Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Amalan Ketika Haid & Nifas Para Wanita Boleh Amalkan !

Keistimewaan wanita adalah mereka akan didatangi haid & nifas pada setiap bulan. Haid dan nifas adalah proses fisiologi yang terjadi bagi seorang wanita normal. Jelasnya, ia merupakan fitrah seorang wanita dan ketentuan yang telah ditetapkan.

Jangka atau tempoh seseorang wanita itu tidak sama tetapi  kebiasaanya tidak melebihi 14 hari. Pada waktu itu, tidak dibenarkan untuk melakukan ibadah solat.

Mommy rasa wa-was nak lakukan ibadah lain ketika haid dan nifas? Jangan risau. Mommy tetap boleh melakukan amalan lain untuk pengisian jiwa dan hati supaya tidak merasa lemau dan kosong.

Sebagai seorang muslim, tiada alasan untuk kita terbatas melakukan ibadah lain dan tetap menjaga baik hubungan dengan Allah SWT.

Haid adalah kitaran normal bagi setiap perempuan apabila dia sudah pun mencapai umur akil baligh. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ هَذَا شَىْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ

Maksudnya: “Ini (kitaran haid) adalah sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan bagi anak cucu perempuan Adam.” – (Hadis Riwayat Muslim, 2976)

Sumber: akumuslim.asia

10 Amalan Ketika Haid & Nifas Para Wanita Boleh Amalkan.

1.  BANYAKKAN BERSEDEKAH

Amalan sedekah di dalam bulan Ramadan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah S.W.T. Dalam isu sedekah, tidak disyaratkan bagi seseorang itu akan suci dari sebarang hadas.

Justeru, seseorang wanita meskipun berada dalam keadaan haid masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah ini di dalam bulan Ramadhan dengan kadar yang termampu.

Bersedekah juga amat digalakkan pada hari-hari yang lain.

Highlighted


2. MEMBACA TAFSIR AL-QUR’AN

Ketika haid ini, Mommy boleh mengambil peluang untuk cuba memahami dan mengkaji isi al-Quran melalui terjemahan dan bahan bacaan rujukan.

Ia bukan saja dapat memberi perspektif yang lebih jelas, malah dapat membantu Mommy lebih mudah mengingat serta memahami setiap surah yang dibaca.

3. MENDENGAR BACAAN AL-QUR’AN

Mommy boleh mendengar alunan ayat suci al-quran di mana-mana sahaja sambil membuat kerja-kerja rumah.

Memasang ayat al-quran di radio juga sangat bagus kerana dengan mendengar sahaja kita dapat memperolehi pahala.

4.  BERZIKIR

Ada banyak jenis zikir yang boleh menjadi amalan ketika haid dan nifas. Ia berupa ucapan tasbih, tahmid, takbir, tahlil, dan sebagainya.

Paling mudah, biasakan diri dengan zikir Fatimah, iaitu Subhanallah (33kali), Alhamdulillah (33kali), dan Allahuakbar (34kali) yang selalu dibacakan ketika selepas solat.

5. BACAAN AL-MATHURAT

Al-mathurat adalah himpunan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Mommy boleh baca pada setiap pagi dan petang. Di dalam al-mathurat juga terdapat beberapa ayat al-Quran, tetapi dibolehkan membacanya dengan niat untuk berzikir.

6. BERSELAWAT

Berselawat kepada nabi juga merupakan antara amalan yang terbaik ketika sedang haid. Ia juga adalah bukti kecintaan dan ingatan kita terhadap Baginda.

Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang berdasarkan dalil sahih adalah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. (Dari hadis: An-Nasae’i: 1292, Sahih)

7. BERDOA

Doa adalah antara amalan ketika haid yang paling mudah dilakukan. Ia boleh dilafazkan dengan apa juga bahasa dan pada bila-bila masa.

Dalam keadaan haid, Mommy boleh berdoa sekalipun doa itu termasuk dalam Al-Quran.

8. MEMBACA BAHAN BACAAN AGAMA

Terdapat banyak bahan bacaan di luar sana yang boleh dimanfaatkan. Tidak kiralah buku berbentuk sejarah Islam, ibadah, pengetahuan hukum, hadis, motivasi, dan macam-macam lagi.

Pilih saja yang berkenan di hati Mommy!

9. MENGIKUTI MAJLIS ILMU ATAU KULIAH

Mereka yang datang haid, mempunyai banyak masa terluang yang boleh digunakan. Jika kebiasaannya Mommy memperuntukkan masa lebih kurang 5 minit untuk solat, ketika haid ubah aktiviti tersebut dengan mendengar majlis ilmu yang bermanfaat.

Majlis ilmu atau kuliah agama yang dimaksudkan ini bukan sahaja berkenaan dengan agama, tetapi apa juga konsep ilmu pengetahuan yang memberi manfaat kepada kita baik ilmu dunia mahupun akhirat.

10. BERISTIGHFAR

Bermohon ampun kepada Allah SWT walau dimana pun kita berada atau dalam keadaan apa pun kita ketika itu. Biasakan diri beristighfar sebagai salah satu amalan ketika haid dengan menyebut Astaghfirullah hal ‘aziim ( اَسْتَغْفِرُ اَللّهَ الْعَظِیْمَ ).

Walaupun hukum bagi istighfar adalah sunat, namun amalan ini mempunyai pelbagai kelebihan kepada sesiapa yang mengamalkannya. Dengan beristighfar dapat menghapus dosa dan memberi perlindungan daripada sebarang bentuk kejahatan.

Mudah bukan amalan yang boleh dilakukan oleh wanita yang sedang haid&nifas? Meskipun kita terhalang dengan melakukan ibadah solat tetapi masih banyak amalan lain yang dapat Mommy lakukan serta memperolehi pahala daripada setiap perbuatan tersebut.

Jadi, sebagai muslim tiada alasan untuk kita berhenti melakukan amal kebaikan kerana islam itu sangat mudah.


Dapatkan panduan doa-doa dan ilmu keagamaan yang lain di SINI.