Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Ujian Psikiatri Dan Siapa Yang Perlu Mengambilnya

Sumber: Adobe Stock

Sama ada anda ingin tahu lebih lanjut tentang terapi psikiatri atau bimbang tentang kesihatan mental seseorang yang rapat, salah satu perkara pertama yang boleh dilakukan ialah dengan mengambil ujian psikiatri.

Ia mungkin bunyi menggerunkan, tetapi sebenarnya ujian psikiatri tidak merangkumi apa-apa prosedur yang menakutkan atau boleh menimbulkan keresahan dan kecemasan.

Apa Itu Ujian Psikiatri?

Ujian psikiatri ialah kaedah mudah bagi doktor pakar psikiatri, doktor psikologi, atau pakar terapi lain untuk memahami apa yang anda sedang lalui.

Menurut kajian, sebanyak 20 peratus orang dewasa dan 20 peratus lagi kanak-kanak akan mengalami gangguan kesihatan mental yang dapat didiagnosis. Gangguan ini mungkin termasuk kemurungan, kegelisahan, psikosis, gangguan pemakanan, penyalahgunaan dadah, dan macam-macam lagi gangguan kesihatan mental lain.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Sebilangan besar gangguan kesihatan mental ini boleh didiagnos dan dirawat dengan bantuan doktor pakar psikiatri. Rawatan ini sering dimulakan dengan penilaian atau ujian psikiatri.

Ujian psikiatri boleh merangkumi salah satu atau gabungan beberapa ujian seperti ujian personaliti, ujian stress, depression test atau ujian kemurungan, dan macam-macam lagi yang bersesuaian dengan keadaan gangguan kesihatan mental yang mungkin dialami.

Apa Yang Akan Berlaku Ketika ‘Mengambil’ Ujian Psikiatri?

Anda boleh menganggap ujian psikiatri sebagai ‘pra-terapi’. Semasa penilaian atau ujian psikiatri, doktor anda akan duduk dan bertanyakan dengan anda mengenai apa yang anda bimbangi, apa gejala yang sedang anda lalui, dan kesihatan mental dan fizikal anda secara keselurahn.

Menjawab soalan-soalan ini dengan sejujur yang mungkin dapat membantu doktor anda memahami keadaan yang anda sedang alami dengan lebih baik dan apa yang diperlukan untuk membaikpulihkan kesihatan mental anda.

Ujian psikiatri juga dapat membantu doktor anda menentukan kemungkinan penyebab gangguan kesihatan mental yang anda sedang alami dan rawatan terbaik yang boleh diberikan.

Beberapa perkara yang anda boleh jangkakan ketika membuat ujian psikiatri adalah seperti:

  • soalan-soalan khusus berdasarkan sejarah perubatan anda
  • mengisi borang selidik tentang sejarah perubatan keluarga anda, kesihatan mental dan fizikal, dan gaya hidup anda
  • mengambil ujian kognitif seperti ujian memori untuk membantu menentukan punca gangguan kesihatan mental
  • perancangan rawatan dan perubatan

Siapa Yang Perlu Mendapatkan Ujian Psikiatri?

Setiap orang pada waktu yang berbeza-beza pasti akan mengalami tekanan, kesedihan, perubahan mood, dan jenis tekanan emosi lain-lain walaupun pada kadar yang normal dan tidak terlalu serius.

Contohnya seperti kesedihan dari kematian ahli keluarga terdekat atau kemurungan dari kehilangan pekerjaan yang boleh membuatkan seseorang berasa negatif buat sementara waktu sahaja, tetapi tidak berkekalan.

Walaupun masih disarankan untuk berjumpa dengan pakar terapi untuk membantu anda menguruskan gangguan kesihatan mental yang hanya berlaku sementara waktu, jika anda berasa anda mengalami gangguan kesihatan mental yang abnormal, anda perlu berjumpa dengan doktor pakar psikiatri dengan segera.

Tanda-tanda Individu Yang Perlu Mendapatkan Ujian Psikiatri

Anda disarankan untuk membuat ujian psikiatri jika mengalami mana-mana keadaan seperti berikut:

  • Perasaan kemurungan, kesedihan, mudah marah, atau putus asa yang berterusan
  • Ketakutan, kebimbangan, atau kegelisahan yang berlebihan
  • Susah untuk menyelesaikan tugas harian, kerja, atau tugasan sekolah
  • Mood atau perubahan mood yang keterlampauan
  • Pemikiran, khayalan, atau halusinasi yang mengelirukan
Sumber: Getty Images
  • Tidak mahu bersosial atau sering mengundurkan diri dari perhatian orang
  • Kesukaran untuk tidur atau insomnia
  • Peningkatan atau penurunan berat badan yang mendadak
  • Perasaan marah atau rasa bersalah yang ekstrem
  • Rasa ingin bunuh diri
  • Menyalahgunakan dadah atau alkohol
  • Pemberontakan, ponteng sekolah, atau vandalisme oleh kanak-kanak atau remaja

Membuat penilaian melalui ujian psikiatri dapat membantu anda atau orang yang disayangi menentukan jika anda atau orang tersebut sedang mengalami masalah mental yang memerlukan rawatan.

Anda tidak perlu berasa takut atau malu untuk berjumpa dengan doktor pakar psikiatri untuk membuat penilaian kesihatan mental anda. Sebaliknya, lebih cepat anda mendapatkan penilaian dan rawatan, lebih tinggi kebarangkalian untuk gejala atau simptom gangguan kesihatan mental anda untuk hilang atau dibaikpulih.

Cara-Cara Untuk Mendapatkan Ujian Psikiatri

Anda boleh membuat Saringan Sihat Minda atau lebih dikenali sebagai DASS (Depression, Anxiety, and Stress Screening) kendiri secara atas talian atau fizikal. Ia adalah panduan untuk mengenalpasti simptom dan sebagai indikator awal sama ada anda perlukan rawatan kesihatan mental atau tidak.

DASS merupakan saringan asas untuk melihat gejala kesihatan mental invididu tanpa konsultasi profesional seperti doktor pakar psikiatri atau doktor psikologi.

Sumber: Getty Images

Ujian DASS boleh dilakukan secara atas talian di dalam keselesaan kediaman anda sendiri dan keputusan ujian boleh dibawa ke klinik kesihatan berdekatan. Doktor atau pakar perubatan di klinik kesihatan tersebut kemudian boleh merujuk anda ke mana-mana hospital yang mempunyai khidmat psikiatri.

Contoh borang ujian saringan boleh di dapati di sini atau di sini.

Ujian Saringan Minda Sihat (Online/Atas Talian)

Untuk DASS di atas talian, anda perlu menandakan pada skala yang disediakan berkaitan dengan keadaan yang anda sedang alami sejak dua minggu yang lalu.

Jawab semua soalan dengan memilih satu jawapan (tidak pernah / jarang / kerap / sangat kerap) mengikut kesesuaian dan bertepatan dengan situasi diri anda.

Jangan risau kerana tiada jawapan yang betul atau salah. Ia adalah ujian dengan jawapan yang unik kepada anda sahaja.

Ujian Saringan Minda Sihat (Manual)

Anda juga boleh memuat turun ujian saringan DASS versi PDF di sini. Tunjukkan keputusan ujian kepada pegawai perubatan di klinik kesihatan.

Cara lain yang anda boleh dapatkan untuk membuat ujian psikiatri ialah dengan cara berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan dan mereka boleh membantu anda melakukan saringan DASS atau merujuk anda ke hospital psikiatri berdekatan untuk membuat ujian psikiatri yang lebih teliti.

Selain itu, anda boleh juga pertimbangkan untuk membuat ujian saringan atau penilaian psikiatri di klinik psikiatri swasta mengikut kemampuan.

Sumber: Public Health Malaysia

Kesihatan mental dan emosi anda adalah sama pentingnya seperti kesihatan fizikal atau tubuh badan anda. Ia tidak boleh diabaikan untuk mengelakkan gejala-gejala gangguan kesihatan mental daripada menjadi lebih teruk.

Ambillah langkah pertama ini dengan membuat ujian psikiatri untuk ketenangan anda sendiri dan juga ahli keluarga atau rakan-rakan yang mungkin bimbang dengan keadaan anda.

Semoga bermanfaat.