Wanita mana yang tidak mahu jika dapat bersalin dengan mudah dan boleh melahirkan anak dengan cara normal. Untuk anda yang baru pertama kali bakal bergelar ibu dan juga Mommy yang pernah alami situasi yang sukar ketika bersalin, dalam perkongsian ini Motherhood kongsikan tips mudah bersalin sebagai panduan untuk Mommy semua ketika bersalin nanti.
Bagi makluman Mommy, bersalin secara normal ialah apabila ibu dan bayi yang dalam keadaan baik dan mampu untuk melalui kelahiran secara semulajadi. Bayi akan keluar dari tubuh ibu melalui vagina, sama ada melalui kontraksi normal atau melalui campur tangan perubatan yang dikenali sebagai induced labour.
Dalam keseronokan ibu bapa membeli kelengkapan dan membuat persediaan untuk menimang cahaya mata yang bakal lahir, jangan Mommy lupa untuk membuat persediaan dari segi fizikal dan mental untuk melahirkan bayi nanti.
Pasti ramai Mommy yang teringin untuk bersalin dengan mudah kan? Untuk realisasikannya, di bawah ini kami telah kongsikan tips mudah bersalin secara normal yang boleh diamalkan oleh ibu mengandung. Jom lihat!
Tips Mudah Bersalin Yang Selamat
#1. Kekal Aktif
Mommy perlu banyakkan berjalan dan berdiri di mana posisi berdiri anda akan menyebabkan kepala janin menekan rahim dan merangsang bukaan jalan sebagai cara mudah bersalin yang selamat. Manakala di posisi duduk pula, anda boleh duduk dalam keadaan tegakkan badan sambil bersandar serta melunjurkan kaki.
Pastikan tekanan diberikan di kawasan pelvis dan anda berada dalam posisi rehat yang selesa.
#2. Belajar Cara Bersalin Dalam Kelas Pranatal
Tips mudah bersalin seterusnya adalah melalui kelas pranatal. Mommy juga boleh mendaftarkan diri dalam kelas pranatal untuk memahami dengan lebih jelas lagi mengenai fasa kelahiran untuk lebih memudahkan lagi proses bersalin nanti.
Sentiasa amalkan sikap suka membaca, bertanya, berlatih dan berbincang dengan menghadiri kelas keibubapaan di klinik bagi mengatasi rasa tekanan dan takut yang keterlaluan dalam menghadapi detik kelahiran nanti.
#3. Tips Mudah Bersalin Dengan Lakukan Senaman
Selain itu, antara petua mudah bersalin yang lain adalah melalui senaman. Sentiasalah bersenam dan mengambil diet yang seimbang supaya badan lebih cergas sebagai usaha anda untuk dapatkan cara bersalin dengan mudah.
Dapatkan nasihat atau tunjuk ajar daripada jururawat dan doktor anda sebelum melakukan senaman ketika menghadiri temujanji kehamilan.
Hal ini adalah kerana, wanita hamil yang lebih kerap bersenam akan mempunyai daya tahan lebih tinggi kerana
otot-otot sendi yang kuat dan mantap akan membantu mental dan fizikal mereka untuk mudah bersalin secara normal.
Terdapat banyak teknik senaman mudah yang boleh Mommy cuba contohnya seperti senaman kagel dan teknik birthing ball.
#4. Tips Mudah Bersalin Tidur Yang Lena dan Mencukupi
Petua mudah bersalin dengan cepat yang seterusnya adalah dengan mempunyai tidur yang cukup dan berkualiti.
Ibu yang tidur malam kurang enam jam dipercayai akan melalui tempoh bersalin 11jam lebih lama dan meninggikan risiko lebih tinggi sebanyak empat kali ganda untuk melalui pembedahan Caesarean.
Oleh itu, dapatkan tidur yang mencukupi untuk kesegaran tubuh dan elakkan keletihan yang berpanjangan.
Bagi Mommy yang mengalami kesukaran untuk tidur, apa kata beli bantal yang direka khas untuk ibu mengandung agar dapat tidur lena dengan lebih berkualiti.
#5. Mandi
Selain merasa lebih nyaman dan relaks, mandi adalah cara terbaik untuk melegakan ketegangan otot semasa kehamilan. Ini kerana air boleh membantu melegakan otot dan membolehkan pembukaan dengan cepat dan dapat mempercepatkan tempoh bersalin.
#6. Tips Mudah Bersalin Kawal Pernafasan
Tips mudah bersalin yang seterusnya adalah melalui kawalan pernafasan. Pernafasan yang betul amat penting dan patut diamalkan lebih awal dan cuba kawal pernafasan menggunakan tempoh dua saat diikuti nafas sedikit laju sebelum anda fokus untuk meneran apabila merasa bersedia atau ketika merasai kontraksi.
Untuk makluman Mommy juga, terdapat tiga jenis pernafasan iaitu perlahan, sederhana dan diikuti sedikit laju. Melalui pernafasan yang betul, oksigen dapat dibekalkan pada paras yang lebih baik kepada tubuh dan bayi dan ia juga dapat mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fungsi otot supaya melakukan kontraksi dengan lebih berkesan.
Malah, mempunyai oksigen yang cukup dapat membantu anda kekal relaks dan lebih fokus melalui setiap kontraksi sekaligus memudahkan proses bersalin secara normal.
#7. Makanan
Jangan biarkan perut ibu kosong sebelum proses melahirkan. Makan dahulu sedikit sebelum masuk ke dalam bilik bersalin. Hal ini kerana saat melahirkan anak, anda memerlukan tenaga yang sangat banyak. Kekurangan tenaga akan menyukarkan atau melambatkan proses bersalin.
Cukup dengan pengambilan makanan yang ringkas seperti roti dan biskut atau buah-buahan yang bernutrisi tinggi seperti kurma. Makanan berat perlulah dielakkan untuk mengelak anda muntah atau makanan tidak hadam ketika bersalin nanti.
#8. Tips Mudah Bersalin Dengan Kurma
Kajian menunjukkan bahawa wanita yang memakan kurma setiap hari pada minggu-minggu akhir kehamilan dipercayai dapat meningkatkan pelebaran serviks pada fasa awal kelahiran dan dapat menggalakkan kontraksi dan pembukaan pintu rahim untuk mudah bersalin secara normal.
Malah, ibu yang memakan kurma setiap hari dikatakan akan melalui proses bersalin 7 jam lebih pendek berbanding mereka yang tidak mengamalkan memakan kurma. Oleh itu, jadikan kurma sebagai salah satu alternatif atau cara mudah bersalin Mommy.
#9. Telur Ayam Kampung
Sejak zaman dahulu lagi, orang dahulu telah jadikan telur ayam kampung sebagai sumber pemulihan tenaga. Apabila tanda-tanda hendak bersalin kelihatan, pecahkan sebutir telur ayam kampung yang mentah dan dicampurkan ke dalam secawan air milo sebagai tips mudah bersalin.
Kacau kemudian diminum sebelum anda pergi ke hospital. InsyaAllah, petua mudah bersalin dengan cepat amalan orang zaman dahulu ini dapat membantu dalam proses bersalin terutamanya semasa anda meneran.
#10. Minyak Kelapa Dara
Virgin coconut oil (VCO) atau lebih dikenali sebagai minyak kelapa dara adalah salah satu cara bersalin normal amalan dan petua orang lama yang makin dilupakan ini juga dapat membantu dan memudahkan proses bersalin.
Minyak kelapa dara mempunyai rasa dan bau yang sangat baik yang terkandung vitamin E dan mineral yang tinggi. Minyak kelapa dara boleh diminum atau diambil dalam bentuk kapsul. Minyak kelapa dara dapat membantu mengatasi kesan sampingan kehamilan dan merawat tanda-tanda regangan.
Pengambilan minyak kelapa dara sepanjang kehamilan dipercayai akan memberikan kesan yang sangat menakjubkan terhadap ibu dan antara tips atau cara mudah bersalin yang selamat.
Kesakitan yang dialami ketika bersalin merupakan lumrah yang tidak dapat dielakkan oleh setiap wanita yang mahu bergelar ibu. Setiap wanita dianugerahkan kelebihan untuk menahan sakit yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Hanya orang yang pernah merasainya sahaja yang tahu bagaimana rasanya sakit bersalin. Disebabkan itulah, sakit bersalin ini dianggap sebagai suatu perjuangan antara hidup dan mati seseorang ibu.
Sangat penting untuk mempersiapkan diri secara mental dan rohani bagi menantikan saatnya kelahiran anak. Mommy perlu yakin terhadap kemampuan diri sendiri dan berfikirlah secara positif bahawa “Jika wanita lain boleh melakukannya, aku juga boleh!”
Dengan keyakinan yang tinggi, pasti anda para ibu lagi bertambah semangat dan tidak cemas apabila tiba masanya nanti. Bersalin secara normal adalah impian wanita, namun jika terpaksa melalui pembedahan, ia bukanlah suatu hukuman.
Lakukanlah yang terbaik untuk diri dan bayi anda, kerana tiada siapa yang boleh meramal bagaimana proses kelahiran bayi akan terjadi kerana ianya mungkin berbeza bagi setiap para ibu dan daripada kelahiran ke kelahiran yang lain.
Selain itu, minta ibu dan suami memaafkan dan mendoakan anda supaya melalui proses melahirkan dengan mudah.
Bersabar dan bertawakal serta sentiasalah berdoa agar dipermudahkan proses bersalin.
Ketika berada di bilik bersalin, banyakkanlah zikir nabi Yunus iaitu “Laa ilaahailla anta, subahanaka, inni kuntum minazzalimin” yang bermaksud “Tiada tuhan selain Engkau (Allah), Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku termasuk golongan yang menzalimi diri sendiri”.
Tujuan zikir ini adalah supaya Allah mengampunkan dosa kita melalui kesakitan bersalin, selain mengakui keesaan dan keagungan Allah sebagai Tuhan tempat bergantung.
Semoga dengan perkongsian ini, ia memberi Mommy kefahaman yang jelas ketika hendak bersalin nanti apakah yang patut dibuat!
Dapatkan juga pelbagai lagi tips menarik yang lain berkaitan kehamilan dan penjagaan dalam pantang di SINI!
Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.