Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Bahaya Ubat Jerawat Isotretinoin Ketika Hamil – Boleh Menyebabkan Kecacatan Janin!

Sesetengah wanita pernah mengalami atau sedang mengalami acne breakout/hormonal acne yang sangat teruk semasa atau selepas kehamilan.

Memang betul, jika kita berdepan dengan jerawat yang susah nak kawal dan sangat teruk, ia dapat menurunkan keyakinan diri kita, sampai kita pun tak mahu berjumpa dengan orang. Malah, ia boleh menyumbang kepada rasa sakit yang melampau akibat jerawat yang tumbuh di muka atau badan.

Highlighted


Bila dah terdesak, mulalah kita akan mencari solusi yang tercepat dan terpantas, lakukan apa sahaja seperti mengambil sebarang ubat yang boleh membantu mengurangkan atau merawat jerawat-jerawat ini.

Ada yang sampai siap beli ubat jerawat tersebut secara atas talian tanpa berjumpa dengan doktor pakar terlebih dahulu! Boleh percaya ke? Selamat ke?

Buat ibu-ibu hamil dan mengambil ubat jerawat, NANTI DULU! Lihat dulu bahan-bahan yang digunakan dalam ubat tu kerana ia mungkin menyebabkan kecacatan janin dan risiko pada kandungan.

Untuk info lanjut, jom baca perkongsian Dr Lyana Kamal tentang jangan mengambil ubat sembarangan seperti ubat jerawat semasa hamil.

Perkara Wajib Mommy Perlu Tahu Tentang Ubat Jerawat, Isotretinoin

Kredit gambar: Ink Drop Shutterstock.com

Seringkali saya berjumpa dengan pesakit jerawat yang mengambil ubat isotretinoin bukan di bawah pengawasan doktor pakar. Malah ada yang beli sendiri online. Tahukah ada ubat ini boleh menyebabkan kecacatan kekal bayi?

1. Kecacatan bayi ini dipanggil “Retinoic Acid Embryopathy”.

Dianggarkan risiko kecacatan ini berlaku kepada bayi anda, adalah 25 kali ganda lebih tinggi berbanding sekiranya anda tidak mengambil ubat ini semasa mengandung.

Kredit gambar: Facebook @Syazli, Syameen and Syazween Aesthetics, Plastic Surgery and Dermatology

2. Antara masalah yang boleh berlaku adalah:

  • Kurang berat badan
  • Kepala bayi kecil dari sepatutnya (microcephaly)
  • Kecacatan otak dan sistem saraf (large ventriculomegaly, thin corpus callosum, elongated midbrain)
  • Pembentukan jantung dan telinga tidak normal
  • Keguguran

3. Kesan ini boleh berlaku jika ubat ini diambil semasa ataupun sebulan sebelum mengandung.

Jika ubat ini berhenti sekurang-kurangnya sebulan sebelum mengandung, tiada lagi risiko kesan sampingan ini berlaku kerana ubat ini hanya ada dalam badan manusia selama sebulan sahaja.

4. Sebab itu, SANGAT dianjurkan, jika hendak mengambil ubat ini, perlu:

  • Mendapatkan dari pakar kulit sahaja (CPG Malaysia)
  • Menanda tangani borang persetujuan

Jika sudah berkahwin, dianjurkan mengambil langkah pencegahan hamil yang efektif. Bukan pencegahan sekadar natural ya, perlu seperti pil/cucuk dan sebagainya. Seeloknya double contraception seperti pil dan kondom. Teknik pencegahan hamil ini diteruskan selama sebulan selepas ubat berhenti.

Jika mengambil ubat ini dan hendak mengandung, berhenti ubat ini sekurang-kurangnya sebulan. Ada yang mengesyorkan tunggu dua bulan sebelum mula berusaha untuk mengandung, untuk lebih selamat.

Jika TER-mengandung semasa mengambil ubat ini, TOLONG BERHENTI DAN BERJUMPA DENGAN DOKTOR ANDA SECEPAT MUNGKIN. Kami mungkin perlu merujuk anda kepada pakar O&G untuk pemeriksaan bayi dalam kandungan anda. Jika ambil ubat ini, jangan kongsi dengan orang lain atau derma darah!

Ok itu sahaja untuk hari ini. Ubat isotretinoin tidak berbahaya semata-mata. Apabila perlu, memang kami doktor kulit akan berikan. Anda sebagai pesakit perlu mengambil effort untuk tahu apa kebaikan dan apa kesan sampingannya k. Semoga bermanfaat.

Memang membahayakan kandungan Mommy jika mengambil Isotretinoin ini semasa hamil. Sebab itulah Mommy harus berwaspada jika mengambil ubat-ubatan yang boleh membahayakan kesihatan serta menyebabkan kecacatan kekal pada bayi Mommy.

Berjumpa dan ambil nasihat doktor terlebih dahulu sebelum meneruskan apa-apa ubatan ya! Mommy jangan senang-senang beli di mana-mana kedai online tau!

Kredit: Dr Lyana Kamal