Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Buku Pink 101: Semua Yang Bakal Ibu Perlu Tahu

Kredit: simplynoorul.com

Salah satu perkara utama apabila anda mengetahui bahawa anda hamil adalah untuk membuka buku pink.

Untuk bakal ibu yang masih belum mengetahui mengenai buku pink tersebut, jom lihat maklumat terperinci yang dikongsikan di bawah.

Apa Itu Buku Pink?

Highlighted

Kredit: KelabMama

Nama rasmi bagi buku tersebut adalah Rekod Kesihatan Ibu Hamil. Buku ini sangat sinonim dengan ibu-ibu mengandung kerana ia mengandungi segala kisah ‘suka duka’ perjalanan seorang wanita saat mengandungkan zuriat sehingga bergelar ibu.

Lebih kurang macam diari lah.

Secara amnya, buku pink boleh dianggap sebagai buku rekod ibu dan bayi sepanjang tempoh kehamilan.

Ibu hamil memerlukan pengawasan, pemeriksaan yang rapi dan teratur, serta berterusan. Ini adalah kerana semasa tempoh kehamilan, ibu mengalami banyak perubahan pada tubuh badan serta fisiologi mereka.

Begitu juga bayi dalam kandungan. Ia memerlukan pengawasan yang serupa kerana mudah dipengaruhi oleh persekitaran terutamanya kesihatan ibu.

Masalah Kesihatan si Ibu Yang Boleh Memberi Kesan kepada Kandungan 

Terdapat beberapa masalah kesihatan yang dihadapi oleh ibu hamil, yang boleh menjejaskan perkembangan serta pembesaran bayi di dalam kandungan dan boleh mengancam nyawa ibu tersebut.

Antaranya:

  • anemia
  • hipertensi
  • diabetes

Pengawasan serta pengendalian kesihatan ibu yang rapi dan berterusan dapat memastikan pengesanan awal yang membolehkan tindakan yang sewajarnya diambil dengan segera.

Dari sinilah wujudnya mekanisme bagi memantau perkembangan ibu dan bayi melalui rekod kesihatan ibu hamil.

Daripada Kad Klinik kepada Buku Pink

Untuk pengetahuan Mama, rekod kesihatan ibu di Malaysia bermula dengan kad klinik, yang mempunyai maklumat penjagaan kesihatan ibu yang agak terhad.

Tahun demi tahun, penambahbaikan dijalankan selaras dengan keperluan maklumat kesihatan, di mana pada hari ini, penggunaan buku pink menjadi satu medium utama dan lengkap tentang kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.

Secara amnya, buku rekod ini mengandungi maklumat mengenai perihal penjagaan kesihatan ibu iaitu kandungan semasa, tumbesaran janin, kelahiran, bayi yang baru dilahirkan dan postnatal.

Ia juga merangkumi pendidikan kesihatan bagi ibu mengenai penjagaan semasa hamil, semasa bersalin, penyusuan susu ibu dan yang berkaitan dengan penjagaan ibu.

Tujuan, Bila Perlu & Cara Buka Buku Pink

Tahniah untuk (bakal) Mama yang ingin buka buku pink!

Bilakah saya perlu buka buku pink?

Buku pink perlu dibuka bermula dari sebaik sahaja ibu mengetahui dirinya hamil sehingga sebelum berakhirnya trimester pertama.

Ibu hamil perlu mengenalpasti Klinik Kerajaan atau Klinik Kesihatan Ibu & Anak (KKIA) berhampiran berdasarkan alamat tempat tinggal semasa. Di sinilah ibu akan mendapatkan pemeriksaan pertama fasa awal kehamilan, dan seterunya membuka ‘buku pink’ ini.

Bagi yang pertama kali ke KKIA untuk pemeriksaan prenatal dan membuka ‘buku pink’, berikut adalah dokumen yang perlu dibawa bersama:

  • Kad pengenalan
  • Salinan kad pengenalan suami atau sijik nikah (kecuali untuk ibu tunggal)
  • Bil elektrik atau air terkini untuk mengesahkan alamat rumah anda
  • Surat rujukan daripada doktor atau klink lain (jika ada)

Prosedur Semasa di Klinik 

Sebelum ‘buku pink’ ini dapat dikeluarkan oleh KKIA dan diserahkan kepada ibu, berikut adalah prosedur yang perlu ibu lalui di klinik:

  • Jururawat akan mengukur berat dan tinggi ibu, serta merekod kesihatan ibu berdasarkan maklumat yang diperlukan – seperti kitaran haid, masalah dan sejarah perubatan lampau.
  • Kiraan Tarikh jangkaan bersalin (EDD) berdasarkan kiraan Tarikh hari pertama haid terakhir.
  • Ujian air kencing bagi mengesan kandungan protein dan gula dalam air kencing.
  • Pemberian suplemen prenatal seperti vitamin C, B kompleks, asid folik, dan zat besi.
  • Menetapkan janji temu seterusnya bagi memantau kesihatan ibu dan bayi di dalam kandungan.

Setelah selesai, ibu akan diberikan buku pink yang akan merekodkan segala perkembangan kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan (prenatal) sehingga kelahiran (post-natal).

Jadual Janji Temu 

Secara amnya, jadual janji temu bagi pemeriksaan ibu mengandung adalah seperti berikut:

  • Sekali sebulan: bagi awal kandungan (trimester pertama) sehingga minggu ke 28 atau 7 bulan kandungan.
  • Setiap 2 minggu: bagi kandungan bulan ke 8.
  • Setiap minggu: bagi kandungan 8 bulan ke atas, sehingga waktu bersalin.

Walau bagaimanapun, pemeriksaan dan janji temu ini mungkin berubah sekiranya pegawai perubatan mendapati kehamilan tersebut berisiko tinggi dan memerlukan pemantauan yang lebih kerap berbanding kandungan normal.

Pelekat Berwarna di dalam Buku Pink

Selesai mendaftar, kalau Mama perasan, nanti akan terdapat pelekat berwarna yang akan dilekatkan berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan.

Kredit: Facebook

Terdapat empat (4) warna iaitu putih, hijau, kuning, dan merah. Setiap warna ini memberi maksud tahap kesihatan kehamilan tersebut:

  • Putih: Tidak berisiko. Boleh bersalin di mana-mana hospital, termasuk hospital daerah.
  • Hijau: Mama perlu berjumpa dengan doktor di KKIA dan janji temu seterusnya bersama jururawat di bawah pengawasan doktor. Ibu hamil yang diberikan pelekat ini antaranya adalah primid, mempunyai berat badan berlebihan, mempunyai penyakit asma, sejarah kelahiran terdahulu melalui vakum dan lain-lain lagi.
  • Kuning: Perlu pemantauan doktor pakar obstetrik & ginekologi (O&G). Antara yang memerlukan pemantauan pakar ini adalah ibu hamil yang mempunyai penyakit diabetes, darah tinggi, remaja hamil tanpa nikah dan lain-lain.
  • Merah: Ibu hamil yang berisiko tinggi, yang memerlukan rujukan segera kepada pakar di hospital besar. Antaranya ibu yang mempunyai penyakit jantung, dan berlaku kontraksi pramatang.

Maklumat Yang Terdapat Di Dalam Buku Pink

1. Maklumat peribadi ibu & suami

Bahagian A: Sejarah kandungan yang terdahulu seperti bilangan kehamilan & tahun, status kandungan – lahir atau gugur, kelahiran pramatang, jenis kelahiran, tempat kelahiran, jantina anak, berat, komplikasi jika ada, status penyusuan ibu dan keadaan semasa anak (hidup/mati).

Bahagian B: Ujian saringan antenatal – kumpulan darah, vaksin yang telah diambil, ujian HIV, talasemia dan lain-lain informasi berserta tarikh dan keputusan ujian saringan yang diambil oleh ibu.

Bahagian C: Sejarah kesihatan ibu dan keluarga seperti kitaran haid, kaedah perancangan keluarga yang diambil, masalah kesihatan ibu seperti penyakit kronik – darah tinggi, kencing manis, alergi, penyakit jantung, asma dan lain-lain yang disenaraikan di dalam buku ini.

Bahagian D: Maklumat kandungan semasa bagi ibu seperti BMI, jaundis, Tiroid, payudara, sistem kardiovaskular dan pernafasan ibu, pemeriksaan gigi, dan lain-lain maklumat yang berkaitan.

Maklumat kandungan semasa bagi setiap janji temu yang dijalankan: Ini termasuklah Tarikh, janji temu yang merupakan lawatan di rumah atau klinik, ujian air kencing, rekod pemeriksaan tekanan darah, nadi, edema, tempoh kandungan, dan tinggi rahim. Maklumat bayi juga direkodkan dalam bahagian ini seperti kedudukan bayi, degupan jantung dan pergerakan bayi.

Kredit: Google

2. Maklumat lain yang direkodkan

Selain daripada rekod kesihatan ibu, bayi dan janji temu, berikut adalah maklumat lain yang terdapat di dalam buku pink yang akan menjadi rujukan ibu dan pihak yang memberikan rawatan:

  • Rekod kemasukan ke hospital sekiranya terdapat sebarang komplikasi sepanjang tempoh kehamilan yang memerlukan pemeriksaan pakar perubatan di hospital.
  • Rekod perihal kelahiran seperti tarikh, tempat, suntikan yang diterima, dan komplikasi semasa bersalin.
  • Rekod kelahiran bayi.
  • Maklumat Postnatal bagi ibu – Tarikh discaj dari hospital dan juga maklumat kesihatan ibu semasa discaj.
  • Senarai Semak Pengendalian Postnatal – bagi mengenalpasti faktor risiko yang mungkin dihadapai setelah kelahiran.
  • Senarai semak jaundis dan pemantauan jaundis bayi. Tahap jaundis juga akan direkodkan.
  • Senarai semak penyusuan susu ibu.
  • Jagaan postnatal di klinik – bagi janji temu selepas bersalin yang seterusnya.

Akibat Lambat Daftar Buku Pink

Anda tidak disarankan untuk melambatkan pendaftaran buku pink. Kenapa kena buka buku ini awal-awal?

  • Untuk tentukan tarikh due date bayi yang bakal dilahirkan. Ini sangat penting ya Mama, terutama sekali kalau Mama lupa tarikh akhir period, atau period yang tidak tetap.
  • Pemeriksaan awal bagi ibu-ibu yang berisiko kerana ada masalah perubatan seperti diaberes, darah tinggi, asma, dan lain-lain.
  • Untuk mengenal pasti kehamilan yang berisiko tinggi seperti kembar, sejarah c-section sebelumnya, sejarah anak meninggal di dalam perut, masalah kecatatan bayi dan lain-lain.

Kepentingan Buku Pink

Tidak kira hospital atau klinik – kerajaan atau swasta, buku pink ini amat penting dan ibarat nyawa kepada setiap ibu hamil dan bayi yang dikandungnya.

Setiap catatan oleh doktor yang memeriksa, appointment susulan atau berkala yang telah dtetapkan, perlulah diikuti dan difahami.

Selain itu, ibu juga perlu memberikan maklumat yang tepat serta tidak berselindung dari segala maklumat dan sejarah kesihatan terdahulu, yang boleh membawa risiko yang mungkin mengancam nyawa ibu dan bayi.

Ibu juga digalakkan membawa bersama buku ini sepanjang masa bagi menjadi rujukan pihak yang merawat sekiranya terjadinya kes kecemasan.

Ini adalah kerana segala maklumat yang diperlukan terdapat di dalam buku ini dan mempercepatkan proses rawatan atau menyelamatkan nyawa, sekiranya berlaku sebarang kecemasan yang tidak dijangka.

Penggunaan Rekod Kesihatan Ibu atau buku pink ini amat digalakkan kerana maklumat penjagaan yang berterusan amat diperlukan supaya ibu dan bayi dapat diberi penjagaan dan rawatan yang sewajarnya.

Haa, sebab tu penting untuk Mama segera ke Klinik Kesihatan terdekat untuk membuka buku ini selepas anda positif hamil.

Yang lagi penting, si ibu juga perlu patuh ada arahan dan nasihat pakar perubatan yang merawat dan memantau keadaan anda sepanjang kehamilan sehingga kelahiran.