Sebagai umat Islam, setiap pagi kita digalakkan untuk membaca doa bangun tidur setelah kita bangun dari tidur dan ini adalah perkara yang dianjurkan oleh baginda Rasulullah SAW.
Apabila Mommy bangun tidur, apa perkara pertama yang Mommy akan lakukan dahulu? Kalau zaman sekarang ni, tak terkejut jika saya katakan perkara pertama yang Mommy akan buat setelah terjaga adalah check phone dulu kan?
Apa kata kita cuba untuk mengubah tabiat ini kepada yang lebih baik, seperti membaca doa bangun tidur sejurus bangun pagi dan kemudian melakukan sedikit regangan.
Mommy juga boleh amalkan doa ini pada anak-anak setiap kali mereka bangun. Amalkan sejak mereka masih bayi di mana Mommy boleh membacakan doa ini pada ubun anak dan lihat bagaimana mereka membesar dengan membaca doa bangun pagi ini.
Berikut merupakan doa bangun tidur yang lengkap dalam tulisan rumi dan maksud sekali agar memudahkan Mommy mengamalkan doa ini. Bukan itu sahaja, di entri kali ini, kami turut berkongsikan dengan beberapa amalan sunat sebelum tidur serta tips untuk mendapatkan tidur yang berkualiti.
Doa Bangun Tidur
Allhamdulillahi-lafzi ahyana bakdama amatana wailaihi nusyur.
Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami kembali setelah dimatikan-NYA untuk sementara waktu, dan kepada-Nya lah kami akan kembali.
Doa Jika Mendapat Mimpi Buruk
Allahumma inni auzubika min amali ssyaitaoni wasaiatil lahlami.
Maksudnya: Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-MU dari perbuatan syaitan dan dari mimpi-mimpi yang buruk.
Amalan Sunat Sebelum Tidur
Seperti yang kita tahu, banyak amalan sunnah yang ditinggalkan Rasulullah untuk kita. Antaranya ialah amalan sunnah sebelum tidur.
Jika mengikuti amalan sunnah sebelum tidur yang diajar Nabi kita, insyaallah banyak pahala serta keberkatan dalam hidup yang bakal kita dapat. Berikut merupakan amalan sunnah sebelum tidur yang boleh diamalkan:
- Berwuduk sebelum tidur. Rasulullah juga menyuruh kita bersuci atau membersihkan diri daripada sebarang najis sebelum masuk tidur. Amalan ini adalah sebagai persediaan jika dijemput ajal semasa dalam keadaan tidur.
Sucikan tubuh-tubuh ini dan Allah akan menyucikanmu. Ketika mana seorang hamba meluangkan masanya dalam keadaan bersuci, malaikat meluangkan malamnya di dalam rambut (hamba) tersebut dan ia tidaklah ia berpaling pada malam itu kecuali dia (malaikat tersebut) berkata: “Ya Allah ampuni hambamu kerana ia tidur dalam keadaan bersuci”
— Tabarani
- Membaca ayat kursi. Kita juga disarankan untuk membaca ayat kursi sebelum tidur agar terhindar daripada gangguan syaitan dan sentiasa berada didalam perlindungan Allah.
- Tidur mengiring kekanan. Rasulullah juga menyarankan untuk tidur mengiring kekanan. Malah, menurut kajian, tidur dengan posisi begini dapat membantu proses pernafasan berjalan lebih lancar ketika tidur.
- Jaga kebersihan tempat tidur. Membersihkan tempat tidur juga adalah sunnah Nabi. Bersihkan tempat tidur seperti menepuk bantal dan tilam untuk mengelakkan daripada jangkitan bakteria dan debu-debu kotor yang terdapat pada tempat tidur kita.
- Menunaikan solat witir. Solat witir juga dipanggil sebagai solat malam sebelum tidur yang amat digalakkan untuk diamalkan dalam islam.
- Membaca doa sebelum tidur. Setelah selesai dan berbaring, jangan lupa untuk membaca doa sebelum tidur, mengucap dua kalimah syahadah dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Tips Untuk Mendapatkan Tidur Yang Berkualiti
Mommy pernah terfikir tak, apakah rahsia atau tips untuk mendapatkan tidur yang berkualiti atau tidur yang lena? Pernah tak Mommy rasa apabila bangun tidur, badan masih lagi berada dalam keadaan yang penat sedangkan Mommy sudah mendapatkan waktu tidur yang mencukupi?
Atau Mommy merasakan badan Mommy terlalu penat atau letih sedangkan pada hari tersebut Mommy tidak melakukan sebarang aktiviti yang menggunakan banyak tenaga?
Jika ya, Mommy sebenarnya mengalami kekurangan waktu tidur dan tidak mendapatkan tidur yang berkualiti. Dan untuk pengetahuan Mommy, waktu tidur untuk manusia yang normal ialah selama 6-8jam sehari.
Antara tips untuk kita mendapatkan tidur yang sihat dan berkualiti adalah:
- Elakkan makan 3 jam sebelum tidur
- Hindari pengambilan kafien sebelum tidur.
- Kurangkan penggunaan gajet sebelum tidur.
- Baca sedikit bahan bacaan yang berilmiah sebelum tidur.
- Tidak digalakkan untuk mandi air panas sebelum tidur.
- Pastikan suasana bilik tidur berada dalam mode yang selesa.
Jika Mommy tidak mendapatkan tidur yang mencukupi, Mommy sebenarnya terdedah dengan pelbagai risiko.
Risiko Jika Tidak Mendapat Tidur Yang Mencukupi
Jangan terkejut jika kami katakan boleh membawa kepada kematian apabila anda terlampau kerap tidak mendapat tidur yang mencukup. Antara risiko yang bakal anda dapat adalah:
- Masalah kulit yang kronik
- Risiko mendapat penyakit jantung
- Tahap hormon yang tidak stabil
- Peningkatan berat badan
- Kemurungan
- Risiko diabetes
- Sukar untuk membuat keputusan
Jadi, cuba untuk mendapatkan tidur yang cukup dan berkualiti. Semoga segala perkongsian kali ini memberi sedikit manfaat untuk mommies diluar sana.
Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasangan? Dan Kami telah menjadikan tidur untuk kamu berehat?
— Surah an-Naba ayat 8–9
Nantikan pelbagai pilihan doa untuk diamalkan dan topik-topik menarik hanya di Motherhood Story.