Terletak di bahagian utara Malaysia dan bersebelahan dengan Selat Melaka, Pulau Pinang yang sering juga dipanggil ‘Penang’ sahaja adalah negeri yang kaya dengan sejarah dan tarikan alam semula jadi.
Penang terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Seberang Perai yang terletak di tanah besar Semenanjung Malaysia, dan juga Pulau Pinang yang boleh diakses melalui Jambatan Pulau Pinang.
Kalau anda nak tahu, dua jambatan jalan raya yang terpanjang di Malaysia terletak di Pulau Pinang. Selain Jambatan Pulau Pinang, satu lagi jambatan yang menghubungkan Pulau Pinang dengan Seberang Perai ialah Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, iaitu jambatan jalan raya yang juga terpanjang di Asia Tenggara.
Jom tengok beberapa tempat menarik di Penang yang anda boleh lawati.
30 Tempat Menarik di Penang Yang Sering Menjadi Destinasi Pelancongan Ramai
1. Pantai Batu Ferringhi
Jika anda suka percutian di pantai tapi tak berkesempatan untuk ke pulau yang lebih jauh, Pantai Batu Ferringhi boleh menjadi pengganti yang menyeronokkan.
Di sini terdapat banyak aktiviti sukan air yang anda boleh cuba seperti menaiki jetski, banana boat, ataupun parasailing kalau berani!
Persisiran pantai ini juga sangat lapang dan panjang, sesuai untuk berkelah atau bersantai. Kalau anda ingin menginap di kawasan ini, terdapat banyak tempat penginapan yang boleh anda pilih.
Alamat: Pantai Batu Feringghi, 11050, Penang
2. Bukit Bendera
Bagi yang baru-baru sahaja ingin menerokai Pulau Pinang, Bukit Bendera perlu dijadikan lokasi yang wajib dilawati!
Tarikan ikonik ini terletak di kawasan tanah tinggi dan boleh diakses melalui kereta kabel yang tentu akan memberikan pengalaman yang menyeronokkan, terutamanya jika anak mempunyai anak-anak kecil.
Di puncah bukit ini, anda boleh bersiar-siar dan melawat tarikan seperti Muzium Burung Hantu, menghayati pemandangan Pulau Pinang dari SkyWalk, dan banyak lagi.
Alamat: Bukit Bendera, George Town, Penang
Waktu Operasi: 7.00 pagi – 11.00 malam
Harga Tiket:
– Dewasa: RM10
– Pelajar / Warga Emas: RM5
– Kanak-kanak: RM3
3. Taman Negara Pulau Pinang
Bagi yang meminati tarikan alam semula jadi dan gemar ke taman-taman negara di Malaysia, di Penang terdapat Taman Negara Pulau Pinang yang memang kaya dengan flora dan fauna menarik.
Terletak di Teluk Bahang, taman negara ini popular dengan aktiviti seperti jungle trekking, memerhatikan burung, merentas titian kanopi sepanjang 210 meter, dan banyak lagi.
Apa yang lebih menarik tentang taman negara ini ialah terdapat juga kawasan tepian pantai yang indah dan menenangkan. Jadi memang berbaloi untuk melawati Taman Negara Pulau Pinang ini!
Alamat: Pejabat Taman Negara P. Pinang, Jalan Hassan Abbas, Balik Pulau, 11050 Pulau Pinang
Waktu Operasi: 7.30 pagi – 6.00 petang
4. Entopia by Penang Butterfly Farm
Selalunya kalau sebut taman rama-rama tentu ramai akan ingat taman rama-rama di Cameron Highlands, betul tak? Jangan tak tahu, di Penang pun ada taman rama-rama yang kini dikenali dengan nama Entopia.
Konsep taman rama-rama di sini berbeza dengan kebanyakan taman rama-rama di Malaysia yang lain kerana taman ini berinspirasikan taman fantasia yang cantik dengan lanskap dalamannya yang berwarna-warni seolah-olah taman puteri di kayangan!
Sebelum sampai ke tempat lawatan utama, pengunjung boleh berjalan dalam terowong yang dihiasi dengan reptilia eksotik di dalam kaca. Jangan lepaskan peluang untuk singgah di sini, terutamanya bagi yang mempunyai anak-anak kecil.
Alamat: 830, Jalan Teluk Bahang, Teluk Bahang, 11050, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM49
– Kanak-kanak / Warga Emas: RM29
– Pakej Keluarga (2 dewasa + 2 kanak-kanak): RM 144
– Pakej Keluarga (2 dewasa + 3 kanak-kanak): RM 167
– Pakej Keluarga (2 dewasa + 4 kanak-kanak): RM 190
– Pakej Keluarga (2 dewasa + 5 kanak-kanak): RM 213
– Pakej Keluarga (2 dewasa + 6 kanak-kanak): RM 236
5. Muzium Perang
Bagi anak-anak lelaki pula, mereka tentu akan berasa teruja di Muzium Perang yang mempunyai banyak kesan sejarah yang bernilai tinggi.
Di sini, selain daripada diorama dan infografik, apa yang paling menarik tentang muzium ini ialah penempatannya di sini pada zaman dahulu merupakan sebuah kubu pertahanan dan kem tentera British sewaktu era Perang Dunia Kedua!
Malah, muzium ini merupakan tapak warisan Perang Dunia Kedua yang terbesar di Asia dan pernah juga menjadi kem tentera Jepun yang sangat digeruni.
Alamat: Lot 1350, Mukim 12, 11960 Batu Maung, 11960 Batu Maung, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang / 7.00 petang – 11.00 malam
Harga Tiket:
– Dewasa: RM21
– Kanak-kanak: RM10
6. Masjid Kapitan Keling
Kebanyakan seni bina bangunan-bangunan lama di Pulau Pinang banyak dipengaruhi oleh budaya campuran seperti Cina dan India. Salah satu daripadanya ialah Masjid Kapitan Keling yang merupakan mercu tanda popular di Penang.
Dibina pada tahun 1801, Masjid Kapitan Keling ini adalah masjid tertua di Pulau Pinang. Pada zaman dahulu, masjid ini dibina untuk menampung populasi masyarakat India Muslim yang semakin bertambah di kawasan ini.
Kalau nak tahu lebih lanjut tentang sejarah Masjid Kapitan Keling, terdapat paparan informasi dan sejarah di perkarangan masjud ini termasuklah gambar-gambar lama masjid ini.
Alamat: 14, Jalan Buckingham, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang
7. Padang Kota Lama
Padang Kota Lama merupakan sebuah taman terbuka yang terletak di tepi laut yang sering menjadi lokasi untuk acara-acara komuniti seperti festival, sambutan perayaan, dan sebagainya.
Terletak bersebelahan juga dengan Kubu Cornwallis, ramai pengunjung singgah di sini untuk bersantai, mengambil gambar, dan bermain dengan anak-anak kecil.
Pelbagai aktiviti terbuka boleh dilakukan di sini tak kira siang atau malam. Tambahan pula, terdapat banyak penjaja menjual pelbagai jenis permainan seperti bubble gun dan belon.
Alamat: 1, Light St, Georgetown, 10450 George Town, Penang
8. Taman Burung Pulau Pinang (Penang Bird Park)
Taman Burung Pulau Pinang amat istimewa sekali kerana ia merupakan taman burung yang pertama di Malaysia! Dibangunkan sejak tahun 1988, taman burung ini menempatkan lebih 3,000 ekor burung pelbagai spesis.
Anda sekeluarga tentu akan berasa seronok di sini kerana dekorasi dalamannya sangatlah menenangkan kerana mempunyai banyak pokok dan tumbuhan menarik. Kebanyakan burung-burung ditempatkan di dalam sangkat, tapi ada yang pengunjung boleh masuk kedalamnya untuk berinteraksi dengan burung-burung yang menawan ini.
Alamat: Taman Burung Seberang Jaya, Jalan Todak, Seberang Jaya, 13700, Perai, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 7.00 petang
Waktu Pertunjukan Burung: 11.00 pagi / 3.30 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM25
– Kanak-kanak: RM15
– Pelajar: RM10
9. Fort Cornwallis
Kalau anda suka melawati tempat-tempat bersejarah, Fort Cornwallis perlu masuk dalam senarai tempat untuk diziarahi anda! Kubu yang telah berusia lebih daripada 230 ini dibina oleh Francis Light pada tahun 1786.
Di sinilah tempat pendaratan tentera Syarikat India Timur Inggeris ketika menawan Pulau Pinang pada masa dahulu. Di dalam kubu ini terdapat peninggalan sejarah lain seperti bilik simpanan serbuk senjata api, gereja lama, dan rumah api.
Alamat: Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 10.00 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM10
– Kanak-kanak: RM5
10. Countryside Stables Penang
Kalau anda sudah lama menyimpan hajat untuk menunggang kuda, alang-alang bercuti di Penang bolehlah singgah ke Countryside Stables Penang yang merupakan kandang kuda peribadi dua individu yang dibuka kepada umum.
Countryside Stables ini telah menjadi habitat untuk 35 ekor kuda pelbagi baka, jadi pengunjung boleh berinteraksi dan menunggang kuda. Kalau tak berani, terutamanya anak-anak kecil, mereka boleh memberi makan kuda, menaiki kereta kuda, atau hanya melihat kuda bersiar-siar sudah mencukupi untuk memberikan rasa gembira.
Alamat: Lot 10050, Jalan Sungai Burung, Sungai Burung, 11000 Balik Pulau, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 2.00 petang – 7.00 malam
Harga Tiket:
– Dewasa: RM10
– Kanak-kanak: RM5
11. Saanen Dairy Goat Farm
Selain kuda, terdapat juga ladang kambing biri-biri di Penang yang pasti akan memberikan pengalaman yang menyeronokkan buat anda dan anak-anak.
Walaupun ladang ini tidak besar kerana dimiliki secara persendirian, pengunjung masih boleh berinteraksi dengan kambing biri-biri di sini dan juga haiwan lain seperti ayam dan itik. Bukan senang nak jumpa haiwan-haiwan ternakan ini dibandar!
Alamat: 298 Mukim 1, Sungai Pinang , 11010 Balik Pulau, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 10.00 pagi – 5.00 petang
Bayaran Masuk: Percuma
12. Rumah P.Ramlee
Anda peminat filem-filem klasik, terutamanya yang dibintangi pelakon lagenda P. Ramlee? Kalau di Kedah anda boleh melawati Rumah Tun Mahathir, di Penang pula terdapat Rumah P. Ramlee di mana beliau membesar.
Rumah lama kecil ini diperbuat daripada nipah sebagai atapnya dan kayu sebagai dindingnya. Seni binanya dan hiasannya masih dikekalkan seperti rumah asalnya.
Di sini anda boleh melihat banyak informasi tentang kehidupan peribadi berserta koleksi barangan peribadi sambil lagu-lagu dendangan Allahyarham P. Ramlee dimainkan di dalam kawasan rumah ini.
Alamat: Lot 2180, Jalan P. Ramlee, Taman Kampar, 10460 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.30 petang
Bayaran Masuk: Percuma
13. Rumah Pinang Peranakan (Pinang Peranakan Mansion)
Jangan tak tahu, bukan Melaka sahaja yang kaya dengan budaya Peranakan. Di Penang pun terdapat komuniti Peranakan atau pun lebih sinonim dipanggil Baba dan Nyonya.
Di Penang anda boleh mengunjungi Pinang Peranakan Mansion yang merupakan rumah seorang Baba kaya pada suatu ketika dahulu. Rumah ini menggambarkan tentang gaya hidup mereka yang mewah, serta adat dan tradisi mereka.
Selain itu, terdapat lebih 1,000 jenis koleksi barang antik dalam bangunan yang mempunyai reka bentuk menarik yang menggabungkan panel kayu berukit Cina, jubin lantai Inggeris, dan struktur besi Scotland. Jangan lepaskan peluang untuk melawat tempat menarik di Penang ini!
Alamat: 29, Church St, Georgetown, 10200 George Town, Penang
Waktu Operasi: 9.30 pagi – 5.00 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM20
– Kanak-kanak: Percuma
14. Pantai Tanjung Bungah
Pantai Tanjung Bungah yang terletak berdekatan dengan bandar Georgetown ini merupakan lokasi yang sering dikunjungi oleh pengunjung yang menginap di kawasan berdekatan.
Walaupun tidak mempunyai banyak aktiviti sukan air seperti di Pantai Batu Ferringhi, pantai ini masih popular untuk bermandi-manda, berkelah, ataupun camping untuk melihat matahari terbenam.
Alamat: Pantai Tanjung Bungah, 11200, Pulau Pinang
15. Tropical Spice Garden
Di Penang terdapat suatu tarikan yang amat menarik dan tentu akan menerujakan sesiapa yang meminati berkebun. Di Tropical Spice Garden, terdapat pelbagai jenis tumbuhan herba dan spesis pokok-pokok hutan yang dikategorikan sebagai eksotik.
Landskap di taman tropika berkeluasan lapan ekar ini sangat mendamaikan dan anda boleh mempelajari tentang pelbagai jenis tumbuhan dengan menggunakan alat kawalan beraudio sambil berjalan-jalan di dalam taman ini.
Alamat: Lot 595 Mukim 2, Jalan Teluk Bahang, Teluk Bahang, 11050 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM31
– Kanak-kanak: RM18
– Warga Emas / Pelajar: RM25
16. Masjid Terapung Tanjung Bungah
Terletak berdekatan dengan Pantai Tanjung Bungah seperti yang disebutkan tadi, Masjid Terapung Tanjung Bungah merupakan sebuah masjid yang sangat ikonik di Pulau Pinang.
Diluar waktu solat, anda boleh mengunjungi masjid ini pada waktu senja untuk menghayati suasana kawasan ini yang amat indah ketika mataharu terbenam.
Malah, pada waktu air pusang juga anda dapat melihat banyak bot-bot nelayan yang menjadikan latar belakang masjid ini amat menarik sekali.
Alamat: Jalan Batu Ferringhi, 11100 Tanjung Bungah, Pulau Pinang
17. Penang Street Art
Kalau anda aktif di laman sosial media, anda tentu pernah nampak gambar-gambar menarik yang diambil oleh sesiapa sahaja yang sedang bercuti di Penang, betul tak?
Di Penang, salah satu lokasi yang memang popular dan sering dikunjungi ramai ialah Penang Street Art yang merupakan satu rangkaian lukisan mural yang amat unik dan menarik.
Lukisan mural ini dilukis oleh pelukis terkenal dari Lithuana yang memberikan gambaran baru tentang kebudayaan di Penang dari sudut yang berbeza.
Alamat: 316, Beach St, Georgetown, 10300 George Town, Pulau Pinang
18. Masjid Negeri Pulau Pinang
Kalau ada masa untuk diluangkan, apa kata anda menziarahi Masjid Negeri Pulau Pinang yang cukup megah ini. Terletak berdekatan dengan Bukit Bendera, seni bina dan landskap masjid ini amat mewah dan memukau.
Kubah utamanya yang berwarna emas dan dikelilingi atap biru membuatkan masjid ini sangat ikonik dan senang untuk dikenalpasti.
Di dataran makan dalam masjid ini pula terdapat sepohon pokok yang agak besar dan telah menjadi sebahagian daripada hiasan dalaman masjid. Indah sungguh!
Alamat: Jalan Masjid Negeri, 10400 Ayer Itam, Pulau Pinang
19. Kuil Kek Lok Si
Satu lagi rumah agama yang sering menjadi destinasi pelancongan yang popular ialah Kuil Kek Lok Si yang merupakan sebuah tokong Buddha yang dibina pada tahun 1981.
Tokong ini merupakan salah satu kompleks bangunan tokong yang terbesar di Asia Tenggara! Kebanyakan pelancong datang ke sini untuk menghayati seni bina bangunan, ukiran, mural, serta binaan keagamaan yang unik seperti bangunan Pagoda di sekitar tokong ini.
Alamat: 1000-L, Tingkat Lembah Ria 1, 11500 Ayer Itam, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 7.00 pagi – 9.00 malam
Harga Tiket:
– Kuil: Percuma
– Bayaran Lif: RM3
– Bangunan Pagoda: RM2
20. Pasar Malam Batu Ferringhi
Bagi yang suka membeli-belah, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Pasar Malam Batu Ferringhi. Di sini terdapat pelbagai pilihan barangan untuk diterokai dan sering dikunjungi pelancong.
Selalunya di sini anda boleh mendapatkan barangan berbentuk cenderahati seperti magnet peti dan barang kraftangan. Walaupun bukan barangan berjenama, tentu seronok membelek-belek barangan menarik di sini.
Alamat: Jalan Pantai Batu, Taman Pantai Batu, 11200 Tanjong Bungah, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 7.00 malam – 1.00 pagi
21. Pasar Lorong Kulit/Pasar Pagi Stadium Negeri
Kalau anda meminati barangan antik atau vintage pula, anda boleh ke Pasar Lorong Kulit yang juga dikenali dengan nama Pasar Pagi Stadium Negeri.
Di sini anda boleh menjumpau barangan lama seperti radio antik, pemain rekod, typewriter, dan banyak lagi. Pasar ini adalah sejenis ‘pasar karat’ yang banyak dijumpai di seluruh Malaysia.
Barangan antik dan ‘rare‘ di sini bolehlah dijadikan koleksi peribadi yang tentu akan mencetuskan perbualan unik di rumah anda kerana tidak boleh didapati di pusat membeli-belah biasa.
Alamat: Jalan Stadium , 10460 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 6.00 pagi – 1.00 petang
22. Pantai Monyet
Jika anda sukakan pantai terpencil seperti kebanyakan pulau-pulau di Terengganu, Johor, dan Sabah, di Penang juga ada satu permata tersembunyi yang belum ramai orang terokai.
Pantai Monyet tidak mudah diakses dan anda perlu meredah hutan yang terletak di Taman Negara Pulau Pinang. Tapi pengembaraan ini memang berbaloi kerana persisiran Pantai Money amat indah dan suasana di sini amat tenang sekali.
Cara lain untuk ke sini ialah dengan menggunakan perkhidmatan bot yang terdapat di pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang. Jangan lepaskan peluang untuk pergi ke tempat yang istimewa ini.
Alamat: Jalan Hassan Abas, Teluk Bahang, 11050 Tanjung Bungah, Pulau Pinang
Harga Bot: RM50-RM60 sehala
23. Taman Negeri Bukit Panchor
Terletak di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Taman Negeri Bukit Panchor merupakan sebuah hutan lipur di Penang yang popular terutamanya di kalangan kaki fotografi.
Di sini terdapat pelbagai jenis dan spesis pokok dalam bervariasi saiz. Landskap di Taman Negeri ini sangat redup kerana penuh dengan pokok-pokok hutan yang besar, jadi kalau berkunjung pada waktu tengah hari pun tidak terasa bahang matahari.
Selain itu, di sini terdapat platform kayu jalan kaki untuk melihat pemandangan sekeliling, dan terdapat juga kawasan air terjun dan tempat bermandi-manda.
Alamat: Jalan Taman Bukit Negeri, 14300 Nibong Tebal, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 7.00 pagi – 6.00 petang
Bayaran Masuk: Percuma
24. Taman Rimba Teluk Bahang
Taman Rimba Teluk Bahang merupakan sebuah taman rekreasi dan tempat perkelahan di Penang yang amat popular. Suasana di sini amat indah dan damai kerana dikelilingi oleh hutan rimba yang hijau.
Apa yang menarik di sini ialah kolam mandi-manda buatan manusia dengan air yang hijau kebiruan dan air sungai yang jernih membuatkan setiap pengunjung ingin berendam didalamnya.
Bayaran masuk ke taman ini adalah percuma dan ia senang diakses dengan kenderaan. Jadi jangan lepaskan peluang untuk singgah ke tempat menarik di Penang ini.
Alamat: 772, Jalan Tanjung Bungah, Taman Tanjung Bungah, 11050, Pulau Pinang
25. Pantai Teluk Kampi
Terletak agak jauh dari kesibukan bandar, Pantai Teluk Kampi boleh menjadi destinasi yang amat sesuai untuk bersantai. Untuk ke sini, pengunjung boleh meredah hutan dari pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang ataupun dengan menaiki bot.
Di sini anda boleh bersantai di tepian pantai, berkelah, atau camping. Walaubagaimanapun, pengunjung tidak digalakkan untuk bermandi-manda di sini kerana terdapat obor-obor.
Alamat: Teluk Bahang, Tanjung Bungah, Penang
Bayaran Bot: RM80-RM100 sehala
26. Muzium Kamera Pulau Pinang
Bagi peminat tegar fotografi, Muzium Kamera Pulau Pinang wajib dilawati! Di sini terletaknya pelbagai jenis kamera antik dan informasi tentang bagaimana kamera pada zaman dahulu digunakan.
Pengunjung boleh menghayati pameran-pameran termasuk aksesori kamera, sudut lensa, gambar-gambar lama, dan banyak lagi.
Muzium yang terletak di Bukit Bendera ini adalah satu-satunya yang terdapat di Asia Tenggara, jadi jangan lepaskan peluang untuk singgah di sini!
Alamat: Level B3, Astaka Bukit Bendera, Jalan Tunku Yahaya Petra, Bukit Bendera, 10000 Penang Hill, Penang
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 8.00 malam
Harga Tiket:
– Dewasa: RM20
– Kanak-kanak / Warga Emas: RM15
27. Taman Rimba Bukit Mertajam
Satu lagi taman rimba yang perlu masuk dalam senarai tempat menarik di Penang untuk dilawati anda terutamanya jika meminati tarikan alam sekitar ialah Taman Rimba Bukit Mertajam.
Sambil menghirup udara yang segar dan nyaman, anda boleh melakukan aktiviti lasak seperti jungle trekking ataupun mendaki Bukit Mertajam itu sendiri.
Laluan pendakian bukit ini sehingga ke puncak mencecah sekitar 3.5km dan laluannya agak mencabar, jadi memerlukan stamina yang tinggi. Tapi seperti mana-mana pendakian, ia tentu berbaloi kerana pemandangan di puncak Bukit Mertajam amat indah sekali.
Alamat: Taman Rimba Bukit Mertajam, Jalan Kolam Air, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang
28. Taman Botani Penang
Satu lokasi yang amat menarik di Pulau Pinang ialah Taman Botani Penang yang sesuai untuk dikunjungi sesiapa sahaja tak kira umur kerana di sini pengunjung boleh membuat aktiviti beriadah ataupun menghayati tumbuh-tumbuhannya.
Juga dikenali sebagai Taman Monyet dikalangan penduduk setempat kerana mempunyai banyak monyet-monyet berkeliaran, Taman Botani Penang merangkumi 11 tarikan utama yang anda sekeluarga boleh terokai seperti Taman Jepun, Taman Herba, dan Aquatic Garden.
Bukan itu sahaja, kalau anda ingin berjinak-jinak untuk menjaga tumbuh-tumbuhan rumah, di sini juga terdapat jualan langsung dimana pengunjung boleh membeli bermacam-macam jenis pokok bunga dan anak pokok herba.
Alamat: 673 A, Jalan Kebun Bunga, Pulau Tikus, 10350 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 5.00 pagi – 8.00 malam
Bayaran Masuk: Percuma
29. Wonderfood Museum Penang
Rakyat Malaysia memang suka bab-bab makanan, betul tak? Di Penang pula memang bukan tempat asing lagi bagi foodie atau yang suka berjalan-jalan cari makan untuk mendapatkan sesuatu yang menyelerakan di sini.
Di Wonderfood Museum Penang ini, anda boleh menyelami sejarah dan budaya makanan-makanan popular, terutamanya yang berasal dari Penang.
Pengunjung dapat mempelajari pelbagai informasi yang sangat interaktif dan unik dengan pameran visual dan replika hidangan makanan dalam skala besar. Anak-anak tentu akan berasa teruja, tapi jangan datang ketika lapar!
Alamat: 49, Lebuh Pantai Georgetown 10300, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM15
– Kanak-kanak: RM10
30. Made in Penang Interactive Museum
Kalau percutian anda di Penang adalah singkat, anda masih boleh menerokai seluruh negeri ini di Made in Penang Interactive Museum yang merupakan galeri serba satu untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang sejarah kebudayaan orang Penang.
Sama ada anda ingin mempelajari tentang makanan, budaya, pakaian, dan sebagainya, di muzium ini ada mempamerkan binaan miniatur atau diorama mini, dan juga ilustrasi tiga dimensi yang terletak pada dinding dan akan menghasilkan foto yang amat menarik.
Muzium ini sangat sesuai untuk dilawati terutamanya jika anda mempunyai anak-anak kecil dan tempoh percutian anda adalah terhad.
Alamat: 3, Pengkalan Weld, George Town, 10300 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 10.00 pagi – 6.30 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM25
– Kanak-kanak / Warga Emas: RM15