Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Bercuti Di 30 Tempat Menarik di Sabah Bagi Yang Bercadang Untuk Ke Negeri Di Bawah Bayu

Kepulauan Borneo merupakan destinasi pelancongan yang amat popular di peringkat antarabangsa, dan negeri Sabah terletak di bahagian utara kepulauan ini. Secara semula jadinya, memang terdapat banyak tempat menarik di Sabah yang sering dijadikan lokasi percutian.

Tentu ramai sudah tahu, negeri Sabah memang sangat istimewa kerana kaya dengan spesis haiwan dan tumbuhan eksotik. Negeri ini juga menempatkan banjaran panjang yang merupakan sebahagian daripada Banjaran Crocker, sungau yang kedua terpanjang di Malaysia, dan Gunung Kinabalu sebagai gunung tertinggi di Malaysia.

Salah satu fakta menarik tentang Sabah ialah penempatan manusia terawalnya yang boleh dikesan sejak 20,000 ke 30,000 tahun dahulu di sepanjang kawasan Teluk Darvel di gua Madai-Baturong. Selain itu, Sabah memang terkenal dengan kepelbagaiannya dalam etnik, budaya, dan bahasa.

Jom tengok beberapa tempat menarik di Sabah yang anda boleh sertakan dalam rancangan percutian untuk masa hadapan.

30 Tempat Menarik Di Sabah Untuk Dijadikan Destinasi Pelancongan Istimewa

1. Gunung Kinabalu

Highlighted


Gunung Kinabalu tentu menjadi salah satu tempat yang paling popular untuk dikunjungi di Sabah. Gunung ini adalah sebahagian daripada Banjaran Gunung Crocker yang terkenal dan berdiri pada ketinggian kira-kira 13,000 kaki di atas paras laut.

Gunung ini terletak di tengah-tengah Taman Negara Kinabalu dan merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Tarikan utama di sini ialah pendakian ke puncak yang akan memberikan pemandangan yang menakjubkan.

Kalau anda tak bercadang untuk mendaki Gunung Kinabalu pun, anda masih boleh menerokai Taman Negara Kinabalu yang kaya dengan flora dan fauna eksotik.

Waktu Operasi: 7.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM15
– Kanak-kanak: RM10
– Pendakian Gunung: RM120

2. Pulau Mantanani

Terletak kira-kira sejam perjalanan bot dari Kota Belud, Pulau Mantanani menjadi destinasi popular untuk menikmati keindahan pantai, kehidupan laut, dan juga flora dan fauna.

Terbahagi kepada dua, iaitu Pulau Mantanani Besar dan Mantanani Kecil, pengunjung dapat menyaksikan ikan lumba-lumba, penyu bertelur, dan banyak lagi jika bernasib baik.

Selain itu, terdapat juga fenomena laut yang amat unik yang dipanggil bioluminescence dimana mikroorganisma marin yang wujud di sekitar lautan memberikan cahaya biru pada waktu malam.

Alamat: Pulau Mantanani Besar, Kampong Mantanani, Sabah

Waktu Operasi Jeti: 8.00 pagi – 3.00 petang

Bayaran: Bergantung kepada pakej

3. Ladang Teh Sabah (Sabah Tea Resort)

Kredit gambar: Dreamer Company / Shutterstock.com

Tak kira sama ada anda penggemar teh atau kopi, melawati Ladang Teh Sabah adalah satu kemestian!

Ladang teh bukan sahaja terdapat di Cameron Highlands, tetapi juga di Kundasang, Sabah kerana cuacanya yang dingin yang membuatkan kawasan ini kondusif untuk pertumbuhan daun teh yang berkualiti tinggi.

Ladang teh ini berada di ketinggian 2,272 kaki daripada aras laut dengan keluasan ladang sebesar 6,200 ekar dan dikelilingi hutan rimba yang telah wujud sejak 130 juta tahun dahulu!

Pelbagai perkara berkaitan teh yang anda sekeluarga boleh pelajari di ladang teh organik ini.

Alamat: KM 17, Jalan Ranau/Sandakan Kampung Nalapak

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa / Kanak-kanak: RM10

4. Turtle Island Park

Kredit gambar: The Family Freestylers

Turtle Island Park merangkumi tiga buah pulau yang merupakan tempat perlindungan dan pemuliharaan penyu yang diancam kepupusan, terutamanya penyu karah dan penyu agar.

Pulau terbesar dalam taman ini, iaitu Pulau Selingan menempatkan pejabat, pusat penetasan, penginapan, dan pelbagai fasiliti asas lain, manakala Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Gulisan digunakan untuk aktiviti pemuliharaan penyu.

Kalau bertuah, anda mungkin dapat melihat penyu bertelur atau ketika renjer melepaskan penyu yang telah cukup usia ke dalam laut.

Alamat: Turtle Island Park, Sandakan, Sabah

5. Taman Hidupan Liar Lok Kawi Wildlife Park

Kredit gambar: GlobeTrove

Taman Hidupan Liar yang terletak di kawasan luar Kota Kinabalu ialah penempatan bagi pelbagai haiwan liar seperti harimau, orang utan, dan gajah.

Walaupun tidak besar, Taman Hidupan Liar Lok Kawi adalah salah satu taman hidupan liar istimewa dimana pelawat dapat melihat haiwan-haiwan ini dengan lebih dekat berbanding dengan zoo biasa. Anak-anak tentu akan berasa teruja!

Alamat: Lok kawi Putatan, 88200 Kota Kinabalu, Sabah

Waktu Operasi: 9.30 pagi – 5.30 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM10
– Kanak-kanak: RM5

6. Pulau Bohey Dulang

Terletak di Semporna, Pulau Bohey Dulang merupakan sebuah pulau yang beralun dengan bukit-bukau akibat sisa daripada limpahan volkano yang pernah terjadi pada masa lampau.

Pulau ini dikelilingi oleh lautan biru dengan air yang amat jernih, dan aktiviti-aktiviti popular di sini termasuk menyelam skuba dan snorkeling.

Pengunjung juga boleh mendaki bukit-bukau di sini dan menghayati keindahan lautan dan tumbuhan daripada puncak berketinggian 300 meter.

Alamat: Pulau Bohey Dulang, Semporna, Sabah

Harga Tiket:
– Bot: Dari RM650+ / Bot (10 – 12 Orang)
– Lawatan Berpandu: Dari RM50+ / Rombongan

7. Kereta Api Borneo (Sabah)

Kredit gambar: Yusnizam Yusof / Shutterstock.com

Kalau anda mempunyai anak-anak kecil yang minat bermain dengan kereta api tradisional, membawa mereka menaiki Kereta Api Borneo ini pastinya akan membuat mereka teruja dan gembira. Yelah, satu pengalaman baru buat anak-anak.

Laluan asal landasan kereta api ini dibina pada tahun 1896 apabila kereta api digunakan untuk memindahkan tembakau ke seluruh Sabah.

Kredit gambar: Lano Lan / Shutterstock.com

Pengunjung boleh menaiki kereta api ini dari Tanjung Aru ke Tenom dengan melalui hutan rimbun dan sepanjang pantai Sabah yang cantik. Pengalaman yang begitu unik!

Alamat: Tanjung Aru Railway Station, 88999, Kota Kinabalu, Sabah

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket: RM318

8. Pulau Mataking

Sabah memang kaya dengan pulau-pulau yang amat indah dan lain daripada kebanyakan pulau di Semenanjung Malaysia.

Di suatu bahagian di pulau ini terdapat jujuran pasir pantai yang kecil dan akan tenggelam ketika air laut pasang, justeru membahagikannya kepada dua pulau, iaitu Pulau Mataking Besar dan Pulau Mataking Kecil.

Selain daripada aktiviti air yang popular seperti snorkeling dan menyelam skuba, ada juga aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini seperti mencanting batik, meredah hutan, dan rawatan spa!

Alamat: Pulau Mataking, Semporna, Sabah

9. Kolam Air Panas Poring

Di mana-mana sahaja di seluruh dunia, kalau ada kolam air panas sebagai tarikan sesuatu kawasan, tentu tiada siapa yang tak mahu lawati! Kolam Air Panas Poring ini juga menjadi tarikan yang amat popular di Sabah.

Nama ‘Poring’ berasal daripada perkataan Kadazandusun untuk spesies buluh yang terdapat di kawasan itu. Kolam Air Panas Poring ini merupakan kawasan tadahan air panas semulajadi yang datangnya dari aliran air gunung.

Disebabkan kandungan mineral sulfurik di dalam kolam air ini, ia dikatakan mempunyai sifat terapeutik seperti meredakan sakit otot.

Alamat: 89300 Ranau, Sabah

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 3.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: : RM3
– Kanak-kanak: RM1

10. Sungai Kibunut

Terdapat lebih 500 batang Sungai di Sabah yang melaksanakan sistem tagal dan Sungai Kibunut adalah salah satu daripadanya.

Sistem tagal adalah suatu praktis dimana orang awam tidak dibenarkan memancing di sungai tersebut untuk memelihara ekosistemnya.

Walaupun anda tidak boleh memancing di sini, terdapat banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan di sekitar sungai yang indah ini seperti berkhemah atau sekadar menikmati ketenangan sungai di sini.

Alamat: Sungai Kibunut, Penampang, Sabah

11. Pasar Kraftangan Kota Kinabalu

Tiada siapa boleh sangkal dengan keunikan kraftangan dari pulau Borneo, sama ada kayu yang diukir atau tekstil yang dianyam. Dahulunya dikenali sebagai pasar Filipina, Pasar Kraftangan Kota Kinabalu terletak di sepanjang persisiran pantai di Kota Kinabalu.

Terdapat pelbagai barang unik dan eksotik yang boleh dijumpa di sini termasuk mutiara, seni dan kraf tempatan, ukiran kayu dan tekstil. Boleh dijadikan hadiah cenderahati kepada keluarga dan rakan-rakan, ataupun untuk diri sendiri buat kenangan percutian di KK.

Alamat: Jalan Sinsuran, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 6.00 petang

Harga Masuk: Percuma

12. Kampung Budaya Mari Mari

Kredit gambar: Walter Eric Sy / Shutterstock.com

Salah satu tarikan yang memang popular di kalangan pengunjung apabila melawati Sabah ialah Kampung Budaya Mari Mari (Mari Mari Cultural Village). Ia merupakan perkampungan yang telah dijadikan sebagai muzium jauh di kawasan pedalaman.

Kampung Budaya ini memelihara dan mengekalkan budaya etnik Borneo, dan di sini pengunjung dapat menghayati gaya kehidupan lima jenis etnik yang berbeza, iaitu Kadazan-Dusun (petani padi), Rungus (penduduk rumah panjang), Lundayeh (pemburu dan nelayan), Bajau (nomad laut), dan Murut (pemburu kepala).

Kredit gambar: Damian Pankowiec / Shutterstock.com

Di sini juga pengunjung boleh mencuba sendiri beberapa jenis aktiviti harian mereka seperti menghidupkan api dan menggunakan sumpit. Banyak yang boleh dipelajari dan dihargai kalau anda menziarahi perkampungan ini!

Alamat: Inanam, 88450 Kota Kinabalu, Sabah

Waktu Operasi:
– 10.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM185
– Kanak-Kanak (5 – 11 Tahun): RM165
– Kanak-Kanak (4 Tahun & Kebawah) : Percuma

13. Culvert View

Kredit gambar: Facebook @Culvert View

Kalau salah satu tujuan utama anda bercuti adalah untuk mengambil banyak gambar sebagai kenangan, Culvert View menawarkan lokasi dengan pemandangan panoramik Kundasang yang amat indah.

Di sini, para pengunjung boleh bergambar di pentas ‘sky reflection’ yang menunjukkan refleksi atau bayangan langit.

Kredit gambar: Facebook @Culvert View

Terdapat juga ‘Stairway In The Sky’ dan buaian yang terletak disini berlatarkan Gunung Kinabalu. Gambar yang diambil nanti tentu cantik walaupun bukan jurugambar profesional!

Alamat: 89308 Kundasang, Sabah

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 3.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM10
– Kanak-kanak: RM6

14. Taman Bukit Tawau

Kredit gambar: fiksyenshasha.com

Pencinta alam tentu akan berasa girang di Taman Bukit Tawau kerana ia merupakan tarikan alam semula jadi yang terdiri daripada lima batang sungai utama di Sabah!

Sungai-sungai tersebut termasuklah Sungai Tawau, Sungau Mantri, Sungau Kinabutan, Sungai Balung, dan Sungai Merotai.

Di dalam hutan ini, pengunjung akan dapat menghayati kekayaan flora yang indah sekali, seperti pokok hutan tropika tertinggi di dunia yang mencecah hampir 90 meter! Di sini terdapat juga kawasan air terjun, kolam air panas, dan taman botani.

Alamat: Taman Bukit Tawau, Tawau, Sabah

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 4.30 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak: RM1

15. Pantai Tanjung Aru

Pantai Tanjung Aru adalah salah satu pantai yang popular dan digemari ramai di Kota Kinabalu. Kalau hari minggu tentu ramai pengunjung! Anda sekeluarga bolehlah bersantai-santai di pantai ini yang sangat panjang ataupun bermandi-manda.

Terdapat beberapa gerai makanan dan minuman juga di sini kalau anda sekeluarga bercadang untuk beristirehat lama di lokasi ini. Anak-anak tentu berasa seronok bermain dengan pasir di pantai.

Alamat: Tanjung Aru, 88100 Kota Kinabalu, Sabah

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Masuk: Percuma

16. Rezab Hidupan Liar Tabin (Tabin Wildlife Reserve)

Rezab Hidupan Liar Tabin yang terletak di Lahad Datu merupakan rezab hidupan liar yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 300,000 ekar.

Hutan hujan tropika ini amat kaya dengan flora dan fauna, termasuklah beberapa spesis haiwan yang terancam seperti badak Sumatra.

Apa yang menarik juga tentang rezab ini ialah disini terletaknya Gunung Berapi Lumpur dimana pengunjung boleh bermandi lumpur disini kerana dikatakan mempunyai khasiat seperti menghaluskan kulit. Menarik sungguh!

Alamat: Tabin Wildlife Reserve, Lahad Datu, Sabah

17. Sosodikon Hill Kundasang

Sosodikon Hill ialah adalah titik vista dari mana pengunjung boleh melihat Gunung Kinabalu yang megah. Walaupun perlu mendaki sedikit dalam 10 ke 15 minit, pemandangan yang dapat dilihat dari sini memang berbaloi!

Tambahan pula, udara yang segar sementara mendaki tentu bagus untuk kesihatan anda. Waktu terbaik untuk mendaki dan menghayati pemandangan disini adalah apabila Matahari naik atau terbenam, terpulang kepada anda.

Alamat: Kg Kauluan Peti Surat 873, 89308 Kundasang, Sabah

Waktu Operasi: 6.00 pagi – 6.00 petang

Harga Masuk:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak: RM1

18. Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum (Danum Valley Conservation Area)

Kredit gambar: BorneoRimbawan / Shutterstock.com

Satu lagi kawasan pemeliharaan dan pemuliharaan flora dan fauna yang terletak di Lahad Datu ialah Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum.

Walaupun tak sebesar Rezab Hidupan Liar Tabin yang disebutkan tadi, kawasan pemuliharaan ini sering menjadi lokasi pilihan rakaman dokumenari antarabangsa.

Terdapat banyak spesis haiwan di Lembah Danum ini seperti orang utan, gajah Borneo, dan juga beberapa spesis haiwan yang menghadapi ancaman kepupusan. Selain itu, apa yang menarik di sini ialah teletaknya tapak pengebumian purba etnik Kadazan-Dusun.

Alamat: Danum Valley Conservation Area, Lahad Datu, Sabah

19. Menara Jam Atkinson

Salah satu mercu tanda popular Sabah ialah Menara Jam Atkinson yang terletak di Kota Kinabalu dan dibina pada tahun 1902. Menara ini dibina sebagai penghormatan kepada Francis George Atkinson yang merupakan bekas Pegawai Daerah di Kota Kinabalu yang dahulunya dipanggil Jesselton semasa zaman penjajah.

Atkinson meninggal dunia pada tahun 1902 ketika berusia 28 tahun akibat serangan malaria dan serangan jantung, dan menara yang berketinggian 50 kaki ini didedikasikannya untuk mengenang sumbangannya kepada penubuhan Kota Kinabalu.

Alamat: Kota Kinabalu, 88400 Kota Kinabalu, Sabah

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Masuk: Percuma (kawasan luar menara jam sahaja)

20. Pulau Sapi

Pulau Sapi adalah antara salah satu pulau yang amat indah dan juga menarik di Sabah. Selain aktiviti yang biasa dilakukan di pulau seperti snorkeling dan menyelam skuba, Pulau Sapi juga popular dengan beberapa aktiviti lasak!

Di sini terletaknya ‘Coral Flyer‘, iaitu zipline yang terpanjang di dunia! Ziplin ini bermula dari Pulau Sapi ke Pulau Gaya, jadi kalau memang dan lama nak mencuba aktiviti flying fox yang ekstrem, tak perlu ke luar negara pun!

Alamat: Pulau Sapi, Kota Kinabalu 88000, Sabah

21. Desa Cattle Dairy Farm

Desa Cattle Dairy Farm bukan nama yang asing lagi bagi kebanyakan orang, terutamanya yang suka melancong. Ini kerana sering dibandingkan dengan New Zealand kerana pemandangannya yang merangkumi padang rumput hijau yang luas yang diragut lembu-lembu Holstein Friesian.

Bukan itu saja, pemandangan bukit-bukaunya yang beralun pula membuatkan sesiapa sahaja rasa macam sedang berada di New Zealand!

Di sini anda boleh mempelajari tentang penternakan lembu dan juga merasa pelbagai produk tenusu yang segar seperti susu dan ais krim. Nikmat sungguh!

Alamat: Jalan Cinta Mata Mesilou, 89308 Kundasang, Sabah

Laman Web: desaplus.com

Facebook: DESA Dairy Farm, Sabah

Instagram: @desadairyfarm

No. Telefon: 088-889 562

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak bawah 12 tahun: RM4
– Kanak-kanak bawah 6 tahun: Percuma

22. Muzium Marin Sabah (Marine Museum Sabah)

Kredit gambar: Sylvia sooyoN / Shutterstock.com

Kalau anda tidak berkesempatan untuk mengunjungi mana-mana pulau atau pantai di Sabah, anda masih boleh menghayati kehidupan laut di Muzium Marin Sabah.

Muzium ini dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuklah ruang atrium yang dapat memberikan pengunjung pengalaman seperti berada di dasar lautan!

Terdapat juga bahagian yang memaparkan flora dan fauna lautan dan juga laluan paya bakau. Apa yang menarik juga di muzium ini ialah pengunjung boleh memberi makanan kepada beberapa jenis haiwan laut pada waktu-waktu tertentu.

Alamat: Universiti Malaysia Sabah Borneo Marine Research Institute, Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu, Sabah

Waktu Operasi:
– Isnin – Khamis, Sabtu: 9.00 pagi – 12.30 petang / 2.00 petang – 4.00 petang
– Jumaat: 9.00 oagi -.1130 pagi / 2.00 petang – 4.00 petang
– Ahad & Cuti Umum: Tutup

Harga Tiket:
– Dewasa: RM10
– Kanak-kanak / Warga Emas: RM5

23. Taman Kinabalu

Kredit gambar: Ame Kusanagy / Shutterstock.com

Kalau anda sekeluarga suka mendaki atau beriadah tapi tak berkesempatan untuk mendaki Gunung Kinabalu, Taman Kinabalu boleh menjadi pengganti yang sempurna!

Di sini terdapat lapan laluan mendaki yang boleh dilalui untuk pengunjung menghayati keindahan flora dan fauna yang eksotik di Taman Kinabalu.

Kalau tiba-tiba berasa lapar, anda boleh pula singgah ke tempat menjamu selera yang ada disediakan di taman ini. Di dalam Taman Kinabalu ini juga terdapat Timpohon Gate, iaitu tempat bermulanya pendakian Gunung Kinabalu.

Alamat: 89300 Ranau, Sabah

Laman Web: sabahparks.org.my/kinabalu-park

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 4.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1

24. Rezab Refflesia Tambunan (Tambunan Rafflesia Reserve)

Anda tentu tahu tentang bunga rafflesia yang merupakan bunga unik yang paling besar di dunia ini, kan? Kalau mahu tengok bunga istimewa ini depan mata sendiri, anda bolehlah mengunjungi Tambunan Rafflesia Reserve.

Bergantung kepada masa dan mungkin nasib anda kerana bunga ini hanya berkembang beberapa hari sahaja, anda perlu meredah taman ini untuk menjumpai bunga ini. Kalau nak tahu, bunga ini mempunyai bau yang kurang enak, jadi jangan terkejut kalau anda terbau sesuatu yang pelik!

Alamat: Tambunan Raflesia Reserve, 500, 89650 Tambunan, Sabah

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 3.00 petang

Harga Tiket: RM5

25. Tagal Luanti Sungai Moroli (Spa ikan di Sungai Moroli)

Salah satu tarikan yang hampir tidak boleh didapati di negeri lain, Tagal Luanti Sungai Moroli ialah tempat spa ikan di Sungai Moroli.

Sistem ‘tagal’ seperti yang disebutkan tadi merupakan dialek perkataan Khadazan Dusun yang bermaksud ‘tidak boleh memancing’, jadi ikan-ikan di sini dikekalkan bagi pemuliharaan alam untuk masa hadapan.

Walau bagaimanapun, pelancong boleh ambil kesempatan dengan spa ikan di mana Ikan Kelah atau ‘Malaysian Mahseer’ atau dikenali juga dikalangan orang tempatan sebagai ‘Ikan Pelian’ akan melakukan spa di kaki pengunjung dengan memakan sel-sel kulit mati di kaki.

Alamat: Ranau Tagal Sg. Moroni, 89300 Ranau, Sabah

Waktu Operasi: 8.30 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket Rendam Kaki:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM2

Harga Tiket Mandi Dengan Ikan:
– Dewasa / Kanak-kanak: RM10

26. Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

Masjid terbesar di Kota Kinabalu ini berkonsepkan masjid terapung kerana terletak di kawasan perairan yang amat menawan. Masjid ini mampu memuatkan sehingga 12,000 jemaah pada satu masa.

Jika berkesempatan, anda boleh melawat masjid pada waktu malam juga apabila ia diterangi oleh cahaya bulan dan dipantulkan dalam air yang mengelilinginya. Indah sungguh!

Alamat: Jalan Pasir, Jalan Teluk Likas, Kampung Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah

Waktu Operasi: 5.30 pagi – 9.30 malam

27. Kampung Budaya Monsopiad (Cultural Village)

Terletak kira-kira 30 minit dari pekan Kota Kinabalu, Kampung Budaya Monsopiad menawarkan sekilas kehidupan di perkampungan tradisional Kadazan, salah satu kumpulan orang asli di Sabah.

Kampung budaya ini didedikasikan kepada Monsopiad yang merupakan seorang pahlawan Kadazan yang terkenal kira-kira 300 tahun yang lalu dan legenda mengatakan bahawa dia membunuh dalam 42 penyerang yang cuba menyerang kampung itu.

Jadi anda boleh melihat 42 pameran tengkorak di sini yang terletak di Dewan Tengkorak yang agak mengerikan!

Alamat: Kampung Kuai Kandazon, Jalan Putatan Ramayah, 89507 Penampang, Sabah

Waktu Operasi:
– Selasa – Ahad: 9.00 pagi – 4.00 petang
– Isnin: Tutup

Harga Tiket:
– Dewasa: RM55
– Kanak-kanak: RM20
– Pelajar (dengan tag pelajar): RM30
– Warga Emas: RM20
– Kanak-kanak bawah 6 tahun: Percuma

28. Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok

Kredit gambar: Patricia Dulasi / Shutterstock.com

Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok merupakan satu tempat istimewa yang memberikan tumpuan kepada pemuliharaan orang utan dan mengekalkan haiwan bijak ini dalam habitat semula jadi mereka.

Bagi peminat fotografi hidupan liar, ini adalah tempat yang mesti dikunjungi kerana pelawat boleh mendekati orang utan di sini dan dibenarkan memberi mereka makan dari platform. Jangan lepaskan peluang untuk berinteraksi dengan haiwan yang bijak ini!

Alamat: Sabah Wildlife Department, W.D.T. 200, Jalan Sepilok, Sepilok, 90000 Sandakan, Sabah

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa / Kanak-kanak: RM5

29. Rainforest Discovery Centre

Rainforest Discovery Centre yang terletak kira-kira 23km dari pekan Sandakan merupakan pusat alam semula jadi di mana para pelawat dapat menyelami keindahannya melalui pelbagai aktiviti menarik.

Anda dapat berjalan di jalan berkanopi dan menikmati pemandangan tumbuhan, haiwan, dan burung-burung yang banyak terdapat di hutan hujan ini.

Kalau bernasib baik anda mungkin boleh menjumpai orang utan, monyet, dan banyak lagi, jadi jangan lupa untuk mengambil gambar untuk kenangan manis!

Alamat: Rainforest Discovery Centre, Sepilok, 90715 Sandakan, Sabah

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM7
– Kanak-kanak: RM3

30. Gua Gomantong

Kredit gambar: libur.com.my

Gua Gomantong merupakan salah satu gua yang amat indah yang para pengunjung boleh lawati kerana kawasan di sekeliling gua ini dipelihara dengan baik sekali.

Hidupan liar di  kawasan ini hidup dalam habitat mereka tanpa ancaman kemodenan dan suasan disini amat tenang sekali, jadi jangan terkejut kalau anda tiba-tiba ternampak orang utan!

Gua ini nampak seolah-olah dalam filem epic kerana amat memukau sekali! Jadi jangan lepaskan peluang untuk melawat tempat menarik di Sabah ini.

Alamat: Gua Gomantong, 90000 Kinabatangan, Sabah

Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM2


Terbukti negeri Sabah menawarkan banyak tarikan alam semula jadi dan tarikan-tarikan menarik lain, jadi tidak hairanlah ramai yang sering mengunjungi negeri di bawah bayu ini. Kalau anda bercadang untuk bercuti di Sabah, jangan lupa simpan artikel ini sebagai rujukan!