Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Pakar Jelaskan Panduan Pengambilan Ubat-ubatan dan Suplemen Pada Bayi dan Kanak-Kanak

Tahukah Mommy apa perbezaan diantara ubat-ubatan dan suplemen untuk kesihatan bayi dan kanak-kanak?

Seterusnya, tidak semua jenis ubat-ubatan dan suplemen sesuai untuk diberikan kepada bayi dan kanak-kanak terutama kepada bayi yang belum mencapai usia 6 bulan.

Sememangnya, ibu bapa akan mulai panik dan risau ketika anak mereka tidak sihat dan akan segera memberikan ubat-ubatan yang sedia ada di rumah misalnya tanpa merujuk dahulu ke klinik dan berjumpa doktor.

Elakkan memberi ubat-ubatan luar kepada bayi tanpa mendapat rujukan daripada doktor terlebih dahulu. Ia akan memberi risiko kepada si manja Mommy.

Bagi memastikan kesihatan dan tumbesaran yang baik dan sihat untuk si manja, Min telah berjaya menemubual seorang ahli farmasi yang berilmu dalam bidang ini iaitu Ms Aina Amanina Abdul Jalil, Pensyarah dengan Sarjana dalam Farmasi Klinikal di UniKL RCMP, Perak yang akan menerangkan dengan lebih jelas tentang ubat-ubatan atau suplemen yang sesuai untuk bayi dan kanak-kanak. 

Highlighted

Ms Aina Amanina, Pensyarah dengan Sarjana dalam Farmasi Klinikal di UniKL RCMP, Perak

1. Tidak semua ubat-ubatan dan suplemen selamat untuk bayi dan kanak-kanak. Apakah perbezaan dan kebaikan diantara ubat-ubatan dan suplemen?

Ubat-ubatan – merupakan bahan yang dimakan untuk tujuan menambahbaik atau merawat sesuatu keadaan atau penyakit.

Suplemen – merupakan sejenis makanan tambahan, yang wujud dalam bentuk sama seperti ubat-ubatan dan bertujuan untuk menambah keperluan pemakanan.

Perlu diingatkan bahawa pesakit yang menghidap apa-apa penyakit terutama penyakit kronik tidak boleh hanya bergantung pada suplemen sahaja kerana ianya hanya perlu diambil bergantung pada tahap kesihatan anda.

Keperluan pengambilan suplemen berbeza bagi setiap individu dan bukan semua semua memerlukan suplemen tambahan kerana ia boleh diperoleh dari diet yang seimbang untuk memastikan badan anda mendapat nutrisi harian yang cukup.

2. Ubat-ubatan dan suplemen mempunyai fungsi utama yang sama iaitu untuk kegunaan kesihatan. Jenis ubat yang manakah sesuai diberikan kepada bayi dan kanak-kanak? Bolehkah Ms jelaskan apakah faktor yang dilihat sebelum pemberian ubat diberikan kepada mereka?

Ubat yang sesuai diberikan kepada bayi dan kanak-kanak termasuklah:

  • supositori untuk demam
  • ubat over-the-counter untuk rawatan sembelit (Lactul/Dulphalac/Enema)
  • ubat over-the-counter untuk rawatan cirit-birit (Smecta/ORS).

Antara faktor yang dilihat sebelum pemberian ubat kepada kanak-kanak atau bayi adalah tahap keseriusan penyakit dan kesan sampingan yang mungkin boleh didapati.

3. Bagi bayi yang belum mencapai usia 6 bulan, apakah memang tiada sebarang ubat boleh diberikan kepada mereka?

Bagi bayi di bawah usia 6 bulan, adalah tidak disarankan untuk mengambil ubatan kecuali;

  • Ubat demam (paracetamol) dalam bentuk cecair atau supositori.
  • Untuk merawat selesema, ibu bapa boleh memberikan ubat cair hingus atau nasal aspirator/pump untuk menyedut hingus.
  • Untuk merawat demam, pelekap kepala seperti Koolfever Baby atau Bye Bye Fever boleh diberikan untuk menurunkan suhu badan bayi.

4. Bolehkah ibu bapa berikan suplemen tambahan kepada bayi – sama ada bayi di bawah usia 12 bulan atau 12 bulan dan ke atas? Jika ya, apakah jenis suplemen tambahan yang dibenarkan?

Lazimnya, setelah usia 4 bulan ke atas, diet bayi akan berubah secara beransur-ansur dari makanan cair kepada yang lebih pepejal.

Oleh itu, suplemen tambahan untuk bayi adalah kurang disyorkan. Namun begitu, terdapat beberapa suplemen yang boleh diberikan untuk bayi sekiranya ibu bapa merasakan pengambilan suplemen itu penting untuk tumbesaran yang sempurna.

Kebiasaannya, suplemen ini didatangkan dalam bentuk titisan dan mengandungi lysine dan taurine yang merupakan komponen struktur penting dari banyak protein.

5. Setiap individu mempunyai antibodi badan yang berbeza dengan cara penerimaan ubat tersebut. Apakah jenis ubatan yang sesuai diberikan kepada bayi dan kanak-kanak? Apakah perbezaan di antara ubat cecair dan ubat tablet?

Terdapat pelbagai dosej ubatan yang terdapat di pasaran seperti tablet, cecair, kapsul, lozenge, implan, serbuk, losyen, krim, supositori, suntikan, ubat sedut, ubat tampalan, ubat titis dan ubat kumur.

Jika kita bercakap tentang ubat yang boleh makan, maka dosej berbentuk cecair dan suntikan adalah ubat yang paling sesuai diberikan kepada bayi dan kanak-kanak. Hal ini kerana golongan ini mungkin menghadapi kesukaran untuk menelan sebahagian bentuk ubat terutama tablet dan kapsul. 

Perbezaan utama antara ubat cecair dan tablet adalah bentuk di mana tablet ialah dalam bentuk pepejal dan cecair dalam bentuk air.

Ubat berbentuk cecair terutama untuk indikasi kanak-kanak kebanyakannya didatangkan dengan pelbagai perisa seperti oren, stroberi, dan anggur sedangkan ubat berbentuk tablet kebiasaannya tiada perisa.

Dari segi cara pemakanan, ubat cecair selalunya harus diberikan menggunakan picagari atau penutup/cawan kecil yang biasanya didatangkan bersama produk tersebut. 

6. Penggunaan antibiotik tidak terkecuali di kalangan kanak-kanak. Apakah jenis antibiotik yang boleh diambil oleh bayi dan kanak-kanak? Apakah kesan sampingan yang mungkin dialami oleh kanak-kanak?

Antibiotik lazimnya digunakan untuk mengubati penyakit berkaitan jangkitan bakteria.

Batuk, selesema, dan sakit tekak adalah lazimnya disebabkan oleh virus jadi penyakit ini tidak memerlukan antibiotik. 

Antara kesan buruk, merangkumi gangguan fisiologi tubuh badan kanak-kanak itu sendiri seperti merencatkan sistem perkumuhan, sistem pertahanan badan dan mengambil masa yang lama untuk menggalakkan pertumbuhan semula bakteria baik di dalam usus.

Reaksi alahan juga boleh berlaku seperti ruam, kegatalan, bengkak-bengkak dan lain-lain.

Sumber Rujukan: Keratan Akhbar Metro Ahad, 19 November 2017. Disediakan oleh: Pn. Nor Samira Binti Talib dan Pn. Ida Afdzan Binti Awang @ Rozalli, Pegawai Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu

7. Adakah ibu bapa perlu mendapat nasihat pakar terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang ubat-ubatan atau suplemen pada anak mereka, walaupun untuk ubat yang dijual secara online?

Ya, amatlah penting untuk ibu bapa berunding terlebih dahulu dengan doktor atau ahli farmasi sebelum memberikan sebarang ubat atau seplemen kepada anak-anak.

Hal ini kerana pembelian ubat secara atas talian tidak menjamin sama ada ubat tersebut berdaftar atau tidak dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (mempunyai nombor MAL dan hologram farmatag).

Selain itu, ubat atau suplemen yang tidak berdaftar ini tidak diketahui kesan sampingan jadi, ia boleh memudaratkan kesihatan pengguna terutamanya kepada bayi dan kanak-kanak.

Antara risiko lain pembelian ubat secara atas talian ialah ibu bapa mungkin terdedah untuk mendapat ubat tiruan atau ubat yang dicampur racun berjadual yang boleh memudaratkan nyawa bayi dan kanak-kanak.

8. Apakah jenis kandungan bahan dalam ubat atau suplemen yang tidak boleh diberikan kepada bayi dan kanak-kanak? 

Antara bahan dalam ubat batuk yang tidak boleh diberikan kepada bayi dan kanak-kanak adalah:

  1. triprolidine
  2. promethazine
  3. diphenhydramine
  4. chlorpheniramine
  5. dextrometorphan
  6. pseudoephedrine
  7. ephedrine
  8. phenylephrine 

Kandungan bahan tersebut jika diberi boleh menyebabkan kegagalan sistem pernafasan kepada bayi dan kanak-kanak. 

9. Boleh Ms kongsikan cara penyimpanan ubat yang betul? Dan apakah jangka hayat bagi setiap ubat tersebut—adakah masih boleh diambil walaupun selepas setahun dibuka tetapi masih belum ‘expired’?

  • Simpan ubat di tempat yang selamat dan dikhaskan supaya mudah dicari.
  • Simpan ubat secara berasingan mengikut jenis ubat seperti ubat makan (tablet, sirap dan sebagainya) dan ubat kegunaan luar (krim, salap, ubat titis mata dan sebagainya).
  • Simpan ubat mengikut suhu yang disarankan (sila rujuk kepada sisip bungkusan ubat).
  • Simpan ubat dalam bekas yang asal, jangan tanggalkan label ubat asal yang mengandungi maklumat seperti nama ubat, kekuatan ubat, cara pengambilan, kaedah penyimpanan dan tarikh luput.
  • Simpan ubat di tempat yang tidak dapat dilihat atau dicapai oleh kanak-kanak.
  • Jangan simpan ubat anda di dalam kereta dalam jangka masa yang lama.
  • Jangan simpan ubat yang berlainan dalam bekas yang sama dan bercampur aduk.
  • Jangan simpan ubat anda di tempat yang terdedah kepada cahaya matahari, suhu tinggi dan kawasan yang lembap seperti di tepi tingkap, di atas peti sejuk dan di dalam bilik mandi.

Jangka hayat ubat bergantung pada jenis ubat dan boleh didapati di botol atau bekas simpanan asal ubat tersebut.

Kebanyakan ubat seperti tablet dan kapsul yang belum tamat tempoh boleh diambil sekiranya belum dibuka.

Walau bagaimanapun, ubat titis mata atau hidung cuma bertahan sebulan selepas dibuka walaupun belum tamat tempoh dan haruslah dibuang selepas sebulan.

Sumber: Portal Rasmi MyHEALTH KKM

10. Masih ramai ibu bapa di Malaysia tidak ‘aware’ dengan pemberian probiotik sebagai suplemen tambahan pada anak-anak. Boleh Ms terangkan mengenai hal ini? 

Probiotik ialah mikroorganisma hidup yang juga digelar sebagai bakteria ‘baik’ kerana ia memberikan faedah kesihatan yang positif kepada tubuh badan manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan probiotik sebagai mikroorganisma hidup yang apabila diambil pada jumlah yang mencukupi, akan memberikan faedah kesihatan kepada kita.

Probiotik kebiasaannya digunakan sebagai suplemen tambahan untuk mencegah sembelit. Berkaitan kekerapan mengambil probiotik, ianya bergantung kepada brand probiotik yang dibeli di pasaran. Sebagai contoh untuk beberapa brand yang boleh didapati di farmasi, berikut adalah cara pemakanan:

  • Enterogermina – 1 / 2 tiub 1 kali sehari
  • Bio Life Pro & Pre biotics – 1 paket 1 kali sehari
  • Kidsbiotics – 1 paket 1 kali sehari
  • Bio+ Jr Kidz Prebiotics – 1 / 2 biji sehari

11. Bagi bayi atau kanak-kanak dengan masalah kulit atau ekzema, adakah wajar penggunaan steroid pada mereka? Boleh Ms terangkan dengan lebih lanjut? 

Penggunaan steroid dalam kalangan bayi dan kanak-kanak adalah wajar namun hanya terhad kepada steroid berpotensi rendah yang sesuai untuk kulit nipis seperti krim hydrocortisone 1%.

Harus diingatkan juga kepada ibu bapa untuk hanya menyapu nipis krim steroid pada permukaan kulit.

Selain itu, ibu bapa juga boleh menggunakan emolien (pelembap) dimana ibubapa dinasihatkan untuk menggunakan emolien dahulu dan diikuti dengan krim steroid setelah 10-15 minit.

12. Apakah terdapat kesan penggunaan steroid pada jangka masa panjang? Selain steroid, apakah jenis ubat lain yang sesuai untuk diberikan pada bayi/kanak-kanak dengan masalah ekzema?

Tempoh rawatan jangka pendek steroid topikal (kurang daripada empat minggu) adalah selamat dan tidak menyebabkan masalah.

Kesan sampingan mungkin berlaku jika steroid topikal digunakan untuk tempoh yang lama, atau steroid kuat digunakan berulang kali. Perhatian perlu diberi jika steroid yang kuat digunakan untuk jangka panjang. 

Salah satu kesan sampingan yang biasa adalah penipisan kulit. Biasanya, penipisan kulit dapat dikurangkan apabila steroid topikal dihentikan.

Penggunaan steroid topikal untuk jangka panjang boleh menyebabkan ‘striae’ kekal (seperti ‘stretch mark’), lebam, perubahan warna, atau penipisan saluran darah (telangiectasia) dan mencetuskan masalah kulit yang lain seperti jerawat.

Ia juga boleh memberi kesan kepada pertumbuhan kanak-kanak. Oleh itu, pertumbuhan kanak-kanak yang memerlukan steroid topikal kuat yang berulang harus dipantau.

13. Boleh Ms kongsikan tips pembelian ubat mahupun suplemen tambahan di Farmasi atau secara dalam talian dengan ibu bapa yang lain?  

Yang penting, ibu bapa harus tahu keperluan ubatan atau suplemen yang ingin dibeli dan fungsi setiap satunya—jangan simply ikut trend atau nasihat orang.

Sebelum membeli, pastikan anda tanyakan kepada Ahli Farmasi tersebut dan faham cara pengambilan ubat dengan betul kerana setiap ubat mempunyai cara pemakanan yang berbeza dari sudut waktu pengambilan (sebelum atau selepas makan), kekerapan, dos, dan lain-lain. 

Bagi ubat yang perlu diberikan dengan menggunakan alatan seperti inhaler, mak ayah harus memastikan mereka tahu teknik penggunaan yang betul untuk memastikan keberkesanan ubat pada tahap maksima dan mengelakkan penyalahgunaan ubat tersebut.

Seterusnya, pastikan ubat tersebut berdaftar dengan KMM (No. MAL diakhiri dengan X, T atau N sahaja) dan ada hologram Farmatag. Ibu bapa boleh membuat semakan pendaftaran ubat di www.npra.gov.my atau menggunakan aplikasi “NPRA Product Status” dan semak ketulenan hologram dengan menggunakan aplikasi FarmaChecker.

Semoga dengan perkongsian daripada Ms Aina Amanina, dapat membantu Mommy untuk lebih alert tentang ubat-ubatan dan suplemen terutama kepada bayi dan kanak-kanak.


Ikuti perkongsian pakar yang lain dengan edisi topik yang lebih menarik, di SINI.