Memilih warna cat rumah yang sesuai dapat memberikan perbezaan yang ketara pada sesebuah kediaman. Warna yang sesuai akan meningkatkan mood dan menyerlahkan rumah Mommy.
Jika Mommy dalam proses ubah suai rumah, Mommy boleh pilih untuk mengecat semula beberapa bahagian rumah dengan warna yang bersesuaian.
Sama ada Mommy sedang pertimbangkan warna kegemaran Mommy atau warna yang trendy, kali ini Motherhood berkongsi beberapa idea warna cat rumah yang menarik sebagai panduan Mommy.
20 Warna Cat Rumah Yang Sesuai Dan On-Trend
1. Biru Kapur
Warna biru kapur adalah seolah-olah campuran biru dan juga kelabu. Warna ini boleh dikategorikan sebagai warna neutral.
Warna biru kapur akan nampak cantik jika digabungkan dengan kemasan putih terang ataupun hitam pekat. Ia juga boleh digunakan bersama warna lain dalam tona biru-kelabu untuk palet monokromatik.
Kalau berkenan untuk mencuba, bolehlah gunakan warna cat rumah ini di ruang yang kecil dahulu seperti bilik tidur atau bilik mandi.
2. Hijau Kapur
Satu lagi warna ‘kapur’, iaitu warna yang selalunya dicampurkan dengan kelabu, ialah warna hijau kapur. Warna hijau yang diredam ini juga seakan-akan warna biru tanpa nampak terlalu gelap atau berat.
Dengan warna ini, Mommy boleh gandingkan dengan perabot ataupun kemasan kayu moden ataupun tradisional.
Warna ini tentu akan membuatkan bahagian dalam rumah Mommy nampak santai dan tenang.
3. Merah Pekat
Satu warna yang jarang diaplikasikan ramai ialah merah pekat. Ramai yang sangka warna ini tentu akan menjadikan sesuatu ruang gelap.
Warna merah pekat seperti ‘burgundy‘ sebenarnya boleh jadi warna yang menyegarkan apabila digandingkan dengan trim atau perabot putih.
Jadi warna ini sangat sesuai seperti ruang bilik mandi kerana akan menjadi kontras menarik yang menentang warna putih sinki dan tandas.
4. Hijau Hutan
Kalau duduk di bandar, tentu rindukan suasana tenang di kampung yang kaya dengan kehijauan, kan? Untuk mendapatkan sedikit efek ketenangan ini, bolehlah gunakan cat rumah warna hijau gelap.
Warna hijau gelap seperti hijau hutan dapat memberikan rasa keseimbangan yang menenangkan dan menyejukkan.
Warna ini sesuai diharmonikan dengan tona kelabu serta kuning gelap dan juga perabot berasaskan kayu.
5. Biru Pekat
Satu lagi warna gelap yang dielakkan ramai ialah biru pekat. Warna ini sesuai untuk diletakkan di ruang yang mendapat banyak cahaya, terutamanya cahaya matahari.
Cara cahaya semulajadi dipantulkan dari dinding rumah berwarna ini amat cantik, menarik, dan memberikan perwatakan yang unik pada ruang ini.
Warna biru pekat dengan rona kelabu dapat memberikan suasana yang tenang dan selesa, jadi ia sesuai untuk digunakan untuk bilik tidur.
6. Kelabu Kuning Air
Juga dikenali dengan warna ‘greige‘, iaitu gabungan ‘grey‘ (kelabu) dan ‘beige‘ (kuning air), warna cat rumah ini adalah jenis warna neutral yang amat popular dan biasa digunakan.
Warna ini memang sering digunakan untuk memberikan rasa tenang dan selesa kerana ia adalah jenis warna yang lembut.
Warna kelabu kuning air sesuai untuk digunakan di kebanyakan ruang di rumah seperti ruang tamu dan bilik tidur.
7. Taupe
Taupe ialah warna cat rumah kontemporari dalam kategori warna neutral. Ia seolah-olah gabungan kelabu, coklat, dan putih.
Warna yang cantik ini mempunyai fleksibiliti dan daya tarikan yang luas. Ramai yang suka warna ini kerana ia memberi efek keteduhan dan kedamaian.
Warna taupe ini sesuai digabungkan dengan palet biru, terutamanya biru denim dan biru semula jadi.
8. Putih Krim
Warna putih krim tentulah menjadi suatu warna yang tidak akan mengecewakan. Kalau beli rumah baru pun, tentu ia akan datang dengan cat rumah warna putih krim, betul tak?
Warna putih krim ini sesuai untuk diletakkan di mana-mana ruang, terutamanya di bahagian rumah yang tidak mendapat cahaya matahari yang mencukupi.
Kalau Mommy memang suka deko yang minimalis, terutamanya untuk deko bilik anak perempuan, warna putih krim tentu menjadi pilihan utama.
9. Kelabu Cerah
Terdapat sebilangan kecil warna abadi dan klasik yang selalu digunakan apabila mencari warna neutral yang sempurna, seperti kelabu cerah.
Kelabu cerah pun popular dikalangan orang yang suka deko minimalis. Ia adalah warna kelabu klasik yang sesuai digandingkan dengan warna aksen.
Warna ini sesuai digunakan di bilik tidur dan juga ruang legar.
10. Kelabu Besi
Warna kelabu besi atau kelabu gelap amat sesuai digunakan sebagai latar belakang sesuatu ruang yang dramatik.
Warna ini amat menarik kerana ronanya akan berubah bergantung kepada pencahayaan dan juga warna lain yang berdekatan.
Kalau ingin cuba menggunakan warna ini, pastikan ia digunakan di ruang yang mendapat pencahayaan yang mencukupi untuk mengelakkan ruang menjadi terlalu malap.
11. Putih Asli
Warna putih asli adalah warna yang boleh membuka sesebuah ruang dan menjadikannya nampak lapang dan bersih.
Jika Mommy ingin menggunakan warna putih asli, Mommy perlu pandai menggandingkannya dengan perabot yang bersesuaian untuk tidak nampak kekok atau klinikal.
12. Biru Laut/Biru Mediterranean
Siapa yang tak teringin bercuti di perairan Mediterranean dengan lautnya yang biru kristal dan berkilauan pada hari yang cerah, kan?
Berinspirasikan laut Mediterranean, biru yang juga sering dipanggil biru Mediterranean amat sesuai untuk dijadikan ‘featured wall‘ di dinding rumah Mommy.
Ia amat sesuai untuk dicatkan di bilik tidur, ruang tamu, ataupun bilik kerja.
13. Hijau Mint
Bagi sesetengah orang, warna hijau mint dikategorikan sebagai warna klasik sebagai cat rumah. Ia adalah sejenis warna yang menenangkan dan memberi impak untuk jangka masa yang lama.
Warna hijau yang amat cerah ini sesuai untuk digunakan untuk mana-mana ruang dalam rumah.
Ia juga menjadi pilihan yang baik untuk menyejukkan bilik atau ruang yang mendapat cahaya matahari penuh.
14. Kuning Krim
Untuk warna yang lebih ceria tetapi tidak terlalu terang dan masih ke arah warna neutral, Mommy boleh mencuba warna kuning krim.
Warna ini amat lembut dan menarik, sesuai untuk diselaraskan dengan bilik atau ruang bersebelahan.
15. Oren ‘Peach‘
Seperti warna kuning krim tadi, warna ‘peach‘ tergolong dalam tona warna oren yang tidak terlalu terang atau panas.
Warna yang berdasarkan warna buah ‘peach‘ itu sendiri amat sesuai sebagai warna rumah kerana ia jenis warna dari alam semula jadi.
Ia sesuai digandingkan atau dikontraskan dengan warna yang memberi lebih impak seperti warna hijau.
16. Ungu Cair
Warna ungu cair boleh dikatakan warna yang kompleks dan rumit untuk disesuaikan dalam rumah, tapi ia masih boleh memberikan impak yang menarik.
Bergantung kepada kesesuaian ruang dan juga tona ungu cair yang dipilih, warna ini boleh nampak menawan dan elegen sekali!
Gunakan di ruang yang lebih kecil dahulu seperti tandas ataupun bilik tetamu kalau tak confident ia sesuai dengan dekorasi rumah Mommy.
17. Merah Jambu Lembut
Bila bercakap tentang warna merah jambu, tentu teringat bilik anak perempuan sahaja, kan? Sebenarnya warna merah jambu amat sesuai untuk digunakan sebagai warna cat rumah.
Mommy cuma perlu pandai pilih tona merah jambu yang sesuai dengan dekorasi rumah dan pencahayaan sesuatu ruang.
Warna ini sesuai untuk diharmonikan dengan warna hijau, memberi impak seperti gambaran bunga dengan daun-daunnya.
18. Merah Jambu Moden
Untuk tidak nampak terlalu feminin, warna merah jambu moden amat sesuai untuk dijadikan warna cat rumah untuk ruang tertentu.
Warna merah jambu moden selalunya nampak lebih gelap dan lebih kepada keunguan.
Kalau merah jambu biasa nampak terlalu bosan, Mommy boleh cuba menggunakan dua tona warna merah jambu untuk memberikan ilusi yang lebih menarik.
19. Pink Neon
Kalau berani, Mommy bolehlah menggunakan warna pink neon untuk bahagian tertentu dalam rumah Mommy. Warna pink neon boleh digunakan sebagai featured wall sesuatu ruang.
Kalau didekorasikan dengan betul, dinding rumah warna pink neon amat memukau dan memberikan impak yang hebat.
Bila tidak diaplikasikan dengan betul pula atau digunakan di ruang yang kurang sesuai, boleh nampak terlalu panas!
20. Ungu Plum
Berinspirasikan buah plum, warna ini termasuk dalam keluarga rona warna ungu. Ia dapat memberikan impak yang sangat berkesan.
Warna ini adalah seolah-olah gabungan merah pekat dan ungu pekat, sesuai digunakan di ruang yang cerah.
Kalau Mommy ingin gunakan di tempat yang sedikit gelap pun, mungkin masih dapat memberikan impak yang menarik dan mistik.
Tips Memilih Cat Rumah
Untuk memberikan impak dan personaliti menarik bagi sesuatu ruang dalam rumah Mommy, terdapat beberapa tips dalam memilih cat rumah yang berkesan yang Mommy boleh ikuti, seperti:
- Merancang skema warna yang sesuai dengan perabot rumah yang sedia ada.
- Tentukan kemasan atau jenis cat yang serasi dengan citarasa Mommy, sama ada jenis matte atau glossy.
- Cari inspirasi dari beberapa kategori seperti alam semula jadi dan sejarah.
- Gunakan warna ‘sample‘ dan cat sedikit di mana-mana bahagian rumah sebelum melakukan pembelian.
- Buat sedikit penyelidikan tentang jenama yang mempunyai reputasi yang bagus dan pilih jenama yang sesuai.
- Ketahui jumlah cat yang diperlukan untuk mengelakkan kekurangan atau pembaziran.
- Dapatkan perkhidmatan pereka bentuk dalaman ataupun ‘colour consultant‘.
Semoga artikel ini dapat memberikan inspirasi kepada Mommy dan sedikit sebanyak membantu dalam pilihan Mommy mengecat rumah di masa hadapan!