Vaksin pneumokokal kini adalah antara vaksin wajib bagi bayi di Malaysia yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Vaksin ini memberikan perlindungan terhadap pelbagai jenis bakteria yang menyebabkan penyakit serius yang boleh membahayakan nyawa, seperti radang paru-paru dan meningitis.
Ikuti panduan penting ini, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai vaksinasi pneumokokal, jenis-jenis vaksin yang ada, jadual dos, serta kepentingannya kepada anak-anak Mommy dalam mencegah jangkitan berbahaya.
Apa Itu Vaksin Pneumokokal?
Highlighted
Vaksin pneumokokal adalah vaksin yang melindungi daripada jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae, penyebab pelbagai penyakit serius.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), terdapat dua jenis vaksin pneumokokal: vaksin polisakarida pneumokokus dan vaksin konjugat pneumokokus.
Bayi biasanya diberikan vaksin jenis konjugat kerana ia lebih berkesan dalam memberikan imuniti jangka panjang.
Jadual Pemberian Vaksin Pneumokokal
Untuk memastikan perlindungan menyeluruh, Mommy perlu mengikuti jadual dos vaksin pneumokokal yang disarankan, iaitu sebanyak tiga hingga empat dos dalam tempoh setahun:
- Dos Pertama dan Kedua: Pada umur 4 bulan.
- Dos Ketiga: Pada umur 6 bulan.
- Dos Penggalak: Pada umur 15 bulan.
Mengikuti jadual ini dapat membantu menguatkan sistem imun bayi dan mencegah risiko jangkitan yang mungkin terjadi.
Jenis Vaksin yang Terdapat di Malaysia
Polysaccharide vaccine (PPV)
- Pneumovax 23 – Merck Sharp & Dohme (M) Sdn Bhd/Merck Sharp & Dohme, US.
Conjugate vaccine (PCV)
- Prevenar 13 (PCV13) – Pfizer (M) Sdn Bhd/Pfizer, Ireland.
- Synflorix – GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd/GlaxoSmithKline, Belgium.
Pengenalan Vaksin Pneumokokal yang Terbaru
Vaksin konjugat pneumokokal terbaru, Vaxneuvance, dari Merck Sharp & Dohme (MSD) kini tersedia di Malaysia.
Vaksin 15-valent ini memberikan perlindungan tambahan kepada Mommy dan anak-anak terhadap penyakit pneumokokal invasif, termasuk dua serotaip tambahan, iaitu serotaip 22F dan 33F.
Vaksin ini disetujui oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) pada Disember lalu untuk digunakan bagi bayi, kanak-kanak, dan remaja berusia enam minggu hingga kurang daripada 18 tahun, serta individu berumur 18 tahun ke atas.
Vaxneuvance pertama kali mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS pada Julai 2021 bagi orang dewasa, dan pada Jun 2022 bagi kanak-kanak berumur 6 minggu hingga 17 tahun.
Vaxneuvance dirumuskan dengan memperluaskan liputan dan meningkatkan imunogenisiti untuk serotaip tertentu, seperti serotype-3, yang sangat berkaitan dengan beban penyakit pada populasi dewasa di Malaysia.
Penyakit pneumokokal serotype-3 menyumbang kepada 19.8% kes penyakit pneumokokal invasif dan 11.11% kes penyakit pneumokokal bukan invasif di kalangan dewasa.
Kesan Sampingan Vaksin Pneumokokal
Seperti kebanyakan vaksin, vaksin pneumokokal juga mungkin menyebabkan beberapa kesan sampingan yang ringan.
Mommy mungkin mendapati bayi mengalami sakit, kemerahan, atau bengkak di tempat suntikan serta demam rendah. Kesan sampingan lain termasuk:
- Penurunan selera makan.
- Kerengsaan dan tangisan.
- Mengantuk.
- Tidur yang tidak lena.
Walaupun begitu, Mommy jangan terlalu risau,kerana kesan sampingan ini adalah sementara dan biasanya hilang dalam masa beberapa hari.
Jika Mommy bimbang atau mendapati kesan sampingan yang berpanjangan, adalah penting untuk berunding dengan pakar pediatrik.
Penyakit yang Dicegah oleh Vaksin Pneumokokal
Jangkitan pneumokokal boleh menyebabkan pelbagai penyakit yang serius.
Berikut adalah beberapa jenis penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin pneumokokal, menurut CDC:
- Pneumonia: Radang paru-paru yang menjejaskan fungsi pernafasan.
- Meningitis: Keradangan membran di sekitar otak dan saraf tunjang yang boleh menyebabkan kecacatan kekal.
- Sepsis: Jangkitan dalam darah yang boleh mengancam nyawa.
- Sinusitis: Jangkitan pada sinus.
- Otitis Media: Jangkitan pada telinga tengah yang boleh mengganggu pendengaran.
Jangkitan pneumokokal lebih kerap menyerang kanak-kanak kecil dan warga emas (terutama mereka yang berumur 65 tahun ke atas).
Bayi sangat terdedah kepada risiko jangkitan ini kerana sistem imun mereka yang masih dalam perkembangan.
Penyakit-penyakit ini bukan sahaja boleh menyebabkan kemasukan ke hospital, malah boleh membawa kepada komplikasi serius seperti kehilangan pendengaran, kerosakan otak, atau hilang upaya yang kekal.
Kepentingan Vaksin Pneumokokal untuk Bayi
Penyakit pneumokokal boleh menyebabkan jangkitan serius seperti otitis media akut (jangkitan telinga tengah), radang paru-paru, bakteremia, dan meningitis.
Di Malaysia, radang paru-paru sangat lazim dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun, dengan kadar kelaziman antara 28% hingga 39%.
Data terbaru dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan radang paru-paru adalah punca kematian kedua tertinggi, meliputi 13.3% daripada jumlah kematian dalam semua kumpulan umur, dan menjadi punca utama kematian dalam kalangan kanak-kanak bawah 14 tahun.
Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa Pneumonia membunuh seramai 740,180 kanak-kanak di bawah umur 5 tahun pada tahun 2019, merangkumi 14% daripada semua kematian kanak-kanak di bawah lima tahun dan 22% daripada kematian kanak-kanak berumur antara satu hingga lima tahun.
Angka ini menunjukkan betapa seriusnya jangkitan pneumokokal dan keperluan mendesak untuk Mommy memastikan bayi menerima vaksin ini.
Peranan Vaksinasi dalam Program Imunisasi Kebangsaan
Vaksinasi pneumokokus dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) untuk kanak-kanak sejak Januari 2020.
Ini bermakna, kanak-kanak yang lahir pada tahun 2018 dan 2019 kini boleh mendapatkan vaksin ini secara percuma di semua klinik kerajaan.
Mommy juga boleh mendapatkannya di klinik swasta dengan bayaran yang berpatutan.
Menurut pakar pediatrik Prof. Dr. Zulkifli Ismail, imunisasi ini bukan sahaja melindungi anak-anak tetapi juga memberi kesan tidak langsung kepada golongan lebih tua seperti datuk dan nenek.
Apabila kanak-kanak divaksin, risiko mereka menyebarkan penyakit ini berkurang, memberikan lapisan perlindungan tambahan kepada keluarga mereka.
Lindungi Anak Anda dengan Vaksinasi
Vaksin pneumokokal adalah langkah terbaik untuk memberi perlindungan menyeluruh kepada bayi daripada jangkitan serius.
Dengan pemberian vaksin ini, Mommy bukan sahaja melindungi kesihatan anak-anak, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
Jadi, kepada semua Mommy, pastikan anak anda divaksin pneumokokal mengikut jadual yang ditetapkan. Kesihatan dan kesejahteraan anak-anak adalah keutamaan Mommy.
Rujukan:
- GalenCentre, CodeBlue, MSD’s Vaxneuvance 15-Valent Pneumococcal Vaccine Now Available In Malaysia, (2024, May 22), from https://codeblue.galencentre.org/2024/05/msds-vaxneuvance-15-valent-pneumococcal-vaccine-now-available-in-malaysia/
- Guidelines for adult Immunisation, Pneumococcal – Malaysian Society of Infectious Diseases & Chemotherapy, (2023, November), Available Vaccines Pneumococcal, from https://adultimmunisation.msidc.my/pneumococcal/
- Centers for Disease Control and Prevention. (2022, January 13). Pneumococcal disease. Centers for Disease Control and Prevention. Retrieved November 25, 2022, from https://www.cdc.gov/pneumococcal/index.html#:~:text=Pneumococcal%20%5Bnoo%2Dmuh%2DKOK,to%20help%20prevent%20pneumococcal%20disease.
- Centers for Disease Control and Prevention. (2022, January 24). Pneumococcal vaccination. Centers for Disease Control and Prevention. Retrieved November 25, 2022, from https://www.cdc.gov/vaccines/vpd/pneumo/index.html
- Ezamie, E. (2019, March 21). Pneumococcal vaccine. PORTAL MyHEALTH. Retrieved November 25, 2022, from http://www.myhealth.gov.my/en/pneumococcal-vaccine/
- World Health Organization. (n.d.). Pneumonia in children. World Health Organization. Retrieved November 25, 2022, from https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/pneumonia
Penafian : Maklumat yang diberikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan profesional penjagaan kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.
Jom Mommy! Tambah ilmu untuk kesihatan anak yang sedang membesar dengan rujuk panduan di SINI!