Ibu, Bayi & Kanak Kanak

20 Tempat Menarik di Negeri Sembilan Yang Popular, Dan Ada Juga Yang Masih Jarang Diterokai Ramai!

Sumber: Trixoli

Bila sebut sahaja tentang bercuti di Negeri Sembilan, tentu ramai yang berfikir Port Dickson, kan? Walaupun Port Dickson adalah lebih popular sebagai destinasi percutian, sebenarnya terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik di Negeri Sembilan yang boleh diterokai.

Selain pantai-pantai yang indah, Negeri Sembilan juga menawarkan tarikan-tarikan berunsurkan alam semua jadi dan juga yang bersejarah. Jom tengok beberapa tempat menarik di Negeri Sembilan yang Mommy sekeluarga boleh lawati.

20 Tempat Menarik Di Negeri Sembilan

1. Taman Negeri Kenaboi

Highlighted

Sumber: Facebook Taman Negeri Kenaboi

Di kawasan terpencil di Jelebu terdapat sebuah taman negeri yang indah dan popular sebagai tempat berkhemah dan aktiviti yang berkaitan dengannya seperti meredah hutan, mendaki gunung, dan juga menerokai gua!

Taman Negeri Kenaboi ini juga popular dengan penggemar burung kerana di sini terdapat beberapa spesis burung yang tak biasa dilihat di bandar seperti burung enggang. Selain itu, Mommy sekeluarga boleh menikmati keindahan air terjun, sungai, dan flora dan fauna eksotik di taman negeri ini.

Alamat: Jalan Kampong Ulu Kenaboi, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang

Harga Masuk: RM5

2. Gua Batu Maloi

Sumber: Tripcarte Asia

Salah satu lagi tarikan alam semula jadi ialah Gua Batu Maloi yang terletak di Johol. Di sini Mommy sekeluarga boleh menerokai sistem gua ini, mendaki, dan melalui celah-celah gua ini.

Kalau berani, Mommy juga boleh merentasi dalam kegelapan sepenuhnya dan mungkin dapat mendengar kelawar terbang di atas kepala! Kalau membawa anak-anak, lebih baik semak dengan pakej tour jika ia sesuai untuk kanak-kanak kecil.

Alamat: 73100 Johol, Negeri Sembilan

Waktu Operasi & Harga Tiket: Bergantung pada pakej dipilih

3. Muzium Diraja Seri Menanti

Sumber: Malaysia Dateline

Bangunan yang siap dibina pada tahun 1908 ini merangkumi empat tingkat yang pernah menjadi istana diraja sebelum raja pada waktu itu pindah pada tahun 1931. Kemudian ia digunakan untuk pelbagai urusan pentadbiran lain sehingga tahun 1964.

Antara tahun tersebut hingga tahun 1992, bangunan ini dibiarkan kosong sebelum ditukarkan menjadi muzium pada tahun 1992. Muzium yang terletak di Kuala Pilah ini mempamerkan pelbagai koleksi kerabat diraja dan juga ruang istana yang diselanggara, memberikan gambaran sekilas tentang kehidupan keluarga diraja disitu.

Alamat: Seri Menanti, 71550, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket: Percuma

4. Muzium Tentera Darat Port Dickson

Sumber: Berita Harian

Anak Mommy suka mainan seperti kereta api dan kapal terbang? Muzium Tentera Darat di Port Dickson ini tentu seronok untuk mereka kerana mempunyai susunan kenderaan tentera seperti jet pejuang, kereta kebal, meriam, senjata api, dan kereta api!

Bukan senang nak nampak kenderaan tentera ini! Selain itu, terdapat beberapa bangunan lama yang telah diubahsuai dan dijadikan pusat informasi dengan bahan-bahan tentang sejarah ketenteraan Negara Malaysia.

Alamat: Kem Sirusa, Persiaran Pahlawan, Kampung Baru Sirusa, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi:
– Rabu – Ahad: 10.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket: Percuma

5. Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar

Sumber: travelmalaysia.me

Muzium Rembau ini sebenarnya adalah replika Istana Raja Melewar dan telah dibina di atas bidang tanah yang sama! Reka bentuk muzium ini berunsurkan reka bentuk tradisional di mana tiang-tiang membentuk asas bangunan ini dan menyokong bingkai kayu rangka bangunan.

Muzium ini dibina dengan kos RM2.4 juta dan mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2004. Walaupun kos membinanya tinggi, muzium ini merupakan sebahagian inisiatif kerajaan untuk memaparkan dan mendidik rakyat tempatan dan pelancong asing tentang sejarah bengunan menawan ini.

Alamat: 71350 Kota, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket: Percuma

6. Kelip-Kelip Sungai Timun

Sumber: Berita Harian

Sebagai usaha Negeri Sembilan untuk mempromosikan pasaran ekopelancongan, Sungai Timun yang merupakan sebuah perkampungan kecil di Rembau telah dipilih untuk tujuan ini. Tarikan utamanya ialah peluang melihat serangga kelip-kelip pada waktu malam dengan menaiki bot.

Mommy tahu tak, serangga kelip-kelip ini mengeluarkan cahaya untuk menarik pasangan dan juga musuh! Menarik sungguh fenomena semula jadi ini. Tapi Mommy sekeluarga kena jaga-jaga dan jangan keluarkan tangan dari bot, kerana dikatakan ada yang pernah nampak buaya!

Alamat: Kampung Sungai Timun, 71150 Linggi, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 6.00 petang – 10.00 malam

Harga Tiket: Mengikut pakej yang dipilih

7. Rantau Eco Park

Sumber: Facebook Rantau Eco Park

Kalau Mommy sekeluarga ingin ke tempat untuk bersantai, Mommy boleh ke Rantau Eco Park seluas 100 ekar yang dikelilingi oleh hutan yang subur. Di taman ini terdapat tasik buatan, zoo mini, kandang kuda, dan banyak lagi tarikan menarik untuk seisi keluarga!

Selain itu, Rantau Eco Park juga sering digunakan sebagai tapak teambuilding yang popular. Kalau Mommy nak tahu, kawasan ini dahulunya terdedah kepada banjir! Menarik sungguh apa yang telah dibangunkan di sini hari ini.

Alamat: Rantau Eco Park, Kampung Kuala Sawah Pasir, 70300 Rantau, Negeri Sembilan

Waktu Operasi:
– Selasa – Jumaat: 8.00 pagi – 6.00 petang
– Isnin & Sabtu: 9.00 pagi – 7.00 malam
– Ahad: 9.00 pagi – 9.30 malam

Harga Tiket: RM5

8. Hill Park Seremban 2

Sumber: Dinohauz

Bawa anak-anak Mommy ke zaman batu dengan pelbagai pameran dinosaur di Hill Park Seremban! Taman ini adalah sebahagian daripada kawasan perumahan yang dibina oleh IJM.

Terdapat pelbagai spesis dinosaur yang dipamerkan seperti stegosaurus dan triceratops berserta informasi tentang haiwan ini. Selain itu terdapat juga taman permainan yang menyeronokkan. Anak-anak tentu akan berasa bahagia di sini!

Alamat: S2 Heights, Seremban, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 6.30 pagi – 9.00 malam

Harga Masuk: Percuma

9. Ladang Burung Unta Jelita

Sumber: Negeri Sembilan – Attractions in Malaysia

Diperakui oleh Malaysian Book of Records sebagai ladang burung unta pertama di Malaysia, Ladang Burung Unta Jelita ini merangkumi kawasan seluas 4.2 hektar!

Anak-anak tentu teruja melihat burung unta berlari-lari dan memberi mereka makan. Bukan itu saja, kalau mahu menunggang burung unta pun boleh! Jangan lepaskan peluang pengalaman mendekati burung unta yang unik ini!

Alamat: Lot 1504, Batu 6 Mukim Pantai, Jln Jelebu, 71770 Seremban, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:
– Dewasa: RM10
– Kanak-kanak: RM8

10. Kota Dan Muzium Lukut

Sumber: Jabatan Muzium Malaysia

Muzium yang dipanggil Kota Dan Muzium Lukut ini banyak menceritakan sejarah yang berlaku terutamanya di Lukut dan juga di Negeri Sembilan secara umum.

Muzium ini terbahagi kepada empat galeri utama iaitu Galeri Nassau, Galeri Teknologi Pembuatan Tradisional, Galeri Negeri Sembilan Beradat dan Galeri Sejarah Kegemilangan Lukut.

Di bahagian luar muzium ini pula masih terletak kesan kubu Kota Lukut yang boleh diakses melalui tangga dengan pemandangan yang menarik.

Alamat: Lot 730, Jalan Besar, Taman Pd Jaya, 71010 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket: Percuma

11. Kompleks Muzium Negeri

Sumber: KLezCar

Kompleks Muzium Negeri ini mempunyai seni bina yang amat cantik sekali kerana berdasarkan seni bina Minangkabau yang boleh dikenali dengan reka bentuk bumbungnya yang megah.

Kompleks ini dibahagikan kepada tiga bangunan di mana Mommy sekeluarga akan dapat melihat pelbagai artifak diraja, senjata, pakaian tradisional, dan banyak lagi.

Alamat: Jalan Sungai Ujong, 70200 Seremban, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Harga Tiket: Percuma

12. Taman Tasik Seremban / Taman Rekreasi Air Seremban

Sumber: Harian Metro

Terletak di tengah-tengah Seremban, Taman Tasik Seremban ini mempunyai pemandangan yang indah serta kelapangan kawasan yang sesuai untuk beriadah dan bersiar-siar. Terdapat banyak pokok-pokok yang besar dan juga tasik yang boleh dinikmati oleh pelawat.

Selain itu, terdapat juga beberapa aktiviti air yang boleh dinikmati seperti menaiki bot berbentuk angsa putih di tasik atau pun mengayuh beca air. Sebab itu taman ini juga dikenali sebagai Taman Rekreasi Air. Memang menyeronokkan!

Alamat: Jalan Taman Bunga, Taman Tasek Seremban, 70000 Seremban, Negeri Sembilan

Waktu Operasi:
– Kawasan Taman: 24 jam
– Taman Rekreasi Air: 9.00 pagi – 7.00 petang

Harga Tiket;
– Bot Angsa: RM25 untuk 2 orang
– Beca: RM25
– Water Bike: RM15
– Kayak: RM10

13. Hutan Simpan Gunung Tampin

Terletak di sempadan Negeri Sembilan dan Melaka, Hutan Simpan Gunung Tampin merupakan sebahagian daripada banjaran Pergunungan Titiwangsa. Jika mendaki, puncak hutan ini akan memberikan ganjaran yang memuaskan dengan pemandangan panorama yang indah.

Memandangkan hutan simpan ini tidak terganggu, laluan di sini boleh menjadi agak mencabar, terutamanya untuk yang baru-baru saja mula mendaki. Mungkin Mommy kena fikir dua kali jika ingin membawa anak! Dapatkan nasihat renjer hutan sebelum memulakan pendakian.

Alamat: Hutan Lipur Gunung Tampin, 73000 Tampin, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Masuk: Bergantung kepada pakej pilihan

14. Pusat Edu-Ecotourism Sungai Menyala

Sumber: caridestinasi.com

Di Pusat Edu-Ecotourism Sungai Menyala, Mommy sekeluarga boleh menerokai pelbagai flora dan fauna serta burung-burung liar yang setanding dengan Taman Negara walaupun jumlah spesisnya lebih terhad.

Laluan di sini tidak terlalu mencabar, jadi anak-anak pun tentu seronok meneroka taman yang kaya dengan alam semula jadi ini.

Alamat: Pusat Edu Eco-tourism Sg. Menyala, Jalan Sua Betong, N8, 71000 Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 8.30 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket: Percuma

15. Kuil Sak Dato

Sumber: Mapio.net

Dibina sekitar 140 tahun lalu, Kuil Sak Dato adalah kuil Cina yang memang popular sebagai tempat menarik di Negeri Sembilan. Mommy boleh ke kuil yang tersergam indah ini melalui tangga yang menuju ke gerbang hiasan yang dipanggil ‘Gerbang Naga’.

Dari sini, Mommy sekeluarga boleh mendapat pemandangan banjaran gunung yang menakjubkan. Selain itu, kuil ini juga menawarkan tarikan seperti jambatan gantung, patung Dewa Monyet gergasi dengan ketinggian hampir 22 meter, dan juga taman herba.

Alamat: No. 4, Jalan Besar, 71750 Negeri Sembil,, Broga, 71750 Semenyih, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 10.00 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket: Percuma

16. Hutan Lipur Pasir Panjang

Sumber: mdfaiez84.com

Satu lagi destinasi mengagumkan yang Mommy boleh terokai ialah Hutan Lipur Pasir Panjang. Tarikan hutan ini ialah pantai yang terdapat laluan jalan kaki dan jeti di tepi pantai. Mommy boleh berkelah di hutan ini kerana landskapnya yang hijau dan pokok yang rendang membuatkan ia lokasi yang selesa.

Berdekatan dengan hutan ini juga Mommy boleh jumpa restoran Medan Ikan Bakar Kampung Teluk Pasir yang sering menjadi kunjungan pelancong untuk menjamu selera pada waktu malam.

Alamat: Taman Kota Indah, 71250 Pasir Panjang, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Destinasi terbuka awam (24 jam)

Harga Tiket: Percuma

17. Masjid Sri Sendayan

Sumber: mywilayah.com

Kalau kita melancong ke luar negara, terutamanya negara Islam, kita tentu akan melawat masjid-masjid yang gah disana kan? Antaranya seperti Masjid Biru dan Hagia Sophia di Turki, Masjid Shah di Iran, Masjid Juma di India, dan macam-macam lagi.

Sebenarnya di Negeri Sembilan pun ada masjid yang amat cantik dan indah! Walaupun bukan dibina beratus tahun dahulu, seni bina dan hasil rekaan dalaman masjid ini amat indah dan memukau.

Masjid ini juga merupakan masjid yang terbesar di Negeri Sembilan dan mampu memuatkan 5,000 jemaah pada satu masa. Sambil melawat boleh juga Mommy menunaikan solat fardhu!

Alamat: Persiaran Idaman Villa, Bandar Sri Sendayan, 71950 Siliau, Negeri Sembilan

18. Galeri Seni Alive 3D

Sumber: Majlis Perbandaran Port Dickson

Galeri seni bertemakan lukisan tiga dimensi ini terletak berdekatan dengan Port Dickson. Tarikan popular ini penuh dengan lukisan mural 3D yang memenuhi seluruh ruang galeri.

Kanak-kanak tentu akan teruja dengan lukisan-lukisan yang nampak ‘real’ sampai boleh membuat sesiapa sahaja rasa berdebar-debar, terutamanya kalau lukisan tersebut seakan-akan ditempat tinggi.

Gambar-gambar yang diambil tentu akan dihargai selamanya, jadi jangan lepaskan peluang untuk melawat tempat menarik di Negeri Sembilan ini!

Alamat: No. 38-40, Jalan DS 2/1, Bandar Dataran Segar, Lukit, 71010 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi:
– Isnin-Khamis: 10.00 am – 10.00 pm
– Jumaat-Ahad: 10.00 am – 11.00 pm

Harga Tiket:
– Dewasa: RM20
– Kanak-kanak (12 tahun & ke atas): RM15
– Warga Emas (60 tahun & ke atas): RM15
– OKU: RM15

19. Taman Tema Indoor Wild West Cowboy

Sumber: Top-Rated.Online

Taman Tema ini terletak sederet dengan Galeri Seni 3D tadi, jadi Mommy boleh masukkan lokasi ini dalam program percutian pada hari yang sama kalau melawat Galeri Seni.

Di sini terdapat banyak permainan yang serupa dengan permainan arked seperti di pusat beli-belah, tapi tarikan utamanya ialah 5D Motion Adventure dan 7D Interactive Movie yang memberikan pengalaman pengembaraan maya. Memang menarik untuk mana-mana peringkat umur pun!

Alamat: 59-64, Jalan DS 2/1, Bandar Dataran Segar, 71010 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 11.00 pagi – 11.00 malam

Harga Tiket:
– Dewasa: RM44
– Kanak-kanak: RM40

20. Bukit Batu Putih

Sumber: libur.com.my

Kalau Mommy dan keluarga atau kawan-kawan jenis yang suka mendaki bukit atau hiking, Mommy tentu nak tinjau Bukit Batu Putih. Bukit ini adalah tempat terbaik untuk menerokai keindahan alam semula jadi dari puncak yang tinggi.

Untuk mendaki bukit ini tidaklah terlalu mencabar, tapi mungkin memerlukan pengalaman mendaki yang mencukupi. Pendakian ke atas bukit ini memang berbaloi kerana pemandangan laut dari puncak Bukit Batu Putih ini memang indah sekali!

Alamat: Puncak Bukit Batu Putih, Tanjung Tuan, 71050, Negeri Sembilan

Waktu Operasi:
– Isnin – Ahad: 8.30 pagi – 6.00 petang
– Khamis: Tutup

Harga Tiket: RM1.00


Negeri Sembilan ternyata kaya dengan budaya Minangkabau yang boleh dilihat dalam banyak bangunan bersejarah. Jangan lupa juga untuk mencuba beberapa hidangan tempatan di negeri ini seperti masak lemak daging salai yang sangat menyelerakan! Selamat bercuti!