Kali ini kita akan ke tempat yang kaya dengan sandy beaches dan udara yang sungguh nyaman, sesuai untuk Mommy sit back and relax.
Pulau Pangkor kaya dengan pulau dan penginapan menarik. Ia terletak tidak jauh dari pantai barat Semenanjung Malaysia.
Antara lokasi yang terkenal di Pulau Pangkor adalah, Teluk Nipah, Marina Island, Kubu Belanda dan Batu Bersurat.
Kalau Mommy tertanya-tanya, waktu dan bulan berapakah yang sesuai untuk ke Pulau Pangkor? Cuaca yang ideal adalah pada bulan Februari hingga Jun.
Pulau Pangkor menawarkan pelbagai tempat menarik yang pasti Mommy dapat relaks dengan tenang di sini! Berikut merupakan senarai tempat menarik di Pulau Pangkor untuk percutian Mommy yang seterusnya!
12 Tempat Menarik Di Pulau Pangkor
#1 Teluk Segadas
Pertama sekali, untuk Mommy yang tidak suka kawasan sesak dan mahukan privasi, bolehlah ke Teluk Segadas. Teluk ini agak tersorok, dan lebih tenang. Pasti seronok apabila pergi bersama keluarga!
Teluk ini terletak berdekatan dengan Kampung Gedung, kemudian Mommy perlu berjalan dan mengikut trek dalam 15 ke 20 minit untuk ke destinasi akhir. Namun begitu, trek untuk sampai ke teluk ini tidak begitu berbahaya kerana ia masih sesuai untuk Mommy bawa bersama anak-anak seusia 6 tahun dan ke atas.
Alamat: Pantai Teluk Segadas, 32300, Perak
#2 Pulau Giam
Pulau yang kedua adalah Pulau Giam. Kaya dengan pemandangan yang indah, pulau ini terletak bersebelahan degan Pulau Mentagor, dan berada di hadapan Teluk Nipah. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan seperti snorkeling, skuba, jetski dan macam-macam lagi.
Pastikan anda memakai jaket keselamatan diri semasa bersuka ria di sini! Untuk ke Pulau Giam ini, Mommy perlu menaiki bot ataupun berkayak dari Teluk Nipah. Mesti anak-anak akan seronok apabila dapat melihat hidupan laut dengan jernih.
Alamat: Pulau Giam, 32300, Perak
#3 Lumut Waterfront
Apa yang seronok di Lumut Waterfront ni? Haa, ini adalah tempat untuk menaiki feri ke Pulau Pangkor. Di sini juga menawarkan pemandangan yang cantik untuk bergambar.
Sambil Mommy menunggu ketibaan feri yang dijadualkan, Mommy boleh singgah di restoran-restoran, gerai dan jualan hasil laut yang ada di sini.
Alamat: Lumut Waterfront, 32200 Lumut, Perak
Harga Tambang Feri:
- Dewasa RM10
- Kanak-kanak RM5
Waktu Operasi: Setiap Hari (6.30am – 8.30pm)
#4 Pantai Pasir Bogak
Pantai Pasir Bogak adalah antara pantai yang terkenal dan tempat menarik di Pulau Pangkor. Mereka menawarkan pelbagai gerai makanan, pemandangan dan juga udara yang nyaman.
Sangat sesuai buat keluarga Mommy yang mahu bersantai-santai di tepi pantai. Nelayan juga sering menjaring di kawasan ini. Jika berpeluang, bolehlah Mommy bawa anak-anak melihat cara nelayan di sini menangkap hasil laut. Lagi best, Mommy boleh menaiki bot bersama mereka dan merasai sendiri pengalaman menjala.
Wah! Satu pengalaman yang baru dan menyeronokkan!
Alamat: Pasir Bogak, 32300 Pulau Pangkor, Perak
#5 Masjid Terapung Pulau Pangkor
Mommy ingat di Terengganu sahaja ada masjid terapung? Sebenarnya, masjid ini didirikan pada 7 Mac 2014. Masjid Al-Badr 1000 Selawat adalah nama sebenarnya dan ia hasil inspirasi daripada Menteri Besar Perak.
Luar dah cantik, dalaman mesti lagi cantik! Kaya dengan dekorasi unik, di dinding masjid ini terukir kaligrafi 1000 selawat. Kos pembinaan masjid dikatakan siap pada tahun 2016.
Kalau Mommy berminat, singgahlah dan lihat karya seni islamik di masjid ini.
Alamat: Masjid Al-Badr 1000 Selawat, Pulau Pangkor, Perak
#6 Pangkor Fish Satay Factory – Hai Seng Hin
Mana nak dapat makanan laut yang segar? Datanglah ke Kilang Hai Seng Hin ataupun nama lain diberi adalah Kilang Sate. Pelbagai jenis hasil tangkapan laut ada dijual di sini tau!
Selain itu, mereka juga ada kedai cenderamata dan banyak lagi di sini. Rugi kalau tak singgah!
Alamat: Hai Seng Hin Satay Fish Factory, Sungai Pinang Kecil, 32300 Pulau Pangkor, Perak
#7 Batu Bersurat
Mesti Mommy tertanya-tanya, unik betul lukisan atas batu tu kan? Haa, inilah batu bersurat yang terletak berdekatan dengan Kota Belanda. Apa sebenarnya yang dilukiskan itu?
Dengan melihat batu ini, ia seperti harimau membawa lari seorang kanak-kanak. Batu ini digunakan untuk mengingati peristiwa di mana seorang kanak-kanak telah dimakan seekor binatang buas mengikut kepercayaan orang ramai. Tetapi terdapat banyak versi tentang kisah ini.
Selain itu, orang tempatan mengatakan saiz batu ini adalah kecil tetapi lama-kelamaan ia menjadi semakin besar. Kalau Mommy mahu tahu lagi sejarah lebih lanjut mengenai batu ini, jangan lupa untuk singgah di sini!
Alamat: Batu Bersurat, Kampung Teluk Gadong, 32300 Pulau Pangkor, Perak
#8 Pulau Jarak
Pulau seterusnya adalah Pulau Jarak. Ia terletak dalam sekitar 64 km dari Pulau Pangkor dan berada di tengah-tengah lautan Selat Melaka.
Aktiviti yang terkenal di pulau ini adalah memancing. Kenapa memancing? Ini adalah kerana perairan di sekitar pulau yang hanya bersaiz 8 hektar dan ia cukup kaya dengan pelbagai hidupan marin seperti ikan tuna, ikan alu-alu dan macam-macam lagi.
Mommy perlu mendapatkan perkhidmatan bot dari Pasir Bogak. Cajnya bermula daripada RM300. Dan untuk pengetahuan, tempoh masa untuk sampai ke Pulau Jarak mengambil masa dalam lebih kurang 2 jam. Jadi, jika Mommy berminat untuk ke sini, better plan ahead ya!
Alamat: Pulau Jarak, Perak
#9 Pulau Mentagor
Pulau Mentagor kaya dengan pembentukan terumbu karang dan menjadi antara destinati terkenal untuk aktiviti snorkeling. Untuk ke sini, Mommy boleh menaiki bot yang disediakan di Teluk Nipah dan meminta pemandu bot tersebut untuk menghantar anda sekeluarga ke bahagian utara pulau yang terletak bertentangan dengan Teluk Nipah, bersebelahan dengan Pulau Giam.
Mommy cakap nak ke Pulau Mentagor sahaja pun pasti mereka tahu lokasinya di mana.
Alamat: Pulau Mentagor
#10 Teluk Ketapang
Teluk Ketapang terletak di antara dua buah pantai iaitu Teluk Nipah dan Pasir Bogak. Ia adalah kawasan pantai yang menarik serta indah di Pulau Pangkor. Mesti anak-anak Mommy akan enjoy apabila sampai ke sini.
Teluk Ketapang memiliki menara pemerhatian, untuk para pengunjung melihat kebiruan air laut di sini.
Alamat: Teluk Ketapang, 32300 Pangkor Island, Perak
#11 Kota Belanda
Merupakan peninggalan zaman penjajahan Belanda pada tahun 1670, kubu ini dibina dengan tujuan untuk menyimpan bijih timah.
Ia dinamakan Kubu Dinding (Dingdingh) bersempena dengan Sungai Dinding yang terletak di hadapan Pulau Pangkor. Kota ini kaya dengan sejarah dan merupakan antara salah satu tempat menarik di Pulau Pangkor yang wajib dikunjungi.
Alamat: Kota Belanda, 32300 Pulau Pangkor, Perak
#12 Marina Island
Adakah anda tahu bahawa, Marina Island adalah pulau buatan manusia yang pertama di Malaysia. Ia terletak bertentangan dengan Pulau Pangkor, berkeluasan hampir 320 ekar.
Antara tempat yang menarik di Marina Island idalah Marina Island Pangkor Resort & Hotel, restoran, unit kediaman, dewan konvensyen, kolam memancing dan yang seronoknya, taman tema air untuk anak-anak!
Mereka juga mempunyai Kompleks Jeti Marina, senang untuk Mommy mendapatkan perkhidmatan feri. Dari sini, ia mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja untuk tiba di Pulau Pangkor.
Alamat: Marina Island Pangkor, 32200 Lumut, Perak
3 Tempat Penginapan Yang Menarik Di Pulau Pangkor
Sebelum nak meneruskan perjalanan ke tempat-tempat menarik di atas, Mommy pasti ingin mencari tempat penginapan yang best di Pulau Pangkor juga kan?
Berikut merupakan antara tempat penginapan yang menarik disini:
#13 Pangkor Laut Resort
Teringin untuk tidur di atas air? Pangkor Laut Resort merupakan tempat penginapan yang paling sesuai untuk merasai pengalaman tersebut! Ia adalah salah satu penginapan yang terhebat di Malaysia.
Pangkor Laut Resort memiliki pelbagai jenis tempat penginapan seperti, Hill View Villa yang terletak di atas bukit ataupun Sea Villa yang terapung di atas lautan.
Mommy dapat berehat sepuas-puasnya dengan menikmati rawatan spa, bermandi-manda di kolam renang ataupun mengikuti aktiviti meredah hutan yang ditawarkan oleh pihak hotel.
Alamat: Pangkor Laut Island Pangkor Laut, 32200 Lumut, Negeri Perak
Harga: Dari RM992+ Semalaman
#14 Nipah Guesthouse Pangkor
Penginapan menarik seterusnya adalah Nipah Guesthouse Pangkor. Ia terletak di dalam kawasan kampung, sesuai untuk Mommy menikmati keindahan alam sekitar.
Untuk menyempurnakan percutian ini, Nipah Guesthouse Pangkor juga ada menghidangkan pelbagai hidangan seperti roti bakar, telur, sosej, penkek, buah-buahan segar dan banyak lagi. Minuman seperti kopi dan teh juga ada tersedia untuk para penginap di sini.
Guesthouse in terletak di berdekatan dengan Teluk Nipah dan 10 minit sahaja dari Coral Beach dengan hanya sekadar berjalan kaki.
#15 Joe Fisherman Inn
Berdekatan dengan jeti utama, Joe Fisherman Inn menawarkan 32 buah bilik penginapan yang menarik dan selesa. Konsep hotel ini adalah tropikal dan sangat luas untuk para penginap.
Selain itu, Joe Fisherman Inn juga ada menawarkan kolam renang yang luas, ruang santai keluarga, ruang bbq dan karaoke di bahagian rooftop dan banyak lagi!
Joe Fisherman Inn juga ada menawarkan servis untuk mengaturkan aktiviti menarik untuk keluarga Mommy seperti banana ride, jet ski, kayak, team building, jungle trekking dan banyak lagi!
Alamat: Lot 4452, Pangkor Kampung Teluk Nipah, 32300 Pangkor
Harga: Dari RM150+ Semalaman
Pemandangan Yang Tidak Boleh Dilupakan!
Moga-moga senarai ini dapat membantu Mommy membuat pilihan untuk kunjungi Pulau Pangkor! Mesti seronok dapat bercuti, menenangkan minda bersama anak-anak dan suami tercinta di pulau yang cantik ini.
Psst: Seusai keluar Pulau Pangkor, mungkin Mommy boleh singgah makan-makan di Ipoh pula. Klik artikel ini untuk info lanjut.
Yang penting, pastikan Mommy sekeluarga mengikut SOP yang ditetapkan dan selamat bercuti!