Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kepentingan Vitamin C Untuk Ibu Mengandung + Senarai Buahan & Sayuran Yang Kaya dengan Vitamin Ini

Sumber: jovee.id

Vitamin C adalah penting untuk ibu mengandung dan juga untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam kandungan.

Wanita yang hamil memerlukan lebih banyak vitamin C berbanding wanita yang tidak hamil. Selepas bersalin, kalau Mommy menyusukan anak, lagilah Mommy perlukan vitamin C yang lebih tinggi.

Vitamin C, atau juga dikenali sebagai L-ascorbic acid adalah vitamin larut air dan antioksidan kuat yang penting sama ada anda hamil atau tidak.

Walaupun ia adalah booster imuniti yang terbaik, vitamin C juga memainkan peranan penting dalam perkembangan bayi dan dapat mengurangkan risiko menghidap penyakit kardiovaskular dan barah tertentu.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Berapa Banyak Vitamin C Yang Diperlukan Oleh Ibu Mengandung?

Seperti yang disebut tadi, ibu yang mengandung memerlukan lebih banyak vitamin C. Berikut adalah senarai perbandingan antara kuantiti yang diperlukan oleh wanita dalam beberapa kategori:

  • Wanita hamil berumur 18 tahun ke bawah: 80 miligram (mg) sehari
  • Wanita hamil berumur 19 tahun ke atas: 85 mg sehari
  • Ibu menyusu berumur 18 tahun ke bawah: 115 mg sehari
  • Ibu menyusu berumur 19 tahun ke atas: 120 mg sehari
  • Wanita yang tidak hamil berumur 18 tahun ke bawah: 65 mg sehari
  • Wanita yang tidak hamil berumur 19 tahun ke atas: 75 mg sehari

(Sumber: The American College of Obstreticians and Gynecologists)

Berdasarkan perkongsian di atas, terbukti bahawa ibu mengandung memerlukan lebih vitamin C berbanding daripada wanita yang tidak mengandung, manakala ibu menyusu pula memerlukan 40% jauh lebih banyak daripada ibu mengandung!

Sumber: Getty Images

Jika Mommy sedang mengandung dan bercadang untuk menyusu badan kepada bayi, pastikan pengambilan vitamin C yang mencukupi bermula dari sekarang dan perlu ditambah selepas bayi dilahirkan.

Kebaikan Vitamin C Untuk Ibu Mengandung

Semua nutrisi, zat, mineral, dan vitamin mempunyai kebaikannya tersendiri. Jadi apakah kebaikan dan kepentingan vitamin C?

1. Badan Mommy menggunakan vitamin C untuk menghasilkan kolagen, iaitu struktur protein yang merupakan komponen tulang rawan, tendon, tulang, dan kulit.

Fungsi penting ini juga diperlukan oleh bayi dalam kandungan. Tambahan pula, kalau tak mahu kulit menua dengan cepat, pastikan Ibu mendapat vitamin C yang mencukupi.

2. Vitamin C penting untuk sistem imun yang sihat, dan juga sebagai perlindungan terhadap kekurangan sistem imun, penyakit kardiovaskular, masalah kesihatan pranatal, dan penyakit mata.

Sistem imun yang sihat amat penting ketika Ibu mengandung kerana macam-macam masalah boleh dihadapi bukan sahaja terhadap Ibu, tetapi juga bayi dalam kandungan jika tidak mendapat vitamin C yang cukup.

Sumber: Getty Images

3. Untuk mengelakkan stres, Ibu perlu meningkatkan tahap pengambilan vitamin C. Kekurangan vitamin C dikaitkan dengan banyak penyakit yang berkaitan dengan tekanan.

Vitamin C adalah nutrien pertama yang akan dihabiskan atau digunakan oleh individu yang minum alkohol, menghisap rokok, atau individu obese.

Disebabkan vitamin C adalah salah satu nutrien yang sensitif terhadap tekanan, tahap kekurangan vitamin C dapat menjadi penanda ideal untuk kesihatan keseluruhan.

4. Vitamin C sangat penting untuk pembaikan tisu, penyembuhan luka, pertumbuhan dan pembaikan tulang, dan kulit yang sihat.

Ia bukan sahaja baik untuk Ibu jika memerlukan vitamin C untuk alasan-alasan tersebut, tapi ia juga diperlukan oleh bayi dalam kandungan untuk pertumbuhan tulang dan kulit bayi.

Jika kekurangan vitamin C, bayi yang dilahirkan mungkin senang mendapat masalah kulit seperti ekzema.

5. Vitamin C membantu tubuh badan Ibu melawan jangkitan dan bertindak sebagai antioksidan dan melindungi sel dari kerosakan.

Contohnya penyakit selesema, vitamin C tidak dapat menyembuh penyakit tersebut secara langsung, tetapi ia dapat bantu mencegah komplikasi yang lebih serius seperti radang paru-paru atau jangkitan paru-paru.

6. Vitamin C membantu tubuh badan Ibu menyerap zat besi, terutamanya dari sumber sayur-sayuran.

Jadi jika Ibu gemar memakan makanan yang kaya dengan zat besi seperti ayam dan ikan, jika Ibu tidak mengambil vitamin C juga, zat besi tersebut tidak dapat diserap oleh badan dengan sempurna.

Pengambilan Vitamin C Daripada Buah-Buahan Dan Sayur-Sayuran

Tubuh badan manusia tidak dapat menyimpan vitamin C, jadi Ibu memerlukan bekalan segar dari makanan anda setiap hari.

Disebabkan ia adalah mudah untuk mendapatkan vitamin C yang mencukupi dari diet dan vitamin pranatal, Ibu mungkin tidak perlu mengambil suplemen vitamin C tambahan lagi.

Sumber: Getty Images

Sebaliknya, lebih baik jika Ibu fokus dalam pengambilan makanan-makanan seperti berikut yang bukan sahaja kaya dengan vitamin C, tapi juga secara umumnya amat berkhasiat dan perlu diambil walaupun mengandung atau tidak.

Bila bercerita tentang vitamin C, tentu ramai yang fikir buah oren sahaja. Sebenarnya, banyak lagi jenis makanan dan sayuran lain yang kaya dengan vitamin C, malah ada yang lebih banyak kandungan vitamin C dari buah oren!

Berikut adalah beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran berserta kandungan vitamin C yang dikandunginya.

  • Laici: 135 mg setiap cawan
  • Guava: 125mg setiap biji
  • Mangga: 122 setiap biji
  • Lada merah (capsicum): 95 mg setiap ½ cawan
  • Jus oren: 93 mg setiap cawan
  • Strawberi: 84 mg setiap cawan
  • Nenas: 79 mg setiap cawan
  • Buah grapefruit: 78 mg setiap biji
  • Buah oren: 70 mg setiap biji
  • Jus grapefruit: 70 mg setiap cawan
  • Buah Kiwi: 64 mg setiap biji
  • Lada hijau: 60 mg setiap ½ cawan
  • Kubis bunga: 52 mg setiap cawan
  • Brokoli: 51 mg setiap cawan
  • Brussels sprout: 48 mg setiap cawan
  • Lemon: 45 mg setiap biji
  • Kubis: 33 mg setiap cawan
  • Avocado: 20 mg setiap biji
  • Zukini: 20 mg setiap cawan
  • Kacang panjang: 16 mg setiap cawan
  • Tomato: 12.5 mg setiap biji
  • Pisang: 10 mg setiap biji (pisang bersaiz sederhana)

(Sumber: U.S. Department of Agriculture)

Pengetahuan tentang jumlah vitamin C yang dikandungi oleh makanan seperti di atas adalah penting untuk Ibu mengandung dan juga siapa-siapa sahaja kerana Ibu tentu tidak mahu mengambil vitamin C yang berlebihan.

Ini kerana vitamin C yang berlebihan boleh membuatkan Ibu sakit perut.

Tanda-tanda Kekurangan Vitamin C Semasa Mengandung

Kalau berlebihan vitamin C boleh memudaratkan, bagaimana pula jika Ibu kekurangan vitamin yang penting ini?

Menurut laporan baru-baru ini, antara 10 dan 20% orang dewasa di kebanyakan negara maju tidak mendapat cukup vitamin C, jadi wanita hamil harus memastikan mereka mendapat vitamin ini dengan mencukupi.

Tanda-tanda kekurang vitamin C adalah seperti:

1. Kulit Kering Dan Kasar

Sumber: Adobe Stock

Untuk penghasilan kolagen yang didapati dalam tisu penghubung seperti kulit, vitamin C memainkan peranan yang sangat penting.

Jadi apabila tahap vitamin C rendah, keadaan kulit pun akan merosot dan boleh menyebabkan keratosis pilaris di mana keadaan kulit menggerutu dan kasar kerana pengumpulan protein keratin di dalam pori-pori.

Keratosis pilaris yang disebabkan oleh kekurangan vitamin C biasanya muncul selepas tiga hingga lima bulan pengambilan yang tidak mencukupi dan sering diatasi dengan suplemen.

Vitamin C juga mengekalkan kesihatan kulit dengan melindunginya daripada kerosakan oksidatif yang disebabkan oleh matahari dan pendedahan kepada bahan pencemar seperti asap rokok atau ozon, jadi kekurangan vitamin ini boleh menyebabkan kulit kering.

2. Kulit Mudah Lebam

Kulit mudah lebam kebiasaannya adalah tanda kekurangan vitamin C kerana pengeluaran kolagen yang lemah boleh menyebabkan saluran darah lemah.

Apabila saluran darah di bawah kulit pecah, ia menyebabkan darah bocor ke kawasan persekitaran, justeru menimbulkan lebam pada kulit.

Lebam yang berkaitan dengan kekurangan vitamin C boleh meliputi mana-mana kawasan besar badan atau kelihatan sebagai titik kecil berwarna ungu di bawah kulit.

3. Penyembuhan Luka Yang Perlahan

Berkaitan dengan kadar pembentukan kolagen seperti yang disebutkan tadi, kekurangan vitamin C juga boleh menyebabkan luka sembuh dengan lebih perlahan.

Untuk ibu mengandung, faktor ini tentulah menjadi tanda kepentingan vitamin C untuk mengelakkan luka bersalin dari lambat sembuh, selain daripada memastikan kesihatan bayi tidak terjejas.

Dalam kes kekurangan vitamin C yang teruk pula, luka lama mungkin boleh terbuka semula, meningkatkan risiko jangkitan lain.

4. Bengkak Dan Sakit Sendi

Sumber: Getty Images

Untuk pengetahuan Ibu, sendi juga mengandungi banyak tisu penghubung yang kaya dengan kolagen, jadi kalau kekurangan vitamin C, kolagen pun kurang!

Ini amatlah penting terutamanya apabila Ibu sedang mengandung, memandangkan berat badan ibu mengandung akan makin bertambah semakin lanjut usia kandungan.

Terdapat banyak kes sakit sendiri yang dilaporkan adalah berkaitan dengan kekurangan vitamin C. Ia selalunya cukup teruk hingga menyebabkan pincang atau kesukaran berjalan.

Pendarahan dalam sendi juga boleh berlaku apabila kekurangan vitamin C, menyebabkan bengkak dan sakit tambahan pada sendi.

Kalau Ibu sedang merasai komplikasi seperti ini, pastikan Ibu periksa pengambilan vitamin C dengan doktor sakit puan.

5. Tulang Lemah

Jangan ingat kekurangan kalsium sahaja boleh menjejaskan kesihatan tulang, tetapi kekurangan vitamin C juga boleh menyumbang kepada kemerosotan tulang.

Kajian telah mendapati bahawa vitamin C memainkan peranan penting dalam pembentukan tulang, dan kekurangan vitamin ini boleh meningkatkan kadar kehilangan tulang.

Ini adalah penting terutamanya untuk ibu mengandung, kerana bukan kesihatan tulang ibu sahaja terjejas, tetapi anak dalam kandungan pun mempunyai risiko yang sama apabila kekurangan vitamin C, terutamanya kerana bayi dalam kandungan dan juga kanak-kanak masib membesar dan berkembang dan memerlukan vitamin C mencukupi.


Memakan makanan yang sihat dan seimbang dan diperkaya dengan vitamin C serta mengambil vitamin pranatal sudah mencukupi buat Ibu mengandung untuk memastikan anak dalam kandungan berkembang dengan sihat.