Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Waktu Subur Wanita | Bila, Bagaimana & Cara Pengiraan Yang Betul

waktu subur wanita

Sumber: istockphoto

Tahap kesuburan wanita itu merupakan ketetapan dari Allah. Kadang kala, walaupun anda telah berikhtiar untuk mencegahnya, anda tetap juga hamil dan walaupun anda telah berusaha bertahun lamanya untuk hamil, masih juga tidak diizinkanNya.

Kesuburan Wanita Dan Penciptaan Zuriat

Telah dinyatakan di dalam Al-Quran:

هُوَ الَّذِى خَلَقَكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ يُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوٓا۟ أَشُدَّكُمْ ثُمَّ لِتَكُونُوا۟ شُيُوخًا ۚ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ مِن قَبْلُ ۖ وَلِتَبْلُغُوٓا۟ أَجَلًا مُّسَمًّى وَلَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ ﴿غافر:٦٧

Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan). – Surah Ghaafir, ayat 67

Sesungguhnya, hanya Allah yang berkuasa dari saat terciptanya zuriat itu sehingga ke akhir nafasnya. Namun dari perspektif kita sebagai hamba, seharusnya kita berikhtiar sebaik mungkin apabila kita menginginkan zuriat.

Antara langkah awal yang para ibu dan bapa harus lakukan adalah mengenal pasti waktu subur bakal-bakal ibu.

Apakah Waktu Subur Wanita?

Highlighted

Sumber: istockphoto

Mengetahui waktu subur anda bukan hanya penting dalam meningkatkan potensi untuk hamil, tetapi ia juga berguna untuk mereka yang ingin merancang.

Waktu subur ]wanita ialah waktu tertentu dalam kitaran haid wanita iaitu selama beberapa hari yang merupakan waktu mereka paling subur. Ia juga dkenali sebagai fertile window.

Menurut Dr. Zubaidi Hj. Ahmad, untuk para wanita yang kitaran haidnya tetap dan normal, waktu subur anda adalah 5 hari sebelum hari ovulasi dan sehari selepasnya.

Pada hari ovulasi, saat telur ovum wanita bergerak dari ovari untuk disenyawakan dengan sperma, ketika inilah potensi untuk anda hamil adalah lebih tinggi.

Cara Untuk Mengetahui Waktu Subur Wanita Dan Bagaimana Untuk Mengiranya?

Pengiraan Waktu Subur Melalui Kitaran Haid Wanita

Terdapat beberapa cara untuk mengetahui waktu subur wanita. Antara kaedah yang selalu digunakan adalah dengan mengira kitaran haid bakal ibu.

Untuk kaedah ini, anda hendaklah mengenal pasti terlebih dahulu sama ada kitaran haid anda teratur ataupun tidak. Ini adalah kerana pengiraan untuk kedua-duanya adalah berbeza ya.

1. Pengiraan Waktu Subur Bagi Kitaran Haid Tetap

Kebiasaannya, kitaran haid yang tetap adalah selama 28 hari. Seperti yang dinyatakan Dr. Zubaidi, bagi wanita yang mempunyai kitaran haid sebegini, waktu suburnya adalah pada hari ke 10 hingga ke 15.

Dalam tempoh 6 hari ini, tahap kesuburan anda berada di kemuncak dan mempunyai peratusan tertinggi untuk hamil.

2. Pengiraan Waktu Subur Bagi Kitaran Haid Tidak Tetap

Bagi wanita yang kitaran haidnya tidak teratur, pengiraan waktu suburnya agak berbeza ya.

Langkah pertama yang anda harus lakukan adalah merekod kitaran haid anda selama 8-12 bulan berturut-turut.

Pada setiap bulan, tandakan hari pertama datangnya haid di kalendar khas. Lakukan rutin ini selama sekurang-kurangnya 8 bulan.

Selepas itu, berdasarkan catatan anda, tolakkan 18 dari kitaran yang terpendek dan jumlah itu adalah hari pertama fertile window anda.

Sebagai contoh, dalam 8 bulan yang lepas, kitaran haid terpendek anda adalah 25 hari. Maka 25-18 bersamaan dengan 7. Jadi, hari ke 7 adalah hari pertama kesuburan anda.

Manakala untuk mengetahui hari terakhir kesuburan anda, tolakkan 11 dari kitaran haid terpanjang selama 8 bulan itu.

Sebagai contoh, kitaran haid terpanjang anda adalah 30 hari. Maka 30-11 bersamaan dengan 19. Jadi, hari ke 19 adalah hari terakhir hari kesuburan anda.

Secara kesimpulannya, hari subur anda bermula daripada hari ke 7 sehinggalah hari ke 19. Senang bukan kaedah pengiraan ini?

Pengiraan Waktu Subur Menggunakan Alat Ovulation Predictor Kits (OPK)

Sumber: istockphoto

Menurut perkongsian Dr. Zubaidi, alat ini sangat membantu untuk mengetahui hari ovulasi dengan 99.6% tepat.

Secara saintifiknya, kandungan Luteinizing Hormone (LH) di dalam badan wanita adalah tertinggi sekitar hari ovulasi. LH surge ini terjadi akibat pelepasan telur ovum yang matang dari ovari.

Peratusan kandungannya boleh dikesan melalui ujian air kencing dengan menggunakan alat Ovulation Predictor Kits (OPK). Anda boleh dapatkannya dari doktor anda atau di farmasi yang berdekatan.

Pertama sekali, dapatkan dahulu purata kitaran haid, dan kemudian tolakkan 17 dari purata tersebut. Jika ia adalah 27, maka apabila ditolak 17 darinya, lakukanlah ujian OPK ini pada hari ke 10.

Sekiranya keputusannya adalah positif, kebiasaannya ovum akan dilepaskan dalam tempoh 12 hingga 36 jam selepas itu. Pada waktu inilah kesuburan anda berada di tahap kemuncak.

Sekiranya anda kurang jelas tentang cara pengiraan dan penggunaan alat ini, bolehlah rujuk perkongsian dari Dr. Zubaidi ya.

Pengiraan Waktu Subur Melalui Kalkulator Ovulasi Clearblue

Laman web Clearblue dan Official Page di Motherhood.com.my adalah antara laman web yang boleh membantu anda untuk mengira waktu subur dan jangkaan tarikh haid.

Kalkulator Ovulasi yang disediakannya akan memudahkan untuk melakukan pengiraan waktu subur anda. Anda hanya perlu memasukkan maklumat tertentu sahaja.

Dengan akses percuma, ia memang berbaloi untuk dicuba!

Bilakah Peluang Masa Tertinggi Untuk Anda Hamil?

Pengiraan waktu subur melalui corak kitaran haid memang membantu. Namun begitu, potensi untuk hamil juga dipengaruhi oleh beberapa faktor yang lain seperti kualiti sperma dan tahap pH vagina.

Jadi menurut Dr. Zubaidi, tempoh kesuburan yang tertinggi adalah sehari sebelum hari ovulasi dan sehari selepasnya. Telur ovum anda hanya akan hidup di luar ovari selama 24 jam sahaja. Disebabkan itulah anda perlu mengetahui dengan jelas bilakah hari ovulasi anda ya.

Pada hari itu, sesuai untuk anda melakukan hubungan intim bersama suami jika anda berdua sedang merancang untuk hamil. Peratusannya adalah tertinggi iaitu sekitar 60%.

Tetapi jika anda tidak merancang untuk hamil, elakkanlah melakukannya pada hari tersebut dan beberapa hari sebelum dan selepasnya.

Sumber: istockphoto

Dalam usaha untuk hamil ataupun merancang secara selamat, para ibu dan bapa perlulah terlebih dahulu mengenali dan memahami sistem reproduksi anda.

Setelah berusaha dan berdoa untuk mendapatkan zuriat semampunya, lihatlah apa sahaja yang berlaku sebagai kurniaan Tuhan yang mengandungi seribu hikmah tersembunyi.

Selamat mencuba ya!