Pantai Batu Buruk di Terengganu adalah salah satu negeri di Malaysia yang sering menjadi pilihan kalau seseorang ingin bercuti di pantai, betul tak? Selain pantai dan pulau-pulau yang indah, sebenarnya ada banyak lagi tempat menarik di Terengganu yang anda boleh lawati!
Untuk pengetahuan anda, negeri Terengganu merupakan negeri dalam alam Melayu pertama di mana agama Islam mula timbul. Ini adalah berpandukan Batu Bersurat Terengganu yang sudah berusia lebih daripada 700 tahun yang ditemui di sini.
ini membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum tahun 1326 atau 1386 lagi! Walaubagaimanapun, batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing sungai pada tahun 1887. Menarik, bukan?
Jom tengok beberapa tempat di Terengganu yang amat menarik untuk dilawati.
30 Tempat Menarik di Terengganu Untuk Anda Ziarahi Bersama Keluarga Atau Rakan-rakan
1. Taman Tamadun Islam
Taman Tamadun Islam yang terletak di Kuala Terengganu ini merupakan sebuah taman tema yang amat menarik sekali dan sesuai dilawati jika anda ingin mendalami sejarah tamadun Islam.
Di sini terdapat pelbagai jenis replika bangunan ikonik yang terkenal dalam dunia Islam seperti Kota Lama Islam Aleppo, Istana Alhambra, dan banyak lagi.
Selain itu, terdapat juga tarikan seperti River Cruise, aktiviti outdoor dan kedai cenderahati untuk anda bawa pulang dari kenangan manis di sini.
Alamat: Pulau Wan Man Losong PanglimaPerang, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi:
– Isnin, Rabu – Ahad: 10.00 pagi – 7.00 malam
Harga Tiket:
– Dewasa: RM20
– Kanak-kanak / Warga Emas: RM16
– OKU: RM8
2. Pulau Lang Tengah
Seperti yang diketahui ramai, Terengganu memang kaya dengan pulau-pulau indah yang mempunyai air yang sangat jernih.
Pulau Lang Tengah semakin meningkat popularitinya dikalangan individu yang suka bercuti di pulau kerana keindahannya bertaraf dunia.
Kehidupan marinnya juga cukup indah dan menawan untuk diterokai bagi yang pandai menyelam skuba atau snorkeling. Perjalanan ke sini mengambil sekitar 40 minit dengan menaiki bot laju dari jeti Marang.
Alamat: Jalan Kampung Daik, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu
3. Pusat Budaya Kraf Terengganu
Negeri Terengganu juga kaya dengan seni kraftangan seperti tembaga, ukiran kayu, kain songket, sutera, dan banyak lagi.
Jika anda pandai menghargai seni seperti ini, jangan lepaskan peluang untuk melawat Pusat Budaya Kraf Terengganu di mana terdapat pelbagai jenis hasil tangan dipamerkan di sini.
Anda bukan sahaja dapat mengenali dengan lebih mendalam tentang industri tradisional yang wujud di Terengganu, malah anda boleh membuat tempahan khas produk-produk yang diingini berdasarkan citarasa sendiri.
Alamat: Lot 2195, Chendering Industrial Estate, 20700 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang
4. Masjid Abidin (Masjid Putih)
Masjid Abidin, atau juga dikenali sebagai Masjid Putih kerana fasadnya yang serba putih, terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu dan anda pasti tidak akan terlepas pandang.
Dibina pada tahun 1793, masjid ini yang dibina oleh Sultan Zainal Abidin II dikatakan sebagai binaan masjid yang tertua di Terengganu.
Pada asalnya ia didirikan menggunakan kayu sahaja sebelum diubahsuai kepada batu yang lebih kukuh pada tahun 1852. Kalau berada di kawasan ini dan perlu mendirikan solat, bolehlah singgah ke masjid yang sangat cantik dan sejuk mata memandang ini.
Alamat: Jalan Masjid Abidin, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
5. Santuari Penyu Rantau Abang
Rantau Abang bukan nama yang asing lagi sebagai lokasi pendaratan penyu spesis leatherback yang menghadapi ancaman kepupusan.
Dengan itu, Santuari Penyu Rantau Abang ditubuhkan untuk memelihara spesis penyu ini berserta spesis-spesis lain seperti hawksbill dan green back.
Di sini pengunjung berpeluang untuk mempelajari dengan lebih lanjut tentang ancaman penyu-penyu diseluruh dunia dan jika datang pada masa yang sesuai, mungkin dapat melepaskan anak penyu ke laut.
Alamat: Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu Rantau Abang, 23050 Dungun, Terengganu
Waktu Operasi:
– Ahad – Rabu: 8.00 pagi – 5.00 petang
– Khamis: 8.00 pagi – 3.30 petang
– Jumaat & Sabtu: Tutup
Bayaran Masuk: Percuma
6. Chinatown
Chinatown memang popular di kebanyakan negeri di Malaysia, dan di Terengganu juga tidak ketinggalan dengan lokasi popular sebegini.
Dahulunya dikenali sebagai Jalan Kampung Cina, kini Chinatown yang terletak di sepanjang Jalan Bandar merupakan sebuah bandar kecil sahaja tetapi amat meriah dengan warna-warni dan kehadiran pengunjung.
Di sebalik rumah-rumah kedai klasik disini turut terdapat lukisan mural pada dinding-dingin untuk menambahkan keceriaan. Jenis-jenis lukisan mural disini terbahagi kepada beberapa bahagian seperti Lorong Penyu dan Lorong Warisan Dunia.
Alamat: Jalan Bandar, Kuala Terengganu 20100, Terengganu
7. Masjid Terapung
Seperti yang diketahui, majoriti penduduk tempatan Terengganu adalah orang Islam, jadi memang banyak masjid-masjid yang boleh dijumpai di sini.
Salah satu masjid dengna binaan yang indah dan menarik ialah Masjid Tengku Tengah Zaharah yang juga dikenali sebagai Masjid Terapung yang dibina dengan gabungan gaya seni bina tempatan dan Islamik.
Masjid Terapung di Kuala Terengganu ini amat istimewa kerana bukan sahaja ia mampu menambung sehingga seribu orang jemaah, tetapi terdapat juga kemudahan seperti perpustakaan kecil, bilik diraja, dan tempat meletak kereta dengan kapasiti sehingga 400 buah kenderaan!
Alamat: Masjid Tengku Tengah Zaharah, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu
8. Pulau Redang
Pulau Redang bukan nama yang asing lagi bagi pengunjung tempatan dan juga antarabangsa kerana merupakan salah satu pulau yang paling indah di Asia Tenggara.
Kalau anda belum berkesempatan untuk bercuti di Pulau Redang, apa kata luangkan sedikit masa untuk menginap di pulau ini yang dikelilingi air biru jernih dan kaya dengan lebih daripada 500 jenis terumbu karang!
Untuk ke Pulau Redang, anda boleh menaiki feri di Jeti Shahbandar yang akan mengambil masa dalam sejam setengah, ataupun dengan bot laju dari Jeti Marang yang akan mengambil masa dalam 45 minit.
Alamat: Pulau Redang, 21090 Kuala Terengganu, Terengganu
9. Tasik Puteri Bukit Besi
Kalau tak berkesempatan untuk bercuti di pulau, anda sekeluarga juga boleh singgah ke Tasik Puteri Bukit Besi yang sering dikunjungi ramai.
Berkeluasan sehingga 131 hektar, selain bermandi-manda, tasik ini juga memiliki trek untuk aktiviti ATV dengan pelbagai jenis cabaran di laluannya.
Lokasi Tasik Puteri Bukit Besi ini juga senang untuk diakses melalui jalan utama, jadi kalau ada masa, bolehlah singgah ke sini.
Alamat: Tasik Puteri Bukit Besi, 23200 Bukit Besi, Terengganu
10. Masjid Kristal
Masjid Kristal sering menjadi tarikan yang dikunjungi ramai, tidak kira bangsa dan agama kerana binaannya yang memukau.
Dibina hanya dengan menggunakan besi, kaca, dan kristal, nilai masjid yang mempesonakan ini mencecah sehingga jutaan ringgit dan memiliki keunikannya yang tersendiri.
Keindahan Masjid Kristal ini lebih terserlah disebabkan kedudukannya yang terletak bersebelahan dengan Sungai Terengganu.
Alamat: Pulau Wan Man, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu
11. Pantai Tanjung Jara
Kalau anda memang suka bercuti di pantai, anda mungkin pernah dengar nama Pantai Tanjung Jara yang agak popular dikalangan pengunjung ini.
Pantai ini menawarkan lanskap yang sungguh indah dimana pasirnya berwarna kuning keemasan dan halus seperti di pulau-pulau di Terengganu.
Di sini anda boleh bermandi-manda, berkayak, wind surfing, dan banyak lagi. Kalau bertuah, anda mungkin dapat melihat penyu yang datang untuk bertelur antara bulan Mei ke Ogos.
Alamat: Batu 8, Off Jalan Dungun, 23000 Kuala Dungun, Terengganu
12. Pasar Payang
Kalau anda suka membeli belah, Pasar Payang menempatkan lebih 1,000 peniaga yang menawarkan pelbagai jenis produk Terengganu seperti keropok lekor, keropok sira, dan juga hasil kraftangan lain seperti songket dan batik.
Dibina pada tahun 1968, Pasar payang terletak di lokasi yang strategik kerana berdekatan dengan banyak tarikan lain seperti Bazar Warisan dan Kampung Cina.
Kalau memang sudah bercadang untuk membeli bermacam-macam barang dan cenderahati, bolehlah singgah ke Pasar Payang yang telah mendapat status ‘legendary‘ ini.
Alamat: Jalan Kampung Daik, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu
13. Pantai Batu Buruk
Jangan terpedaya dengan namanya, kerana Pantai Batu Buruk merupakan salah satu pantai yang sangat indah di Terengganu. Tambahan pula, pantai ini sentiasa meriah dengan pelbagai aktiviti menarik.
Berlantaikan pasir yang lebut, anda sekeluarga boleh berkelah di sini sambil berbbq, menaiki kereta kuda yang dihias dengan kreatif, ataupun bersiar-siar di laluan berjogging.
Di sini juga terdapat banyak peniaga di sekitar pantai yang menjual juadah tempatan seperti ikan celup tepun, keropok ikan, sate ikan, dan banyak lagi.
Alamat: Pantai Batu Buruk, 20400, Terengganu
14. Istana Maziah
Bagi yang ingin menghayati sejarah Terengganu, Istana Maziah merupakan salah satu tarikan bersejarah istimewa yang dibina pada tahun 1870 semasa dibawah pemerintahan Sultan Omar.
Istana Maziah ini sebenarnya telah dibina untuk menggantikan istana lama iaitu Istana Hijau yang musnah akibat kebakaran. Istana ini sering digunakan sebagai lokasi untuk pelbagai majlis rasmi seperti perkahwinan dan penganugerahan.
Yang menariknya, istana ini dibina dengan gabungan bahan-bahan seperti kapur, tanah liat, telur putih, limau, madu, dan pasir dengan hasil tangan daripada 20 orang pekerja Melayi dan Cina.
Alamat: Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Panglima, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
15. Pulau Kapas
Seperti kebanyakan pulau di Terengganu, Pulau Kapas bukan nama yang asing lagi di kalangan pengunjung tempatan kerana menawarkan percutian pulau yang menyeronokkan.
Pulau ini sering dikunjungi pelawat kerana perjalanan botnya hanya mengambil masa 20-30 minit dari Jeti Marang, tetapi keindahannya setanding dengan pulau-pulau yang lebih jauh.
Di sini anda boleh melakukan aktiviti snorkeling dan menghayati kejernihan air laut di sini di hiasi dengan terumbu karang yang berwarna-warni. Aktiviti mencandat sotong juga amat popular di sini dari bulan Jun hingga Julai.
Alamat: Pulau Kapas, Terengganu
16. Tasik Kenyir
Kalau sudah puas dengan percutian di pantai dan pulau, apa kata anda melawat tasik pula? Tasik Kenyir ini amat unik kerana terbentuk hasil daripada pembinaan empangan.
Tasik Kenyir juga sebenarnya kaya dengan ratusan buah pulau kecil yang pengunjung boleh terokai. Setiap pulau kecil ini pula kaya dengan flora dan faunanya tersendiri.
Untuk pengetahuan anda, kedudukan Tasik Kenyir ini bersempadankan tiga buah negeri pantai timur, iaitu Terengganu, Pahan, dan Kelantan! Yang menariknya, di tasik ini turut terdapat perkampungan masyarakat orang asli kaum Senoi.
Alamat: Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu
Harga Tiket:
– Bayaran Masuk: RM1
– Kamera: RM5
– Memancing: RM10
– Berkhemah: RM1
17. Sungai Yah Yah (Kelip-Kelip & River Cruise)
Tercari-cari tarikan yang unik? Sungai Yah Yah di Kemaman menawarkan tarikan river cruise dan juga kelip-kelip di sepanjang sungai ini pada waktu malam.
Untuk melihat serangga kelip-kelip ini dengan sepuah hati, waktu kebiasaan kumbang bercahaya ini menggerumuni pokok-pokok di kawasan sungai ini adalah antara bulan Julai hingga Oktober.
Bagi aktiviti river cruise pula, anda boleh ke Jeti Sungai Yah Yah untuk mendapatkan perkhidmatan bot dan menyelusuri sungai untuk menghayati keindahan flora di sekitar hutan paya bakau ini.
Alamat: Taman Rekreasi & Zoo Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, 24000 Kemaman, Terengganu
Waktu Operasi:
– Kelip-Kelip Sungai Yah-Yah: 8.00 malam – 10.00 malam
– River Cruise: 11.00 pagi – 12.30 tengah hari / 3.00 petang – 4.30 petang (Tutup pada hari Jumaat)
Harga Tiket:
– Kelip-Kelip Sungai Yah-Yah: Dewasa RM15 | Kanak-Kanak RM10
– River Cruise: RM40
18. Kampung Losong
Kalau anda mencari-cari di mana tempat yang paling popular untuk mendapatkan stok keropok lekor anda dirumah selepas pulang bercuti nanti, Kampung Losonglah tempatnya.
Bila sudah bercuti di Terengganu, memang rugi lah kalau tak beli keropok lekor yang merupakan produk tradisional negeri pantai timur ini, betul tak?
Kampung Losong merupakan sebuah perkampungan yang telah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan negeri sebagai Pusat Perniagaan Keropok Lekor Terengganu, jadi anda bolehlah memborong pelbagai jenis lekor di sini.
Alamat: Kg. Losong Haji Su, 21000 Kuala Terengganu
19. Bukit Panorama
Satu tarikan yang simple tapi memuaskan di Kuala Terengganu ialah Bukit Panorama yang menawarkan pemandangan Kuala Terengganu yang indah di atas bukit yang dingin.
Apa yang membuatkan bukit ini lebih menarik ialah di sini anda boleh menjamu selera sambil berlatarbelakangkan panorama yang indah di restoran yang terletak di atas bukit ini.
Sama ada anda ingin berkunjung pada waktu siang atau malam, pengalaman di sini tentu tidak akan mengecewakan.
Alamat: Jalan Cerong Lanjut, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu
20. Air Terjun Chemerong
Di Dungun terdapat satu tarikan yang amat istimewa iaitu Air Terjun Chemerong kerana ia merupakan air terjun yang tertinggi di Malaysia dengan ketinggian mencecah 400 meter!
Untuk menuju ke sini, anda memerlukan stamina yang tinggi kerana pengunjung perlu mendaki dari tempat letak kereta dalam hampir satu jam selain mengharungi laluan yang berlumpur dan curam.
Pendakian anda akan diberikan ganjaran dalam bentuk suasana yang indah dan nyaman setibanya di kawasan air terjun di mana anda boleh berendam untuk menyegarkan badan.
Alamat: Hutan Simpan Pasir Raja, 23000, Dungun, Terengganu
Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang
Bayaran Masuk:
– Dewasa: RM2
– Kanak-kanak: RM1
21. Santuari Kelah Sungai Petang
Jika anda berada di Tasik Kenyir dan telah penat berjalan-jalan, anda boleh ke Santuari Kelah Sungai Petang untuk berehat dan bermain-main dengan ikan kelah di sini yang amat jinak.
Untuk ke destinasi ini, anda perlu menaiki bot selama sekitar 30 hingga 40 minit dari Pengkalan Gawi dan merentas hutan menuju ke santuari ini.
Di sini juga terdapat pameran ruangan galeri, akuarium, dan pusat pembenihan dan penyelidikan ikan kelah. Jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi tempat menarik di Terengganu ini.
Alamat: Santuari Kelah Sungai Petang, Sungai Petang, Kenyir, Terengganu
22. Muzium Negeri Terengganu
Bagi yang meminati sejarah atau ingin tahu lebih lanjut tentang sejarah tempatan Terengganu, anda haruslah melawati Muzium Negeri Terengganu yang amat memukau ini.
Seni bina muzium ini amat istimewa kerana direka dengan gaya seni bina tradisional Terengganu dan muzium ini merupakan yang terbesar di Asia Tenggara!
Muzium Negeri Terengganu ini terbahagi kepada lima bahagian iaitu Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, Taman Herba, dan Taman Botani disamping empat buah rumah tradisional. Lengkapkan percutian anda di Terengganu dengan melawati muzium ini.
Alamat: Bukit Losong, 20566 Darul Iman, Terengganu
Waktu Operasi:
– Sabtu – Khamis: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Jumaat: Tutup
Harga Tiket:
– Dewasa: RM5
– Kanak-kanak: RM2
23. Zoo Kemaman
Kalau anda mempunyai anak-anak kecil, tak sah kalau tak singgah di mana-mana tempat yang menyeronokkan dan tak kira usia.
Di Zoo Kemaman, anda sekeluarga dapat melihat pelbagai jenis haiwan liar seperti kucing hutan, gajah, harimau, orang utan, dan banyak lagi.
Bayaran masuk ke zoo ini amat murah dan hanya mengambil sekitar sejam setengah untuk melihat keseluruhan zoo ini. Kalau anda sekeluarga pencinta haiwan, jangan lupa singgah di sini!
Alamat: Majlis Perbandaran Kemaman, Kampung Tabuan, 24000 Kemaman, Terengganu
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang
Harga Tiket:
– Dewasa: RM10
– Kanak-kanak: RM7
24. La Hot Spring
Anda suka berendam dalam kolam air panas? Apa kata singgah ke La Hot Spring yang merupakan tarikan kolam air panas semula jadi yang lengkap dengan kolam buatan ala spa yang penuh privasi.
Kolam air panas semula jadi dikatakan amat baik untuk kesihatan dan kulit kerana memiliki kandungan sulfur semula jadi untuk mengekalkan kesegaran badan.
Di sini juga terdapat kemudahan dan fasiliti seperti surau, rumah rehat, tandas, restoran, dan banyak lagi untuk memudahkan perjalanan anda.
Alamat: Taman Rekreasi Air Panas La Hot Spring, 22010 Jerteh, Terengganu
Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket: Percuma
25. Air Terjun Lata Belatan
Satu lagi kawasan air terjun di Terengganu yang anda boleh lawati sekeluarga ialah Air Terjun Lata Belatan yang terletak di Besut.
Kawasan air terjun ini amat menarik terutamanya bagi anak-anak kecil kerana airnya tidak begitu dalam atau berbatuan, manakala aliran airnya pula tidak deras.
Tambahan pula, air sungai di sini agak luas dan airnya jernih, menjadikannya tempat yang popular dikalangan penduduk tempatan.
Alamat: Kampung Jabi, Besut, 22200, Terengganu
Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang
26. Bukit Besar
Kalau anda jenis yang suka bersenam tapi tidak pasti bagaimana mahu selitkan sedikit senaman waktu bercuti di Terengganu, apa kata anda berjogging di Bukit Besar?
Bukit yang menempatkan puncak tertinggi di Kuala Terenganu ini merupakan salah satu lokasi jogging yang paling digemari di sekitar bandar ini kerana mempunyai suasana yang nyaman di kaki bukit.
Kalau tak mahu jogging pun anda boleh bersiar-siar sahaja dan menikmati pemandangan dan keindahan bukit ini.
Alamat: Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu
27. Pusat Sains Kreativiti Terengganu
Terletak berdekatan dengan bandar Kuala Terengganu, Pusat Sains Kreativiti menempatkan pelbagai info saintifik yang dapat dipelajari oleh setiap peringkat umur, dan bukan sahaja untuk para pelajar.
Antara ruangan galeri yang terdapat di sini adalah Natural Disaster, Energy World, dan banyak lagi yang interaktif dan penuh dengan warna-warni.
Pusat Sains Kreativiti Terengganu ini telah mendapat tempat daman The Malaysia Book of Records sebagai bangunan yang memiliki lukisan mural yang terbanyak di Malaysia!
Alamat: Jalan Kampung Laut, Taman Chendering Utama, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi:
– Sabtu – Rabu: 9.00 pagi – 5.00 petang
– Khamis 9.00 pagi – 4.00 petang
– Jumaat: Tutup
Bayaran Masuk: dari RM3
28. Air Terjun Sekayu
Tak puas dengan kawasan-kawasan air terjun yang disebutkan tadi, ada lagi satu kawasan air terjun yang boleh anda lawati, iaitu Air Terjun Sekayu yang terletak di Hutan Lipur Sekayu.
Air terjun bertingkat ini menawarkan air yang sangat jernih dan lokasi ini memang popular di kalangan keluarga untuk berkelah, berkhemah, dan juga untuk kem-kem motivasi.
Kalau ingin bermalam di sini tapi tidak mahu berkhemah, anda boleh pilih untuk menginap di chalet-chalet yang disediakan kalau ingin meluangkan banyak masa di dalam hutan yang penuh kehijauan dan kesegaran ini.
Alamat: Hutan Lipur Sekayu, 21700 Kuala Berang, Terengganu
29. Pantai Teluk Ketapang
Kalau anda tidak berada berdekatan dengan pantai-pantai yang lebih popular di Terengganu, anda boleh berkunjung ke Pantai Teluk Ketapang.
Seperti kebanyakan pantai-pantai di Terengganu, kawasan pantai yang luas ini juga menawarkan pemandangan dan suasana yang indah, sesuai untuk sesiapa sahaja yang ingin luangkan masa di pantai.
Di sini anda boleh melakukan banyak aktiviti bersama keluarga atau rakan-rakan seperti berkelah, bermain layang-layang, atau mencuba kudapan panas seperti sate ikan.
Alamat: Pantai Teluk Ketapang, 21300, Terengganu
30. Kota Putra Paragliding & Extreme Park
Kalau anda sudah puas dengan aktiviti-aktiviti santai di pulau, pantai, dan air terjun, apa kata anda cuba pula aktiviti ekstrem di Kota Putra Paragliding & Extreme Park?
Terletak di lokasi yang dikelilingi hutan, bukit-bukau, dan lautan, anda boleh menguji stamina dan keberanian sambil menghayati keindahan pemandangan di sini.
Antara aktiviti menarik yang anda boleh cuba di sini adalah seperti paragliding, rock climbing, kite serfing, memanah, dan macam-macam lagi yang bukan senang untuk dijumpai di mana-mana!
Alamat: Bubus Hill, Dendong Beach, Unisza Road, Kampung Raja, Terengganu, 22020, Terengganu
Terengganu memang satu negeri di Malaysia yang amat besar dan penuh dengan tarikan-tarikan yang menarik dan istimewa. Kalau anda bercadang untuk bercuti di sini, jangan lupa untuk singgah di mana-mana lokasi yang disenaraikan tadi. Selamat bercuti!