Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Jom Bercuti! 20+ Tempat Menarik Di Langkawi Yang Rugi Kalau ‘Hampa Takpi!’

Mesti stress dengan kerja dan terperap dalam rumah kan? Mommy mahu merancang percutian dengan keluarga dan anak-anak?

Sejurus Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan ‘travel bubble’ ke Langkawi, ramai rakyat Malaysia yang sudah lengkap 2 dos vaksin COVID-19 datang bercuti di Langkawi.

Tapi persoalannya, mana tempat yang hangat untuk dikunjungi bersama seisi keluarga?

Di bawah akan kita kongsikan senarai tempat pelancongan yang terkenal di Langkawi!

20+ Tempat Menarik Yang Hangat Bak Hang Di Langkawi 2021

#1 Langkawi Wildlife Park

Highlighted

Sumber: Shutterstock

Mommy nak bawa anak-anak melihat keindahan haiwan? Boleh singgah di Langkawi Wildlife Park! Mommy boleh didik anak-anak untuk mengenal haiwan-haiwan dan keunikan mereka. Dah lama anak-anak terperap di rumah kan?

Sangat sesuai untuk ‘baby PKP’, anak-anak Mommy juga berpeluang untuk melihat, memberi makan dan menyentuh haiwan-haiwan di sini. Haiwan disini juga terjaga dengan baik dan bersih.

Hanya haiwan terpilih sahaja yang boleh diberi makan seperti, arnab, burung, rusa, ikan, itik dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sesetengah haiwan pula hanya perlu diberi makan pada waktu tertentu seperti Amazon Arapaima, buaya dan Love Birds (Budgerigars).

Harga tiket:

  • Dewasa RM24
  • Kanak-kanak (3 hingga 12 Tahun) RM16
  • Warga Emas (55 & Keatas) RM16

Waktu Operasi: 8:30AM-6PM, setiap hari

Alamat: Lot 1485, Jalan Ayer Hangat, Kampung Belanga Pecah

#2 Pulau Payar

Sumber: Shutterstock

Pulau Payar Marine Park merupakan destinasi terkenal buat mereka yang mahu ke Langkawi. Ia tidak terikat dengan mana mana penghuni, cuma terdapat pelbagai aktiviti outdoor yang boleh dilakukan disini. Terdapat pelbagai aktiviti seperti jungle trekking, memerhati burung, menyelam skuba dan snorkeling.

Untuk berenang bersama ikan seperti berada dalam akuarium, ini lokasi yang sangat sesuai untuk Mommy! Kehidupan marin disini terjaga kerana tempat ini dilarang untuk menjalankan sebarang aktiviti perikanan.

Anak-anak Mommy mesti suka dapat tengok ikan di dalam air yang jernih!

Alamat: Pulau Payar Marine Park

#3 Pantai Cenang

Sumber: Shutterstock

Tempat yang paling sesuai untuk tengok sunset! Pantai Cenang ini adalah antara pantai yang paling terkenal di Langkawi. Bukan sahaja terkenal, malah kawasan sekitarnya sangat meriah dan menarik kerana penuh dengan perniagaan orang tempatan.

Selain sesuai untuk beriadah dan bersantai, Mommy boleh lakukan pelbagai aktiviti ‘outdoor’ seperti jet ski, parasailing, banana boat, dan banyak lagi!

Kalau Mommy lapar, jangan risau kerana terdapat pelbagai restoran dan kafe-kafe terkenal di sepanjang Pantai Cenang ini.

Alamat: Pantai Cenang, Langkawi 07000

#4 SkyBridge Cable Car

Sumber: Shutterstock

WAJIB PERGI!

Untuk menikmati pemandangan Pulau Langkawi, Mommy boleh bawa seisi keluarga untuk menaiki SkyBridge Cabel Car ini. Dilengkapi dengan teknologi dari Switzerland, Mommy dan anak-anak tidak perlu risau atau ragu-ragu dengan keselamatan apabila berada di atas cable car ini!

Dengan jarak sejauh 2.2 kilometer, cable car ini bersambung dari Oriental Village di Teluk Burau hingga ke puncak Gunung Mat Cincang. Ini adalah cable car yang paling panjang di dunia. Untuk ke puncak, ia akan mengambil masa selama 15 minit.

*Nota: Kesemua gondola (private, express dan lain-lain) ditawarkan dalam pakej kombo 4 tiket dalam 1 seperti Normal Kombo

Harga tiket:

  • Normal Kombo (Kereta Kabel + SkyDome + SkyRex + 3D Art Langkawi): Dewasa RM43 | Kanak-Kanak RM33
  • Express Lane: Dewasa RM93 | Kanak-Kanak RM83
  • Glass Bottom Gondola: RM105
  • Private Gondola: RM550 / 6 Pax
  • VIP Gondola: RM550 / 6 Pax

Waktu Operasi: 930AM–7PM, setiap hari

Alamat: Oriental Park, Langkawi

Laman web: https://panoramalangkawi.com/

#5 Makam Mahsuri

Sumber: Shutterstock

Terletak 12 kilometer dari Pekan Kuah, Kota Mahsuri ini terkenal dengan lagenda sumpahan Mahsuri, dimana ia juga dikatakan tempat Mahsuri binti Pandak Maya dikuburkan.

Sumpahan Mahsuri adalah lagenda yang mempercayai bahawa Kota Mahsuri merupakan tempat Mahsuri binti Pandak Mayah dikebumikan.

Untuk Mommy yang kurang mengenali Mahsuri ataupun ingin ceritakan pada anak-anak Mommy, Mahsuri merupakan seorang gadis kelahiran Pulau Langkawi yang difitnah serta dibunuh. Walau bagaimanapun, darah yang mengalir daripada Mahsuri dikatakan berwarna putih dan ia membuktikan bahawa dia tidak bersalah dan difitnah. Akibat peristiwa itu, Mahsuri telah menyumpah Pulau Langkawi supaya tidak akan subur dan aman sehingga tujuh keturunan beliau.

Rumahnya dibina semula dan menjadi sebuah muzium, teater tradisional dan rumah Kedah yang menunjukkan bentuk dan senibina rumah pada waktu itu.

Selain daripada dapat menambah ilmu, Mommy juga boleh mendapatkan cenderamata dari Langkawi atau Kedah semasa berada di sini. Kemudahan seperti tempat letak kereta juga disediakan dan ia adalah percuma.

Harga tiket: Dewasa RM12, Kanak-Kanak RM6

Waktu Operasi: 8AM-6PM Isnin-Jumaat, 8AM-6:30PM Sabtu & Ahad

Alamat: Kampung Mawar, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia

#6 Air Terjun Telaga Tujuh

Sumber: Shutterstock

Kerana pemandangannya yang indah, nama Air Terjun Telaga Tujuh adalah berdasarkan daripada kehadiran 7 mata air yang membentuk air terjun ini.

Untuk sampai ke puncak air terjun ini, Mommy perlu mendaki selama 45 minit atau sejam. Terdapat tangga yang curam disediakan. Sekiranya Mommy dan Daddy datang bersama anak-anak, jangan lupa untuk lebih berhati-hati kerana jalannya yang agak licin dan curam.

Masuk adalah percuma.

Waktu Operasi: Setiap hari

Alamat: Gunung Mat Cincang, 1km dari Oriental Village

#7 Ayer Hangat Village

Sumber: Shutterstock

Ayer Hangat Village ini merupakan salah satu tempat menarik di Langkawi kerana ia terkenal dengan hot spring yang dapat menyegarkan badan selepas penat berjalan di sekitar pulau ini.

Yang bestnya di sini adalah tiga tingkat telaga air panas, dan air panasnya yang bergaram. Ia merupakan fenomena yang jarang berlaku dan hanya tiga buah negara sahaja yang memiliki air hangat seperti ini.

Disebabkan airnya yang bergaram dan kandungan mineral yang banyak, ia dapat membantu memulihkan pelbagai jenis penyakit seperti penyakit sendi, kulit, dan sebagainya.

Harga tiket: Dewasa RM10, Kanak-Kanak (7 tahun keatas) & Warga Emas RM5

Waktu Operasi: 10AM-10PM, Setiap Hari

Alamat: 16 Jalan Air Hangat, Mukim Air Hangat, 07000 Langkawi

#8 Tanjung Rhu

Sumber: Tanjung Rhu

Tanjung Rhu terkenal dengan pemandangannya yang mempersonakan. Tanjung Rhu menyediakan suasana yang lebih tenang dan sunyi berbanding Pantai Cenang. Disini juga pokok-pokoknya sangat lebat dan teduh. Walaupun hari panas, Mommy dapat menikmatinya dengan nyaman.

Banyak aktiviti yang boleh buat di pantai ini, seperti parasailing, snorkeling dan banyak lagi! Anak-anak pun berpeluang untuk melihat bot nelayan dan bot pelancongan yang berlabuh di sini.

Namun, kebanyakkan pantai di sepanjang Tanjung Rhu ini adalah pantai persendirian yang dimiliki oleh tempat penginapan di kawasan ini; dimana hanya tetamu yang tinggal di sini sahaja boleh berada pada bila-bila masa.

Pantai Tanjung Rhu juga akan ditutup untuk orang awam bermula jam 530 petang dan ke atas.

Waktu Operasi: 830 AM-530PM, setiap hari

Alamat: Jalan Tanjung Rhu, Tanjung Rhu, 07000 Langkawi

#9 Underwater World Langkawi

Sumber: Shutterstock

Ingat di Kuala Lumpur sahaja ada akuarium besar yang boleh dilawati? Underwater World Langkawi merupakan antara aquaria yang terbesar di rantau Asia dan yang pertama di Malaysia. Ia mula beroperasi sejak tahun 1995 lagi.

Terdapat pelbagai zon yang boleh dilawati di sini seperti River Ecosystem, Temperate Section, Sub-Antarctic, Hexagonal Tank, Tropical Rainforest dan banyak lagi. Pasti anak-anak Mommy tak akan lupa pengalaman semasa berada di sini!

Harga tiket:

  • Dewasa – RM33 (Beserta MyKad)
  • Kanak-kanak – RM23 (Beserta MyKad)
  • Warga Emas – RM29 (Beserta MyKad)

Waktu Operasi: 10AM-6PM Setiap Hari, 930AM-630PM, Cuti Umum & Cuti Sekolah

Waktu Makan Haiwan Setiap Hari:

  • African Penguins: 11.00 am – 2.45 pm
  • Rockhopper Penguins: 11.15 am – 3.00 pm
  • Tunnel Tank: 3.30 pm

AlamatZon Pantai Cenang, Mukim Kedawang, 07000, Langkawi

Laman web: https://www.underwaterworldlangkawi.com/index.php

#10 Pulau Dayang Bunting

Sumber: Shutterstock

Pulau ini dikatakan kelihatan seperti perempuan bunting (mengandung) yang sedang baring. Tempat ini adalah tempat kegemaran puteri kayangan iaitu Mayang Sari.

Jika Mommy sampai ke kawasan tasik ini, Mommy boleh melihat pemandangan yang menakjubkan ini sambil merendamkan kaki. Para pengunjung juga boleh berenang untuk menyejukkan badan ketika cuaca panas. Tapi jangan lupa memakai jaket keselamatan ya Mommy!

Kedengaran dari lagenda disini, Mommy boleh minum air dari tasik kerana ia mujarab untuk mendapatkan anak! Wow!

Harga tiket: Dewasa RM5, Kanak-kanak RM3

Waktu Operasi: 830AM-6PM, Setiap Hari

Alamat: Pulau Dayang Bunting

#11 Skytrex

Sumber: Thrillophilia

Untuk mereka yang gemarkan atau ingin mencuba aktiviti lasak, bolehlah singgah di Skytrex Adventure Langkawi. Walaupun Skytrex mempunyai banyak cawangan, Skytrex Langkawi adalah lebih luas daripada biasa dan sesuai untuk outdoor! Waktu operasinya juga lebih panjang daripada yang lain.

Malah, pengunjung juga boleh melihat pemandangan Gunung Mat Cincang yang cantik dari Skytrex ini. Sebelum Mommy dan keluarga ke sana, jangan lupa untuk periksa beberapa syarat kemasukan ke sini, seperti:

  • Berat tidak boleh melebihi 100kg
  • Ketinggian tidak kurang daripada 1.5 meter

Skytrex Adveture Langkawi ini menyediakan beberapa tahap permainan yang berbeza seperti Beginner, Intermediate dan Expert, yang boleh dipilih bersesuaian dengan tahap yang Mommy ingin cuba.

Harga tiket:

  • Walk-In: Beginner RM79 | Intermediate RM89 | Expert RM99
  • Online: Beginner RM60 | Intermediate RM70 | Advanced RM80

Waktu Operasi: 9AM Sesi Awal, 3PM Sesi Akhir

Alamat: Skytrex Langkawi Adventure Park Jalan Teluk Yu Kampung Kok Langkawi Kedah

Laman Web: https://www.skytrex-adventure.org/langkawi

#12 Kilim Geoforest Park, Langkawi 

Sumber: Shutterstock

Dengan keluasan 100km persegi, Kilim Geoforest Park merupakan sebuah kawasan taman hutan yang penuh dengan keindahan alam seperti gua dan pantai yang menakjubkan dan kawasan paya bakau yang sangat menarik untuk dikunjungi!

Tarikan lain disini termasuklah Gua Kelawar, Gua Terapung dan kawasan Eagle Feeding. Sambil-sambil tu Mommy boleh melihat keindahan flora dan fauna dan melihat haiwan liar di dalam habitat semula jadi mereka.

Waktu terbaik untuk ke sini adalah antara September hingga Mac.

Bayaran Tour: 2 Jam RM350/Bot, 3 Jam RM450/Bot, 4 Jam RM500/Bot

Waktu Operasi: 9AM-5PM, Setiap Hari

Alamat: Sungai Kilim Tourist Jetty, Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat, 07000 Kilim, Langkawi

Laman Web: https://kilimgeoforestpark.com/

#13 Air Terjun Temurun

Sumber: Shutterstock

Datai Bay memiliki Air Terjun Temurun setinggi 3 tingkat dan menjadi air terjun yang tertinggi di Langkawi. Batu-batu yang mengelilingi air terjun ini mencecah 500 juta tahun! Bermula dari air sungai utara Gunung Mat Cincang kemudian menjadi air terjun temurun ini.

Hanya berjalan selama lebih kurang 5 minit dari tempat letak kereta utama, Mommy sudah boleh sampai disini dengan senang. Selain bermandi-manda di sini, Mommy boleh berehat di gazebo yang disediakan dan menikmati udara nyaman.

Berdasarkan perkongsian warga tempatan, air terjun ini sesuai untuk dikunjungi dari bulan September hingga Oktober kerana airnya dikatakan mencurah dalam jumlah yang lebih banyak pada waktu ini.

#14 Air Terjun Durian Perangin

Sumber: Ithaka

Sebuah lagi air terjun yang terletak di dusun dan perkampungan penduduk di sini. Air Terjun Durian Perangin menjadi tarikan orang ramai kerana ia mempunyai 14 peringkat air terjun yang menakjubkan apabila dilihat.

Tempat ini terkenal untuk berkelah, berenang, dan juga untuk aktiviti bbq kerana tempat bbq ada disediakan disini.

Alamat: Air Terjun Durian Perangin 06010 Changlun, Kedah

#15 Nusantara Gamat

Sumber: Naturally Langkawi

Kalau sebut pasal gamat atau minyak gamat, mesti ramai yang terus ingatkan Langkawi bukan?

Sejak dahulu lagi, gamat atau kilang gamat merupakan antara tempat menarik di Langkawi. Sesiapa sahaja yang ke Langkawi pasti akan pulang dengan beberapa botol minyak gamat sama ada untuk diri sendiri atau sebagai cenderamata kepada kenalan.

Nusantaran Gamat merupakan antara tempat pengeluaran minyak gamat yang terkenal dengan tarikan ini. Para pengunjung boleh melihat proses gamat dilakukan dari awal hingga dibotolkan. Mommy juga boleh mendapatkan pelbagai produk tempatan yang terkenal di sini selain daripada yang berasaskan gamat.

Selamat membeli belah Mommy!

Waktu Operasi: 830AM-5PM Isnin-Khamis, 830AM-7PM Jumaat & Sabtu, 9AM-7PM Ahad

Alamat: Nusantara Gamat, Jalan Padang Mat Sirat

#16 Splash Out Langkawi

Sumber: Shutterstock

Mesti Mommy tak tahu bahawa di Langkawi juga terdapat ‘waterpark’ untuk anak-anak bukan? Splash Out Langkawi menawarkan 12 tarikan permainan air yang berbeza, menjadikan taman tema air yang dikelilingi laut biru ini amat istimewa dan lain daripada yang lain.

Antata tarikan yang ditawarkan adalah seperti Wild Water, Sprinkle Island, River of Life, Rangin Racers, Poseidon’s Reveng, Splash-Tacular, Perfect Storm dan banyak lagi!

Taman tema air ini juga ada menyediakan kemudahan-kemudahan lain seperti cafe, tandas, locker, dan surau untuk para pengunjung.

Harga tiket:

  • Tiket Masuk (Online): Dewasa RM67.50, Kanak-Kanak (90 cm – 12 cm) RM49.50, Warga Emas RM36
  • Sewaan: Gazebo RM80, Locker (Kecil) RM20, Locker (Sederhana) RM30

Waktu Operasi: 10AM-6PM Isnin – Khamis, 10AM-7PM Jumaat, Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah & Cuti Umum

Alamat: 79, Persiaran Mutiara 2, Pusat Perdagangan Kelana Mas, 07000 Langkawi, Kedah

Laman Web: https://splashoutlangkawi.com/home/

#17 Pulau Rebak Besar

Sumber: Shutterstock

Nama Pulau Rebak ini adalah bersempenakan nama pokok Rebak yang terletak di pulau ini. Berkeluasan 390 ekar, pulau ini dikelilingi dengan huran rimba yang hampir mencecah 100 juta tahun.

Jika Mommy mahu merasakan pulau persendirian, ini adalah destinasi yang sempurna buat Mommy dan keluarga Mommy. Pulau ini dimiliki Vivanta by Taj, pemilik Rebak Island Resort. Hotel ini berada didalam pulau ini. Pantai-pantai disini juga dapat diakses jika Mommy menginap disini.

Harga penginapan: bermula dari RM521+ semalam

Alamat:

  • Pulau: Pulau Rebak, Langkawi
  • Hotel: Vivanta by Taj – Rebak Island Resort, Pulau Rebak, Langkawi

#18 Dataran Lang

Sumber: Shutterstock

Haa, siapa yang tak kenal dengan arca burung yang ikonik dan melambangkan simbol Langkawi ni bukan? Ia merupakan antara tempat wajib untuk dilawati dan bergambar – barulah menunjukkan bukti Mommy semua sudah tiba di Langkawi!

Apakah kaitan burung helang dan Langkawi? Untuk pengetahuan Mommy, ‘kawi’ bermaksud perang yang kemerahan, manakala ‘lang’ pula adalah daripada perkataan ‘helang’.

Langkawi sebenarnya bermaksud burung helang yang berwarna perang kemerahan. Namun ada juga yang mengatakan bahawa Langkawi ini adalah gabungan dua perkataan Sanskrit iaitu ‘langka’ dan juga ‘wi’ yang membawa maksud ‘keindahan’ dan ‘tidak terkira’.

Dikelilingi air laut yang biru, Dataran Lang ini merupakan tempat wajib untuk Mommy datang bergambar bersama anak-anak! Tempat ini terletak di sekitar jeti Kuah. Jadi, bagi mereka yang datang ke Langkawi dengan menaiki feri, anda bolehlah terus mengunjungi tempat ini sejurus anda tiba di Langkawi.

Singgah, jangan tak singgah Mommy!

Waktu Operasi: 24 Jam

Alamat: Dataran Helang, Kuah, 07000 Langkawi, Kedah

#19 Temonyong Night Market

Sumber: Trip101

Satu lagi, Langkawi mempunyai pelbagai pasar malam seperti Temonyong ni. Kalau Mommy berminat untuk membeli belah di pasar malam dengan harga yang murah boleh la datang kesini.

Kalau anda tercari-cari kudapan dalam harga bajet untuk dinikmati setelah puas makan angin, datanglah ke Pasar Malam Temonyong yang terletak di Kampung Lubok Buaya.

Dibuka pada setiap hari Khamis jam 6PM hingga 11PM. Mommy boleh datang awal ke sini untuk mendapatkan tempat letak kereta yang strategik.

Waktu Operasi: 6PM-11PM, setiap Khamis

Alamat: Kampung Lubok Buaya, 07000 Langkawi, Kedah

#20 Masjid Al Hana

Sumber: Langkawi

Masjid Al Hana adalah masjid yang terkenal dan terbesar di Langkawi. Masjid ini telah dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman. Seni binanya bertemakan Moorish dan juga Andalusia dan ia siap dibina pada tahun 1959.

Dinding masjid ini diukir dengan ayat-ayat al-Quran. Dengan warna keemasan menyinari kawasan sekitar masjid, rugi kalau Mommy tidak datang dan saksikan sendiri keindahan dan kecantikkan masjid ini! Ia juga berdekatan dengan kedai jualan bebas cukai Kuah. Kompleks Jeti Pelancongan dan Dataran Lang juga berdekatan di masjid ini.

Alamat: Mukim Kuah, 07000 Pulau Langkawi, Kedah

#21 Datai Bay

Sumber: Shutterstock

Datai Bay yang panjangnya 1.5 kilometer adalah kawasan pantai yang terbaik yang dilaporkan oleh National Geographic. Lautan Andaman ini sangat biru yang memukau mata semua pengunjung!

Seperti pulau dan pantai yang lain, terdapat pelbagai aktiviti outdoor yang dapat dilakukan seperti snorkeling, kayak, banana boat, jet ski dan banyak lagi!

Datai Bay ini adalah pantai peribadi untuk mereka yang menginap di hotel disini. Namun begitu, orang awam juga boleh masuk ke kawasan ini dengan caj tambahan.

Sekiranya Mommy ingin ke sini, adalah lebih baik untuk Mommy buat persiapan dulu sebelum membuat sebarang tempahan. Di sini juga Mommy dapat menikmati pemandangan matahari terbenam yang sangat menakjubkan! Jangan lupa ambil gambar banyak-banyak tau!

Alamat: Datai Bay, Pulau Langkawi, Kedah

Jom tempah sekarang!

Wah banyaknya tempat yang boleh pergi di Langkawi ni! Haaa, tunggu apa lagi Mommy! Cari tarikh yang sesuai untuk bercuti dan kemaskan bagasi Mommy sekarang!

Jangan lupa membuat perancang yang rapi supaya tidak ketinggalan apa apa dan sentiasa menjaga SOP ya.