Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Tempat-Tempat Menarik Dan Bersejarah Yang Boleh Dilawati di Melaka

Sumber: Robert Harding @ picfair.com

Melaka yang dikenali sebagai Bandar Raya Bersejarah ini sudah tentu sekali memiliki banyak lokasi mengagumkan yang boleh diziarahi. Walaupun kecil di atas peta, banyak tempat menarik di Melaka yang boleh Mommy lawati dengan keluarga dan anak-anak kecil atau rakan-rakan.

Bandaraya Melaka telah diiktiraf oleh UNESCO dan juga di peringkat antarabangsa sebagai salah satu bandar warisan dunia kerana mempunyai tempat dan lokasi bersejarah yang tinggi nilainya. Tambahan pula, negeri Melaka juga kaya dengan campuran budaya-budaya yang menarik seperti Peranakan atau juga dikenali dengan Baba dan Nyonya.

Jom tengok beberapa tempat menarik di Melaka yang popular dan seronok untuk dilawati.

10 Tempat Menarik di Melaka Yang Popular Dan Menyeronokkan

1. Kota A’Famosa (Pintu Gerbang Santiago)

Highlighted

Sumber: Robert Harding @ picfair.com

Kalau cakap pasal Melaka, Kota A’Famosa memang famous! Sesiapa sahaja yang pernah pergi ke bandar raya bersejarah ini tentu pernah melawati tarikan Kubu A Famosa yang berusia lebih 500 tahun ini. Pintu kubu ini dinamakan Porto De Santiago, juga dikenali sebagai Pintu Gerbang Santiago dalam Bahasa Melayu. Kalau Mommy nak tahu, Pintu Gerbang Santiago ini merupakan binaan Eropah tertua yang masih kekal di Asia!

Binaan gerbang usang ini merupakan sebahagian daripada kubu pertahanan yang dibina pada zaman penjajahan Portugis sekitar tahun 1511 untuk melawan penentangan penduduk Melaka ketika itu. Terdapat juga beberapa laras meriam di sekitar kubu ini yang menghiasi landskap sekelilingnya. Dasyat sungguh sejarah kubu ini. Anak-anak nanti tentu suka bergambar di kawasan ini. Malah, kubu ini sering dijadikan gambar popular yang dikaitkan dengan Melaka.

Alamat: Pintu Gerbang Santiago, Jalan Parameswara, Bandar Hilir, 78000 Alor Gajah, Melaka

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

2. Muzium Istana Kesultanan Melaka

Sumber: Ariez @ flickr.com

Muzium Istana Kesultanan Melaka bukan calang-calang muzium. Ia merupakan sebuah replika Istana Sultan Melaka pada kurun ke-15! Jadi kalau Mommy nak merasa kehidupan di istana seperti zaman dahulu, bolehlah ziarah muzium ini.

Terdapat beberapa balai atau balairong yang dijadikan sebagai galeri pameran ciri-ciri dan adat-adat Kesultanan Melayu Melaka zaman dahulu.

Mommy dan anak-anak juga boleh mempelajari tentang sejarah Melaka ini dalam bentuk infografik dan diorama juga.

Dalam muzium ini juga terdapat beberapa replika istana ikonik di Malaysia yang dibina pada skala kecil seperti Istana Jahar di Kelantan, Istana Seri Menanti di Negeri Sembilan, dan Istana Maziah di Terengganu.

Muzium yang agak panjang ini dibina pada tahun 1984 menggunakan teknik pertukangan rumah tradisional Melayu yang tidak menggunakan sebatang paku pun. Hebat kan?

Alamat: Istana Kesultanan Melayu Melaka, Jalan Kota, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Waktu Operasi:
– Selasa-Ahad: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Jumaat: 11.45 pagi – 2.45 petang
– Isnin, tutup

Harga Tiket Pelancong Tempatan:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak: RM2

Harga Tiket Pelancong Asing:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM2

3. Muzium Kapal Selam Melaka

Sumber: Azyyati Liah

Anak-anak Mommy pula tentu akan berasa teruja melawati Muzium Kapal Selam Melaka ini yang terletak di Pantai Klebang. Kapal selam yang dibina pada tahun 1979 ini telah tamat beroperasi sebelum dijadikan muzium.

Kapal selam yang amat besar ini dahulu boleh beroperasi dalam laut sehingga kedalaman 300 meter! Di bawah kapal selam ini terdapat bahagian yang memaparkan infografik dan video tentang spesifikasi kapal selam ini dan juga sejarah pembinaanya.

Walaupun besar dari segi luarannya, bila Mommy masuk ke dalam kapal selam ini, Mommy akan dapati laluannya agak sempit untuk menampung fungsi-fungsi lain kapal selam sewaktu ia masih beroperasi.

Di perkarangan kapal selam ini pula terdapat dua buah jet pejuang replika yang boleh dilihat dengan dekat.

Kalau ini pertama kali menziarahi Melaka, pastikan Mommy masukkan lokasi ini dalam perancangan percutian kerana tiada tarikan sebegini dinegeri lain.

Alamat: Muzium Kapal Selam (Submarine Museum) , Klebang, 75200, Melaka

Waktu Operasi:
– Isnin – Khamis: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Sabtu – Ahad: 9.00 pagi – 6.30 petang
– Jumaat: 9.00 pagi – 12.15 tengah hari / 2.45 petang – 6.30 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM2
– Kanak-kanak bawah 6 tahun: Percuma

4. Melaka River Cruise

Sumber: Casa del Rio, Melaka

Melaka memang banyak tempat yang boleh diziarahi dengan berjalan kaki sahaja, tapi kalau nak bersenang-lenang, Mommy sekeluarga boleh menaiki Melaka River Cruise yang menyelusuri Sungai Melaka.

Dari bot ini di sepanjang Sungai Melaka, Mommy boleh melihat kebanyakan tempat menarik di Melaka seperti Dutch Fort dan Muzium Samudera.

Selain itu, Mommy dan sekeluarga juga boleh menghayati lukisan-lukisan mural di dinding bangunan sepanjang perjalanan di atas perairan.

Melaka River Cruise ini juga menyediakan informasi audio di dalam bot setiap kali ia melalui tempat-tempat menarik dan bersejarah.

Alamat: Jalan Laksamana, 75000 Melaka

Laman Web: melakarivercruise.my

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 11.30 malam

Harga Tiket Pelancong Tempatan:
– Dewasa: RM25
– Kanak-kanak: RM15

Harga Tiket Pelancong Asing:
– Dewasa: RM30
– Kanak-kanak: RM25

5. Menara Taming Sari Melaka

Sumber: kkday.com

Terletak di Bandar Hilir Melaka, Menara Taming Sari Melaka menawarkan dek berkaca dan tertutup yang akan naik ke atas dan berpusing 360 darjah secara perlahan dan berterusan.

Jangan khuatir kalau Mommy ada motion sickness kerana putaran yang perlahan ini kemungkinan besar tidak akan membuatkan sesiapa berasa mual.

Dari ketinggian puncak menara pada 80 meter, Mommy boleh melihat pemandangan sekitar bandar Hilir Melaka seperti Gereja St Paul dan Masjid Pulau Selat.

Menara Taming Sari Melaka ini boleh dinaiki pada bila-bila masa, tapi paling menarik ialah sewaktu matahari terbenam dan juga pada waktu malam dimana lampu-lampu neon berwarna-warni menghiasi bandar Melaka.

Alamat: Menara Taming Sari Melaka, Jalan Merdeka, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 11.00 malam

Harga Tiket Pelancong Asing:
– Dewasa: RM23
– Kanak-kanak (bawah 12 tahun): RM15

Harga Tiket Pelancong Tempatan:
– Dewasa: RM17
– Kanak-kanak (bawah 12 tahun): RM11

6. Masjid Selat Melaka

Sumber: JomJalan

Kalau melancong di mana-mana, tak kira tempatan atau antarabangsa, ramai orang tentu suka menziarah rumah ibadah yang megah dan menawan, kan?

Masjid Selat Melaka adalah sebuah masjid di Melaka yang sangat cantik dan menarik kerana berkonsepkan masjid terapung di atas air.

Masjid yang terletak di atas Selat Melaka ini tidak terlalu besar, tapi boleh memuatkan jemaah sehingga 500 orang.

Kubahnya yang berwarna keemasan tentu menarik perhatian sesiapa sahaja, terutamanya ketika Matahari terbenam dan menaikkan keindahan masjid ini.

Alamat: Jalan Pulau Melaka 8, 75000 Melaka

Waktu Operasi: Subuh – Isyak

Harga Tiket: Percuma (Derma tabung masjid digalakkan)

7. Taman Tema Air A’Famosa Resort

Taman Tema Air A’Famosa memang sudah popular dari dulu lagi, terutamanya bagi yang sudah berkeluarga dengan anak-anak kecil. Kanak-kanak mana yang tak suka main air, betul tak?

Taman Tema Air A’Famosa ini merupakan salah satu water theme park yang terbesar di Malaysia. Ia bukan sahaja untuk kanak-kanak, tapi orang dewasa pun boleh enjoy dengan water slides yang amat tinggi!

Selain itu, terdapat high speed water slide laju yang tentu akan menerujakan golongan dewasa dan kanak-kanak.

Di sekitar A’Famosa Resort pula terdapat pelbagai tarikan dan aktiviti sesuai untuk hari keluarga atau teambuilding.

Alamat: A’Famosa Resort, Jalan Kemus, Simpang Empat, Alor Gajah, 78000, Melaka

Waktu Operasi:
– Isnin-Jumaat: 11.00 am – 7.00 pm
– Sabtu & Ahad, Cuti Sekolah & Cuti Am: 9.00 am – 7.00 pm

*Ditutup setiap Selasa kecuali pada cuti sekolah dan cuti am

Harga Tiket:
– Dewasa / Kanak-kanak: RM38

8. Pantai Klebang Melaka

Sumber: TripAdvisor

Mungkin tak ramai yang dengar atau pernah pergi ke pantai di Melaka kerana selalunya bandar Melaka dikaitkan dengan tempat-tempat bersejarah sahaja.

Tetapi Melaka juga ada sebuah pantai yang indah bernama Pantai Klebang yang terletak dalam 5km dari Bandar Hilir Melaka.

Pantai rekreasi awam ini tidak seperti pantai peranginan yang panjang di Port Dickson ataupun Cherating, tetapi masih boleh dikunjungi oleh sesiapa untuk aktiviti beriadah.

Mommy dan anak-anak boleh bermain layang-layang, bola sepak, atau biarkan anak-anak kecil berlari dengan suka hati sahaja! Tentu seronok dapat pijak pasir tanpa kasut!

Landskap beting pasirnya yang seakan-akan padang pasir juga menjadikannya tempat yang popular dan menarik di Melaka untuk photoshoot perkahwinan.

Alamat: Pantai Klebang, Melaka

Waktu Operasi: 24 jam ( destinasi pantai rekreasi awam)

Harga Tiket: Percuma

9. Muzium Samudera (Flora de la Mar Maritime Museum)

Sumber: Wikipedia

Hampir sama dengan muzium kapal selam yang disebutkan tadi, Muzium Samudera bukan sebuah muzium yang terletak di dalam bangunan. Ia terletak dalam sebuah kapal perang replika Portugis yang sangat besar!

Menaiki ke atas dek kapal yang klasik ini tentu akan memberikan pengalaman yang unik untuk sesiapa sahaja, terutamanya kanak-kanak yang pasti akan berasa teruja berlari-lari di atas kapal.

Pameran bahan bersejarah dalam muzium ini tertumpu kepada sejarah aktiviti perdagangan di laut atau samudera Melaka.

Terdapat pelbagai susuanan replika kapal kecil, susunan senjata perang lama, diorama dan ada juga artifak yang berusia ratusan tahun.

Alamat: (Kapal Flor de La Mar) & Fasa 2 Jalan Quayside, 75000 Melaka

Waktu Operasi:
– Isnin – Jumaat: 9.00 am – 5.00 pm
– Sabtu – Ahad: 9.00 am – 7.00 pm

Harga Tiket Pelancong Tempatan:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM3

Harga Tiket Pelancong Asing:
– Dewasa: RM10
– Kanak-kanak: RM6

10. Gereja St. Paul

Sumber: Casa del Rio, Melaka

Gereja St. Paul dibina pada tahun 1521 oleh penjajah portugis sebagai tempat keagamaan mereka. Ia terletak di atas bukit bersebelahan dengan Kota A’Famosa yang disebutkan tadi.

Walaupun telah mengharungi beberapa fasa peperangan, rangka gereja yang berusia 500 tahun ini masih kekal sehingga hari ini.

Nama asal gereja ini pada mulanya adalah Nora Senhora, tetapi telah ditukarkan kepada Gereja St Paul oleh penjajah Belanda selepas menawan Melaka pada tahun 1641.

Untuk ke gereja ini, Mommy boleh menaiki tangga yang terletak di belakang Pintu Gerbang Santiago (Kota A’Famosa). Pemandangan dari bangunan ini memang indah dan boleh melegakan stres, lagi-lagi selepas kena panjat tangga tadi!

Alamat: Gereja St Paul, Jalan Kota, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma


Tak boleh dinafikan lagi terdapat banyak tempat menarik di Melaka yang boleh diziarahi. Bandar yang kaya dengan sejarah ini boleh diliputi dalam sehari dua jika Mommy hanya ingin pergi ke tempat-tempat yang popular sahaja.

Disebabkan ia terletak berhampiran persisiran pantai, cuaca di sini boleh menjadi agak panas, jadi pastikan Mommy sekeluarga menggunakan krim pelindung matahari dan bawa juga payung. Selamat bercuti!