Apabila kita menerima berita kematian seseorang, sebaiknya kita terus menzahirkan rasa sedih dan dukacita kita atas berita tersebut.
Tidak kiralah dapat hadir ke majlis pengebumian atau sekadar menghantar pesanan ringkas melalui telefon, ucapkanlah pengertian rasa kita sebagai tanda menghormati si mati dan mengurangkan beban di hati-hati yang menanggung pemergiannya.
20 Ucapan Takziah Kematian
Bahkan dalam agama Islam itu sendiri, ia merupakan satu sunat berdasarkan hadis berikut:
مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يُعَزِّي أَخَاهُ بِمُصِيبَةٍ إِلاَّ كَسَاهُ اللَّهُ سُبْحَانَهُ مِنْ حُلَلِ الْكَرَامَةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Tidak ada seorang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya disebabkan suatu musibah melainkan Allah S.W.T akan memakaikannya dengan pakaian kemuliaan pada hari kiamat kelak.
Jadi berilah ucapan takziah yang baik-baik:
#1.
Semoga Allah membesarkan pahalamu, dan semoga Allah menghiburkanmu, dan semoga Allah mengampuni jenazah (keluarga) mu.
#2.
Bahawasanya kepunyaan Allahlah semua yang Dia ambil dan apa yang Dia beri, dan segala sesuatu di sisiNya telah ditentukan tempoh waktunya. Bersabarlah, semoga dikurniakan pahala dariNya buatmu.
#3.
Bersabarlah dan berharaplah kepada pahala dariNya, hak Allah untuk mengambil dan hak Allah untuk membiarkan. Segala sesuatu di sisiNya ada batas ajalnya.
#4.
Sabarlah, semoga Allah S.W.T. memberikan kamu pahala yang besar dan ganti yang lebih baik.
#5.
Sesungguhnya bagi Allah S.W.T. apa yang Dia ambil dan milikNya jualah apa yang Dia berikan. Kesemuanya terdapat ajal (tempoh masa) yang tertentu di sisiNya. Maka bersabarlah nescaya kamu akan mendapat ganjaran.
#6.
Innalillahi wa inna ilahi rojiun. Semoga Allah ampunkan segala dosa arwah, menerima segala amalan beliau dan mengangkat darjatnya di sisi Allah. Semoga pemergian beliau menjadi kerehatan sebenar dari urusan dunia, dilindungi dari seksa kubur dan semoga roh arwah ditempatkan dikalangan para solihin. Aamiin.
#7.
Innalillahi wa inna ilahi rojiun. Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya. Semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
#8.
Innalillahi wa inna ilahi rojiun. Salam takziah buat semua yang terlibat. Semoga tabah dan sabar dalam menghadapi ujian.
#9.
Salam takziah daripada kami sekeluarga. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan semoga seluruh ahli keluarga tabah menghadapi dugaan Allah. DaripadaNya kita hidup dan kepadaNya kita kembali.
#10.
Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Salam takziah diucapkan di atas pemergian (nama si mati) yang kembali ke rahmatullah pada (waktu kematian) tadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman di sisi Allah S.W.T..
#11.
Salam takziah juga buat keluarga arwah. Semoga Allah merahmati rohnya, memuliakan kematiannya, mengampuni segala kesalahannya, menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan menempatkan arwah di kalangan orang-orang yang beriman. Amin ya rabbal ‘alamin.
#12.
Ya Allah, ampunilah dia, berilah rahmat, sejahtera dan maafkanlah dia dan jadikanlah syurga sebagai tempat beristirehatnya.
#13.
Takziah buat (nama waris) seisi keluarga. Semoga dikurniakan ketabahan dan dipermudahkan segala urusan. Allahumma aamiin.
#14.
Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Takziah diucapkan buat pemergian ibunda tercinta. Semoga Allah S.W.T. melihatnya dengan penuh kasih dan sayangNya.
#15.
Kami turut bersimpati di atas pemergian sahabat yang dicintai. Didoakan semoga arwah ditempatkan di tempat yang terbaik di sisiNya dan seluruh ahli keluarga arwah dikurniakan kesabaran dan ketabahan di atas ujian ini.
#16.
Salam takziah diucapkan buat keluarga (nama arwah). Walaupun ujian ini begitu pahit dirasakan, semoga kita semua yakin dengan janjiNya buat hambaNya yang soleh dan solehah. InsyaAllah, syurga buat arwah.
#17.
Salam takziah di atas pemergian saudara perempuan kalian. Hanya kepada Allah jualah kita akan kembali, sebagaimana datangnya kita daripadaNya.
#18.
Salam takziah di atas pemergian saudara lelaki kalian. Semoga Allah mengurniakannya rahmat dan kasih sayangNya, seperti yang dikurniakanNya buat hamba-hambaNya yang soleh.
#19.
Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Hati ini turut bersimpati dengan pemergian putera kesayangan kalian. Bersabar dan yakinlah dengan janji Tuhan. Semoga arwah ditempatkan bersama hambaNya yang beriman.
#20.
Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Salam takziah di atas pemergian ayahanda tercinta. Semoga perginya arwah adalah sebagai sebuah kerehatan dari dunia ini dan dikurniakan buatnya, syurga tertinggi yang paling indah.
Ucapan Takziah Kematian
Semoga koleksi ucapan takziah kematian ini menjadi doa yang menyejukkan hati dan melegakan jiwa buat keluarga dan waris arwah. InsyaAllah.. Boleh rujuk artikel ini untuk belajar mengenai doa tahlil untuk arwah.
Sumber: The Rohani dan 1001 Ucapan