Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Pelbagai Tempat Menarik di Perak Untuk Diziarahi, Dari Lokasi Bersejarah Hinggalah Tarikan Alam Semulajadi Yang Menawan

Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan negeri terbesar di pantai barat Semenanjung Malaysia yang kaya dengan hutan hujan tropika. Disebabkan ini dan faktor-faktor lain, terdapat banyak tempat menarik di Perak yang sering dijadikan destinasi pelancongan.

Kalau anda nak tahu, pakar arkeologi telah menemui rangka orang purba yang tertua di Malaysia, berusia 11,000 tahun! Ia dijumpai pada tahun 1991 dalam Gua Gunung Runtuh yang terletak di Lembah Lenggong, Perak. Menarik kan fakta ini?

Terdapat beberapa teori tentang asal-usul nama Perak. Ada yang mengatakan ia berkaitan dengan perlombongan bijih timah yang terbesar di dunia pada zaman dahulu.

Ada pula teori yang timbul mengatakan nama negeri ini dinamakan sempena nama bendahara Melaka, iaitu Tun Perak.

Yang pasti, di Perak terdapat banyak tempat menarik yang boleh anda lawati. Jom tengok beberapa tempat yang popular seperti berikut.

20 Tempat Menarik di Perak

1. Kolam Air Panas Sungai Klah

Highlighted

Sumber: TripAdvisor

Kolam air panas Sungai Klah ini terletak di Felda Residence Hot Spring, di mana beberapa kolam air panas semulajadi wujud di sini.

Terdapat juga kolam air panas yang mencecah kepanasan sehingga 100 darjah Celcius sehingga boleh merebus telur! Jangan risau kerana kolam air panas di sini dijaga dengan baik dan terurus.

Kanak-kanak tentu akan berasa teruja kerana terdapat gelongsor air di kolam mandi yang besar. Anda sekeluarga boleh pilih untuk menginap di sini jika ingin percutian yang santai.

AlamatSungai Klah Sungkai Perak, 35600 Sungkai, Perak

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM15
– Kanak-kanak: RM12
– Warga Emas: RM8

2. Muzium Perak

Sumber: Facebook Homestay Sayang Nor “Taiping”

Muzium Perak yang terletak di Jalan Taming Sari ini menempatkan lebih daripada 8,000 pameran dan koleksi yang merangkumi koleksi barangan kebudayaan, alam semula jadi, dan arkeologi.

Sesetengah daripada barang pameran di sini telah diklasifikasikan sebagai koleksi barangan yang bernilai amat tinggi dan rare yang berusia lebih daripada seratus tahun! Barangan ini adalah jenis yang sukar ditemui ataupun hampir pupus seperti spesimen haiwan.

Kalau anda gemar dan pandai menghargai seni bina sesuatu bangunan, muzium ini juga dapat memenuhi kepuasan tersebut kerana reka bentuk bangunan neo-klasik Inggeris amat cantik sekali.

Alamat: Jalan Taming Sari, 34000 Taiping, Perak

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: Percuma

3. Masjid Ubudiah Bukit Chandan

Sumber: Pejabat DYMM Sultan Perak

Melawati rumah agama bukan lagi sesuatu yang baru buat ramai orang, terutamanya yang gemar menghargai seni bina bangunan yang megah.

Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar merupakan antara masjid yang paling cantik di Malaysia. Senibinyanya dipengaruhi oleh rekabentuk ‘saracenic‘ atau Islam-India.

Yang menariknya, masjid ini dibina oleh seorang arkitek Inggeris pada tahun 1910 semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I. Jangan lepaskan peluang untuk melawati tempat menarik di Kuala Kangsar ini.

Alamat: Jalan Istana, 33000 Kuala Kangsar, Perak

4. Gua Tempurung

Sumber: Adventoro

Gua Tempurung merupakan lokasi yang amat popular bagi mereka yang suka beriadah dan melakukan aktiviti lasak dan adventurous. Terletak kira-kira 18km dari bandar Ipoh, anda boleh melawati gua yang besar dan luas ini yang dilengkapi dengan platform jalan kaki dan lampu, memudahkan ekplorasi anda!

Untuk menerokai gua ini hingga ke bahagian paling dalam, anda bolehlah mendapatkan perkhidmatan tour guide di sini untuk ekspidisi gua yang amat berbaloi. Pengalaman menerokai gua ini tentu menyeronokkan dan tidak akan dilupakan.

Alamat: Pusat Pelancongan Gua Tempurung, 31600 Gopeng, Perak

Harga Tiket: Bergantung kepada pakej

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang (kemasukan terakhir 4.00 petang)

5. Kellie’s Castle

Sumber: Abandoned Spaces

Kalau anda berjalan ke utara menaiki kereta, anda tentu pernah perasan papan tanda yang menunjukkan Kellie’s Castle, betul tak? Tarikan ini bukan lagi sesuatu yang baru di Perak, malah ia dibina pada tahun 1915 oleh seorang warga Scotland yang bernama Kellie.

Rumah agam lama ini dibina oleh Kellie untuk isterinya sebagai lambang cinta sejatinya. Malangnya, beliau gagal menyiapkan ruma ini kerana meninggal secara mengejut.

Tarikan yang amat popular di kalangan warga Malaysia ini terletak di kawasan berbukit, jadi pemandangan dan landskap di sini amat indah sekali.

Alamat: Batu 5, Jalan Gopeng, 31000 Batu Gajah, Perak

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM3

6. Pulau Orang Utan

Sumber: Tripcarte Asia

Orang utan adalah spesis yang amat popular di rantau Asia Tenggara. Haiwan yang bijak ini sering dijumpai di kepulauan Borneo seperti di Sepilok, Sabah.

Kalau di Semenanjung Malaysia pula, selain di zoo-zoo popular, anda boleh melawat Pulau Orang Utan di Semanggol, Perak yang menempatkan lebih 20 ekor orang utan daripada peringkat umur bayi sehinggalah dewasa.

Pengunjung perlu menaiki bot yang merentasi tasik untuk melawat pusat penjagaan orang utan di sini. Apa yang seronoknya ialah pengunjung boleh berinteraksi dengan haiwan bijak ini dengan lebih dekat.

AlamatJalan Bukit Merah, Semanggol, Perak

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM30
– Kanak-kanak: RM18
– Warga Emas: RM15

7. Ladang Anggur Saloma

Sumber: Lokasi Percutian

Untuk tarikan yang sangat unik, Ladang Anggur Saloma menawarkan lawatan ke ladang anggur yang bukan senang untuk dijumpai di Malaysia.

Diusahakan oleh Puan Saloma, anda boleh merasa keenakan tujuh jenis buah anggur yang ditanam di sini pada musim berbuah dan menuai.

Kalau terpikat, anda juga boleh membeli anak pokok untuk cuba menanam anggur sendiri di rumah! Jangan lepaskan peluang untuk melawat tempat menarik di Perak ini.

Alamat: Saloma Vineyard, Lot 1392, Kampung Darat Jelutong, Batu 7 1/2 Lekir Sitiawan 32020, Perak

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

8. Menara Condong Teluk Intan

Sumber: Majlis Perbandaran Teluk Intan

Jangan tak tahu, bukan negara Itali sahaja yang ada menara condong, di Perak pun ada satu menara condong! Walaubagaimanapun ia tidaklah terkenal seperti Leaning Tower of Pisa, tapi masih berbaloi untuk dilawati!

Menara condong yang mempunyai reka bentuk seperti Pagoda ini sudah berusia lebih daripada 100 tahun. Pengunjung boleh menaiki menara ini melalui 110 anak tangga yang agak curam.

Pada suatu ketika, menara ini pernah menjadi sebuah tempat penyimpanan air dan menara jam. Kini ia tinggal sebagai sebuah mercu tanda utama bagi bandar Teluk Intan dan negeri Perak.

AlamatLot 1&2, Komplex Menara Condong, Jalan Bandar, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan, Perak

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

9. Kledang Saiong Forest Eco Park

Sumber: Emily2u.com

Taman Eko Rimba Kledang Saiong yang terletak berdekatan dengan Bandar Meru Jaya ini merupakan destinasi air terjun yang amat popular di Perak.

Sering digunakan sebagai kem motivasi, taman eko rimba ini dilengkapkan dengan kemudahan seperti pondok, tapak perkhemahan, dewan serbaguna, surau, dan banyak lagi.

Air terjun di sini tidak jauh juga dari bandar Ipoh, tetapi masih kaya dengan flora dan fauna menarik. Selain berkelah, anda juga boleh meredah hutan di sini untuk menerokai tumbuhan eksotik seperti periuk kera.

Alamat: Persiaran Meru Utama, Perak

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang

10. Taman Tasik Taiping

Sumber: Orang Perak

Dibuka pada tahun 1880, Taman Tasik Taiping merupakan taman awam yang pertama di Malaysia. Pada asalnya taman tasik ini merupakan kawasan perlombongan bijih timah ketika zaman penjajahan British.

Di sini bukan sahaja terdapat sebuah tasik, malah terdapat 10 buah tasik dengan pohon-pohon angsana yang mengelilinginya!

Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di sini seperti laluan rollerskate, trek untuk jogging, ruang refleksologi, dan banyak lagi.

Alamat: Jalan Pekeliling, Taman Tasik Taiping, 34000 Taiping, Perak

11. Masjid Ihsaniah Iskandariah

Sumber: 123RF

Terletak kira-kira 5km dari bandar Kuala Kangsar, Masjid Ihsaniah memang unik dan berbeza sekali dari masjid-masjid yang lain. Rekabentuknya yang berbentuk segi empat tepat dan memanjang tentu akan menarik perhatian sesiapa sahaja.

Selain itu, masjid ini juga dibina berasaskan anyaman buluh minyak dan tidak menggunakan sebarang paku semasa pembinaannya.

Masjid Ihsaniah Iskandariah ini mempunyai seni ukiran yang menarik dan indah seperti ukiran sekuntum bunga tikam seladang sebagai hiasan dindingnya.

Alamat: Kampung Kuala Dal, 33700 Padang Rengas, Perak

12. Taman Rekreasi Gunung Lang

Sumber: OrangPerak

Seperti yang diketahui ramai, Perak mempunyai pelbagai tarikan alam semula jadi yang memukau. Taman Rekreasi Gunung Lang yang terletak dalam 6km dari Bandaraya Ipoh menawarkan percutian yang tidak boleh dilupakan, terutamanya jika anda pencinta alam.

Di sini anda boleh bersiar-siar di tasik yang dikelilingi oleh pemandangan bukit batu kapur yang memukau. Anda juga boleh menaiki bot dan menghayati landskap yang cantik dan menenangkan.

Alamat: Off Jalan Kuala Kangsar, Jalan Damai, 30100 Ipoh, Perak

Waktu Operasi:
– Isnin – Khamis: 8.00 pagi – 12.00 tengah hari / 1.30 petang – 7.00 malam
– Jumaat: 8.00 pagi – 12.00 tengah hari / 2.45 petang – 4.00 petang
– Sabtu, Ahad, & Cuti Umum: 8.00 pagi – 6.30 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak / Warga Emas: RM1.50

13. Muzium Arkeologi Lenggong

Sumber: Cumaps.net

Dibina di Kota Tampan, Muzium Arkeologi Lenggong ini adalah simbolik kepada tapak arkeologi tentang sejarah Paleolitik di negara Malaysia yang menempatkan pelbagai bahan prasejarah dan artifak.

Paling mengagumkan ialah artifak ‘Perak Man’, iaitu rangka orang purba yang tertua di Malaysia seperti yang disebutkan tadi. Rangka ini berusia 11,000 tahun dan dijumpai dalam Gua Gunung Runtuh yang terletak di Lembah Lenggong, di mana muzium ini terletak.

Selain itu, terdapat juga pameran koleksi peralatan pada zaman Paleolitik yang telah dijumpai di Bukit Jawa, Kampung Temelong, Bukit Bunuh, dan Lawin. Jangan lepaskan peluang untuk melawat tempat menarik di Perak ini.

Alamat: Galeri Arkeologi Lenggong, Jabatan Warisan Negara, Kota Tampan Lenggong, 33400 Perak

Waktu Operasi:
– Isnin – Khamis, Sabtu – Ahad: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Jumaat: 9.00 pagi – 12.00 tengah hari / 3.00 petang – 5.00 petang

Harga Tiket: Percuma

14. Kuil Gua Kek Look Tong

Sumber: Entree Kibbles

Jika anda sekeluarga penggemar alam semula jadi yang unik, tempat menarik di Ipoh ini menawarkan tarikan tokong Buddha di dalam gua dan juga sebuah taman yang luas dan menenangkan.

Di dalam tokong tersebut, anda boleh mendapati pemandangan struktur stalaktit dan stalagmit yang mengagumkan dan dianggarkan berusia ribuan tahun!

Tarikan ini terbuka kepada setiap pelancong tidak kira agama dan bangsa untuk menghayati keindahan alam semula jadi di sini.

Alamat: Gunung Rapat, 31350 Ipoh, Perak

Harga Tiket: Percuma

15. Matang Mangrove Forest Reserve

Sumber: Google Sites

Matang Mangrove Forest Reserve merupakan hutan paya bakau terbesar di Malaysia. Dengan keluasan lebih daripada 40,000 hektar, hutan ini merupakan antara kawasan paya bakau yang diberikan penjagaan terbaik di dunia.

Hutan paya bakau ini telah digazekkan sebagai hutan simpan sejak tahun 1906, menjadikannya bukan sahaja terbesar, tetapi juga hutan simpan paya bakau tertua di negara ini!

Di sini anda dapat melihat spesis haiwan kawasan paya seperti udang, ketam, ikan, dan banyak lagi.

Alamat: Kampung Kuala Sepetang, 34650 Kuala Sepetang, Perak

16. Bukit Larut (Maxwell Hill)

Sumber: Penang Insider

Dahulunya dikenali sebagai Maxwell Hill, Bukit Larut merupakan kawasan percutian tanah tinggi yang popular bukan sahaja kerana udaranya yang dingin dan segar, tetapi ia juga menawarkan pemandangan alam semula jadi yang indah.

Di sini terdapat menara tinjau yang anda boleh naiki untuk menghayati pemandangan yang lebih terpesona sejauh Selat Melaka. Kalau bertuah, anda mungkin dapat melihat Pulau Pangkor!

Alamat: Maxwell Hill, Pegawai Penjaga Bukit Larut, 34000 Taiping, Perak

17. Masjid Muhammadiyah Ipoh

Sumber: Referr Motion Pictures

Juga dikenali sebagai Masjid Cina Ipoh dikalangan warga setempat, Masjid Muhammadiyah Ipoh sering menjadi tumpuan pelancong kerana seni binanya yang unik berinspirasikan masyarakat Cina.

Jika anda tidak mengenali bangunan ini, anda mungkin tidak akan perasan bahawa ia adalah sebuah masjid kerana binaan bumbung dan ukiran di bangunan ini mirip bangunan-bangunan tradisional di negara Cina.

Warnanya yang merah ditambah pula dengan seni bina inspirasi Cina membuatkan bangunan ini nampak seperti kuil Cina, tetapi masih ada banyak nilai Islamik dalam reka bentuk masjid ini.

Alamat: Tasek Jaya Ipoh Perak, Regat Tasek Jaya 1, Taman Tasek Jaya, 31400 Ipoh, Perak

18. Kebun Limau Tambun GOChin

Sumber: Garden Homestay Ipoh

Di Tambun terdapat satu ladang buah limau yang harus anda lawati! Pokok-pokok disini menghasilkan buah limau bali yang agak besar yang anda boleh nikmati dan bawa pulang sebagai buah tangan.

Terdapat juga jenis buah-buahan lain selain daripada buah limau bali, seperti buah jambu batu. Kalau anda pemiant buah atau ingin menambahkan ilmu tentang jenis-jenis buah seperti ini, bolehlah singgah di Kebun Limau Tambun GOChin ini.

Alamat: 158258A, Jalan Ampang Tambun, 31400, Ipoh, Perak, 31350 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

19. Kubu Belanda

Sumber: The Crazy Tourist

Bagi peminat sejarah, ada satu lagi tarikan yang tentu memuaskan anda. Kubu Belanda, atau juga dikenali sebagai Dutch Fort merupakan lokasi yang telah meninggalkan kesan sejarah yang sangat tinggi di Perak.

Kubu Belanda yang ikonik dengan tembok berwarna merah ini dibina pada tahun 1670 oleh penjajah Belanda untuk menyimpan bijih timah sebelum dimuatnaik ke atas kapal untuk dieksport.

Sebahagian besar kota ini telah termusnah pada tahun 1690 kerana rakyat tempatan tidak bersetuju dengan cara penjajah Belanda memperoleh sumber bijih timah tersebut.

Jika mempunyai masa dan memang sudah berada di Pulau Pangok, jangan lepaskan peluang untuk melawati kubu yang sudah berusia lebih 350 tahun ini!

Alamat: 32300 Pulau Pangkor, Perak

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang

20. Kompleks Sejarah Pasir Salak

Sumber: JomJalan

Kompleks Sejarah Pasir Salak, seperti namanya merupakan destinasi pelancongan yang kaya dengan informasi tentang pahlawan-pahlawan Perak yang telah banyak berjasa suatu ketika dahulu.

Di kawasan kompleks ini pernah berlaku peperangan di antara pahlawan Perak seperti Dato Maharajalela dan askar penjajah British. Di sini juga terdapat tugu peringatan yang merupakan lokasi residen Perak pertama dibunuh ketika itu, iaitu JWW Birch.

Selain itu, terdapat banyak lagi tugu lain, monumen, diorama tiga dimensi, dan infografik menarik berkaitan sejarah pada ketika itu yang boleh dijumpai di kompleks ini yang bersebelahan dengan Sungai Perak.

Alamat: 36800 Kampung Gajah, Perak

Waktu Operasi:
– Isnin – Khamis, Sabtu & Ahad: 9.30 pagi – 5.00 petang
– Jumaat: 9.30 pagi – 11.45 pagi / 2.45 petang – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM4
– Kanak-kanak: RM2


Berdasarkan tempat-tempat menarik di Perak yang disenaraikan tadi, tidak dinafikan yang pelbagai tempat anda boleh lawati dan banyak juga perkara yang boleh dibuat di negeri Darul Ridzuan ini. Kalau ingin bercuti di seluruh Perak, jangan lupa untuk membuat jadual perjalanan untuk memudahkan percutian anda. Selamat bercuti!