Ibu, Bayi & Kanak Kanak

20 Tempat Menarik di Selangor Yang Boleh Dikunjungi Dari Tengah Bandar Ke Hujung Negeri

Sumber: Shutterstock

Selangor amat kaya dengan sejarah, budaya, serta seni, dan negeri ini menawarkan seni bina moden di samping bangunan tradisional Melayu, menghasilkan gabungan landskap bandar yang indah. Selain tempat-tempat menarik di Selangor, terdapat pelbagai perkara yang boleh dilakukan di sini sama ada yang berunsurkan aktivit moden ataupun alam semula jadi.

Jika Ibu sekeluarga bercadang untuk bercuti di Selangor, apa kata Ibu tengok beberapa lokasi atau tempat menarik di Selangor yang boleh dilawati di dalam senarai di bawah ini.

20 Tempat Menarik di Selangor

1. Batu Caves

Highlighted

Sumber: Shutterstock

Batu Caves sudah tentu pernah didengari oleh setiap warga Malaysia, tapi mungkin masih ada yang belum berkesempatan untuk melawatinya. Rumah kepada kuil Hindu yang indah, Batu Caves merupakan destinasi paling popular untuk pelancong dan penduduk tempatan tanpa mengira kepercayaan agama.

Untuk menaiki ke puncah kuil, Ibu sekeluarga perlu menaiki sebanyak 272 anak tangga! Batu Caves amat popular semasa perayaan Thaipusam dimana beribu-ribu penganut berkumpul untuk menonton atau mengambil bahagian dalam acara yang sangat istimewa.

Alamat: Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor

Waktu Operasi: 6.00 pagi – 9.00 malam

Harga Tiket: Percuma

Harga Lawatan Gua:
– Dewasa: RM35
– Kanak-kanak: RM25

2. Kelip-kelip Kg. Kuantan (Kampung Kuantan Fireflies Park)

Sumber: Majlis Perbandaran Kuala Selangor

Kelip-kelip Kg. Kuantan di Kuala Selangor adalah satu tarikan yang amat memuaskan. Bukan sahaja Ibu sekeluarga dapat menaiki bot, tetapi juga sambil itu dapat menghayati keindahan serangga kelip-kelip yang boleh menghasilkan ‘cahaya sejuk’ atau bioluminesensi yang nampak seakan-akan cahaya bintang yang dekat!

Cahaya yang dihasilkan oleh serangga kelip-kelip ini sebenarnya bertujuan untuk menarik pasangan atau mangsa. Anak-anak tentu seronok melihat fenomena semula jadi ini.

Alamat: Kampung Kuantan, 45000 Bestari Jaya, Selangor

Waktu Operasi: 7.45 malam – 10.30 malam

Harga Tiket:
– Bayaran sampan: Satu sampan RM 50 (penumbang maksimum 4 orang)

3. Taman Tema Sunway Lagoon

Sumber: expedia.com
Sumber: viator.com

Bagi penggemar permainan taman tema, Sunway Lagoon menawarkan kedua-dua taman tema darat dan air. Taman Tema Sunway Lagoon ialah tempat yang sesuai untuk menghiburkan kedua-dua kanak-kanak dan orang dewasa sepanjang hari.

Taman tema yang luas ini menawarkan taman air yang disempurnakan dengan pantai buatan manusia, lengkap dengan ombak yang boleh dilayari! Taman temanya juga mempunyai pelbagai tarikan seperti roller coaster dan juga tarikan-tarikan yang menyeramkan! Tentu seronoklah kalau dapat habiskan masa di sini.

Alamat: 3, Jalan PJS 11/11, Bandar Sunway, 47500 Subang Jaya, Selangor

Laman Web: sunwaylagoon.com

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM133
– Kanak-kanak / Warga Emas: RM108

4. Blue Tears

Sumber: The Vocket

Terdapat satu lokasi mengajaibkan yang boleh dijumpai di Kuala Selangor, iaitu suatu tarikan yang dinamakan ‘Blue Tears’, dimana Ibu boleh mendapati fenomena waktu malam semula jadi yang memacarkan cahaya biru-hijau pada waktu malam.

Fenomena ini hampir serupa dengan fenomena atau tarikan serangga kelip-kelip, cuma fenomena Blue Tears ini disebabkan oleh Dinoflagellates, alga atau plankton laut. Pemandangan fenomena ini cukup indah dan magical!

Alamat: KS Botanic, 21, Jalan 4, Taman Sri Penambang, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu Operasi: 8.00 malam – 10.00 malam

Harga Tiket:
– Dewasa: RM20
– Kanak-kanak: RM17

5. Hutan Rekreasi Sungai Congkak

Sumber: Congkak Eco Resort

Bagi yang gemar bersantai di kawasan perairan, Hutan Rekreasi ini menawarkan tarikan seperti kolam semula jadi dengan air yang tulen dan jernih. Ia terletak di tengah-tengah Hutan Dipterokarp Tanah Pamah yang subur dan tenang.

Kemudahan yang boleh didapati termasuklah tapak perkhemahan, tempat berkelah, chalet serta gerai penjaja yang menjual pelbagai makanan dan minuman, menjadikannya tempat yang memang sempurna untuk bersantai dengan keluarga.

Alamat: Batu 20, Jalan Sungai Congkak, Kampung Padang, 43100 Hulu Langat, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Masuk: Percuma

6. Taman Alam Kuala Selangor

Sumber: Majlis Daerah Kuala Selangor

Selalunya kalau bercakap tentang taman untuk diterokai, mesti orang ingat Taman Negara di Pahang, kan? Sebenarnya di Selangor pun terdapat sebuah taman yang amat menarik.

Taman Alam Kuala Selangor ini ialah sebuah tarikan alam semula jadi hutan hujan tropika dan juga hutan paya bakau yang boleh diterokai melalui laluan dengan kepanjangan 3.6km!

Bolehlah Ibu sekeluarga beriadah dengan berjalan sambil menerokai keindahan alam semula jadi di sini.

Alamat: Jalan Klinik, Taman Alam, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM4
– Kanak-kanak: RM1
– Warga Emas: RM2

7. Zoo Negara Malaysia

Sumber: trip.com

Zoo Negara Malaysia yang terletak di Ulu Klang Gombak ini mula dibuka pada tahun 1963, hanya beberapa tahun selepas kemerdekaan. Zoo ini mempunyai keluasan 110 ekar, jadi Ibu sekeluarga boleh luangkan masa sepanjang hari di sini!

Macam-macam jenis haiwan boleh dijumpai di zoo ini, termasuklah panda di mana Zoo Negara menjadi rumah kepada panda pertama di Malaysia! Anak-anak tentu seronok kalau dapat memberi haiwan makan!

Alamat: Jalan Taman Zooview, Taman Zooview, 68000 Ampang, Selangor

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM45
– Kanak-kanak: RM18
– Warga Emas: RM23

8. Menara Tinjau Ampang

Sumber: Wikimapia

Menara tinjau yang terletak di atas Bukit Ampang ini menawarkan pemandangan panoramik Kuala Lumpur dan Selangor yang indah sekali. Ia dikenali secara rasmi sebagai Pusat Pelancongan dan Menara Tinjau yang terletak di sepanjang jalan berliku ke Kajang.

Menara tinjau ini menempat tiga restoran dan setiap satunya menawarkan gaya masakan atau ‘cuisine‘ yang berbeza, termasuklah pilihan makanan tempatan. Menara tinjau ini memang indah sekali untuk bergambar.

Alamat: Bukit Ampang, 68000 Ampang Jaya, Selangor

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 10.00 malam

9. Bukit Jugra

Sumber: TaPay World

Bukit Jugra adalah tempat menarik di Selangor di mana Ibu sekeluarga boleh beriadah dengan aktiviti seperti mendaki dan paragliding. Bentuk muka buminya yang beralun dan pemandangan yang indah menjadikannya tempat yang sangat baik untuk aktiviti-aktiviti seperti ini.

Bukit Jugra pada asalnya dalam penghujung tahun 1800-an adalah ibu kota diraja Selangor. Berdasarkan rekod dan dokumen sejarah seperti The Oriental Navigator, sebuah buku panduan pelayaran yang ditulis pada tahun 1801, Bukit Jugra dikenali oleh pelayar dan kartografer asing sebagai Parcelar Hill.

Kalau nak bersiar-siar, di sini juga boleh didapati Istana Bandar Jugra, Muzium Insitu Jugra, Makam Sultan Abdul Samad, dan Masjid Sultan Alaeddin. Ternyata banyak perkara boleh dilakukan di sini.

Alamat: Jugra, 42700 Banting, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Masuk: Percuma

10. Pantai Morib

Sumber: Mai Singgah

Kalau Ibu ingin ke pantai, yang paling dekat dengan pusat bandar ialah Pantai Morib. Pantai inilah yang sering dikunjungi oleh ramai penduduk tempatan, terutamanya yang duduk di bandar yang sibuk.

Pantai Morib terletak di antara pantai berpasir dan pokok tropika, dan terdapat beberapa resort yang boleh dipilih jika ingin bermalam di sini. Selain itu, banyak juga aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti ket ski dan paragliding.

Alamat: Morib, 42700 Banting, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Masuk: Percuma

11. Taman Negeri Selangor

Sumber: Flickr

Terletak berdekatan dengan Batu Caves, Taman Negeri Selangor ialah taman kedua terbesar di Semenanjung Malaysia, selepas Taman Negara di Pahang!

Taman ini merupakan sebahagian daripada ruang ekopelancongan dan ramai yang datang ke sini untuk pengembaraan mendaki kerana keindahan alam semula jadi di sini.

Alamat: Jalan Sungai Tua, Kampung Pasir Ulu Yam, 48200 Batu Caves, Selangor

Waktu Operasi: 7.00 pagi – 7.00 malam

Harga Tiket:
– Dewasa: RM4
– Kanak-kanak: RM1

12. Kuil Sri Shakti Devasthanam

Sumber: FourSquare

Tidak dinafikan lagi, kebanyakan seni bina rumah keagamaan memang mengagumkan. Kuil Sri Shakti Devasthanam juga tak kurang hebatnya, dengan reka bentuk luaran dan dalaman yang kompleks!

Terletak di Bukit Rotan, kuil yang berdiri megah ini sering dikunjungi oleh ramai penganut agama Hindu. Sepanjang perjalanan di atas bukit ke kuil ini, anda boleh melihat sekilas reka bentuk kuil yang amat menawan ini.

Alamat: Jalan Kuala Selangor, Bukit Rotan, 45700 Bukit Rotan, Selangor

Waktu Operasi: 7.00 pagi – 12.00 tengah hari / 5.00 petang – 9.00 malam

Harga Tiket: Percuma

13. Kolam Air Panas Sungai Serai

Sumber: TripAdvisor

Kalau Ibu sekeluarga ingin merasa kenikmatan kolam air panas semula jadi, bolehlah ke Kolam Air Panas Sungai Serai yang terletak di Hulu Langat.

Walaupun kolam ini tidak terlalu besar, Ibu masih boleh menikmati kebaikan kolam air panas ini yang mengandungi mineral yang bagus untuk kesihatan kulit.

Alamat: Kampung Sungai Serai, 43100 Hulu Langat, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam (tidak digalakkan untuk datang pada waktu malam kerana kekurangan lampu)

Harga Masuk: Percuma

14. Kuala Kubu Bharu

Sumber: ExpatGo

Kuala Kubu Bharu adalah destinasi pelancongan yang amat popular kerana keindahan alam semulajadinya. Aktiviti yang sering dilakukan di sini adalah seperti mengembara dan meredah hutan dan sukan air berakit atau white water rafting.

Terletak hanya sejam dari bandar jika memandu, Kuala Kubu Bharu walaupun hanya satu bandar yang kecil menawarkan percutian pendek yang amat memuaskan.

Alamat: 44000 Kuala Kubu Baru, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

15. Farm In The City

Sumber: Farm In The City

Farm In The City ialah ladang yang berkonsepkan zoo haiwan peliharaan yang terletak di tengah-tengah bandar. Kalau Ibu ada anak-anak kecil, ini adalah tempat yang amat menyeronokkan bagi mereka dan juga untuk menambah pengetahuan tentang pelbagai jenis haiwan!

Reka bentuk ladang ini dipengaruhi oleh persekitaran kampung Malaysia dan ia menempatkan lebih 100 spesis haiwan, termasuklah beberapa haiwan eksotik seperti alpaca, musang fennec, dan itik mandarin yang tidak boleh dijumpai dimana-mana di Malaysia.

Anak-anak juga boleh memberi makan kepada beberapa jenis haiwan. Menarik sungguh!

Alamat: Lot 40187-40188, Jalan Prima Tropika Barat 1, Pusat Bandar Putra Permai, 43300 Seri Kembangan, Selangor

Waktu Operasi:
– Isnin – Jumaat: 10.00 pagi – 6.00 petang
– Sabtu & Ahad: 9.30 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM39
– Kanak-kanak / Warga Emas: RM32

16. Mitsui Outlet Park

Sumber: Tales of a Nomad

Bagi yang gemar membeli-belah, Mitsui Outlet Park menawarkan pelbagai jenama mewah pada harga kilang, seperti pakaian, aksesori, produk kecantikan, barangan sukan, dan banyak lagi.

Di sini terdapat juga beberapa restoran dengan pelbagai jenis masakan atau ‘cuisine‘ seperti Itali, Thai, dan Jepun. Mitsui Outlet Park terletak berdekatan dengan lapangan terbang KLIA dan KLIA 2, jadi kalau Ibu ingin melancong ke Selangor melalui kapal terbang, bolehlah singgah ke sini.

Alamat: Persiaran Komersial, KLIA, 64000 Sepang, Selangor

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 10.00 malam

Harga Masuk: Percuma

17. Muzium Coklat Kuala Lumpur

Sumber: Google

Sesiapa sahaja tentu akan berasa teruja kalau dapat melawati muzium coklat, kan? Walaupun namanya Muzium Coklat Kuala Lumpur, muzium ini sebenarnya terletak di Kota Damansara Selangor.

Sama ada Ibu adalah penggemar coklat atau bukan, muzium ini menawarkan pelbagai informasi tentang coklat dan bagaimana biji koko mula ditemui dan juga perkembangannya.

Terdapat juga pameran tentang bagaimana coklat boleh digunakan untuk nilai perubatannya! Ibu sekeluarga jua boleh mempelajari tentang proses pembuatan coklat, dan pada akhir lawatan Ibu boleh singgah di kedainya yang menjual pelbagai jenis coklat.

Alamat: 2, Jalan Teknologi 3/5, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor

Laman Web: chocolatemuseum.my

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 4.30 petang

Harga Tiket: Percuma

18. i-City

Sumber: Facebook ICity Shah Alam

i-City yang terletak di Shah Alam dikategorikan sebagai sebuah taman tema, tapi ia bukanlah taman tema yang biasanya mempunyai tarikan seperti roller coaster! Jenis-jenis tarikan utama di i-City ialah tarikan lampu berwarna-warni dan juga salji palsu.

Kalau nak sesuatu yang lebih ‘ekstrem’, Ibu sekeluarga boleh menaiki roda Ferris atau Ferris wheel yang juga diterangkan dengan lampu berwarna-warni.

Alamat: i-Gallery, Jalan Multimedia, I-City, 40000 Shah Alam, Selangor

Laman Web: i-city.my

Waktu Operasi:
– Isnin – Jumaat: 5.00 petang – 12.00 tengah malam
– Sabtu & Ahad: 4.30 petang – 12.00 tengah malam

19. Rumah Api Kuala Selangor

Sumber: Majlis Perbandaran Kuala Selangor

Rumah Api Kuala Selangor yang dulunya dikenali sebagai Rumah Api Altingsburg ini terduduk di atas Bukit Melawati di Kuala Selangor.

Rumah Api Kuala Selangor ini dibina pada tahun 1907 oleh pihak penjajah British. Ia mula berfungsi pula pada tahun 1910.

Rumah api ini berketinggian 83 meter di atas puncak bukit 27 meter dari paras laut. Pemandangan Kuala Selangor dari sini memang indah sekali.

Alamat: Bukit Melawati, 45000 Kuala Selangor

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM3
– Kanak-kanak (3 – 12 Tahun): RM2

20. Sekinchan

Sumber: Lifestyle Asia Hong Kong

Kalau Ibu sekeluarga ingin mendapatkan pengalaman berada di sawah padi, tak perlu ke Kedah sahaja kalau tak duduk berdekatan. Sekinchan sebenarnya adalah pengeluar beras terbesar di Malaysia!

Terdapat banyak sawah padi di sekeliling kawasan Sekinchan walaupun ia hanyalah sebuah bandar yang kecil.

Terletak di tengah-tengah Sekinchan ialah sebuah pokok yang dinamakan Wishing Tree yang dihiasi dengan beribu-ribu reben merah yang diletakkan oleh orang ramai beserta keinginan atau ‘wish’ mereka. Jangan lepaskan peluang untuk melawati tempat menarik di Selangor ini!

Alamat: 45400 Sekinchan, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Masuk: Percuma


Banyak sungguh tempat menarik di Selangor yang boleh dilawati, dari tengah-tengah bandar hinggalah ke hujung negeri! Mana-mana destinasi yang dipilih, pastikan Ibu sekeluarga menjaga SOP di zaman pandemik ini. Selamat bercuti!