Ibu, Bayi & Kanak Kanak

6 Cara Sendawakan Bayi Yang Selamat Dan Berkesan

Sumber: Adobe Stock

Waktu-waktu paling menggembirakan bagi para ibu di awal kehidupan bayi sudah tentu memberi mereka susu, bukan?

Walaupun memenatkan, tapi melihat bayi penuh semangat meminum susu, tak kiralah susu ibu atau susu formula, sangat menyentuh perasaan ibu-ibu.

Highlighted

Sumber: mediaindonesia.com

Walau bagaimanapun, Mummy jangan leka ketika menyusu, sebab seeloknya anda perlu sendawakan bayi sekali-sekala kalau bayi jenis yang suka menyusu berpanjangan.

Semasa menyusu, gelembung gas boleh terjadi, dan jika tersekat di perut bayi, ia boleh menyebabkan bayi rasa cepat kenyang dan perut tidak selesa, padahal mungkin bayi baru minum sedikit sahaja.

Sumber: iStock Photos

Menyendawakan bayi membantu mengeluarkan angin dari perut menerusi esofagus dan keluar dari mulut bayi.

Gas ini adalah udara yang terperangkap dalam sistem penghadaman dan perlu dibebaskan. Bayi perlu disendawakan kerana selalunya mereka akan menelan juga udara sambil meminum susu.

Ia lebih kerap berlaku kepada bayi yang menggunakan botol susu kerana mereka cenderung untuk meneguk susu dengan laju.

Sumber: iStock Photo

Bayi yang menyusu susu ibu juga tak lari dari masalah ini. Udara juga boleh terperangkap bila bayi menyusu jika ibu mempunyai susu yang banyak atau keluar dengan laju, atau bila bayi sangat lapar dan menyusu dengan laju.

Angin di dalam perut bayi juga boleh disebabkan oleh pencernaan makanan tertentu oleh bakteria dalam usus besar bayi.

Ini termasuk makanan yang dimakan oleh bayi, dan juga makanan yang dimakan oleh ibu yang akan disalurkan melalui susu ibu.

Contohnya sayur-sayuran seperti kubis dan kacang panjang, minuman berkarbonat, dan beberapa jenis buahan. Sebab itulah pentingnya untuk ibu berpantang dalam pemakanan.

Sumber: suseky.com

Menyendawakan bayi pada mulanya mungkin kekok bagi sesetengah ibu bapa yang baru, tapi mengenalpasti teknik yang betul dan dengan praktis yang cukup, pasti mudah untuk anda menyendawakan si manja dengan senang dan lancar.

Cara-Cara Menyendawakan Bayi

1. Dukung bayi di atas bahu.

Untuk cara ini, Mummy boleh berdiri atau duduk dengan selesa dengan mengiringkan badan sedikit untuk menampung bayi, dan pegang bayi di bahagian punggungnya.

Pastikan muka bayi menghadap belakang dan melihat ke atas bahu Mummy, manakala dagu mereka terletak di atas bahu dengan selesa.

Anda juga boleh meletakkan kain bersih atau ‘burp cloth’ di atas bahu sekiranya risaukan bayi muntah susu sedikit.

Gunakan sebelah tangan untuk menampung bayi, dan sebelah lagi untuk menyendawakannya. Gosok atau tepuk belakang badan bayi secara perlahan untuk sendawakan bayi.

2. Dudukkan bayi di atas pangkuan.

Sumber: Shutterstock

Kalau Mummy rasa lebih yakin untuk memegang bayi dengan cara ini, anda boleh letakkan si manja di atas paha di bahagian sisi, dengan badannya sedikit condong ke hadapan.

Letakkan tapak tangan anda di bawah dagu bayi atau dada untuk menyokong kepala dan dada mereka.

Pastikan Mummy tak letak tangan di bahagian tekak kerana dikhuatiri bayi akan tercekik atau tidak boleh bernafas!

Kemudian dengan tangan lagi satu, gosok atau tepuk belakang badan bayi secara perlahan untuk sendawakannya.

3. Meniarapkan bayi di atas pangkuan.

Sumber: Feedmilk Facebook

Cara ini juga memerlukan tahap keyakinan yang tinggi buat ibu bapa baru.

Letakkan bayi di atas paha Mummy secara meniarap dalam sudut 45 darjah atau secara rata, tetapi pastikan kepala bayi berada dalam posisi yang lebih tinggi dari badannya.

Dengan teknik yang sama, gosok atau tepuk belakang badan bayi secara perlahan untuk menyendawakannya.

4. Mendukung bayi secara biasa.

Jika kaedah-kaedah yang disenaraikan di atas tidak berjaya dilakukan, Mummy boleh pula cuba sendawakan bayi dengan cara mendukungnya seperti biasa.

Dukung si kecil rapat sepertimana Mummy selalu mendukungnya dan rapatkan bayi ke dada.

Sambil anda mendukung bayi, anda perlu goyang-goyangkan badan sisi ke sisi, dari kiri ke kanan secara perlahan tetapi dengan kerap untuk membuatkan bayi sendawa dengan sendiri.

Mummy juga boleh gosok-gosok belakang bayi sambil mencuba teknik ini.

5. Senaman betis-ke-perut bayi.

Sumber: Getty Images

Teknik lain yang mak-mak boleh cuba jika semua teknik di atas tidak berkesan adalah dengan melakukan sedikit senaman atau pergerakan badan bagi bayi.

Caranya ialah dengan memegang kedua-dua betis bayi di kedua-dua tangan, dan tolakkan betis bayi dengan lututnya ke arah dada mereka, seakan-akan berbentuk ‘V’.

Kaedah ini dikatakan dapat mengeluarkan angin dari perut bayi. Jika bayi tidak sendawa, sebaliknya mungkin mereka akan kentut!

6. Cara sendawakan bayi tertidur.

Sesetengah bayi memang senang tertidur ketika menyusu kerana berasa sangat kenyang dan santai.

Mummy tak perlu khuatir, kerana ini memang perkara biasa dan Mummy masih boleh sendawakan si manja.

Walaupun bayi nampak nyenyak, mereka masih perlu disendawakan sebelum tidur untuk mengelakkan perut kembung.

Caranya sama juga seperti bila bayi berjaga, cuma anda mungkin perlu tepuk dengan lebih perlahan untuk tidak mengejutkan si comel.

Bagi bayi yang menyusu terus dari ibu, anda boleh sendawakan bayi sebelum mengalih ke payudara lagi satu, dan bagi yang menyusu botol, boleh hentikan penyusuan sebentar sebelum susu habis untuk sendawakan bayi.

Kaedah yang paling sesuai untuk menyendawakan bayi yang sedang tidur adalah dengan meletakkan bayi di atas bahu seperti cara pertama tadi.

Ini kerana ia adalah posisi yang natural atau semula jadi bila menidurkan bayi kan? Jadi anda boleh sendawakan bayi dengan senang dan lancar tanpa menganggunya.

Sumber: Shutterstock

Mommy digalakkan menyendawakan bayi selama satu atau dua minit menggunakan salah satu kaedah-kaedah yang disenaraikan di atas.

Pada kebiasaannya, apabila si kecil sudah mula makan makanan separa pejal dalam lingkungan umur enam bulan, mereka jarang perlu disendawakan lagi, tambahan pula sistem pencernaan bayi sudah lebih matang.

Tetapi jika Mummy rasa si manja masih memerlukan bantuan untuk sendawa, Mummy boleh teruskan mengguna cara sendawakan bayi seperti di atas.