Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Runsing Dengan Jenama Tepung Beras Di Pasaran? Jom Fahami Setiap Kegunaan Tepung Beras Ini

tepung beras

Sumber: Adobe Stock

Mommy dah sampai di pasar, nekad untuk membuat kuih-muih untuk mak mertua yang akan datang minggu ni. Tapi hancur seketika rancangan tu sebab tak tahu tepung beras mana nak beli. Banyak sangat pilihan!

Sebenarnya kebanyakan tepung jenis beras yang boleh dijumpa di pasar mempunyai fungi secara am yang sama, tetapi sering digunakan oleh kebanyakan orang untuk fungsi yang khusus.

Tepung beras ialah sejenis tepung yang diperbuat daripada beras yang telah dikisar sehingga halus. Ia berbeza daripada kanji beras, yang biasanya dihasilkan dengan merendam beras dalam alkali.

Tepung ini juga boleh dijadikan pengganti untuk tepung gandum. Ia juga digunakan sebagai agen pemekat dalam makanan yang disejukkan atau dibekukan kerana ia menghalang pemisahan cecair.

Tepung jenis beras boleh dibuat daripada beras putih atau beras perang. Untuk membuat tepung ini, sekam beras atau padi dikeluarkan dan beras mentah diperoleh. Ia kemudiannya dikisar menjadi tepung.

Disebabkan terdapat beberapa jenis beras yang boleh didapati, tepung berasaskan beras pun boleh memberikan hasil yang berbeza.

Jom tengok beberapa jenis yang boleh didapati di pasar berdekatan Mommy dan apa kegunaan setiap jenis tepung beras tersebut.

7 Jenis Tepung Beras Dan Kegunaan Khususnya

1. Tepung Beras Cap Teratai

Highlighted

Sumber: Shopee

Tepung beras cap Teratai ini adalah sejenis tepung kandungan beras yang telah dicampur dengan tepung jagung. Ia sesuai digunakan untuk membuat rempeyek atau apam, selain kuih-muih. Ia juga boleh digunakan untuk membuat laksa.

Jika Mommy menggunakannya untuk membuat apam, rasa tepungnya adalah kurang. Kalau digunakan untuk membuat rempeyek dan tumpi pula, ia akan menjadi sangat rangup.

2. Tepung Beras Cap (Satu) Gajah

Sumber: rasa.my

Tepung ini juga sejenis tepung beras yang dicampur dengan tepung jagung. Tepung ini dihalusi dengan kisaran air. Jenis ini sangat sesuai digunakan untuk menggoreng seperti membuat adunan untuk pisang goreng, keledek, keladi, dan cempedak. Ia juga sesuai untuk masakan yang digoreng seperti ikan goreng dan sotong goreng berempah. Tepung ini bila digoreng akan menjadi sangat rangup dan sesuai juga digunakan untuk membuat rempeyek dan tumpi kacang hijau.

3. Cap Dua Gajah

Sumber: Shopee

Tepung Cap Dua Gajah juga adalah sejenis tepung berasaskan beras yang dicampur atau ‘blended‘ dengan tepung jagung. Jadi ia akan menghasilkan makanan gorengan yang rangup, sama seperti tepung Cap Gajah dan juga Cap Teratai tadi. Kalau Mommy mahu membuat juadah yang rangup, boleh guna juga tepung ini selain yang disebutkan tadi.

4. Cap Tiga Gajah (Erawan)

Sumber: Shopee

Tepung ini diperbuat daripada beras sahaja tanpa campuran jenis tepung lain. Tepung inilah yang sesuai digunakan untuk membuat kuih-kuih tradisional seperti kuih Koci, kuih apam beras Eno, dan pelbagai jenis kuih lain. Ia akan menghasilkan kuih yang lembut dan berkilat.

5. Cap Lima Gajah

Sumber: maskulin.com.my

Tepung Cap Lima Gajah pula diperbuat daripada 100% beras dan sesuai digunakan untuk membuat laksa beras dan pelbagai jenis mi lain. Ini adalah kerana tepung beras jenis ini mampu menghasilkan bahan mi yang lebih kental.

6. Tepung Beras Jati

Sumber: essentials.my

Jenama Jati bukan sahaja menjual beras, malah Mommy boleh dapatkan tepung beras dari jenama Jati yang popular ini. Ia diperbuat daripada 100% beras, mesra-vegetarian dan disahkan Halal. Ia sesuai digunakan untuk membuat pelbagai juadah kuih tempatan.

7. Cap Gelang (Golden Coins)

Sumber: Shopee

Tepung yang disukai ramai ini diperbuat daripada beras yang sangat halus. Ia juga sesuai digunakan untuk membuat kuih-muih tradisional seperti tepung beras lain yang diperbuat daripada 100% beras.


Jenis-jenis dan jenama tepung yang disebutkan tadi kebanyakannya senang untuk dijumpai di mana-mana pasar raya besar dan kecil. Mommy nampak tak, perbezaannya bukan terletak pada jenama, tetapi kandungan beras dalam tepung tersebut.

Tepung berasaskan beras yang dicampur dengan tepung jagung kebanyakannya sesuai digunakan untuk membuat juadah gorengan kerana ia dapat memberi kerangupan yang melazatkan. Manakala tepung yang diperbuat daripada beras sahaja sesuai untuk digunakan untuk membuat kuih-muih dan juga mi.

Lepas ni dah tak perlu runsing bila membeli apa-apa jenis tepung!