Ibu, Bayi & Kanak Kanak

5 Tips Mudah Pemakanan Semasa Hamil Yang Bakal Ibu Patut Tahu

Sebagai seorang ibu yang hamil, anda pasti inginkan kelahiran bayi yang sihat dan sempurna. Begitu juga dengan perkembangan tumbesarannya, agar dijauhi daripada sebarang risiko atau komplikasi kesihatan.

Ia adalah suatu yang tidak mustahil dan mampu dicapai jika anda mengamalkan gaya hidup yang sihat dalam kehidupan seharian.

Amalan pemakanan diet yang seimbang dan berkhasiat juga memainkan peranan penting dalam memastikan matlamat tersebut dapat dicapai.

Highlighted


Diet yang seimbang bukan sahaja penting untuk diamalkan semasa fasa kehamilan. Malah golongan wanita yang merancang untuk hamil juga disarankan untuk mengamalkannya juga.

Mengamalkan tabiat pemakanan sihat boleh membantu melancarkan proses pertumbuhan dan perkembangan bayi anda serta memastikan diri anda sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan cergas.

Anda tidak perlu untuk mengamalkan diet-diet yang istimewa atau mahal belanjanya. Cukup sekadar memakan berbagai jenis makanan berkhasiat yang mampu memenuhi tuntutan khasiat-khasiat penting semasa hamil.

Semasa mengandung, anda akan dapati diri anda sentiasa berasa lapar berbanding kebiasaan. Secara mudahnya, ia ibarat isyarat yang diberikan kepada anda disebabkan perkembangan tumbesaran bayi di dalam kandungan yang disertai dengan pertambahan kadar metabolisma badan anda.

Doktor Pakar, Pakar Dietitian hinggalah ke Jururawat, semuanya akan menekankan tentang pentingnya untuk ibu hamil menjaga pemakanan dan gaya hidup sihat untuk menjamin kehamilan yang selamat.

Untuk membantu bakal-bakal ibu di luar sana, mari kita lihat beberapa tips mudah untuk menjaga diet pemakanan demi kehamilan yang sihat.

Tips Pemakanan Semasa Hamil 

1. Tidak Memerlukan Resepi-Resepi Yang Rumit

Terdapat sebahagian dalam kalangan ibu hamil yang kita boleh dapati tidak mengamalkan pemakanan yang sihat atas beberapa sebab.

Antaranya ialah disebabkan pemilihan gaya atau teknik pemakanan yang rumit.

Apabila terlampau banyak membaca atau mencari tips dan resepi penyediaan makanan kehamilan, seorang ibu hamil boleh dilanda dengan ledakan informasi yang terlampau banyak.

Situasi ini menyebabkan sesuatu yang mudah menjadi rumit, susah untuk membuat keputusan akibat terlalu banyak pilihan dan tips lalu menghasilkan tekanan dan bebanan.

Akhirnya, seorang ibu hamil yang tertekan terus memakan apa sahaja yang mudah disediakan tanpa memikirkan tentang khasiat yang terkandung dalam sesuatu makanan asalkan ia mudah dan cepat untuk disediakan.

Sebaliknya, seseorang hanya perlu memastikan hidangannya mempunyai khasiat yang seimbang tanpa berpandukan resepi yang rumit. Hidangan seimbang ini sudah cukup untuk memastikan diri anda dan kandungan menerima bekalan khasiat yang sepatutnya.

2. Tidak Perlu Makan Untuk Dua Orang

Selain itu, pada masa kehamilan tahap kelaparan adalah lebih berbanding sebelumnya kerana badan anda kini yang dahulunya hanya perlu menampung satu badan kini bertukar menjadi dua.

Walaupun begitu, pada hakikatnya, anda tidak perlu untuk mengamalkan tabiat pemakanan yang berlebihan semata-mata kerana kini anda sedang hamil.

Sedangkan anda hanya perlu mengubahsuai sedikit diet pemakanan anda untuk menyesuaikan dengan keperluan khasiat semasa hamil.

Begitu juga dengan makanan yang anda gemari. Anda tidak perlu berhenti memakan makanan kesukaan atas sebab risau kerana anda sedang hamil selagi mana ia tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

3. Menyediakan Hidangan Mengikut Piramid Makanan

Khasiat makanan yang kita makan sebenarnya terbahagi kepada beberapa kategori dan setiap kategori mempunyai kadar khasiat yang berbeza.

Secara keseluruhannya, khasiat makanan terbahagi kepada 6 iaitu :

  • Karbohidrat
  • Protein
  • Lemak
  • Vitamin
  • Mineral
  • Air

Untuk mendapatkan khasiat-khasiat ini secara seimbang dan optimum adalah dengan mengamalkan pemakanan sihat yang  disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu berdasarkan “Piramid Makanan Malaysia”.

Dengan menggunakan “ Piramid Makanan Malaysia” sebagai panduan diet hidangan. Anda akan dapati diet pemakanan anda disediakan berdasarkan 5 kumpulan makanan utama iaitu:

  • Bijirin dan hasil bijirin seperti nasi, mee, roti dan ubi-ubian. (makan dengan kadar secukupnya)
  • Buah-buahan dan sayur- sayuran. (makan dengan kadar banyak)
  • Ikan, ayam, daging dan kekacang. (makan secara sederhana)
  • Susu dan hasil tenusu. (makan secara sederhana)
  • Lemak, minyak, garam dan gula. (makan dengan kadar sedikit)

4. Memastikan Hidangan Yang Disediakan Bersih

Penyediaan makanan yang selamat adalah penting agar dapat memastikan hidangan anda bebas daripada pencemaran dan mengelakkan keracunan makanan atau jangkitan virus dan bakteria.

Selain menjaga kebersihan diri seperti membasuh kedua-dua tangan sebelum menyediakan hidangan, antara langkah – langkah lain yang boleh diamalkan adalah seperti berikut :

  • Membasuh buah-buahan dan sayuran terlebih dahulu sehingga semua kesan tanah hilang kerana dikhuatiri mengandungi kuman Toxoplasma.
  • Memastikan makanan seperti ayam dan daging dimasak sepenuhnya dan tidak mentah atau separuh masak.
  • Membungkus makanan atau menyimpannya dalam bekas yang tertutup di dalam peti sejuk.
  • Tidak meyimpan atau memakan makanan tersisa yang tersimpan melebihi 2 hari.
  • Membasuh semua permukaan dan alatan memasak setelah digunakan.

Menjaga kebersihan makanan itu adalah satu kemestian terutamanya ketika hamil. Anda tidak boleh mengambil sikap endah tak endah kerana makanan yang dijangkiti oleh kuman atau parasit seperti Listeria, Salmonella dan Toxoplasma boleh menyebabkan berlakunya komplikasi seperti keguguran.

Oleh itu pastikan segala aspek kebersihan semasa penyediaan makanan dijaga dengan baik untuk mengelakkan komplikasi tersebut.

5. Mengambil suplemen tambahan

Selain daripada penyediaan hidangan harian, jangan lupa bahawa pengambilan beberapa jenis suplemen juga penting bagi kesihatan kandungan.

Hal sedemikian kerana terdapat zat dan khasiat yang hanya dapat diperolehi melalui menu masakan harian.

Terdapat beberapa jenis suplemen yang anda boleh dapati dengan mudah daripada klinik-klinik atau farmasi yang berdekatan seperti :

Asid Folik

Suplemen ini penting bagi mengelakkan tejadinya kecacatan janin di awal usia kehamilan. Ia membantu dalam pembentukan sistem saraf otak dan tulang belakang.

Kekurangan asid folik semasa hamil boleh mengakibatkan terjadinya kecacatan seperti Spina Bifida (sejenis kecacatan saraf tulang belakang pada bayi yang menyebabkan sebahagian saraf tunjang tidak terbentuk dengan sempurna).

Vitamin D

Pertumbuhan tulang dan gigi yang kuat memerlukan bekalan Vitamin D semasa sepanjang kehamilan dan perkembangannya. Oleh itu, pengambilan vitamin ini dalam kuantiti yang cukup pada setiap hari tidak boleh dipandang ringan.

Kalsium

Khasiat ini pula bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada bayi malah kepada ibu hamil juga. Ia dapat menguatkan tulang, gigi, dan otot ibu dan anak.

Zat Besi

Pengambilan zat besi pula dipercayai dapat mengurangkan risiko terjadinya kelahiran pramatang yang dikhuatiri ramai.

Secara kesimpulannya untuk mencapai kehamilan sihat, anda bukan sahaja harus menerapkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.

Diet pemakanan semasa hamil yang seimbang turut memainkan peranan yang besar dalam mencapai matlamat ini. Semoga artikel ini dapat membantu anda merealisasikan impian anda.