Vaksin Hepatitis B ialah salah satu vaksin utama dalam keperluan imunisasi bayi yang baru lahir di Malaysia. Vaksin ini amat penting bagi memastikan bayi dilindungi daripada jangkitan Hepatitis B, yang boleh merosakkan hati dan membawa kepada sirosis serta risiko kanser hati.
Kepentingan Vaksin Hepatitis B untuk Bayi Baru Lahir
Highlighted
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, vaksin hepatitis B adalah vaksin wajib untuk setiap bayi yang lahir di Malaysia.
Ia diberikan dalam masa 24 jam selepas kelahiran untuk melindungi bayi daripada virus Hepatitis B yang boleh menyebabkan kerosakan hati serius dan sirosis.
Vaksin ini juga digelar sebagai “vaksin anti-kanser” kerana ia mampu menghalang kanser hati, yang boleh berlaku dalam 25% kes jangkitan Hepatitis kronik.
Proses Pemberian Vaksin Hepatitis B
Mengikut panduan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), suntikan vaksin Hepatitis B perlu dilakukan dalam tahun pertama kehidupan bayi, dengan tiga dos suntikan:
- Dos yang pertama diiberikan dalam masa 24 jam selepas kelahiran.
- Dos yang kedua pula diberikan satu hingga dua bulan selepas suntikan dos pertama.
- Dos ketiga akan diberikan antara usia 6 bulan hingga 18 bulan.
Untuk Mommy yang positif Hepatitis B (HBV), bayi akan diberikan vaksin dalam masa 12 jam selepas kelahiran untuk mengurangkan risiko jangkitan.
Vaksin yang digunakan biasanya adalah vaksin Hepatitis B Immune Globulin (HBIG), yang membantu meningkatkan imuniti bayi terhadap jangkitan.
Apa Itu Hepatitis B?
Hepatitis B adalah antara punca utama kanser hati di Malaysia.
Virus Hepatitis B (HBV) mudah disebarkan melalui cecair badan seperti darah dan air mani.
Bayi adalah kumpulan yang paling berisiko kerana virus ini boleh disebarkan daripada Mommy kepada bayi semasa proses bersalin, sama ada secara semula jadi atau melalui pembedahan C-section.
Simptom-Simptom
Menurut Healthline, simptom Hepatitis B mungkin muncul antara 25 hingga 180 hari selepas dijangkiti, termasuk:
- Demam
- Kepenatan
- Hilang selera makan
- Loya
- Muntah-muntah
- Sakit perut
- Air kencing berwarna gelap
- Najis berwarna tanah liat
Bayi yang lahir daripada Mommy yang positif HBV mempunyai lebih 90% peluang untuk menghidap hepatitis B kronik jika tidak dirawat dengan betul semasa mereka lahir.
Oleh sebab itu, amat penting bagi Mommy untuk menjalani ujian hepatitis B secepat mungkin supaya doktor boleh mengambil langkah berjaga-jaga semasa bersalin dan mengurangkan kemungkinan jangkitan pada bayi Mommy.
Kesan Jangka Panjang dan Ketiadaan Ubat untuk Hepatitis B
Hepatitis B tidak boleh disembuhkan walaupun seseorang itu tidak menunjukkan gejala.
Penghidap Hepatitis B boleh menjalani kehidupan yang normal dan sihat dengan rawatan yang betul, tetapi virus itu akan kekal dalam darah mereka.
Oleh itu, mereka tetap berisiko untuk menyebarkan virus tersebut kepada orang lain.
Untuk makluman Mommy juga, dianggarkan kira-kira 1 juta orang hidup dengan jangkitan Hepatitis B secara kronik di Malaysia.
Penyakit ini boleh dikawal dan dicegah dengan pengambilan vaksin yang mencukupi dan mengikut jadual yang disarankan.
Pencegahan Awal adalah Kunci
Vaksin Hepatitis B adalah satu langkah pencegahan penting dan berkesan terhadap penyakit yang boleh membawa kesan serius.
Mommy yang positif Hepatitis B boleh memberi bayi mereka peluang untuk hidup tanpa risiko jangkitan jika langkah berjaga-jaga diambil dengan baik.
Meskipun Hepatitis B dapat dikawal, menjaga kesihatan dan keselamatan orang tersayang adalah tanggungjawab setiap Mommy.
Pastikan anak-anak Mommy divaksin pada waktu yang ditetapkan.
Vaksin ini bukan sahaja melindungi mereka daripada Hepatitis B, tetapi juga memberi perlindungan jangka panjang dan membantu mengelakkan penyakit yang boleh mengancam nyawa.
Sentiasa ingat Mommy! Pencegahan awal adalah langkah terbaik untuk memastikan masa depan yang lebih sihat bagi anak-anak.
Dapatkan vaksin Hepatitis B untuk bayi Mommy dan lindungi mereka untuk kehidupan yang bebas daripada risiko hepatitis B.
Rujukan:
- Centers for Disease Control and Prevention. (2021, October 12). Hepatitis B – faqs, Statistics, data, & guidelines. Centers for Disease Control and Prevention. Retrieved November 29, 2022, from https://www.cdc.gov/hepatitis/hbv/index.htm
- Kahn, A. (2022, June 29). Hepatitis B: Risk factors, symptoms & diagnosis. Healthline. Retrieved November 29, 2022, from https://www.healthline.com/health/hepatitis-b
- National Strategic Plan For Hepatitis B And C 2019 – 2023. Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia. (n.d.). Retrieved November 29, 2022, from https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Pelan%20Strategik%20/NSP_Hep_BC_2019_2023.pdf
- Malaysian family physicians – review articles: Hepatitis B infection. (n.d.). Retrieved November 29, 2022, from https://www.e-mfp.org/old/v1n1/hepatitis_B_infection-printcopy.htm
Penafian : Maklumat yang diberikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan profesional penjagaan kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.
Jom Mommy! Tambah ilmu untuk kesihatan anak yang sedang membesar dengan rujuk panduan di SINI!