Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Mudah Bersalin, Zikir & Surah Yang Boleh Diamalkan Bakal Ibu

Secara umumnya, bersalin memang sakit. Ianya boleh diibaratkan 20 tulang yang dipatahkan serentak! Tambahan pula, setiap sakit bersalin itu berbeza – antara individu dan juga anak-anak yang lain. Kalau sebelum ni kita dah kongsikan tanda-tanda bersalin untuk bakal ibu, kali ni kita nak kongsikan doa mudah bersalin yang boleh diamalkan. 

Mommy boleh amalkan zikir, surah, dan doa mudah bersalin dibawah sepanjang proses kehamilan sehingga melahirkan anak. Semoga dipermudahkan-Nya. 

Doa Mudah Bersalin

1. Doa Nabi Zakaria

Nabi Zakaria mengamalkan Surah Al-Imraan ayat ke-38 yang membawa maksud,

Highlighted


Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”.

2. Surah Al-Anbiya ayat 89

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi”.

3. Surah Al-Insyiqaq ayat 1-5

“Apabila langit terbelah, dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya langit itu patuh. Dan apabila bumi diratakan, dan dilemparkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong, dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya bumi itu patuh, (pada waktu itu manusia akan mengetahui akibat perbuatannya)” (QS. 84: 1-5)

Surah Al-Insyiqaq menggambarkan saat terjadinya hari kiamat di mana tiupan yang dahsyat bakal mengakibatkan langit terbelah. Langit turut tunduk pada titah Allah SWT.

Bumi pula menjadi rata dan mengeluarkan semua isi perutnya. Baik manusia mahupun benda lain, sehingga ia menjadi benar-benar kosong kerana mengikut perintah Allah.

Begitulah yang harus berlaku kerana hanya Allah sahaja yang berhak untuk disembah dan ditaati dalam apa jua keadaan.


Surah-Surah Yang Boleh Diamalkan

  1. Surah Maryam 

Surah Maryam sangat sinonim sebagai surah yang dapat membantu memudahkan proses bersalin. Maksud ayat-ayat Surah Maryam ini memberikan pengajaran kepada kita tentang kehamilan dan keibubapaan. 

11 ayat terawal surah ini turut menceritakan bagaimana Nabi Zakaria sentiasa berdoa kepada Yang Maha Esa agar dikurniakan zuriat. Contohnya pada ayat 4 dan 5 Surah tersebut: 

Ayat 4

“Ia merayu dengan berkata Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.”

Ayat 5 

“Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.”

Dalam ayat ke 23 hingga 25 pula menceritakan bagaimana Maryam melalui sakit bersalin seorang diri. 

Ayat 23

“Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!”

2. Surah Al-Fatihah 

Yang paling mudah ialah Surah Al-Fatihah. Sebagai surah pertama di dalam Al-Quran, surah ini sangat mudah untuk diamalkan kerana kita sering membacanya di dalam solat dan untuk perkara-perkara lain. 

Antara fadilat mengamalkan surah ini adalah ia dapat menerangkan hati dan juga menguatkan daya ingatan.

3. Surah Yusuf 

Surah Yusuf terkenal dengan surah untuk mendapatkan anak yang cerdik dan rupa paras yang comel atau cantik, inshaallah. Tetapi, tak ramai yang tahu manfaat surah Yusuf yang lain.

Mommy yang sering mengamalkan surah Yusuf ketika mengandung, inshaallah, dengan harapan zuriat yang bakal dilahirkan memiliki iman seperti Nabi Yusuf, yang dapat menghindari zina.

4. Surah Luqman 

Surah Luqman mengisahkan tentang nasihat-nasihat seorang bapa kepada anaknya. Dalam surah ini, Allah SWT menegaskan tentang bagaimana manusia harus bersyukur dengan segala nikmat yang telah dianugerahkan kepada mereka, serta wajib menjauhi perkara syirik.

Ibu hamil pula disarankan mengamalkan surah ini agar bayi dalam kandungan dikurniakan kebijaksanaan akal fikiran dan hikmah yang tersirat, inshaallah.

5. Surah Al-Imran 

  • Ayat 8-9: Untuk memohon rahmat.
  • Ayat 38: Untuk anak yang baik.

6. Surah Al-Hujurat 

Surah ini boleh diamalkan untuk memperbanyakkan susu ibu. Jangan lupa untuk membaca surah ini setiap hari.

7. Surah Al-Kauthar 

Surah Al-Kauthar juga boleh diamalkan untuk memperbanyakkan susu ibu.

8. Surah An-Nahl 

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.”

Terlalu banyak hikmah yang boleh kita pelajari dari surah yang menceritakan mengenai lebah ini. Surah ini boleh diamalkan ibu hamil untuk melahirkan anak yang berdisiplin.

Ayat ke 78 juga sesuai untuk diamalkan sebagai doa mudah bersalin agar proses kelahiran dipermudahkan.

9. Surah Yasin 

Seringkali kita dinasihatkan untuk mengamalkan membaca surah Yasin pada malam Jumaat, selepas solat maghrib. Antara fadilat membaca surah Yasin adalah untuk memudahkan urusan.

Surah Yasin merupakan antara doa mudah bersalin untuk para ibu agar, anda berasa tenang, dipermudahkan urusan bersalin serta, anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan.

10. Surah Ibrahim ayat 40

  • Agar anak mudah untuk mengerjakan solat.

11. Surah al-Baqarah ayat 128

  • Agar anak patuh pada Allah SWT.

12. Surah At-Taubah 

Surah at-Taubah menceritakan tentang kaum musyrik yang mengingkari janji, dan juga perang Tabuk. Surah ini dinamakan at-Taubah kerana tiga orang yang tidak ikut serta dalam perang Tabuk, padahal mereka sering mengikuti perang-perang lain melawan musuh Allah SWT.

Mommy yang sentiasa mengamalkan surah ini diharapkan agar kita dan juga anak dalam kandungan sentiasa menginati Allah SWT dan sentiasa bertaubat kepadaNya.

Selain surah-surah di atas, Mommy juga boleh mengamalkan zikir-zikir ini sepanjang kehamilan.


Zikir-zikir Doa Mudah Bersalin

Surah-surah ini boleh diamalkan oleh bakal ibu dan bapa selepas menunaikan solat. Anda juga boleh mengamalkan beberapa zikir zikir ini semasa hamil:

“Ya Tuhan kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat ( anak ) yang baik sempurna (tidak cacat). Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar dan menerima rayuan dan doa hamba Mu”

“Tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau (Allah), maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku termasuk di kalangan orang-orang yang zalim.”

“Tuhanku berilah kepadaku (seorang anak) dari anak-anak yang soleh”

“Allah telah mencukupi segala sesuatu bagiku dan sebaik-baik yang ku serah diri kepada Allah”

“Aku memohon ampun kepada Allah,”

“Maha suci Allah,”

Ayat Kursi juga antara doa mudah bersalin yang boleh diamalkan. Amalkan setiap kali selepas solat, dan juga ketika sakit bersalin.

Dalam pada itu, bukan Mommy je yang harus amalkan surah-surah, zikir dan doa mudah bersalin ini. Encik suami pun harus turut serta mengamalkan dan berdoa untuk kesihatan isteri anda.

Allahumma yassir wala tu’assir rabbi tammim bil khoir.

“Ya Allah kau mudahkanlah urusanku, permudahkanlah jangan disulitkan”

Walaupun tiada dalil dalam Islam yang menyuruh kita mengamalkan mana-mana surah, tetapi tak salah untuk kita berdoa dan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran di atas. Amalkan surah-surah dan doa di atas dengan harapan agar Allah SWT mengurniakan kesihatan yang sihat, dipermudahkan urusan bersalin dan menjadi ibu serta merahmati keluarga kita. 

Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.

(Surah Al-Isra, ayat 82)

Selamat beramal, dan inshaallah semoga dipermudahkan urusan bersalin Mommy! Dapatkan pelbagai tips sebelum dan selepas bersalin, dan juga tips keibubapaan yang lain hanya di Motherhood Story (untuk versi Bahasa Inggeris, klik disini).