Sejak kebelakangan ini, kita sering melihat dan mendengar kes perceraian yang banyak berlaku samada disekiling kita mahupun terbaca dalam media sosial. Disebabkan terlalu banyak kes cerai, sebagai wanita islam anda perlu tahu selepas bercerai terdapat tempoh iddah yang wajib dilalui.
Tempoh penceraian memang sesuatu yang sukar, apatah lagi buat wanita yang tidak bekerja dan perlu membesarkan anak-anak yang masih kecil. Hilang tempah berpaut dan berkongsi kasih memang benar-benar memberatkan jiwa.
Walau bagaimanapun, setiap ujian perlu dilalui dan digagahi. Sama juga seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. kepada setiap wanita yang bercerai hidup atau kematian suami iaitu tempoh iddah.
Sebelum mengetahui lebih mendalam mengenai tempoh iddah ini, anda perlu tahu dahulu apakah jenis talak yang dilafazkan suami.
Semuanya itu kami telah kupaskan di bawah ini mengenai talak, iddah bercerai hidup atau tempoh iddah kematian suami . Jom lihat!
Jenis Talak dan Tempoh Iddah
Berikut merupakan penjelasan mengenai jenis talak dan tempoh iddah.
Jenis Talak
Cerai bermaksud pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talak atau seumpamanya berdasarkan Al-Quran, as-Sunnah dan ijma’ ulamak. Penceraian terjadi apabila terdapat lafaz soreh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran).
Terdapat 5 jenis cerai yang perlu diketahui iaitu:
- Cerai Talak
Cerai talak ialah perceraian yang berlaku apabila kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri bersetuju untuk berpisah secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talak.
Talak terbahagi kepada dua iaitu talak soreh (jelas) dan talak kinayah (tidak langsung/sindiran).
Terdapat 2 jenis talak iaitu Talak Taj’i dan Talak Ba’in di mana Talak Ba’in terbahagi kepada 2 iaitu Talak Ba’in Sughra dan Talak Ba’in Kubra.
- Cerai Taklik
Berdasarkan Undang-undang Keluarga Islam, cerai taklik bermaksud perceraian yang terjadi apabila suami melanggar taklik yang dibuat semasa upacara akad nikah.
Namun, lafaz taklik ini berbeza mengikut negeri.
- Cerai Fasakh
Cerai fasakh ialah pembubaran ikatan perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim.
Perceraian secara fasakh ini boleh terjadi selepasa hakim memutuskan pembubaran perkahwinan disebabkan alasan atau perkara yang memudaratkan mana-mana pihak dalam perkahwinan dan tiada ruang untuk diselamatkan lagi.
- Cerai Tebus Talak (Khuluk)
Perceraian Khuluk ialah perpisahan antara suami dan isteri terjadi dengan bayaran yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khuluk.
Perceraian ini juga dikenali dengan ‘tebus talak’. Talak Khuluk ini biasanya atas kemahuan isteri yang disertai dengan pampasan.
- Cerai Li’an
Li’’an bermaksud penceraian yang terjadi apabila seorang suami bersumpah yang isterinya berzina. Li’an ini biasanya berlaku apabila suami menafikan anak yang dikandung isterinya adalah hasil hubungan zina.
Jenis dan Tempoh Iddah
Bagi wanita, apabila berlakunya penceraian seseorang wanita itu akan melalui satu tempoh yang dinamakan sebagai tempoh iddah.
Iddah bermaksud suatu tempoh masa yang perlu dilalui oleh seorang wanita selepas berlakunya penceraian atau kematian suami di mana dia tidak boleh menikah semula dalam tempoh ini.
Terdapat 4 jenis iddah yang perlu kita tahu iaitu:
- Iddah Bagi Isteri Yang Masih Mempunyai Haid
Tempoh iddah yang perlu dijalani bagi perempuan yang masih mempunyai haid ialah 3 kali suci seperti yang disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 228:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ
Maksudnya:
“Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).”
- Tempoh Iddah Bagi Yang Telah Putus Haid/Belum Pernah Haid
Manakala iddah bagi wanita yang telah putus haid/belum pernah haid adalah selama 3 bulan. Perihal ini ada dinyatakan dalam surah al-Tolaq ayat 4:
وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ
Maksudnya:
“Dan perempuan-perempuan yang sudah terputus haidnya (menopaus) dari kalangan isteri-isteri kamu sekiranya kamu ragu-ragu (berkenaan iddahnya) maka iddah mereka adalah tiga bulan dan begitu juga perempuan yang tidak ada haidnya (belum sampai tempoh haid).”
- Tempoh Iddah Bagi Perempuan Yang Sedang Hamil
Jika seorang perempuan yang sedang hamil diceraikan oleh suaminya, tempoh iddah yang perlu dilaluinya ialah sehingga melahirkan atau keguguran. Perkara ini disebut di dalam al-quran, surah al-Talaq ayat 4:
وَأُولٰتُ الأَحمالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعنَ حَملَهُنَّ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مِن أَمرِهِ يُسرًا
Maksudnya:
“Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya.”
- Tempoh Iddah Kematian Suami
Apabila seorang wanita kehilangan suami atau dengan kata lain kematian suami tempoh iddah yang perlu dilalui adalah selama 4 bulan 10 hari. Ini seperti yang disebutkan dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 234:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya:
“Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”
Larangan Dalam Tempoh Iddah
Semasa menjalani tempoh iddah cerai ini terdapat larangan yang perlu dipatuhi oleh wanita yang diceraikan suami.
Antaranya ialah:
#1. Menerima Pinangan Lelaki Ajnabi
Wanita yang melalui tempoh edah adalah diharamkan untuk menerima pinangan dari lelaki ajnabi.
#2. Berkahwin
Tujuan iddah adalah bertujuan untuk memastikan rahim bersih dari benih suami. Oleh itu, semasa tempoh iddah ini wanita yang melaluinya tidak boleh berkahwin sehingga tamat waktu iddahnya.
#3. Berhias dan Berwangi-wangi
Selain itu, wanita yang menjalani tempoh iddah tidak dibolehkan untuk berhias dan berwangi-wangian.
Ini adalah kerana ia sebagai tanda kesedihan di atas kematian suami dan mengelakkan diri dari menjadi tumpuan lelaki ajnabi kerana berada dalam fasa dilarang bernikah.
#4. Tidur di Rumah Lain
Di samping itu, wanita yang sedang beriddah tidak dibenarkan untuk tidur di rumah lain selain rumah yang menjadi kebiasaannya tidur semasa dalam ikatan perkahwinan.
#5. Keluar Rumah Tanpa Keperluan
Yang terakhir adalah keluar rumah tanpa sebarang tujuan. Namun, dibolehkan sekiranya keluar untuk bekerja.
Hikmah Tempoh Iddah
Tempoh iddah disyariatkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersediri. Antaranya ialah:
- Untuk memastikan rahim wanita tersebut kosong daripada benih bekas suami. Hal ini adalah kerana untuk mengelakkan percampuran benih antara suami yang terdahulu dan bakal suami yang akan dikahwini kelak.
- Memberi ruang kepada suami dan isteri berfikir dan menilai samada ingin teruskan dengan perceraian atau kembali bersama (rujuk).
- Bagi wanita yang kematian suami pula, tempoh iddah adalah sebagai tempoh berkabung dan tanda kesedihan atas kehilangan suami. Selain itu, tempoh edah ini juga akan dianggap sebagai tanda menghormati, mengingati dan menzahirkan kesetiaan isteri kepada suaminya.
Tempoh idah adalah penting dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia dan mematuhi peraturan berkaitan dengannya adalah penting bagi setiap individu yang terlibat dalam proses perceraian atau kematian suami.
Dengan mematuhi tempoh idah, ia membolehkan individu untuk membuat keputusan yang tepat untuk masa depan mereka dan menghormati nilai-nilai agama dan budaya yang ditetapkan.
Ketahui juga apakah punca penceraian dan pelbagai lagi info dan tips perkahwinan menarik yang lain di SINI!