Ibu, Bayi & Kanak Kanak

25 Tempat Menarik Di Perlis Yang Akan Memberikan Pengalaman Percutian Manis

Sumber: Holidify

Perlis Indera Kayangan merupakan negeri terkecil di Malaysia. Walaupun begitu, jangan terpedaya dengan saiz negeri ini kerana sebenarnya terdapat banyak tempat menarik di Perlis untuk diterokai!

Bersempadan dengan negara Thailand, Perlis dahulunya dikenali sebagai ‘Palit’ oleh orang Siam sewaktu negeri ini berada dibawah naungan mereka.

Jom tengok beberapa tempat menarik di Perlis yang popular dan berbaloi untuk dilawati.

25 Tempat Menarik Di Perlis

1. Gua Kelam

Highlighted

Sumber: Astro Awani

Juga dikenali sebagai ‘Cave of Darkness’ yang bermaksud gua yang gelap, Gua Kelam mempunyai kepanjangan 370 meter.

Untuk memasuki gua ini, anda perlu melalui jambatan gantung kayu yang sempit, jadi kalau anda mempunyai klaustrofobia, mungkin kena fikir dua kali untuk menerokai gua ini!

Walaubagaimanapun, ia sangat berbaloi kerana di penghujung gua terdapat pemandangan Lembah Wan Tangga yang amat menakjubkan.

Alamat: Kaki Bukit, 02200 Kaki Bukit, Perlis

Waktu Operasi:
– Isnin – Jumaat: 8.00 pagi – 5.00 petang
– Sabtu & Ahad: 8.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1

2. Gua Wang Burma

Sumber: TravelAgent.my

Bagi yang betul-betul meminati eksplorasi gua, Gua Wang Burma adalah gua yang paling popular untuk aktiviti ini. Kalau anda tak berapa mahir dalam hobi sebegini, jangan risau kerana gua ini terbahagi kepada dua gua utama.

Bahagian pertama yang dipanggil Wang Burma Satu tidak berapa mencabar, tetapi mempunyai latar belakang indah yang sesuai untuk diambil gambar.

Wang Burma Dua pula lebih mencabar dengan laluan sempit dan terowong berlumpur, sesuai untuk penggemar gua yang inginkan cabaran fizikal sebegini.

Mana-mana bahagian gua yang dipilih, setiap pelawat perlu mulakan eksplorasi dengan meredah hutan selama 40 minit sebelum sampai ke pintu masuk gua.

Alamat: Kilometer 2, Jalan Kaki Bukit, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket: Bergantung kepada pakej lawatan

3. Taman Negeri Perlis

Sumber: bmwunstoppable

Kalau ingin menerokai keindahan alam semula jadi secara lebih bersantai, anda boleh ke Taman Negeri Perlis yang merangkumi keluasan 5,000 hektar. Terletak di Banjaran Nakawan, Taman Negeri Perlis adalah rumah kepada bukit batu kapur terpanjang di Malaysia.

Taman Negeri Perlis juga merupakan satu-satunya hutan di Malaysia yang mengalami fenomena daun luruh, sama seperti di negara dengan empat musim yang mengalami musim luruh dan pokok-pokoknya menggugurkan daun untuk tempoh yang singkat sebelum ia digantikan dengan yang lebih baru. Menarik sungguh!

Alamat: Taman Negeri Perlis, 02200 Kaki Bukit, Perlis

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1

4. Tasik Timah Tasoh

Sumber: Faizal Fredley

Kalau anda lebih gemari pemandangan alam semula jadi yang luas dan bukannya yang sempit seperti dalam gua atau hutan, bolehlah ke Tasik Timah Tasoh, iaitu sebuah tasik buatan manusia.

Dibina sebagai sebuah empangan pada tahun 1992, namanya diberikan sempena nama dua batang sungai yang bertemu di kawasan tasik ini, iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh.

Beberapa aktiviti boleh dilakukan di sini seperti menaiki kayak dengan pemandangan tasik yang luas dan bukit-bukau beralun, memang indah sekali!

Alamat: Kampung Buit Manek, 02200 Kaki Bukit, Perlis

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Masuk: Percuma

5. Bukit Keteri

Sumber: Shutterstock

Perlis memang kaya dengan lokasi indah alam semula jadi, dan salah satu daripadanya yang popular ialah Bukit Keteri, terutamanya jika anda penggemar mendaki batu.

Pembentukan karst batu kapur di sini nampak seperti dua menara yang berdiri bersebelahan sementara dikelilingi sawah padi yang nampak seperti tiada penghujung!

Dikatakan oleh orang ramai sebagai salah satu bukit yang paling sukar untuk didaki di Asia, mendaki bukit ini sangat berbaloi kerana pendaki akan diberi ganjaran dengan pemandangan panorama di situ yang menakjubkan, terutamanya apabila matahari terbenam.

Alamat: 02450 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

6. Hutan Lipur Bukit Ayer

Sumber: MNY Homestay Malaysia

Jika anda tak cukup puas dengan tarikan-tarikan alam semula jadi yang disebutkan tadi, tambah Hutan Lipur Bukit Ayer dalam itinerari anda!

Di taman rekreasi ini, anda serta keluarga atau rakan-rakan boleh berkelah kerana taman ini dilengkapi dengan tapak perkhemahan, kemudahan tempat letak kereta, dan kemudahan-kemudahan asas lain.

Jika anda ingin melakukan aktiviti seperti mendaki atau menerokai hutan untuk sampai ke air terjun dan kolam, anda perlu menghubungi pihak berkuasa atau jabatan perhutanan terlebih dahulu. Ini adalah untuk keselamatan anda dengan mengikuti laluan yang telah ditetapkan.

Alamat: 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: 7.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1

7. Kampung Ujung Bukit

Sumber: Sikidang

Untuk tarikan semula jadi yang lebih unik, anda boleh melawati Kampung Ujang Bukit untuk pengalaman duduk di kampung di Perlis.

Kampung Ujung Bukit ini terletak di lembah bukit batu kapur dan dikelilingi sawah padi, menawarkan ketenangan dan pemandangan yang cukup indah.

Terdapat banyak pilihan homestay di sini jika anda bercadang untuk tinggal beberapa malam. Di sini, anda boleh menyertai persembahan kebudayaan, membuat makanan tradisional, dan mempelajari tentang penanaman padi.

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan pengalaman yang unik di tempat menarik di Perlis ini.

Alamat: Kg. Ujung Bukit, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Bergantung kepada homestay dan pakej

8. Taman Anggur Perlis

Sumber: alamy.com

Salah satu tarikan unik yang terdapat di Perlis ialah Taman Anggur Perlis yang merupakan ladang anggur yang luas dan bermusim setiap bulan!

Taman ini merangkumi beberapa jenis anggur yang berbeza seperti Black Queen, Black Opal, dan New White Malaga. Anggur disini ditanam secara berkelompok untuk memastikan pelawat berpeluang untuk melihat beberapa jenis anggur tidak kira pada musim mana taman ini dilawat.

Alamat: Taman Anggur Perlis, Pertanian Bukit Temiang, Kangar, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi:
– Selasa – Ahad: 9.00 pagi – 6.00 petang
– Isnin: Tutup

Harga Tiket:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak: RM1

9. Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen

Sumber: flyklia.com

Bagi yang meminati keindahan bunga-bunga yang berwarna warni, boleh melawati sebuah taman bunga yang dinamakan sempena nama puteri mahkota Perlis.

Di taman ini terdapat pelbagai jenis bunga kertas atau juga dikenali dengan nama bougainvillea. Dari sini juga anda boleh pergi mendaki bukit yang berdekatan dengan kemudahan trekking yang terdapat di sini.

Alamat: 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

10. Rimba Herba Perlis

Sumber: mycomments.com.my

Dibuka kepada orang ramai pada tahun 1999, Rimba Herba Perlis ialah sebuah hutan herba negara yang merangkumi tanah seluas 12 hektar dengan pelbagai jenis herba.

Di sini, kebanyakan tumbuhan yang ditanam adalah untuk nilai perubatannya seperti herba Tongkat Ali dan Kacip Fatimah yang popular dengan khasiat yang diberikan.

Alamat: 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM1
– Kanak-kanak: RM0.50

11. Taman Rekreasi Bukit Jernih

Sumber: azhafizah.com

Di Malaysia memang terdapat banyak taman rekreasi dengan sungai yang jernih, seronok untuk bermandi-manda dengan keluarga dan rakan-rakan. Di Perlis, terdapat Taman Rekreasi Bukit Jernih yang boleh dilawati seisi keluarga!

Seperti taman dan sungai rekreasi lain, hari minggu tentu banyak pengunjung! Walau bagaimanapun, anda juga boleh menyediakan khemah dan bermalam di sini. Tentu seronok.

Alamat: Lorong Bukit, Taman Jernih, 02450 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Masuk: Percuma

12. Wang Gunung

Sumber: WorldOrgs.com

Terdapat satu lagi lokasi popular di Perlis dikalangan penggemar mendaki iaitu Wang Gunung. Mencapai ketinggian hampir 500 meter, Wang Gunung terletak di sempadan Malaysia dan Thailand.

Kalau anda bercadang untuk mendaki ke puncak gunung batu ini, ia akan mengambil masa dalam tiga jam dengan 14 hentian di mana anda boleh berehat.

Untuk mendaki gunung ini, anda bukan sahaja memerlukan permit daripada Jabatan Perhutanan terlebih dahulu, tapi pastikan anda mempunyai stamina dan pengalaman mendaki yang mencukupi kerana pendakian ini agak mencabar!

Alamat: Kampung Pondok, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Permit Mendaki: RM5

13. Hutan Lipur Bukit Kubu

Sumber: FourSquare

Hutan Lipur Bukit Kubu menawarkan pemandangan yang aman dan indah, sesuai untuk pengunjung bersiar-siar dan beristirehat, jauh daripada kesibukan bandar.

Dikelilingi sawah padi, taman rekreasi seluas 12 hektar ini menempatkan pelbagai flora dan fauna yang unik. Hutan lipur ini juga popular sebagai lokasi untuk memerhati burung, terutamanya pada musim burung terbang masuk dari utara untuk mengawan.

Alamat: 02000 Kuala Perlis, Perlis

Waktu Operasi: 7.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket: Percuma

14. Titian Kanopi Mata Ayer

Sumber: haikaldaniel66.blogspot.com

Titian Kanopi atau Canopy Walk Mata Ayer dibina pada tahun 2011 dengan tujuan penyelidikan flora dan fauna, dan juga untuk mempromosikan ekopelancongan.

Terletak 17 meter dari tanah dengan kepanjangan 100 meter dari satu platform ke platform seterusnya, tarikan ini menawarkan pemandangan yang indah, termasuklah pemandangan pokok jati tertua di Semenanjung Malaysia.

Alamat: 02100 Padang Besar, Perlis

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 4.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM3

15. Menara Pandang Wang Kelian

Sumber: rileklah.com

Menara Pandang Wang Kelian menawarkan pemandangan panorama Perlis dan persekitaran semula jadinya dari ketinggian 304 meter.

Kalau anda bertuah dan pada hari yang lebih sejuk, anda akan dapat melihat awan putih yang tebal mengelilingi bukit di sini. Ia juga dipanggil fenomena awan karpet yang amat menakjubkan.

Alamat: 02200 Kaki Bukit, Perlis

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

16. Ladang Nipah Kipli

Sumber: TripAdvisor

Mungkin anda tidak pernah terfikir ladang nipah boleh menjadi suatu tarikan, tetapi Ladang Nipah Kipli di Perlis ini menawarkan keindahan pokok nipah sejauh mata memandang.

Kalau nak tahu apa yang menarik di ladang ini selain itu, anda juga dapat mencuba jus segar dan manis yang dihasilkan daripada tumbuhan ini! Jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi tempat menarik di Perlis ini.

Alamat: 02700 Sanglang, Perlis

Waktu Operasi: 1.00 petang – 7.30 petang

Harga Tiket: Percuma

17. Ladang Burung Unta Perlis

Sumber: mdmafnie.blogspot.com

Berbanding dengan ladang-ladang burung unta yang lain di Malaysia, Ladang Burung Unta Perlis agak kecil dengan hanya beberapa ekor burung unta.

Walau bagaimanapun, ia masih memadai dan menyeronokkan, terutamanya buat anak-anak kecil yang akan dapat melihat burung yang besar ini dengan dekat.

Anda akan dapat membelai dan memberi makanan kepada burung-burung unta ini. Selain itu, terdapat juga pameran burung unta yang menunjukkan saiz mereka yang lebih besar daripada telur ayam dan itik.

Alamat: 7, 02100 Padang Besar, Perlis

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket: Percuma

18. Taman Ular dan Reptilia Perlis

Sumber: itc.gov.my

Taman Ular dan Reptilia Perlis ini merupakan salah satu destinasi pelancongan yang utama di Malaysia. Ladang ini adalah satu-satunya ladang ular yang pernah dibina di Malaysia!

Di taman ini terdapat lebih daripada 200 ular daripada 30 jenis spesis. Walaupun tarikan utamanya ialah ular, terdapat juga haiwan reptilia lain di taman ini seperti buaya, biawak, dan iguana.

Alamat: Taman Ular Sungai Batu Pahat, 02400 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM4
– Kanak-kanak: RM1

19. Taman Rekreasi Tasik Melati

Taman Rekreasi Tasik Melati di Perlis ini menawarkan pengalaman yang amat unik di mana pengunjung dapat melihat lebih daripada 150 pulau kecil berpasir yang terletak di sekitar tasik.

Untuk menghayati pemandangan ini, pengunjung boleh berjalan di atas pelantar kayu yang dibina untuk berjalan dari satu hujung tasik ke hujung yang satu lagi. Seni bina tasik ini juga amat unik yang berunsurkan reka bentuk dinasti Cina.

Alamat: Tasik Melati, 02400 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

20. Masjid Al-Hussain

Sumber: dapnyatv.com

Mengunjungi masjid dimana-mana destinasi pelancongan, sama ada tempatan atau antarabangsa sering menjadi pengalaman yang berharga. Masjid Al-Hussain di Perlis yang dibina di tepi pantai menghadap Selat Melaka adalah mercu tanda yang terkenal di Perlis.

Semasa air pasang di Selat Melaka, masjid ini akan nampak seolah-olah terapung di dalam air! Masjid ini dihiasi dengan batu kerikil, batu karang, granit, dan batu permata.

Alamat: 1, Persiaran Putra Timur, 02000 Kuala Perlis, Perlis

Waktu Operasi: 5.30 pagi – 10.00 malam

21. Masjid Alwi

Sumber: 20umme.com

Masjid Alwi bukan sahaja masjid tertua di Perlis, ia juga merupakan tarikan popular yang tertua di negeri ini. Dibina pada tahun 1933, masjid ini dinamakan sempena raja Perlis ketika itu, Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Tuan Syed Saffi Jamalullail.

Pada tahun 2018, masjid ini disenaraikan sebagai tapak warisan negara yang tentunya menjadi kebanggaan dan penghormatan besar kepada masyarakat tempatan.

Alamat: Pusat Bandar Kangar, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: 5.00 pagi – 10.00 malam

Harga Masuk: Percuma

22. Galeri Diraja Arau

Sumber: Kg. Surau RPA, Perlis

Terletak bersebelahan dengan Istana Diraja Perlis, Galeri Diraja ini menempatkan pelbagai artifak seperti pakaian diraja, basikal rotan, barangan kaca, dan koleksi perkakas gangsa yang pernah menjadi milik Almarhum Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Raja Syed Saffi.

Di sini juga pengunjung akan dapat melihat sekilas bagaimana keluarga diraja Perlis menjalani kehidupan mereka dari zaman dahulu. Walau bagaimanapun, permohonan perlu dibuat dahulu sebelum pengunjung dapat memasuki galeri ini.

Alamat: 02600 Arau, Perlis

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 6.00 petang

23. Muzium Kota Kayang

Sumber: Explore Perlis

Jika anda ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang sejarah Perlis, muzium yang dibina pada tahun 1991 ini menempatkan pelbagai artifak budaya dari beribu tahun dahulu seperti tinggalan arkeologi kapak batu Neolithik, senjata, barangan tembaga, siling, replika dokumen, dan carta keturunan diraja.

Terdapat tiga galeri dalam muzium ini yang mempamerkan peralatan harian golongan bangsawan, salasilah diraja negeri Perlis bermula dari Nabi Muhammad s.a.w., replika bunga emas, dan pelbagai lagi koleksi yang menarik dan berharga.

Alamat: 02000 Kuala Perlis, Perlis

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket: Percuma

24. Kuala Perlis

Sumber: HolidayGoGoGo

Kuala Perlis ialah sebuah pekan yang kecil di Perlis dan sering dijadikan destinasi pelancongan terutamanya yang ingin ke Pulau Langkawi. Selalunya jika pengunjung ingin membawa kereta ke Pulau Langkawi, jeti di Kuala Perlis sahaja yang menawarkan perkhidmatan sedemikian.

Memandangkan tarikan disini ialah jetinya, terdapat pelbagai restoren makanan laut dan medan ikan bakar yang terdapat di sini. Bahagian lama bandar ini pula mempunyai rumah dan masjid yang dibina di atas tiang di atas paya bakau jika anda ingin melihat keunikan lokasi ini.

Alamat: 02000 Kuala Perlis, Perlis

Waktu Operasi: 24 jam

25. Arked Niaga Padang Besar

Sumber: Perlis – Attractions In Malaysia

Bagi yang gemar membeli-belah, terutamanya di lokasi yang pengunjung boleh tawar-menawar, Padang Besar memang menjadi tempat yang popular. Bersempadan dengan Songkla, Thailand, harga barangan di sini boleh dikatakan murah kerana lokasinya yang terletak di kawasan bebas cukai di tengah-tengah sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Di sini, anda boleh mendapati barangan yang praktikal dan unik seperti periuk belanga, produk kraftangan, buah-buahan, bunga-bungaan dari Thailand, dan juga barangan perkahwinan. Kalau anda gemar makanan Thailand, di sini juga terdapat pelbagai juadah dan menu makanan Thailand.

Alamat: Padang Besar, 02100 Padang Besar, Perlis

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 6.00 petang

Harga Masuk: Percuma


Ternyata walaupun Perlis adalah sebuah negeri yang kecil, tak semestinya ia tidak mempunyai tempat menarik untuk dilawati! Jika anda bercadang untuk bercuti di Perlis, bolehlah anda kunjungi mana-mana lokasi seperti yang disebutkan di atas tadi untuk pengalaman bercuti istimewa di Perlis. Selamat bercuti!