Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Zikir-zikir & Doa untuk Zuriat Yang Boleh Diamalkan Pasangan Yang Sedang Mencuba

doa zuriat

Sumber: istockphoto

Zuriat adalah penyeri rumah tangga dan pengikat kasih sayang antara suami dan isteri. Namun bukanlah bermaksud sesuatu perkahwinan itu tidak bahagia tanpa kehadiran si kecil ya.

Cumanya, definisi bahagia bagi setiap pasangan itu berbeza dan secara am, kebanyakan pasangan merasa lebih bahagia apabila dikurniakan anak.

Bagi mereka yang menginginkan zuriat, sebelum anda mencuba pelbagai cara sama ada secara klinikal ataupun tradisional, sebaiknya amalkan beberapa zikir dan doa untuk zuriat dahulu sebagai langkah pertama.

Amalan Zikir Untuk Mendapatkan Zuriat Yang Baik

Highlighted

Sumber: istockphoto

Terdapat banyak zikir yang para ibu dan bapa boleh amalkan dalam usaha untuk mendapatkan zuriat. Antaranya adalah zikir yang dikongsikan oleh Dr. Natasha ini:

1. Zikir Ya Khaliq

Makna zikir ini adalah Yang Maha Pencipta. Bacalah ia sebanyak 100 kali sehari dengan hati yang yakin pada kuasa Allah Yang Maha Pencipta untuk ciptakan zuriat yang elok di dalam rahim.

2. Zikir Ya Bari’

Makna zikir ini adalah Yang Maha Merancang. Bacalah ia sebanyak 100 kali sehari dengan hati yang yakin pada kuasa Allah Yang Maha Merancang iaitu apa jua rancanganNya adalah sebaik-baik rancangan.

3. Zikir Ya Musau-wir

Makna zikir ini adalah Yang Maha Pembentuk. Bacalah ia sebanyak 100 kali sehari dengan hati yang yakin pada kuasa Allah Yang Maha Pembentuk untuk kurniakan anda zuriat yang sempurna sifatnya dan akhlaknya.

4. Zikir Ya Razzaq

Makna zikir ini adalah Yang Maha Pemberi Rezeki. Bacalah ia sebanyak 100 kali sehari dengan hati yang yakin pada kuasa Allah Yang Maha Pemberi Rezeki untuk berikan anda rezeki dan nikmat zuriat.

5. Zikir Ya Fattah

Makna zikir ini adalah Yang Maha Pembuka. Bacalah ia sebanyak 100 kali sehari dengan hati yang yakin pada kuasa Allah Yang Maha Pembuka untuk bukakan dan permudahkan jalan usaha anda untuk mendapatkan zuriat.

6. Zikir Ya Karim

Makna zikir ini adalah Yang Maha Pemurah. Bacalah ia sebanyak 100 kali sehari dengan hati yang yakin pada kuasa Allah Yang Maha Pemurah untuk anugerahkan anda zuriat yang dihajati.

7. Zikir Ya Allah

Bacalah zikir ini sebanyak 100 kali sehari dengan hati yang yakin pada kuasa Allah untuk mencapai segala yang diniatkan.

Jangan dilupakan juga untuk sentiasa beristighfar memohon ampun di atas segala dosa pada Allah dan makhluk. Kadangkala, doa kita boleh terhijab disebabkannya. Oleh itu, amatlah penting untuk kita sentiasa menyucikan diri dengan beristighfar.

Amalkanlah zikir-zikir ini sentiasa dengan keyakinan yang utuh pada kuasa dan aturan Allah. Ingatlah bahawa sesungguhnya, Dia bertindak mengikut sangkaan hambaNya.

Himpunan Doa Untuk Dikurniakan Zuriat Yang Elok

Sumber: istockphoto

Selain daripada melazimi zikir, anda disarankan untuk mengamalkan doa untuk zuriat yang terkandung di dalam Al-Quran.

Himpunan doa ini hendaklah sentiasa dibaca dengan hati yang yakin pada maknanya ya.

Di sebalik makna itu, terkandungnya kisah-kisah dari mereka yang terdahulu yang boleh kita jadikan tauladan dan panduan.

Sebagai contoh, kisah Nabi Zakaria A.S dan isterinya dalam usaha mereka untuk mendapatkan zuriat.

Meskipun baginda telah pun tua dan begitu juga isterinya, baginda tetap berdoa dan yakin dengan kuasa Allah.

Secara saintifik, situasi begini hampir mustahil tetapi apabila Allah berkehendak, tiada apa yang mampu menghalangnya.

Dengan memahami kisah-kisah seperti ini, insyaAllah iman kita akan lebih kuat dan kita akan lebih menghayati doa yang dibaca.

Jom sama-sama kita amalkan:

1. Surah Al-Imran ayat 38

هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهٗ ۚ قَالَ رَبِّ هَبْ لِيْ مِنْ لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۚ اِنَّكَ سَمِيْعُ الدُّعَاۤءِ : ٣٨

Maknanya: Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”.

2. Surah Al-Anbiyaa’ ayat 89

وَزَكَرِيَّآ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥ رَبِّ لَا تَذَرْنِى فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوٰرِثِينَ ﴿الأنبياء:٨٩

Maknanya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi”.

3. Surah Al-Furqaan ayat 74

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوٰجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا ﴿الفرقان:٧٤

Maknanya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

4. Surah As-Saffat ayat 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصّٰلِحِينَ ﴿الصافات:١۰۰

Maknanya: ” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

5. Surah Ibrahim ayat 40

رَبِّ اجْعَلْنِى مُقِيمَ الصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ ﴿ابراهيم:٤۰

Maknanya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

6. Surah Al-Baqarah ayat 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَآ اُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَۖ وَاَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا ۚ اِنَّكَ اَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ : ١٢٨

Maknanya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;

Saat anda melafazkan doa untuk zuriat dan doa lain, mulakanlah bacaan dengan Surah Al-Fatihah dan selawat kepada Rasulullah S.A.W. terlebih dahulu. Sesungguhnya, memulai doa dengan cara sebegini dan turut memuji kebesaran Allah adalah lebih baik.

Sumber: istockphoto

Putus asa dari rahmat Allah itu bukanlah sifat mereka yang beriman. Kita sebagai hamba wajib berusaha semampu diri kita dan kemudiannya berserah sepenuhnya kepada Allah.

Apabila dikurniakan zuriat ataupun tidak, itu sebenarnya adalah aturan yang terbaik dari Allah.

Apa sahaja yang berlaku, ada hikmah di sebaliknya. Jika tidak di dunia, di akhirat sana nanti anda akan memahaminya.

Para ibu dan bapa berusahalah untuk mendapatkan zuriat dengan cara yang selari dengan syarak.

Apa sahaja doa dan amalan yang dilakukan, hadirkanlah hati dan janganlah lalai serta tidak yakin dengan kemampuan Allah untuk memakbulkannya.

Sesungguhnya tidak ada yang mustahil di sisiNya.