Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Bolehkah Bayi Dalam Kandungan Gugur Disebabkan Memakan Nanas?

Sumber: Adobe Stock

Sebaik sahaja keluarga dan rakan-rakan mendapat tahu bakal ibu sedang mengandung, tentu macam-macam nasihat dan tips datang bertubi-tubi daripada mereka kan?

Makan nanas dalam tempoh seminggu boleh gugur? Awak dah mengandung ni tak boleh makan nanas tau! Nanti kandungan boleh gugur sebab nanas tu buah yang tajam!

Walaupun niat mereka baik, kadang-kadang nasihat atau tips yang diberi mungkin adalah mitos dan tidak berasaskan kajian saintifik yang sahih.

Salah satu nasihat yang selalu diberikan, terutamanya oleh orang-orang tua, ialah jangan memakan nanas kerana ia boleh menyebabkan pengguguran bayi dalam kandungan atau pun mempercepatkan proses bersalin. Tapi sejauh manakah kebenaran tuntutan atau nasihat ini?

Highlighted

Sumber: Freepik

Bila Boleh Makan Nanas Ketika Mengandung?

Nanas sebenarnya boleh dimakan pada bila-bila masa ketika mengandung. Ada mitos yang mengatakan nanas tidak boleh di makan di awal kehamilan kerana boleh menyebabkan pengguguran kandungan.

Ada juga yang mengatakan nanas tidak boleh dimakan pada tengah kehamilan atau sebelum tarikh jangkaan bersalin kerana boleh membuatkan bakal ibu memulakan proses bersalin dan melahirkan bayi pramatang.

Asalkan bakal ibu memakan nanas dalam kuantiti sederhana, tidak ada masalah untuk memakannya ketika hamil. Jadi kenapa ada yang mengatakan nanas boleh mengakibatkan keguguran atau kelahiran pramatang?

Fakta Tentang Bromelain

Nanas mengandungi sejenis enzim yang dipanggil bromelain.

Dalam kuantiti yang banyak, bromelain boleh menyebabkan kontraksi. Inilah mungkin punca yang ramai kaitkan dengan memakan nanas dan pengguguran bayi.

Sumber: Getty Images

Bromelain sebenarnya mempunyai banyak manfaat pada tubuh badan termasuklah membantu pencernaan, dan mengurangkan bengkak, lebam, dan radang.

Untuk benar-benar mendapatkan kontraksi dari memakan nanas, bakal ibu perlu memakan tujuh biji nanas yang besar! Memandangkan itu boleh menyebabkan sakit perut, cirit birit, dan masalah lain, tentu tiada siapa yang mampu atau mahu pun makan tujuh biji nanas sekaligus!

Jadi walaupun nanas mengandungi bromelain, kuantitinya amatlah sedikit dan sehidangan nanas yang biasa dimakan tidak mungkin mempengaruhi kehamilan bakal ibu secara negatif atau memudaratkannya.

Ia juga perlu dititikberatkan bahawa enzim bromelain itu boleh dihancurkan dengan pemanasan, jadi nanas yang telah dimasak atau nanas dalam tin kebarangkalian besar tidak mempunyai enzim bromelain pun.

Ubat bromelain pula sebaliknya tidak digalakkan untuk digunakan semasa kehamilan. Ia dapat memecahkan protein di dalam badan dan menyebabkan pendarahan yang tidak normal.

Info Lanjut Tentang Nanas

Satu cawan nanas boleh mengandungi hampir 100 peratus pengambilan vitamin C harian yang disarankan oleh wanita hamil.

Nanas juga kaya dengan vitamin B6 (pyridoxine), zat besi, zat tembaga, folat, magnesium, dan mangan. Semua nutrien ini adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam kandungan.

Tentu bakal ibu mahukan yang terbaik untuk bayi dalam kandungan, kan?

Sumber: Getty Images

Kalau bakal ibu mahu memasukkan nanas dalam diet harian tapi tidak tahu macam mana, pelbagai cara dan resipi boleh dicuba. Antaranya adalah seperti berikut:

  • Membuat jus atau smoothie dengan mencampurkan nanas, pisang, dan jus mangga
  • Masukkan kiub nanas dalam oat semalaman (overnight oats)
  • Masak gulai lemak nanas
  • Membuat salsa nanas
  • Membuat aiskrim nanas

Ibu mengandung disarankan untuk mengambil sekeping nanas setiap hari kalau betul-betul suka memakan nanas, kerana satu hidangan kecil nanas mengandungi vitamin C dan nutrien mencukupi untuk ibu hamil.

Tambahan pula, mitos tentang memakan nanas dalam tempoh seminggu boleh menggugurkan kandungan tidak boleh dipercayai, terutamanya jika memakan nanas dalam kuantiti yang kecil atau sederhana.

Risiko-Risiko Lain Memakan Nanas Ketika Hamil

Walaupun memakan nanas tidak akan menyebabkan keguguran, jika tidak berjaga-jaga, ia masih boleh memudaratkan kesihatan.

Sama sahaja seperti apa-apa jenis makanan lain pun. Terutama sekali jika bakal ibu memang mempunyai perut yang sensitif.

Sumber: Getty Images

Jika bakal ibu suka makan nanas begitu sahaja, pastikan kuantitinya tidak berlebihan.

Bukan sebab takut kandungan gugur, kerana kebarangkalian perkara itu terjadi amatlah kecil, tetapi oleh kerana asid dalam nanas boleh memudaratkan lagi pedih ulu hati atau heartburn yang sering berlaku kepada ibu yang sedang mengandung.

Selain itu, nanas juga seperti beberapa buah-buahan yang lain tidak elok untuk dimakan dengan terlalu banyak kerana mempunyai kandungan gula semula jadi yang tinggi.

Ini terutamanya tidak disarankan jika ibu hamil mempunyai diabestes kehamilan atau gestational diabetes.

Jika bakal ibu tak pernah makan nanas sebelum ini, tapi mahu memakan nanas semasa hamil kerana kebaikannya tetapi mendapat alahan pula, pastikan bakal ibu berjumpa dengan doktor serta-merta!

Tanda-tanda alahan termasuklah kegatalan, mulut bengkak, asma, atau hidung tersumbat.

Sumber: Getty Images

Gugur makan nanas? 

Taklah! Makan nanas semasa hamil tidak akan menyebabkan keguguran atau menyebabkan bakal ibu bersalin lebih awal.

Bakal ibu boleh menikmati nanas segar, jus nanas, atau nanas dalam tin dengan kuantiti normal seperti juga makanan berkhasiat lain.

Sekiranya bakal ibu masih bimbang tentang memakan nanas waktu hamil, anda disarankan untuk berbincang dengan doktor pakar sakit puan tentangnya dan juga untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai makanan yang selamat untuk dimakan berdasarkan kondisi kesihatan anda semasa hamil.