Ibu, Bayi & Kanak Kanak

21 Tips Cara Hilangkan Senggugut Guna Kaedah Moden dan Tradisional

cara hilangkan senggugut

Kredit gambar : www.haibunda.com

Setiap bulan, masalah senggugut sering kali mengganggu serta membelengu hidup dan setiap kali itu jugalah pelbagai cara hilangkan senggugut telah anda lakukan supaya aktiviti harian dapat dilakukan tanpa perlu menahan rasa sakit dan fokus anda juga tidak akan terganggu.

Seperti cara yang akan kami kongsikan dalam artikel ini, mungkin ada juga yang pernah anda cuba tetapi yang pastinya banyak lagi masih belum pernah didengar dan kami yakin kebarangkalian anda tidak pernah mencubanya adalah sangat tinggi.

Ikuti perkongsian ini untuk mengetahui kaedah atau cara bagi menghilangkan senggugut anda.

Apa Itu Senggugut?

Senggugut adalah kesakitan yang dialami di bahagian bawah perut atau pelvis semasa kedatangan haid. Dalam bahasa Inggeris, senggugut dikenali sebagai “dysmenorrhoea”.

Bagi anda yang belum mengetahui, senggugut sebenarnya mempunyai dua jenis iaitu :

#1. Senggugut Primer

Senggugut Primer berlaku kepada kebanyakan perempuan yang masih remaja tetapi tidak mempunyai patologi di pelvis dan rahim, setelah pemeriksaan oleh doktor. Kebiasaannya, senggugut ini terjadi selepas 6 hingga 12 bulan selepas akil baligh ketika kitaran ovulasi bermula dan boleh juga berlaku dikalangan wanita yang masih subur.

#2. Senggugut Sekunder

Senggugut Sekunder pula terjadi disebabkan oleh patologi di pelvis dan rahim. Ia biasa berlaku di kalangan wanita yang lebih berusia dan masih subur. Antara puncanya adalah :

  • Penyakit endometriosis iaitu penyakit yang dihidapi oleh 5 hingga 15% wanita yang masih ada haid.
  • Cyst ovari dan tumor.
  • Fibroid iaitu bengkak di rahim.
  • Penyakit radang pelvis iaitu jangkitan ke rahim atau saluran dari rahim ke kilang telur.
  • Kongenital contohnya seperti rahim bicornuate dan rahim subsepta.
  • Alat pencegah kehamilan dalam rahim atau IUCD.

Cara Hilangkan Senggugut Melalui Kaedah Perubatan Moden

#1. Ubat Pengurang Radang seperti Mefanemic acid dan Naproxen

Kajian menunjukkan bahawa 80% perempuan yang mengalami masalah senggugut dapat dikurangkan atau dihentikan dengan menggunakan ubat ini. Caranya adalah makan ubat ini semasa sakit bermula atau pada permulaan haid.

#2. Ubat Tahan Sakit seperti Paracetamol

Ubat ini akan diberikan jika ubat pengurang radang tidak sesuai dimakan oleh kerana kesan sampingan atau berlaku kontraindikasi penggunaan ubat.

#3. Pil Perancang

Digunakan untuk senggugut primer bagi :

  • mengurang atau memendekkan tempoh haid dengan mengelakkan ovulasi.
  • mengurang atau menghilangkan kesakitan dengan mengurangkan penghasilan prostaglandin yang terdapat di selaput rahim.

#4. Penggunaan Haba

Highlighted

Kredit gambar : www.keluarga.my

Letakkan botol yang berisi air suam atau pek panas di bahagian bawah perut atau dengan mandi air suam.

#5. Vitamin

Ambil makanan yang mengandungi vitamin B1, B6 dan asid omega yang terdapat dalam minyak ikan kerana ia mampu menghilangkan senggugut. Anda juga boleh ambil suplemen tambahan yang mengandungi vitamin, kalsium dan magnesium.

#6. Mesin TENS atau Transcutaneous Electrical Nerve Stimulation

Kredit gambar : www.sehatq.com

Mesin ini boleh digunakan jika anda tidak mahu mengunakan ubat. Mesin TENS akan mengalirkan kuasa elektrik kecil di mana ia dapat menghindari tanda sakit dari saraf sakit untuk disampaikan kepada otak.

Cara Hilangkan Senggugut Melalui Kaedah Tradisional

#1. Bertangas

Caranya adalah dengan mengamalkan tangas beberapa hari sebelum anda datang bulan bagi membantu melancarkan pengecutan otot rahim semasa datang bulan serta memecahkan darah beku yang telah terkumpul di dalam rahim anda.

#2. Minyak Angin Jenis Panas

Minyak angin yang panas berfungsi untuk memanaskan perut dan membantu otot rahim mengecut di mana ia dapat mengurangkan kesakitan yang anda alami.

#3. Minyak Aromaterapi

Sekiranya anda tidak menggemari minyak panas, boleh sahaja tukarkannya kepada minyak aromaterapi dengan menyapunya di perut. Boleh juga calitkan sedikit di bahagian hidung kerana bauan itu turut mampu menghilangkan tekanan akibat kesakitan.

#4. Urutan

Selain itu, anda juga boleh melakukan urutan sebelum dan selepas datang bulan di mana urutan sebelum dapat menghilang rasa sakit dan urutan selepas pula bagi membetulkan kedudukan rahim serta meluruskan urat-urat yang telah tersimpul.

#5. Teh Herba

Kandungan dalam teh herba iaitu fenolat mampu membantu menghilangkan rasa sakit senggugut.

#6. Pemakanan

Elakkan pengambilan makanan yang mengandungi lemak tepu yang tinggi kerana ia dapat membuatkan otot rahim mengecut dengan lebih kuat serta pengambilan garam secara berlebihan juga akan menyebabkan tiub falopio menjadi bengkak dan berlakunya keradangan.

#7. Dark Chocolate

Coklat ini juga dapat memberi ransangan yang baik kepada anda serta menaikkan semula mood baik di mana ia membuatkan anda kurang stress dan juga dapat mengurangkan rasa sakit yang dialami.

#8. Air Asam Jawa

Amalkan minum air asam jawa setiap pagi ketika datang haid iaitu bancuh satu sudu asam jawa dengan satu gelas air suam.

#9. Jus Daun Betik

Petua seterusnya pula adalah dengan mengambil beberapa helai daun betik dan kisarkan lalu ditapis. Minum air tersebut setiap malam sebelum tidur. Lakukannya sepanjang kedatangan haid.

#10. Kulit Kayu Manis

Rebus sebatang kulit kayu manis bersama sedikit madu sehingga mendidih. Amalkan meminumnya semasa suam pada setiap pagi sepanjang haid.

#11. Kulit Limau Nipis

Caranya adalah dengan mengambil sedikit kulit limau nipis, rebuskannya sehingga mendidih dan minum setiap ketika alami senggugut.

#12. Air Kunyit

Ambil satu inci kunyit hidup dan disagat kemudian campurkannya dengan satu gelas air lalu diminum. Anda juga boleh masukkan sedikit madu untuk rasa manis.

#13. Air Kencur

Antara kebaikan kencur atau turut dipanggil cekur adalah melancarkan perjalanan haid serta mengurangkan senggugut. Ambil sedikit kencur dan disagat lalu campurkannya dengan secawan air. Amalkannya setiap pagi.

#14. Ais

Elakkan minum minuman berais sepanjang haid.

#15. Minuman berkarbonat

Selain itu, elakkan juga pengambilan minuman yang berkarbonat kerana ia turut menyebabkan senggugut menjadi lebih teruk.

Semoga masalah senggugut anda dapat diatasi dengan menggunakan kaedah yang telah disenaraikan di atas!


Ikuti pelbagai tips kesihatan wanita di SINI.


Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.