Ibu, Bayi & Kanak Kanak

20 Tempat Menarik di Port Dickson Untuk Weekend Staycation Anda Sekeluarga

Port Dickson bukan nama yang baru lagi bagi warga tempatan, terutamanya bagi yang duduk di kawasan bandar di Lembah Klang! Tempat menarik di Port Dickson menjadi destinasi percutian yang cepat dan memuaskan, terutamanya jika ingin bercuti berdekatan dengan pantai.

Tak kira dari mana pun, kalau Mommy bercadang untuk pergi bercuti di Negeri Sembilan, jom tengok beberapa tempat menarik di Port Dickson yang boleh dilawati.

20 Tempat Menarik Di Port Dickson Untuk Seisi Keluarga

1. Pantai Teluk Kemang

Highlighted

Sumber: idadamia.blogspot.com

Kalau bercakap pasal Port Dickson atau lebih popular dipanggil PD, tentu saja Mommy bayangkan pantai dan laut, betul tak?

Pantai Teluk Kemang adalah salah satu pantai yang paling popular di PD kerana mempunyai persisiran pantai yang lapang, pasir pantai yang lembut dan gebu, serta penginapan yang menarik dan selesa.

Pantai ini juga popular dengan tarikan aktiviti sukan air seperti banana boat ride, buggy ride, parasiling, dan membawa jetski.

Alamat: Pantai Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Pantai peranginan awam (24 jam)

Harga Tiket: Percuma

2. Blue Lagoon

Sumber: pdhomes.vnet.my

Juga dikenali dengan nama Pantai Tanjung Biru, pantai di sini adalah lebih berteluk dan dikelilingi oleh bukit dan batu-bata.

Pelancong juga sering melawati Rumah Api Tanjung Tuan yang terletak yang terletak berdekatan pantai ini.

Ia memang tempat menarik di Port Dickson dan kalau Mommy mahu pergi, perlu mendaki ke atas bukit dan Mommy akan dapat lihat pemandangan laut Selat Melaka dari lokasi yang tinggi. Dengan angin laut yang nyaman, tentu seronok pergi dengan anak-anak!

Alamat: Batu 10, Jalan Pantai, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Pantai rekreasi awam (24 jam)

Harga Tiket: Percuma

3. Pantai Tanjung Gemuk

Sumber: portdickson.info

Pantai yang terletak di bahagian utara Port Dickson ini tidak sesibuk pantai-pantai popular lain.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa tempat penginapan berdekatan dengan pantai ini, dan salah satunya mempunyai chalet atas air yang amat unik!

Pantainya tidak terlalu lapang tetapi sesuai untuk bermandi-manda memandangkan terdapat banyak pohon rendang disekelilingnya.

Alamat: Pantai Tanjung Gemuk, Jalan Seremban, Taman Tanjung, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Pantai peranginan (24 jam)

Harga Tiket: Percuma

4. Pantai Cahaya Negeri

Sumber: portdickson.info

Landskap di sekeliling Pantai Cahaya Negeri ini sangat indah dan sistematik selepas kerja-kerja pembangunan dijalankan beberapa tahun lepas.

Pantai ini lengkap dengan kemudahan awam, dataran, pondok, dan tempat letak kereta yang luas, jadi orang ramai tak perlu bersesak-sesak di pantai ini.

Mommy boleh menikmati pemandangan laut dari platform kayu yang melunjur ke laut menuju ke Pulau Burung yang cantik. Lokasi ini juga sesuai untuk dijadikan tempat penggambaran pasangan pengantin baru!

Alamat: Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Pantai peranginan (24 jam)

Harga Tiket: Percuma

5. Pantai Saujana (Pantai Batu 4)

Sumber: Facebook Homestay Port Dickson – Salsaa Homestay

Kalau Mommy dan keluarga suka berkelah, Pantai Saujana menjadi tempat popular untuk aktiviti ini kerana keluasan pantainya dan juga aktiviti-aktiviti yang terdapat di pantai ini.

Tambahan pula, pantai ini memang mempunyai tapak perkhemahan awam selain daripada taman permainan kanak-kanak, tandas awam, dan tempat-tempat makan berdekatan. Perkelahan dan perkhemahan disini memang menyenangkan!

Alamat: Jalan Pantai, Taman Dato Haji Abdul Samad, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Pantai peranginan (24 jam)

Harga Tiket: Percuma

6. Pantai Purnama

Sumber: portdickson.info

Pantai Purnama mendapat namanya kerana menjadi tempat melihat cahaya purnama Bulan yang popular dan juga untuk melihat panorama matahari terbenam di Selat Melaka.

Pantai disini kurang sesak berbanding dengan pantai-pantai lain walaupun pada hari minggu. Lokasi pantai ini senang diakses dan mempunyai kemudahan lengkap untuk pelancong seperti tandas, tapak perkhemahan, dan gerai makan.

Alamat: Jalan Pantai, Tanjung Tanah Merah, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Pantai rekreasi awam (24 jam)

Harga Tiket: Percuma

7. PD Waterfront

Sumber: PD Waterfront

Selain daripada pantai, Port Dickson juga mempunyai tarikan waterfront yang menghadap ke arah Pulau Arang. PD Waterfront ini menjadi tempat menarik di Port Dickson pada waktu malam untuk bersantai dan juga berjalan-jalan.

Kawasan ini telah dibangunkan untuk dijadikan tempat membeli-belah, tempat makan, dan tempat hiburan keluarga dengan pemandangan laut yang nyaman.

Alamat: PD Waterfront, 71000, Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Destinasi tepi pantai 24 jam

Harga Tiket: Percuma

8. Bukit Batu Putih

Sumber: libur.com.my

Kalau Mommy dan keluarga atau kawan-kawan jenis yang suka mendaki bukit atau hiking, Mommy tentu nak tinjau Bukit Batu Putih. Bukit ini adalah tempat terbaik untuk menerokai keindahan Port Dickson dari puncak yang tinggi.

Untuk mendaki bukit ini tidaklah terlalu mencabar, tapi mungkin memerlukan pengalaman mendaki yang mencukupi.

Mommy boleh bermula bermula dari pintu masuk Rumah Api Tanjung Tuan dan akan sampai ke puncak sekitar 20-35 minit sahaja. Pemandangan laut dari puncak Bukit Batu Putih ini memang berbaloi!

Alamat: Puncak Bukit Batu Putih, Tanjung Tuan, 71050, Negeri Sembilan

Waktu Operasi:
– Isnin – Ahad: 8.30 pagi – 6.00 petang
– Khamis: Tutup

Harga Tiket: RM1.00

9. Pulau Burong Port Dickson

Sumber: Xplorasi Destinasi

Pulau Burong yang boleh diakses melalui platform kayu dari Pantai Cahaya Negeri seperti yang disebutkan di atas tadi merupakan sebuah pulau kecil dibawah kategori kawasan hutan paya laut.

Terdapat pelbagai jenis pokok bakau dan api-api di pulau kecil ini serta menara tinjau.

Waktu air surut, Mommy boleh berjalan kaki sahaja ke pulau ini dari pantai! Ramai juga yang suka memancing di pulau ini.

Alamat: Pulau Burong, 71050, Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Destinasi awam (24 jam)

Harga Tiket: Percuma

10. Hutan Rekreasi & Rumah Api Tanjung Tuan

Sumber: portdickson.info

Hutan rekreasi dan rumah api ini terletak bersebelahan dengan Blue Lagoon atau Pantai Tanjung Biru. Walaupun lokasi hutan rekreasi dan rumah api ini dari segi geografinya berada dalam Negeri Melaka, ia lebih sering dikaitkan sebagai tarikan Port Dickson.

Hutan rekreasi berbukit ini adalah rumah kepada Rumah Api Tanjung Tuan atau juga dikenali sebagai Cape Rachado yang berusia lebih 100 tahun! Pengunjung tidak boleh memasuki rumah api tersebut tapi masih boleh bergambar diluarnya.

Alamat: Jalan Pantai, Tanjung Tuan, 71050 Port Dickson

Waktu Operasi: 7.00 pagi  6.00 petang

Harga Tiket: RM1

11. Pusat Ikan Hiasan Teluk Kemang

Sumber: medium.com

Walaupun Port Dickson bukan destinasi popular untuk sukan air seperti snorkeling dan menyelam, Mommy dan anak-anak kecil masih boleh melihat kehidupan laut di Pusat Ikan Hiasan di Teluk Kemang.

Terdapat banyak haiwan marin yang menarik seperti ikan badut, kuda laut, terumbu karang, dan macam-macam lagi.

Alamat: Batu 7, Jln Pantai Teluk Kemang, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket: Percuma

12. Rumah Terbalik Port Dickson

Sumber: TripAdvisor

Di Malaysia terdapat beberapa tarikan rumah terbalik yang memang menjadi destinati popular kanak-kanak dan orang dewasa! Iyelah, dekorasi unik sebegini memang seronok bila nak ambil gambar. Macam-macam gaya dan pose boleh dicuba!

Di Port Dickson juga terdapat rumah terbalik dimana setiap bahagian dihias dengan dekorasi terbalik dan tunggang-langgang. Ia boleh menjadi tempat ziarah alternatif jika cuaca hujan dan tak dapat bermandi-manda di laut.

Alamat: No 15, Jalan Coral Walk, Batu 9, Jalan Pantai Teluk Kemang batu 9 , Port Dickson Negeri Sembilan

Waktu Operasi:
– Isnin – Ahad: 10.00 pagi – 8.00 malam

Harga Tiket:
– Dewasa (13 tahun & ke atas): RM20
– Kanak-kanak (12 tahun & ke bawah): RM15

13. Muzium Tentera Darat Port Dickson

Sumber: Berita Harian

Anak Mommy suka mainan seperti kereta api dan kapal terbang? Muzium Tentera Darat di Port Dickson ini tentu seronok untuk mereka kerana mempunyai susunan kenderaan tentera seperti jet pejuang, kereta kebal, meriam, senjata api, dan kereta api!

Bukan senang nak nampak kenderaan tentera ini! Selain itu, terdapat beberapa bangunan lama yang telah diubahsuai dan dijadikan pusat informasi dengan bahan-bahan tentang sejarah ketenteraan Negara Malaysia.

Alamat: Kem Sirusa, Persiaran Pahlawan, Kampung Baru Sirusa, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi:
– Rabu – Ahad: 10.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket: Percuma

14. PD Ostrich Show Farm

Sumber: Dive Into Malaysia

Selain bermandi-manda di pantai, Mommy juga boleh bawa anak-anak ke ladang burung unta yang bukan senang untuk dijumpai dimana-mana.

Anak-anak kecil juga tentu teruja kalau mereka tahu saiz telur burung unta yang amat besar, berbeza dengan telur ayam atau itik yang sering dimakan dirumah!

Ladang ini walaupun namanya khusus untuk burung unta, sebenarnya terdapat beberapa haiwan lain yang boleh dijumpai seperti burung merak, kuda, keldai, dan arnab! Lawatan ke ladang ini tentu menyeronokkan untuk Mommy seisi keluarga.

Alamat: PD Ostrich Show Farm, Lot 1419, Jalan Perdana 4, Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 9.30 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM15
– Kanak-kanak: RM10

15. Alive 3D Art Gallery

Sumber: Majlis Perbandaran Port Dickson

Galeri seni bertemakan lukisan tiga dimensi ini terletak berdekatan dengan Port Dickson. Tarikan popular ini penuh dengan lukisan mural 3D yang memenuhi seluruh ruang galeri.

Kanak-kanak tentu akan teruja dengan lukisan-lukisan yang nampak ‘real’ sampai boleh membuat sesiapa sahaja rasa berdebar-debar, terutamanya kalau lukisan tersebut seakan-akan ditempat tinggi.

Gambar-gambar yang diambil tentu akan dihargai selamanya.

Alamat: No. 38-40, Jalan DS 2/1, Bandar Dataran Segar, Lukit, 71010 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi:
– Isnin-Khamis: 10.00 am – 10.00 pm
– Jumaat-Ahad: 10.00 am – 11.00 pm

Harga Tiket:
– Dewasa: RM20
– Kanak-kanak (12 tahun & ke atas): RM15
– Warga Emas (60 tahun & ke atas): RM15
– OKU: RM15

16. Kota Dan Muzium Lukut

Sumber: Jabatan Muzium Malaysia

Sama ada Mommy suka matapelajaran Sejarah atau tidak, mengenali sejarah tempatan dalam muzium masih menyeronokkan.

Muzium yang terletak tidak jauh dari pekan Port Dickson yang dipanggil Kota Dan Muzium Lukit ini banyak menceritakan sejarah yang berlaku terutamanya di Lukut dan juga di Negeri Sembilan secara umum.

Muzium ini terbahagi kepada empat galeri utama iaitu Galeri Nassau, Galeri Teknologi Pembuatan Tradisional, Galeri Negeri Sembilan Beradat dan Galeri Sejarah Kegemilangan Lukut. Di bahagian luar muzium ini pula masih terletak kesan kubu Kota Lukut yang boleh diakses melalui tangga dengan pemandangan yang menarik.

Alamat: Lot 730, Jalan Besar, Taman Pd Jaya, 71010 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket: Percuma

17. Pusat Edu-Ecotourism Sungai Menyala

Sumber: caridestinasi.com

Sambil bercuti dan bersenang-lenang di tepi pantai Port Dickson, tiba-tiba Mommy rasa macam nak mengembara pula! Takkan nak pergi ke Taman Negara di Pahang pula kan?

Jangan risau, sebab sebenarnya ada sebuah taman di Port Dickson yang boleh memenuhi keinginan Mommy! Pusat Edu-Ecotourism Sungai Menyala ini hanya beberapa minit sahaja dari pekan Port Dickson.

Mommy boleh lihat pelbagai flora  dan fauna serta burung-burung liar yang setanding dengan Taman Negara walaupun jumlah spesisnya lebih terhad. Anak-anak pun tentu seronok meneroka taman yang kaya dengan alam semula jadi ini.

Alamat: Pusat Edu Eco-tourism Sg. Menyala, Jalan Sua Betong, N8, 71000 Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 8.30 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket: Percuma

18. Hutan Lipur Pasir Panjang

Sumber: mdfaiez84.com

Satu lagi destinasi mengagumkan yang Mommy boleh terokai ialah Hutan Lipur Pasir Panjang. Terletak ke arah selatan Port Dickson, tarikan hutan ini ialah pantai yang terdapat laluan jalan kaki dan jeti di tepi pantai.

Mommy boleh berkelah di hutan ini kerana landskapnya yang hijau dan pokok yang rendang membuatkan ia lokasi yang selesa.

Berdekatan dengan hutan ini juga Mommy boleh jumpa restoran Medan Ikan Bakar Kampung Teluk Pasir yang sering menjadi kunjungan pelancong untuk menjamu selera pada waktu malam.

Alamat: Taman Kota Indah, 71250 Pasir Panjang, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Destinasi terbuka awam (24 jam)

Harga Tiket: Percuma

19. Balai Cerap Bukit Kemang / Pusat Cerapan Baitul Hilal

Sumber: Majlis Perbandaran Port Dickson

Anak-anak kecil sekarang memang gemar dengan sistem solar dan suka belajar mengenainya. Mereka tentu akan teruja bila dapat tahu di Port Dickson boleh melihat angkasa dengan lebih dekat melalui teleskop canggih yang bernilai hampir RM2 juta!

Mommy dan anak-anak dapat melihat Bulan, planet, dan bintang serta mempelajari tentang sistem solar dan ilmu falak di galeri-galeri pamerannya.

Pusat ini hanya dibuka dua kali sehari dan pengunjung akan dikenakan bayaran untuk mencuba teleskop gergasi ini. Akan tetapi, kalau Mommy menginap di Kelana Beach Resort, Mommy dan keluarga boleh ke ruangan balai cerap ini secara percuma.

Alamat: 4506, 8, Jalan Pantai, Tanjung Tanah Merah, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi:
– Solar Observatory: 3.00 petang – 5.00 petang
– Night Sky Observatory: 10.30 pagi – 12.00 malam

*dibuka hanya 2 kali sehari pada setiap hari

Harga Tiket:
– Dewasa: RM25
– Kanak-kanak: RM12

* sekiranya menginap di Kelana Beach Resort, kemasukan adalah percuma

20. Masjid Sri Sendayan

Sumber: mywilayah.com

Kalau kita melancong ke luar negara, terutamanya negara Islam, kita tentu akan melawat masjid-masjid yang gah disana kan? Antaranya seperti Masjid Biru dan Hagia Sophia di Turki, Masjid Shah di Iran, Masjid Juma di India, dan macam-macam lagi.

Sebenarnya di Port Dickson pun ada masjid yang amat cantik dan indah! Walaupun bukan dibina beratus tahun dahulu, seni bina dan hasil rekaan dalaman masjid ini amat indah dan memukau.

Masjid ini juga merupakan masjid yang terbesar di Negeri Sembilan dan mampu memuatkan 5,000 jemaah pada satu masa. Sambil melawat boleh juga anda menunaikan solat fardhu!

Alamat: Persiaran Idaman Villa, Bandar Sri Sendayan, 71950 Siliau, Negeri Sembilan


Siapa sangka banyak betul tempat menarik di Port Dickson yang Mommy dan seisi keluarga boleh lawati selain bermandi-manda di laut! Pastikan Mommy membuat perancangan yang baik sebelum pergi melancong ke Port Dickson. Semoga bermanfaat.