Di bulan puasa, kita berusaha menahan lapar dan dahaga untuk mentaati perintah Allah S.W.T. dan menyelami rasa mereka yang kurang berkemampuan.
Tapi kadang-kadang tu, rasa lemah sangat. Lapar tu boleh tahan lagi, kalau dahaga tu memang menguji keimanan sikit. Terutamanya bila cuaca panas kan?
6 Tips Kekal Bertenaga Dan Kenyang Lebih Lama Sepanjang Berpuasa
Sebab itulah kita kena bijak dan amalkan tips-tips ini untuk kekal bertenaga sepanjang hari di bulan puasa:
1. Makan makanan yang seimbang
Mungkin Mommy rasa tak penting sangat pun pemakanan yang seimbang ni. Asalkan cukup air kosong dan makan pada waktu berbuka dan sahur, dah cukup dah.
Salah tu ya. Menurut Dr Nurul Shazini Ramli, kita kena amalkan pemakanan sederhana, seimbang dan pelbagai untuk kekal bertenaga. Ini mudah dicapai dengan teknik pemakanan suku-suku separuh.
Suku untuk karbohidrat, suku untuk protein dan separuh lagi untuk sayur dan buah. Gabungan ketiga-tiga ini dengan kuantiti yang betul akan memberikan Mommy khasiat dan nutrien yang diperlukan oleh badan untuk berfungsi secara optimum. Sekali gus, akan memberikan tubuh badan tenaga yang diperlukan.
Amalkan cara ini ketika waktu berbuka dan bersahur ya?
2. Makan karbohidrat kompleks dan protein
Berbanding dengan makanan dari kumpulan lain, karbohidrat kompleks seperti nasi dan roti wholemeal memerlukan masa yang agak lama untuk dihadamkan. Jadi ini akan memberikan rasa kenyang yang lebih lama.
Kalau ambil masa waktu sahur, memang tahan dan tak terasa sangat lapar tu. Cuma jangan terlebih ambil pula ya. Hanya suku dari pinggan je tau.
Bukan tu je, protein pun memberikan kesan yang sama. Disebabkan ia dicerna dengan agak lambat, jadi perut Mommy akan terasa kenyang je. Contoh protein yang baik ialah; telur, ikan dan ayam.
3. Kurangkan makanan tinggi garam
Memang sedap kalau berbuka dan bersahur dengan cencaluk, budu, ikan kering dan perkasam. Tapi, makanan yang tinggi garam sebegini akan membuatkan Mommy lagi dahaga nanti.
Kalau pesakit darah tinggi, tekanan darah pun akan meningkat. Jadi mesti elakkan ya. Kalau nak makan pun, ambil dalam kuantiti sikit je, sekadar untuk rasa.
Jeruk-jeruk semua tu pun elakkanlah ya.
4. Minum air kosong yang mencukupi
Antara yang terpenting, mestilah kena minum air kosong yang cukup di malam hari. Di siang hari ketika berpuasa badan Mommy dah tak dapat air. Jadi sepanjang waktu berbuka hingga sahur itulah Mommy kena minum air kosong banyak-banyak supaya badan Mommy tidak dehidrasi dan boleh berfungsi dengan sebaiknya.
Pandai-pandai lah ya susun masa untuk minum air kosong di antara waktu ini.
Jangan pula minum air manis dan bergula ya. Tak sama tu. Jus ke, minuman yang sihat ke, tetap juga tak sama dengan air kosong.
5. Makan buah dan sayur yang tinggi kandungan air dan serat
Berdasarkan perkongsian daripada Harian Post, sesetengah sayur dan buah mempunyai kandungan air dan serat yang tinggi. Ini akan membantu badan Mommy untuk mendapat kuantiti air yang mencukupi dan serat yang akan buat Mommy kenyang dengan lebih lama.
Antaranya ialah:
- Buah tembikai
- Timun batang
- Sayur brokoli
- Bunga kubis
Yang lagi elok, buah-buahan dan sayur-sayuran ini rendah kandungan kalorinya. Ia tidak menggemukkan tetapi akan memberi efek rasa kenyang dan kurang dahaga dengan lebih lama.
6. Minum air rendaman chia seeds
Nampak macam biji selasih, tapi bukan ya. Chia seeds kini semakin terkenal di Malaysia, terutamanya buat mereka yang ingin menjaga kesihatan dan berusaha untuk kurus.
Menurut Marliana Shamsuddin, air rendaman chia seeds dapat membantu Mommy rasa kenyang dengan lebih lama.
Biji chia ini direndam dalam segelas air selama beberapa minit sehingga ia kembang dan minumlah ketika berbuka dan bersahur.
Bijinya yang kembang ini menyimpan banyak air dan dalam badan Mommy, akan dilepaskan secara beransur-ansur. Jadi Mommy akan rasa kurang dahaga ketika berpuasa dan perut pun akan lebih kenyang.
Bukan tu je, chia seeds ni penuh dengan khasiat tau. Fiber, kalsium, pelbagai vitamin; memang bagus untuk kesihatan kerana kaya dengan nutrien yang diperlukan.
Jom Cuba Tips Untuk Kekal Bertenaga Dan Kenyang Lebih Lama
Banyak je tips yang boleh diamalkan untuk mengurangkan kelesuan dan kelaparan melampau ketika berpuasa. Sebenarnya, badan kita mampu je berpuasa. Cuma dengan pemakanan yang tidak sesuai, badan kita akan lemah bila tak cukup nutrien.
Jom amalkan tips-tips yang kami berikan!