Moroli)

Sumber: pakdinz_chargeman

Salah satu tarikan yang hampir tidak boleh didapati di negeri lain, Tagal Luanti Sungai Moroli ialah tempat spa ikan di Sungai Moroli.

‘Tagal’ merupakan dialek perkataan Khadazan Dusun yang bermaksud ‘tidak boleh memancing’, jadi ikan-ikan di sini dikekalkan bagi pemuliharaan alam untuk masa hadapan.

Walau bagaimanapun, pelancong boleh ambil kesempatan dengan spa ikan di mana Ikan Kelah atau ‘Malaysian Mahseer’ atau dikenali juga dikalangan orang tempatan sebagai ‘Ikan Pelian’ akan melakukan spa di kaki Mommy dengan memakan sel-sel kulit mati di kaki.

Jangan lepaskan peluang untuk menghayati aktiviti ini di sini!

Alamat: Ranau Tagal Sg. Moroni, 89300 Ranau, Sabah

Waktu Operasi: 8.30 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket Rendam Kaki:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM2

Harga Tiket Mandi Dengan Ikan:
– Dewasa / Kanak-kanak: RM10


Kalau Mommy sekeluarga idami percutian di kawasan yang dingin dan nyaman, bukan Cameron Highland sahaja yang Mommy boleh pergi tau!

Seperti lokasi-lokasi yang disenaraikan di atas, terdapat banyak tempat menarik di Kundasang yang boleh dikunjungi. Selamat bercuti!