Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Mengalami Kecederaan Semasa Bersukan, Adakah Tuam Ais Atau Tuam Haba Yang Lebih Baik Untuk Surutkan Bengkak?

Bersukan antara aktiviti yang lasak dan memerlukan anggota tubuh badan yang sihat untuk bermain.

Namun, mereka yang bersukan akan berisiko untuk mengalami kecederaan seperti terjatuh, terseliuh dan terpelecok kaki dan sebagainya semasa bermain.

Tak kira sukan apa yang dilakukan sebagai contoh bola sepak, hoki, berlari atau bermain badminton boleh mengalami kecederaan tanpa dijangka.

Terdapat sebuah perkongsian di satu akaun Twitter yang membincangkan tentang tuam ais ke tuam haba lebih baik untuk surutkan bengkak selepas kecederaan sukan.

Kedua-dua tuam ais dan haba memberi kesan yang baik kepada pemulihan kecederaan sukan. Namun, perlu tahu bahawa setiap tuaman mempunyai jenis kecederaan dan kebaikan yang berbeza.

Kebaikan Tuam Ais

Highlighted

Kredit Gambar: INVIVO Wellness

Tuam ais atau cryotherapy sesuai untuk kecederaan akut seperti terseliuh, terkehel, otot terlebih regang dan sebagainya.

Rawatan ini mampu mengecutkan pembuluh darah apabila ia didedahkan kepada kesejukan. Ini menyebabkan bekalan darah turun, kurangkan keradangan, dan mengekang pembentukan bengkak yang teruk.

Tuam ais juga dapat menurunkan aktiviti saraf. Ini boleh memberi kesan kebas lantas mengurangkan kesakitan kepada kawasan kecederaan.

Oleh yang demikian, tempoh sesuai untuk tuaman ais adalah pada awal tempoh kecederaan, iaitu sepanjang 48-72 jam selepas kecederaan.

Cara-cara melakukan tuaman ais:

1. Letakkan ais atau pek ais ke dalam balutan tuala kecil.

2. Tuam ais pada bahagian yang tercedera selama 10 minit dan angkat tuaman 5 minit.

3. Ulang langkah 2 selama 4 kitaran. Boleh ulang set ini 2-3 kali sehari.

Elakkan daripada meletakkan ais secara langsung pada kulit atau tuam terlalu lama bagi mengelakkan risiko kecederaan pada kulit, tisu dan saraf.

Kebaikan Tuam Haba

Kredit Gambar: Spine-health

Tuam haba atau thermotherapy sesuai untuk kecederaan kronik atau yang melibatkan kekejangan dan sengal otot.

Haba dapat baiki aliran darah ke kawasan yang di tuam, merelakskan otot, melegakan kesakitan, dan jadikan otot lebih fleksible. Ia memberi keselesaan, percepat proses pemulihan.

Tuam haba sesuai dibuat bermula 72 jam selepas kecederaan. Jangan lakukan tuam haba sejurus selepas kecederaan kerana ia akan menyebabkan bengkak yang lebih besar.

Cara-cara lakukan tuaman haba:

1. Lembabkan tuala dengan air suam atau letakkan pek haba dalam balutan tuala.

2. Tuamkan pada bahagian yang tercedera selama 5 minit, dan berhenti seketika.

3. Ulang langkah beberapa kali sehingga kesakitan lega.

Elak daripada meletakkan sumber haba secara langsung pada kulit atau tuam terlalu lama bagi mengelakkan risiko kecederaan pada kulit. Tuam haba pada awal kecederaan boleh mengakibatkan bengkak yang besar.

Jika ada luka, elakkan lakukan mana-mana tuaman dan segera ke klinik yang berdekatan untuk dapatkan rawatan.
Semoga perkongsian ini dapat memberi pencerahan yang lebih jelas kepada Mommy tentang perbezaan antara tuam haba dan ais. 

Dapatkan lebih banyak artikel yang berguna berkaitan kecederaan dan keselamatan di SINI.
Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.