Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Memahami Emosi Ibu Mengandung – Punca-punca & Apa Yang Boleh Dilakukan

Sumber: Adobe Stock

Bakal ibu baru mendapat tahu diri sedang mengandung? Tahniah! Tentu bermacam-macam emosi yang melanda sejurus sahaja mendapat tahu tentang kehamilan, betul tak?

Kalau sudah lama mencuba, tentu rasa gembira tersebut tak boleh digambarkan dengan sempurna. Selepas rasa gembira, mungkin berasa ingin menangis pula!

Apa yang sedang berlaku? Emosi memang selalu bercampur baur ketika hamil, dan ia bukan sahaja sebab berasa gembira dan terkilan dengan berita kehamilan tersebut.

Apabila bakal ibu sedang hamil, bakal ibu akan cenderung berasa macam-macam emosi sekaligus, atau pun berasa gembira, kemudian sedih, marah, atau resah pada saat berikutnya.

Emosi ibu mengandung yang tak keruan ini adalah perkara normal.

Namun begitu, tidak semua wanita yang hamil akan mengalami perubahan emosi yang bergelora ini. Ada yang berasa normal sahaja, atau mungkin hanya berasa lebih sensitif dari biasa.

Semua ini bergantung kepada hormon yang unik yang ada dalam setiap individu.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Yang pasti, bakal ibu tidak perlu risau. Perubahan mood ini hanya sementara sahaja, iaitu waktu mengandung sahaja.

Tetapi, mungkin akan berterusan jika anda memilih untuk menyusu badan kerana hormon masih lagi bekerja keras untuk membantu badan Ibu melalui perubahan kepada peranan keibuan ini.

Selepas itu, hormon anda akan kembali ke sedia kala seperti sebelum mengandung.

Punca-Punca Perubahan Emosi Ibu Mengandung

Terdapat beberapa sebab kenapa bakal ibu mungkin mengalami perubahan emosi ketika hamil. Satu punca terbesar tentulah hormon, tetapi punca-punca lain memainkan peranan juga seperti kurang tidur atau terlalu penat.

Para suami jangan berasa isteri hamil berkelakuan dramatik ya! Semua ini ada penjelasan secara fizikal, fisiologi, dan mental yang rasional.

1. Penat Dan Kekurangan Tidur

Tidur bakal ibu boleh terganggu pada awal atau akhir trimester. Pada awal trimester, badan bakal ibu melalui banyak perubahan untuk memberi ruang kepada bayi untuk membesar dan berkembang.

Dalam 12 minggu pertama, tidak kira berapa banyak tidur yang bakal ibu dapat, ia akan masih rasa tidak mencukupi.

Lagi-lagi kalau bakal ibu perlu menjaga anak kecil lain, melakukan pekerjaan berat, dan urusan harian lain. Memang memenatkan!

Sumber: Getty Images

Pada akhir trimester pula, badan bakal ibu sudah sangat sarat dan tentu mengganggu tidur ibu seperti tidak dapat tidur dalam posisi yang selesa ataupun bayi menendang-nendang dalam rahim.

Ada juga yang akan mengalami kontraksi palsu yang dipanggil Braxton Hicks, dan ia boleh berlaku pada siang atau malam dan memenatkan tubuh badan bakal ibu.

2. Perubahan Tahap Hormon

Hormon kehamilan selalunya menjadi punca besar emosi ibu mengandung berasa kucar kacir. Pada awal kehamilan, bakal ibu akan mengalami peningkatan hormon estrogen dan progesterone. Perubahan hormon-hormon ini yang boleh buat bakal ibu berasa resah dan bercelaru.

Estrogen berfungsi di seluruh badan bakal ibu dan ia adalah hormon yang aktif di kawasan otak yang “menjaga” mood anda, jadi tidak hairanlah memandangkan hormon ini dikaitkan dengan kegelisahan dan kemurungan.

Progesterone pula adalah hormon yang membantu melonggarkan otot dan sendi serta membantu mencegah kontraksi awal. Justeru, ia boleh menyebabkan keletihan, kelesuan, dan kemurungan juga.

Sebab itulah para suami harus menghargai isteri hamil yang terpaksa mengharungi cabaran ini demi menampung anak dalam kandungan.

3. Alahan Mengandung

Sesetengah ibu hamil akan mengalami alahan mengandung pada trimester pertama ataupun lebih lama daripada itu bergantung kepada setiap individu. Ada ibu hamil yang berasa mual sahaja, dan ada pula yang akan muntah setiap kali terbau sesuatu yang menjengkelkan.

Sumber: Adobe Stock

Bukan keadaan mual atau muntah itu sahaja yang memenatkan, tapi perasaan risau dan bimbang tentang bila bakal ibu akan muntah lagi, sama ada sedang memandu atau berada dalam meeting, boleh membuatkan bakal ibu berasa penat secara fizikal dan emosi!

Tekanan sebegini yang boleh mengganggu minda yang tenang boleh membuatkan bakal ibu berasa resah dan murung.

4. Rasa Bimbang, Stres, Dan Gelisah

Selalunya bila bakal ibu sedang mengandung, walaupun dalam trimester pertama lagi mesti sudah macam-macam perkara yang dibimbangi, seperti membeli barang keperluan bayi, mencari pembantu untuk menjaga bakal ibu dalam pantang, hospital pilihan untuk bersalin, dan macam-macam lagi.

Tambahan pula, bakal ibu tentu bimbang tentang tanggungjawab sebagai ibu nanti dan ini semua boleh membuatkan bakal ibu berasa stres dan gelisah. Apabila berasa stres dan gelisah pula, ia boleh membuatkan bakal ibu sentiasa berasa penat secara fizikal dan mental.

5. Perubahan Fisiologi

Apabila bakal ibu melalui kehamilan, sudah tentu bakal ibu akan mengalami perubahan fisiologi yang mendadak untuk menampung pembesaran bayi dalam kandungan.

Perubahan bentuk badan tersebut boleh membuat sesetengah ibu berasa teruja memandangkan ia mencerminkan perkembangan bayi dalam kandungan.

Ada juga ibu yang berasa resah kerana perubahan imej badan dari kecil menjadi besar, dan risau ia akan kekal menjadi lebih besar dari normal selepas bersalin. Semua alasan ini adalah sah kerana sesiapa sahaja yang pernah mengalami masalah imej badan tahu bahawa perasaan itu boleh datang dengan komplikasinya sendiri.

Sumber: Getty Images

7 Cara-Cara Untuk Mengatasi Perubahan Emosi

Tekanan dan perubahan emosi yang dilalui ketika hamil boleh menjejaskan kesihatan bakal ibu dan juga bayi dalam kandungan. Bakal ibu boleh mengingati perkara-perkara di bawah ini untuk mengatasi atau mengawal perubahan emosi tersebut supaya bakal ibu mengalami kehamilan yang lebih tenang.

  1. Bercakap secara terbuka tentang perasaan dan mood swing yang bakal ibu sedang alami kepada suami, keluarga, atau kawan terdekat.
  2. Ingat bahawa tidak semua kehamilan nampak sempurna seperti yang ditunjuk di media. Tidak mengapa jika bakal ibu berasa marah atau geram dengan keadaan atau situasi seperti morning sickness atau kaki bengkak.
  3. Berbuat baik dengan diri sendiri dan ingat bahawa mood swing ini hanya sementara dan disebabkan oleh hormon-hormon kehamilan.
  4. Pastikan bakal ibu mendapat tidur dan rehat yang mencukupi. Minta tolong suami atau orang lain untuk menguruskan perkara-perkara yang boleh membebankan tubuh badan bakal ibu.
  5. Buat senaman ringan yang disarankan untuk ibu hamil asalkan anda bukan mengalami kehamilan berisiko tinggi. Dapatkan kelulusan untuk bersenam dari pakar perubatan.
Sumber: Getty Images
  1. Makan makanan berkhasiat. Ia bagus bukan sahaja untuk kesihatan fizikal ibu hamil dan bayi, tapi juga dapat meningkatkan mood bakal ibu. Elakkan makanan yang berminyak, digoreng, atau diproses. Ia boleh mengganggu hormon walaupun bukan hamil.
  2. Jika bakal ibu rasa keresahan dan kemurungan yang dilalui adalah serius, bakal ibu patut berjumpa dengan pakar perubatan psikologi atau psikiatri untuk membuat penilaian selanjutnya.

Perubahan emosi mungkin tidak dapat dielakkan oleh sesetengah ibu yang sedang mengandung dan ia memang salah satu perkara yang tidak diminati oleh ibu hamil.

Walaupun kadang-kala rasa terkejut diri sendiri boleh berasa sangat marah atau sedih, perlu diingati bahawa ini adalah sementara dan sebahagian daripada perjalanan dan pengalaman kehamilan demi membawa cahaya mata ke dunia ini.