Memastikan kesihatan yang optimum bagi anak-anak adalah salah satu perkara yang paling diutamakan oleh setiap ibu bapa. Jadi apabila anak mula berasa kurang sihat, tentu bermacam-macam cara yang Mommy akan usaha dan ikhtiarkan supaya si kecil cepat sembuh kan?
Jika anak Mommy sedang mengalami selesema, perkara pertama yang perlu difahami mengenai ubat selesema adalah ia tidak akan menjadikan anak Mommy lebih cepat sembuh.
Ubat selesema budak juga tidak akan menghalang penyakit selesema untuk berubah kepada jangkitan lain seperti jangkitan telinga atau radang paru-paru, atau terdedah kepada jangkitan virus lain.
Ketika membuat pilihan untuk membeli ubat selesema, Mommy perlu pastikan apa jenis ramuan yang ada di dalam ubat tersebut untuk mengelakkan daripada memberi ubat atau ramuan yang tidak diperlukan oleh anak.
Jenis-Jenis Ubat Selesema Untuk Kanak-Kanak
Untuk pengetahuan Mommy, kanak-kanak atau bayi yang berumur di bawah dua tahun tidak sesuai untuk diberikan ubat selesema, jadi kebanyakan ibu bapa akan merujuk kepada rawatan alternatif tanpa ubat.
Kalau Mommy berjumpa dengan doktor atau pakar pediatrik pun mereka tidak akan mempreskripsikan ubat kepada bayi di bawah usia dua tahun.
Untuk kanak-kanak yang sudah melangkaui usia dua tahun, terdapat beberapa jenis ubat selesema yang boleh Mommy cuba gunakan.
1. Ubat Selesema Cecair/Sirap
Ubat jenis cecair ini selalunya menjadi pilihan kebanyakan ibu bapa kerana ia sering digunakan sejak dulu lagi. Ia juga menjadi jenis ubat yang biasa diberi oleh doktor untuk kanak-kanak yang lebih besar. Mommy juga boleh mencari ubat yang dirumus khusus untuk rawatan selesema kanak-kanak yang berada di pasaran.
2. Ubat Sapuan Salap/Balm
Sebagai rawatan tambahan kepada ubat cecair selesema, ibu bapa juga selalunya menyapu ubat sapuan salap atau chest rub apabila anak mengalami gejala selesema, terutamanya untuk melancarkan pernafasan anak dan menghilangkan congestion atau hidung tersumbat.
Pastikan ubat sapuan yang diberi sesuai dengan kulit anak Mommy memandangkan ia perlu disapu di atas kulit anak yang mungkin sensitif.
3. Sapuan Minyak Pati
Ubat yang dirumus dengan minyak pati semulajadi semakin popular digunakan oleh ramai ibu bapa. Kebanyakannya dihasilkan dalam bentuk roll-on dan boleh disapu dengan senang di atas dada anak.
Campuran minyak pati ini dapat membantu meredakan kesesakan atau congestion anak anda. Tambahan pula, bau minyak pati semula jadi ini sangat sedap dan boleh meningkatkan mood!
4. Ramuan Minyak Untuk Wap (Steam/Inhalant)
Salah satu kaedah yang sering digunakan sejak dulu lagi ialah dengan menyedut wap air panas yang telah dititiskan dengan minyak atau ramuan untuk wap yang bersesuaian.
Dengan memasukkan cecair atau minyak ke dalam besen yang diisi dengan air panas, ia akan mengeluarkan wap ubat tersebut yang menenangkan untuk membantu melegakan simptom selesema dan meredakan rasa sakit pada hidung apabila dihidu.
5. Penyedut Hingus
Secara praktikal, penyedut hingus bukanlah jenis ubat selesema budak, akan tetapi ia menjadi kaedah yang efektif untuk meredakan simptom selesema.
Terdapat beberapa jenis penyedut hingus yang boleh didapati di pasaran, termasuklah jenis manual dan automatik.
Bagi jenis manual, Mommy boleh gunakan penyedut tradisional dimana Mommy perlu picit bulb penyedut untuk mengeluarkan angin kemudian melepaskannya untuk menarik keluar hingus.
Ada juga lagi satu jenis penyedut manual dimana Mommy boleh mengawal kadar sedutan menggunakan pernafasan penggunanya.
Apa Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Ubat Selesema Budak
Seperti yang disebutkan tadi, ubat selesema tidak sesuai untuk digunakan oleh bayi berumur dua tahun ke bawah.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Portal Rasmi MyHEALTH, selesema ialah satu penyakit kendiri dan tidak memerlukan rawatan khusus. Rawatan yang disyorkan hanyalah dengan membuat kanak-kanak berasa selesa.
Mana-mana kaedah yang bersesuaian disebutkan tadi boleh digunakan. Tambahan pula, KKM mensarankan langkah-langkah penting seperti berikut diambil:
- mendapatkan rehat yang mencukupi
- memperbanyakkan pengambilan air
- mengambil makanan yang berzat
- memberi ubat seperti paracetamol untuk melegakan demam dan membuat anak berasa selesa
- elakkan memberi antibiotik kerana ia tidak diperlukan
Langkah-langkah yang boleh diambil untuk melegakan hidung tersumbat pula adalah seperti:
- menggunakan titisan salin nasal sebelum memberi bayi makan atau tidur
- gunakan ubat pelega sesak hidung untuk gejala yang teruk tetapi mesti berhati-hati kerana kesan sampingan seperti rasa mengantuk, tidak selesa dan sukar untuk tidur boleh terjadi
- gunakan penyedut lendir manual jika perlu
Aspirin tidak sesuai bagi mereka yang kurang dari 15 tahun. Ia boleh dikaitkan dengan satu penyakit yang serius dipanggil ‘Reye’s syndrome’.
Tips Penggunaan Ubat Selesema
Jika Mommy memilih untuk menggunakan ubat selesema konvensional seperti ubat cecair selesema, Mommy boleh ikuti tips-tips berikut untuk memastikan keselamatan pengambilannya.
- Periksa jenis ubat dengan teliti sebelum membuat pembelian dan pastikan ia bersesuaian dengan umur anak.
- Setelah dibuka, Mommy disarankan untuk menyimpan ubat cecair di dalam peti sejuk untuk mengelakkan ubat dicemari oleh faktor persekitaran.
- Pastikan ubat yang telah dibuka ditutup dengan rapat untuk mengelakkan pencemaran seperti dimasuki serangga, habuk, atau hama.
- Sebelum menggunakan ubat cecair yang telah digunakan sebelum ini, pastikan ubat belum melepasi tarikh luput dan tiada sebarang kotoran diluar dan dalamnya.
- Baca arahan yang diberikan dan beri dos atau sukatan yang betul dan bersesuaian dengan umur anak anda.
- Ubat selesema orang dewasa tidak sesuai digunakan untuk kanak-kanak, jadi pastikan Mommy mengasingkan ubat orang dewasa dengan kanak-kanak untuk mengelakkan kekeliruan.
- Dapatkan nasihat dari pakar farmasi atau doktor jika Mommy was-was tentang pengambilan ubat cecair selesema untuk kanak-kanak.
- Sesetengah ubat selesema mempunyai bahan yang digunakan untuk meredakan demam juga. Pastikan sama ada Mommy tidak memberi ubat demam berlainan atau ubat selesema yang mempunyai bahan untuk melegakan demam untuk mengelakkan overdose.
Bagi kebanyakan kes selesema, kanak-kanak tidak memerlukan ubat selesema budak kerana mereka selalunya akan pulih dengan sendiri. Dapatkan nasihat pakar jika Mommy masih bimbang tentang kesihatan anak anda secara keseluruhan.