Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Tempat Menarik Di Mersing Untuk Percutian Yang Indah Dan Menawan

tempat menarik di mersing

Sumber: tioman.org

Bandar Mersing di Johor adalah destinasi pelancongan yang popular di Malaysia, terutamanya sebagai tempat persinggahan ke kebanyakan pulau-pulau yang indah di Johor.

Walaupun bandar Mersing sendiri adalah sebuah bandar yang kecil, ia masih menawarkan pelbagai jenis restoran, kafe, dan juga kedai-kedai kopi yang istimewa.

Terdapat juga tarikan-tarikan alam semula jadi yang tentu dapat memberikan anda pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Jika anda suka jenis percutian yang bersantai seperti di pulau-pulau di Thailand atau Bali, Mersing patut termasuk dalam senarai ‘cuti-cuti Malaysia’ anda!

Jom tengok beberapa tempat menarik di Mersing yang anda boleh lawati bersama keluarga atau rakan-rakan.

10 Tempat Menarik di Mersing Yang Popular Sebagai Percutian Tempatan Istimewa

1. Hutan Lipur Gunung Arong

Highlighted

Sumber: Jabatan Perhutanan Negeri Johor

Jika anda suka menerokai hutan, di Hutan Lipur Gunung Arong terdapat trek pendakian yang mudah didaki, jadi ia juga sesuai untuk kanak-kanak.

Pemandangan yang menanti di puncak akan membuatkan pendakian anda sangat berbaloi walaupun ia tidaklah begitu sukar!

Tambahan pula, setelah mendaki, anda sekeluarga boleh pergi ke kawasan pantai yang berdekatan untuk menyegarkan badan dan minda dengan angin yang sentiasa bertiupan.

Alamat: Hutan Lipur Gunung Arong, 86800 Mersing, Johor

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi: 7.00 pagi – 6.00 petang

2. Pulau Tinggi, Mersing

Sumber: Cari Destinasi

Dahulu kala dikenal sebagai Pulau Topi Jeneral oleh pelayar-pelayar dari China disebabkan oleh bentuk sebuah gunung di pulau ini yang kelihatan seperti topi, Pulau Tinggi adalah sebuah pulau yang amat indah sekali yang dikelilingi oleh batu-batu karang yang berwarna-warni.

Di pulau ini terdapat Gunung Semudu, iaitu gunung tertinggi jika dibezakan dengan gunung-gunung di pulau lain di kawasan ini dengan ketinggian sekitar 2000 kaki dari aras laut.

Disebabkan gunung inilah namanya ditukar kepada Pulau Tinggi, dan gunung ini jugalah yang kelihatan seperti topi yang disebutkan tadi.

Alamat: Pulau Tinggi, Mersing

Harga Tiket: Bergantung kepada pakej pilihan

Waktu Operasi: 24 jam

3. Pulau Pemanggil, Mersing

Sumber: Myisland.my

Satu lagi pulau yang mempunyai bukan sahaja pemandangan yang indah tetapi juga pelbagai aktiviti menarik ialah Pulau Pemanggil.

Walaupun namanya mungkin bunyi agak seram, tetapi sejarah nama pulau ini tidaklah seseram yang dibayangkan! Dikatakan pulau ini diasaskan oleh seorang lelaki dari Indonesia yang berlayar ke pulau ini dan mendapat mimpi yang memanggil-manggilnya untuk menduduki pulau ini. Menarik kan?

Perjalanan ke pulau ini mengambil masa dalam 90 minit dengan speedboat dan aktiviti-aktiviti yang popular di sini termasuklah menyelam dan memancing.

Alamat: Pulau Pemanggil, Mersing

Harga Tiket: Bergantung kepada pakej

Waktu Operasi: 24 jam

4. Pulau Aur

Sumber: Facebook Saya Orang Johor

Pulau Aur yang terletak di bahagian timur Mersing menawarkan pemandangan dan landskap yang indah, sesuai untuk percutian yang santai.

Airnya yang jernih bak kristal tentu akan memanggil-manggil anda untuk bermandi-manda dalam cuaca yang indah dengan angin menyegarkan.

Di sini terdapat kampung nelayan kecil dan beberapa tempat penginapan yang asas. Anda juga boleh mendaki di dalam kawasan hutan pulau ini. Bercuti di sini memang boleh relax!

Alamat: Pulau Aur, Mersing

Harga: Bergantung kepada pakej

Waktu Operasi: 24 jam

5. Pulau Dayang

Sumber: sgmytaxi.com

Terletak berdekatan dengan Pulau Aur yang disebutkan tadi, Pulau Dayang popular bukan sahaja sebagai destinasi percutian yang menenangkan, tetapi juga bagi yang ingin berjinak-jinak dengan sukan menyelam skuba.

Keindahan pada waktu malam di pulau ini juga tidak kurang hebatnya dengan pemandangan langit yang bertaburan dengan bintang yang dapat dilihat dengan jelas.

Alamat: Pulau Aur, Mersing

Harga: Bergantung kepada pakej

Waktu Operasi: 24 jam

6. Pulau Rawa

Pulau Rawa adalah salah satu daripada kelompok kepulauan di Johor yang amat popular dikalangan pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Tidak hairanlah kerana Pulau Rawa mempunyai salah satu pemandangan, landskap, dan lautan yang paling menawan di kelompok ini.

Di sini juga terdapat hutan yang amat tebal, jadi anda boleh menerokai dan mendaki laluan yang telah disediakan dengan anak tangga untuk sampai ke puncak dan menghayati pemandangan dari sini.

Alamat: Pulau Rawa, Mersing

Harga: Bergantung kepada pakej

Waktu Operasi: 24 jam

7. Muzium Mersing

Sumber: Yayasan Warisan Johor

Kalau anda peminat sejarah, terutamanya sejarah tempatan, anda wajib melawati Muzium Mersing yang telah menjadi salah satu tempat menarik di Mersing.

Bangunan yang merumahkan muzium ini telah dibina pada tahun 1920-an dan pada asalnya digunakan sebagai pejabat pentadbiran daerah Mersing. Kemudian ia dijadikan pula markas operasi Jepun sewaktu jajahan mereka sehingga tahun 1945.

Di muzium ini anda boleh dapati pelbagai barang-barangan bersejarah yang merangkumi pameran pakaian tentera Jepun, peralatan perang, pedang samurai, dan banyak lagi.

Alamat: 243, Jalan Ibrahim, Mersing Kechil, 86800 Mersing, Johor

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi:
– Sabtu – Rabu: 9.00 pagi – 4.45 petang
– Khamis: 9.00 pagi – 3.00 petang
– Jumaat: Tutup

8. Pantai Teluk Buih

Kalau anda tidak mahu ke pulau dengan bot, anda masih boleh menghayati kedamaian percutian di pantai di persisiran pantai di Mersing seperti Pantai Teluk Buih.

Lebih dikenali sebagai Fishing Bay Resort, pantai ini walaupun hanya mempunyai teluk yang kecil masih menawarkan pemandangan yang indah dengan air yang jernih.

Anda sekeluarga bukan sahaja boleh bermandi-manda di sini, tetapi boleh memancing juga jika anda minat hobi ini kerana terdapat port untuk memancing.

Alamat: Fishing Bay Resort, Lot 525, Teluk Buih, Air Papan, 86800 Mersing

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi: 24 jam

9. Pantai Air Papan

Satu lagi pantai di persisiran Mersing ialah Pantai Air Papan yang berhadapan dengan sebuah pulau terdekat. Tempat ini juga terkenal dalam kalangan penggemar memancing untuk mengadakan pertandingan memancing.

Lokasi pantai ini juga tidak jauh dari pusat bandar, menjadikannya kawasan yang popular dengan banyak tempat penginapan disekitarnya.

Alamat: Kampung Air Merah, 86800 Mersing

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi: 24 jam

10. Perusahaan Keropok Hj Puteh

Sumber: Berita Harian

Kalau anda pemggemar kudapan rangup, terutamanya seperti keropok lelok, anda boleh mendapatkannya di Perusahaan Keropok Hj Puteh.

Ya, bukan di Terengganu sahaja yang popular dengan keropok lekor, tetapi Mersing juga adalah antara pengeluar keropok lekor yang popular kerana lokasinya yang terletak di tepian pantai.

Kilang pemprosesan keropok lekor yang dijual hanya terletak bersebelahan dengan kedai, jadi tentu menyelerakan dapat memakan keropok lekor yang ‘fresh‘! Terliur rasa!

Selain itu terdapat juga pelbagai jenis keropok dan hasil laut lain yang boleh didapati di sini seperti ikan masin dan keropok sotong.

Alamat: Jalan Abdullah, Kampung Mersing Kanan, 86800 Mersing, Johor

Harga Tiket: Percuma

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 9.00 malam


Sama ada Mersing adalah lokasi persinggahan sahaja buat anda yang sedang bercuti, ia menawarkan banyak juga tarikan-tarikan menarik di kawasan bandar ini dan juga di pulau-pulau yang berdekatan dengannya. Cubalah singgah di salah satu tempat-tempat menarik di Mersing seperti yang disebutkan tadi, anda pasti tidak akan kecewa. Selamat bercuti!